FOLLOWERS...

Monday 21 December 2015

Teaser Bab 27

Assalamualaikum to all my beloved readers... Terlebih dahulu Eira susun sepuluh jari mohon ampun n maaf sbb Dah terlalu lama x up en3...
Harap masih sudi baca penulisan Eira...here..I treat u teaser bab 27...semoga terhibur..
As usual..feel free to drop ur comment yea! Love u geng!!

Teaser bab 27

Rusydi melabuhkan punggung di tempat duduk menunggu di bahagian foyer universiti. Sengaja mahu menunggu Hana di situ. Kebiasaannya, Hana akan melalui foyer tersebut untuk ke perpustakaan. Sudah beberapa hari dia mencuba nasib menunggu Hana di situ. Tetapi, kelibat Hana tidak kelihatan. Dia tidak tahu bila agaknya Hana akan kembali ke universiti. Rindunya kepada Hana terasa tidak tertanggung. Namun, entah kenapa hati kecilnya berat merasakan yang dia akan bertemu Hana hari ini. Kerana itu dia sanggup menunggu sehingga hampir tengah hari. Rusydi tidak dapat tidur sepanjang malam kerana memikirkan permintaan Hana untuk memutuskan hubungan mereka begitu sahaja. Bagi Rusydi, dia berhak mendengar penjelasan munasabah dari pihak Hana dan dia juga berhak untuk membela diri. Sudahlah hatinya panas apabila melihat Hana dihantar dan dijemput Dr. Haziq. ‘Apa hubungan sebenar mereka berdua?’. Soalan itulah yang ingin diajukan kepada Hana sebentar lagi. Sakit sungguh hatinya melihat mereka berdua berjalan seiringan ketika datang dan balik dari universiti. Hana dah hilang akal agaknya!

“Hana! Tunggu saya. Saya nak bincang dengan awak pasal kita!”, Rusydi separuh menjerit apabila terlihat Hana melangkah laju melintasi kawasan foyer.

Hana tidak menjawab. Seraya melajukan ayunan langkah untuk menjarakkan diri daripada Rusydi. Hatinya sakit apabila teringatkan adegan berjalan mesra berpegangan tangan Rusydi dan Iffa beberapa hari lalu di Midvalley. Hanya dia dan Zana yang melihat kejadian itu. Sedangkan Rusydi tidak tahu menahu yang tembelangnya sudah bocor. Bocor yang tak dapat ditampal lagi walaupun menggunakan apa jenis gam sekalipun. Tidak tahu mengapa hati kecil Hana terlalu ingin ke Midvalley untuk berjalan-jalan pada hari itu. Seperti biasa, dia ditemani Zana…tetapi kini bukan hanya Zana bersamanya. Haziq juga ikut serta. Rupa-rupanya gerak hatinya untuk ke gedung membeli-belah petang itu mempertemukannya dengan adegan drama sebabak yang terpamer di hadapannya. Hana merasakan dia seperti ditipu hidup-hidup!

“Saya tak nak dengar apa penjelasan daripada awak, semuanya dah jelas!” Hana kini berlari anak untuk melarikan diri daripada Rusydi. Banyak mata yang memandang mereka kala itu. Adegan kejar-kejaran tersebut seperti lakonan dalam filem Hindi yang mana sang hero berusaha mengejar heroinnya. Pelajar-pelajar yang berada di situ mempamerkan pandangan masing-masing. Ada yang tercengang-cengang, ada yang menjuihkan bibir ada pula yang tersenyum-senyum. Namun Hana dan Rusydi seperti tidak langsung mempedulikan pandangan orang ramai terhadap mereka.

“Hana! Tunggu!” Rusydi masih belum mahu berputus asa. Hana mesti mendengar sendiri penjelasannya. Dia tak mahu Hana salah faham. Kini, dia sedar bahawa cinta sejati dalam hatinya adalah Hana Nazira seorang!

Hana juga tidak mahu mengalah. Dia berusaha mengelakkan diri daripada Rusydi. Dalam keadaan sekarang, Hana tak mungkin mampu menerima apa-apa penjelasan pun daripada Rusydi. Marahnya belum mereda. Sakit hatinya masih bersisa.

Bukk!

Tanpa di duga, Hana terlanggar seseorang. Seraya tidak dapat mengimbangi tubuhnya daripada tersungkur ke lantai. Mata Hana terpejam rapat seakan pasrah andainya dia bakal tersungkur kala itu. Namun, sepantas kilat itu juga satu tangan sasa merangkul tubuhnya daripada terjatuh. Langkah kaki Rusydi semerta dimatikan. Hana membuka matanya apabila dia menyedari yang dia telah diselamatkan. Daripada bau pewangi milik si penyelamat, dia sudah dapat meneka gerangan orang yang berjaya menyelamatkannya.

Bersambung….

Wednesday 4 March 2015

Kesumat Cinta (Prolog)




Prolog

Suasana di ruang tamu rumah agam milik tokoh perniagaan terkenal Tan Sri Borhan tegang. Setegang air muka yang dipamerkan isterinya Puan Sri Katy. Udara segar pagi itu jelas tidak mampu mengendurkan ketegangan yang telah singgah di rumah itu sejak beberapa hari lalu. Kesedihan membaluti rumah agam tersebut di atas pemergian satu-satunya anak mereka ‘Adry Darzin dalam satu kemalangan ngeri seminggu lalu sangat memberi kesan kepada Tan Sri Borhan dan Puan Sri Katy. Lesedihan itu bertukar menjadi kesunyian dan kini bertukar pula menjadi ketegangan tanpa kehadiran satu-satunya anak tunggal pasangan tersohor itu. Siapa sangka sambutan hari lahir anak kesayang mereka bertukar menjadi tragedi yang paling menyayat hati. Mereka kehilangan ‘Adry Darzin pada hari lahirnya yang ke-28. Sekaligus merenggut pergi kegembiraan yang dulunya wujud di rumah agam itu. Kesedihan belum terubat, namun ketegangan pula telah tercipta antara pasangan suami isteri itu disebabkan cadangan tidak masuk dek akal Tan Sri Borhan.

“Apa yang abang merepek ni? Abang dah fikir masak-masak ke idea gila abang ni?” Puan Sri Katy jelas tidak bersetuju.

“Ini bukan lagi idea… tapi keputusan yang paling penting yang abang dah buat demi menyelamatkan legasi perniagaan keluarga kita!” jawapan yang diberikan Tan Sri Borhan berbaur tegas. Keputusan yang dibuat seolah-olah tidak mungkin diubah lagi. Dia nekad.

“Kita kenal pun tidak dengan budak tu. Entah dia datang dari mana dan kita tak tahu asal usulnya, bang,” dari duduk kini dia berdiri. Haru dibuatnya dengan cadangan suami tercinta. Pening.

“Janganlah awak risau tentang asal usulnya. Abang dah siasat latar belakangnya. Pemuda tu sebatang kara”, seraya membuang pandang ke halaman rumahnya.

“Saya rasa abang ni dah gila agaknya!” Puan Sri Katy masih tidak bersetuju.

“Terpulang pada awak nak kata apa pun. Saya tetap akan teruskan juga niat saya!” Tan Sri Borhan masih berdegil. Kalaulah rebung pasti masih boleh dilentur.tetapi, Tan Sri Borhan ibarat buluh yang sudah tua dan keras. Kematu. Silap lentur, mungkin akan patah dan tidak berguna lagi.

Puan Sri Katy mendengus kasar dan berlalu ke biliknya meninggalkan suami tersayang bersendirian di ruang tamu. Tan Sri Borhan sedikit pun tidak menoleh ke arah isterinya yang berlalu tidak puas hati. Biarlah isterinya mahu kata apa pun! Berbakul tohmahan dan makian pun dia sanggup terima daripada isterinya. Dia cukup mengenali Puan Sri Katy. Marahnya tidak lama. Rajuknya tidak sukar dipujuk. Demi legasi perniagaan mereka dia terpaksa membuat keputusan sebesar itu. Ya! Dia nekad. Apapun risiko mesti dihadapi. Dia tahu caranya salah. Tetapi, baginya niat hatinya cukup baik. Dan yang paling penting, dia masih sedar dan waras dalam mengambil keputusan seberat itu. Yang penting segalanya berjalan lancar. Dan segalanya mesti dirahsiakan walau dengan apa cara sekali pun!

Bersambung....

p/s: Maaf semua sebab eira menyepi lebih sebulan lamanya...eira cuba sedaya upaya menyiapkan manuskrip Bukan Sebuah Janji. Idea lam otak ni tenggelam timbul..guess what?  Seriously, I have not had the best, the most beautiful and most complete idea for the ending of BSJ. Everything has yet to fulfill the end of the story that I wanted. Haih! (Sambil lap peluh sbb musim panas)... Buat masa ni jugak Eira belum buat keputusan Bab terakhir BSJ yg akan Eira publish. But the good news is...lam otak kusut fikirkan BSJ, Eira dapat idea menulis E-novel baru eira yg eira beri tajuk Kesumat Cinta... layan dulu sikit intro Kesumat Cinta ni taw...syg semua...<3 <3 <3

Wednesday 24 December 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 26)

Bab 26

      Keadaan Restoran Cili Padi ketika itu agak sesak dengan pelanggan yang keluar masuk. Ada yang menikmati makan tengahari di situ, ada pula yang membeli bungkus. Biasalah, waktu rehat tengah hari yang diperuntukkan hanyalah satu jam. Jadi, ramai yang keluar untuk menikmati juadah makan tengah hari di restoran kegemaran yang mana, Restoran Cili Padi menjadi salah satu restoran pilihan mereka. Selain juadah yang sedap-sedap belaka, lokasinya juga strategik dan memudahkan pelanggan untuk memakirkan kenderaan. Ditambah pula suasana dekorasi restoran tersebut yang sedap mata memandang. Sudah hampir lima belas minit Haiqal menunggu Farouk. Mereka telah berjanji untuk makan tengah hari bersama hari ini. Air teh ais limau yang dipesan Haiqal sudah habis diminum. Namun, kelibat Farouk masih juga tidak kelihatan. Kesabarannya semakin menipis. Sesekali tangannya mengetuk-ngetuk meja kayu di hadapannya menandakan dia mulai bosan berhadapan situasi sebegitu.

     Haiqal dapat melihat jelas dari tempat duduknya susuk tubuh orang yang dinanti-nantikannya berjalan masuk ke dalam restoren tersebut setelah berjaya memakirkan kereta tidak jauh dari jalan besar. Farouk melilaukan pandangan mencari sahabatnya Haiqal. Terkocoh-kocoh dia berjalan sampai terlanggar beberapa orang pelanggan di situ. Cepat-cepat juga dia bertindak memohon maaf. Mana tidak kelam-kabut, berjanji dengan Haiqal pukul 1 tengahari. Tetapi sekarang jam telah menunjukkan ke pukul 1.30 tengahari. Pastinya dia bakal menerima kata-kata pedas daripada anak majikannya sebentar lagi. Itu Farouk pasti!

          Farouk mengambil tempat duduk sebaik terlihat lambaian tangan Haiqal ke arahnya. Riak wajah Haiqal sudah dapat dibaca Farouk apabila melabuhkan punggung di tempat duduk berhadapan Haiqal.

“Sorry Haiqal, aku ada kerja kat pejabat tadi,” Farouk memberi alasan. Nafasnya sedikit mencungap kerana berjalan laju.

“Aku dah agak, kalau kau lambat sikit lagi tadi memang aku dah blah dah. Malas aku berurusan dengan orang tak tepat waktu macam kau ni,” sindir Haiqal sinis.

          Farouk tayang senyum kambing. Malas mahu berhujah dengan Haiqal. Selalunya dia juga yang akan mengaku kalah lebih awal demi menjaga hati Haiqal. Mengenali Haiqal lebih 10 tahun cukup membuatkan Farouk mengenali perangai teman baiknya itu. Haiqal seorang yang panas baran. Jangan menjentik kemarahannya walau sedikit, pasti dia cepat naik berang.

“Kau dan makan ke belum ni?” soal Farouk meredakan suasana tegang antara mereka.

“Belum, aku belum order apa-apa lagi. Selera aku pun dah terbantut ni disebabkan kau lambat,” tukas Haiqal masih menyindir Farouk.

“Sabar beb, makan hari ni aku yang belanja. Amacam?” Farouk masih bersahaja seperti tadi. Tidak tersinggung sedikit pun dengan kata-kata Haiqal.

“Aku ok je,” Haiqal memberi persetujuan.

               Farouk bangun untuk memesan makanan memandangkan orang penuh sesak kala ini. Bimbang pula jika makanan yang dipesan lambat sampai. Lebih baik dia sendiri bangkit untuk memesan makanan di meja kaunter. Setelah memesan dua gelas  jus oren dan dua pinggan nasi ayam, Farouk kembali ke tempat duduk sementara menunggu pesanannya sampai.

“Aku ada kerja untuk kau. Aku nak kau bereskan secepat mungkin,” ujar Haiqal apabila Farouk mengambil tempat duduknya.

“Kerja apa? Cuba cerita sikit,” Farouk inginkan kepastian.

“Papa aku dah tanya pasal projek syarikat di Pulau Pinang tu. Aku tak nak kau bukak mulut sikit pun. Jadi, aku nak kau lupuskan segala data berkaitan projek tersebut. Buatlah apa cara sekalipun!” Haiqal menerangkan serba sedikit duduk perkara yang sebenar.

“Macam mana tiba-tiba papa kau tanya? Bukankah dokumen akaun yang kita buat tu lengkap? Seingat aku tak ada cacat celanya. Musykil pulak aku,” Farouk melahirkan rasa tidak sedap hatinya kepada Haiqal.

“Kau jangan pandang rendah pada orang tua tu Farouk, dia bijak! Aku pun tak pasti macam mana tiba-tiba dokumen projek tu boleh berada di tangannya,” Haiqal mengingatkan Farouk perihal papanya.

“Itu aku setuju, tetapi macam mana dia boleh kesan jumlah ketirisan tersebut? Aku dah buat cukup perfect tau!” bicara Farouk sedikit bangga.

“Itu aku tak tahu, apa yang aku nak kau buat sekarang ini ialah betulkan keadaan ni. Hapuskan segala bukti yang boleh menjurus kepada ketirisan wang tersebut. Buat seolah-olah yang duit syarikat tu telah digunakan untuk menyelesaikan masalah di tapak projek. Itu alasan yang aku bagi pada papa tempoh hari.”

“Kau jangan bimbang, serahkan semua pada aku. Tapi, berapa fulusnya?” tambah Farouk lagi sambil menggerak-gerakkan jari menandakan dia memerlukan wang.

“Aku dah agak dari tadi lagi,” sambung Haiqal lagi apabila terpandang gerakan jari yang dibuat oleh Farouk kepadanya.

Farouk tersengih-sengih.

“Berapa kau nak?” tanya Haiqal lagi.

“Sebab tugas yang aku nak lakukan ni menyalahi etika, aku nak RM 20 000. Boleh?” Farouk menetapkan syarat tanpa segan silu.

“Datang ambil pagi esok! Aku bagi deposit dulu, selebihnya aku bayar bila kau dah siapkan kerja kau!” tegas nada yang dikeluarkan Haiqal. Dia mahu Farouk menyelesaikan tugas tersebut secepat mungkin. Jika diketahui papanya satu hari nanti, teruk akibatnya.

“Hahaha! Sesudah subuh aku sampai,” ucap Farouk cuba berseloroh.

“Ingat! Hanya kita berdua yang tahu hal ni. Kau tahu kan apa yang mampu aku lakukan kalau rahsia kita ni bocor?,” sekali lagi Haiqal mengingatkan. Senyuman sinis berbaur amaran dilemparkan kepada Farouk.

Farouk sekadar membalas senyuman tersebut sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali.

                  Beberapa minit kemudian, makanan tiba. Perut yang sudah berkeroncong perlu diisi segera. Mereka menikmati makanan masing-masing tanpa mempedulikan pelanggan yang keluar masuk memenuhi restoran tersebut.

************
           Datin Zahirah melangkah laju menuju pejabatnya. Para pekerja memberi sapaan selamat pagi setiap kali bertembung dengannya. Seperti biasa dia pasti membalas sapaan tersebut sama ada dengan senyuman, anggukan atau jika tidak sibuk dia pasti bertanya khabar secara ringkas dengan pekerjanya. Datin Zahirah mahu melahirkan suasana gembira dan hubungan yang erat antara majikan dan pekerja. Dia tidak mahu ada jurang yang terlalu jauh sesama mereka kerana dia sangat tidak menggemari bekerja dalam suasana yang tegang.

“Selamat pagi, Datin. Ada surat penting untuk Datin. Saya dah letakkan di atas meja. Saya tak berani membukanya kerana di luar sampul tertulis Sulit dan Persendirian,” Normi setiausahanya menerangkan satu-persatu.

“Terima kasih Normi. Nanti saya tengok. Buatkan kopi saya macam biasa ye dan letakkan atas meja kopi berdekatan sofa tu.”

“Baik, Datin,” Normi membalas senyuman yang dilemparkan oleh Datin Zahirah kepadanya. Seraya melangkah segera ke pantri pejabat untuk membancuh kopi yang diminta majikannya itu.

Datin Zahirah terus melabuhkan punggung setelah meletakkan dokumen dan tas tangan di atas meja. Seraya menarik nafas beberapa kali dan menghembusnya perlahan. Kemudian surat rasmi bersampul putih di hadapannya di ambil. Mungkin keputusan hasil ujian DNA yang terdapat pada kayu yang dikatakan menjadi senjata  yang digunakan pembunuh dalam pembunuhan remaja yang kini masih dalam proses perbicaraan.

Datin Zahirah mengeluarkan lembaran putih yang terdapat di dalam sampul surat tersebut. Surat itu kemudiannya di baca penuh berhati-hati. Sesekali kelihatan kerutan pada wajah Datin Zahirah. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu yang serius. Isi kandungan surat itu menyatakan yang darah mangsa sepadan dengan tompokan darah yang ditemui pada kayu tersebut. Memang itu merupakan darah mangsa. Tetapi persoalannya, laporan makmal Forensik juga telah melaporkan bahawa si mati meninggal disebabkan tusukan objek tajam pada abdomennya dan tiada kecederaan melibatkan pukulan daripada objek tumpul seperti kayu tersebut di mana-mana bahagian tubuhnya. Oleh itu, jelas di sini menunjukkan kayu tersebut tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti penyebab kepada kematian mangsa. Nampaknya kes tersebut semakin rumit untuk diselesaikan.

Lembaran putih tersebut kemudian dilipat semula dan dimasukkan ke dalam sampulnya. Datin Zahirah berfikir sejenak apa sebenarnya mesej yang nak disampaikan si pembunuh? Jelas. Si Pelaku sengaja mengada-adakan bukti palsu untuk melambatkan proses siasatan pihak berkuasa. Helaan nafas berat dilepaskan beberapa kali. Bagi Datin Zahirah, kes kali ini merupakan kes yang paling mencabar sepanjang kariernya sebagai seorang peguam. Namun, jauh di sudut hati Datin Zahirah dia bertekad tidak akan menyerah dan berputus asa dengan terlalu mudah.

Tok! Tok! Tok!

Pintu bilik Datin Zahirah diketuk beberapa kali. Seraya tidak terus memberi arahan masuk. Tetapi bangun dari duduknya untuk beralih tempat ke sofa berdekatan mejanya. Kemudian baru dia memberi kebenaran masuk. Syahrul pembantunya melangkah pantas mendapatkannya. Datin Zahirah dengan mudah sudah mampu mengagak maksud kedatangan Syahrul ke biliknya. Pasti Syahrul juga telah dimaklumkan berkaitan laporan unit Forensik tersebut.

“Datin dah baca laporan tu?,” tanya syahrul tanpa membuang masa.

Datin Zahirah mengangguk ringkas.

“Apa komen Datin? Saya rasa, pembunuh sengaja mempermain-mainkan kita. Sakit pulak hati saya,” Syahrul sedikti mengomel.

“Jangan putus asa Syahrul! Kita tak boleh menyerah kalah dengan begitu sahaja. Kita mesti teliti semula kes. Saya bimbang ada bukti atau klu yang tertinggal. Sepandai-pandai tupai melompat, pasti akan jatuh ke tanah jua. Manusia tidak sempurna. Pasti suatu masa dia akan melakukan kesilapan. Kita mesti optimistik!” panjang lebar cadangan dan nasihat yang diberi Datin Zahirah.

*****************************
“Kita dah sampai Datuk mengikut alamat ni,” Pak Samad memaklumkan Datuk Mahfudz.

Datuk Mahfudz masih tidak bersuara. Namun, air muka yang dipamerkan jelas ada cahaya kegembiraan di situ.

“Datuk nak turun atau kita terus bertanya kepada penduduk kampung di sini?” Pak Samad memberi cadangan.

“Kita terus ke warung depan tu. Tekak saya dah mula haus ni. Sambil minum nanti kita boleh tanya pada mereka,” Datuk Mahfudz terus memberi arahan agar Pak Samad meneruskan pemanduan sehingga ke warung yang dimaksudkan.

“Baiklah Datuk,” Pak Samad bersetuju tanpa banyak soal.

           Datuk Mahfudz melangkah keluar dari perut kereta sebaik kereta Audi A6 itu di parkirkan tidak jauh dari warung yang dimaksudkan. Banyak mata yang memandang mereka sejak tadi. Maklumlah tiada penduduk kampung yang mampu memiliki kereta semewah itu. Tambahan pula mereka tidak mengenali Datuk Mahfudz dan Pak Samad. Mereka memandang dengan perasaan curiga dan ingin tahu siapa gerangan orang asing yang tiba-tiba muncul di kampung mereka.

Pak Samad dan Datuk Mahfudz melemparkan senyuman dan mengambil tempat duduk di salah satu meja kosong tidak jauh dari situ. Kelihatan seorang lelaki lewat 60-an melangkah menghampiri meja mereka untuk mengambil pesanan. Datuk Mahfudz dan Pak Samad masing-masing memesan secawan kopi. Lelaki tersebut tersenyum dan masuk ke dalam warung untuk membuat air yang dipesan. Maklumlah, resmi warung di kampung. Tidak punya ramai pekerja dan pelanggan juga tidaklah begitu ramai. Yang kelihatan hanya lelaki lewat 60-an itu dan seorang perempuan awal 20-an yang berkerja di warung kecil tersebut.

Beberapa minit kemudian lelaki tadi datang semula dengan menatang dulang kecil berisi dua cawan kopi panas. Seraya meletakkan dua cawan kopi tersebut di hadapan Datuk Mahfudz dan Pak Samad.

“Maaf saya bertanya, encik berdua ni dari mana?”, soal lelaki tersebut ramah.

“Saya Pak Samad dan ini majikan saya Datuk Mahfudz. Kami dari Kuala Lumpur,” Pak Samad memperkenalkan dirinya sekaligus memberitahu dari mana mereka datang.

“Nama saya Ismail. Orang kampung panggil saya Pak Mail. Datuk dan Encik Samad jangan ambil hatilah ya dengan renungan orang kampung di sini. Maklumlah, mereka agak pelik melihat orang kaya berkereta mewah yang tiba-tiba datang ke kampung ni. Kalau boleh saya tahu, apa hajat Datuk dan En. Samad datang ke sini?” Pak Mail memperkenalkan diri sekaligus bertanya hajat Datuk Mahfudz dan Pak Samad datang ke kampungnya.

“Usah berdatuk-datuk dengan saya. Panggil saja saya Mahfudz. Dah lama abang Mail tinggal di sini?”, Datuk Mahfudz berbasa-basi. Dia tidak mahu berasa canggung berada di tempat orang. Seperti juga Datin Zahirah, Datuk Mahfudz tidak memandang manusia berdasarkan pangkat dan keturunan. Yang membezakan seorang manusia dengan manusia lainnya ialah pegangan agama, ketinggian akhlak dan budi pekerti. Semua manusia dilahirkan sama sahaja.

Seperti kata-kata Bill Gates, pereka perisian Microsoft yang tersohor, jika dilahirkan sebagai seorang yang miskin ia bukannya salah anda, sebaliknya jika anda mati dalam keadaan miskin maka ianya adalah salah anda. Setiap manusia dikurniakan akal dan fikiran serta tulang empat kerat untuk berusaha memperbaiki kehidupan.

“Saya tinggal dikampung ini sejak lahir lagi. Ibu dan ayah saya memang orang sini,” senyuman terukir dibibir tuanya sebaik menghabiskan bicaranya.

“Maksudnya saya sudah bertemu dengan orang yang tepat. Biarlah saya berterus-terang abang Mail, kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya mencari abang saya yang telah terpisah hampir 30 tahun. Dah lama saya menjejakinya. Tetapi tidak ketemu juga. Saya berharap sangat ini merupakan penamat pencarian saya selama ini,” Datuk Mahfudz menaruh harapan yang besar untuk bertemu abang kandungnya.

“Memang besar hajat tu. Siapa yang Mahfudz cari, beritahu saya namanya. Manalah tahu saya kenal, boleh saya tolong,” ujar Pak Mail cuba menghulurkan pertolongan.

“Dah lama saya mencari abang saya. Kami sebapa, tetapi berlainan ibu. Ibunya berkahwin lain dan mengikut suami berpindah ke Pahang. Dia mengikut ibunya berpindah sama. Selepas itu kami pernah berjumpa ketika sama-sama bekerja di Kuala Lumpur. Kami membina syarikat sendiri. Namun, atas satu salah faham yang berlaku antara kami, dia membawa diri. Yang saya ingat, dia punya seorang anak lelaki yang hampir sebaya dengan anak sulung saya. Sudah sekian lama saya menjejakinya. Tetapi hingga kini menemui jalan buntu,” Datuk Mahfudz menerangkan perihal cerita dia dan abangnya. Wajahnya kelihatan sugul setelah bercerita panjang lebar menggambarkan kekesalan yang telah lama bersarang di hati akibat salah faham antara dia dan abangnya sehingga menyebabkan saudara sedarah sedagingnya itu menghilangkan diri.

Datuk Mahfudz mengeluarkan sekeping gambar lama bersaiz passport dari dalam dompetnya. Gambar itu telah usang seiring dengan waktu. Bahagian tepi gambar itu telah lusuh dan merekah. Namun gambar itu masih jelas dan boleh dilihat. Gambar abangnya yang terpisah kira-kira 30 tahun dahulu. Datuk Mahfudz merenung gambar itu sejenak kemudian menyerahkannya kepada Pak Mail. Pak Mail menyambut huluran tersebut dan menatap gambar lama itu buat seketika. Seraya cuba mengamati insan yang dimaksudkan dalam gambar tersebut. Dia lantas teringatkan seseorang.

Bersambung….

Bukan Sebuah Janji (Bab 25)

Assalamualaikum...Eira harap semua terhibur dengan bab 25 dan bab 26 yang Eira up kali ni. Disebabkan dah lama sangat tak update, eira belanja semua dengan up 2 bab sekaligus. Bab 25 dan Bab 26... Harap sangat semua enjoy!!! Mcm biasa jemput drop comment tau...Eira syg semua!!!

Bab 25

    Insp. Irwan memandu laju keretanya  menuju ke tempat kejadian. Ibu pejabat polis memintanya untuk menyiasat punca satu kejadian pembunuhan melibatkan seorang remaja di bawah umur. Kira-kira pukul 2.30 petang tadi, pihak polis dikejutkan sekali lagi dengan kes bunuh remaja di bawah 18 tahun. Kali ini mangsa merupakan seorang remaja perempuan. Seperti biasa, Insp. Irwan akan menurut arahan yang telah dikeluarkan oleh ibu pejabat. Pedal minyak ditekan supaya cepat sampai ke tempat yang dimaksudkan. Seraya membunyikan siren pada kereta polis peronda yang dipandunya agar laluan di beri bagi melancarkan tugasnya. Dia tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

    Sebuah kereta polis dan sebuah kenderaan unit Forensik telah berada di situ. Garisan kuning telah pasang menandakan pihak yang tidak berkenaan di larang masuk ke kawasan berlakunya jenayah tersebut. Hal ini untuk mengelakkan kehilangan atau kerosakan sebarang bahan bukti serta untuk melancarkan tugas pihak berkuasa. Insp. Irwan melangkah laju mendapatkan Detektif Mohan yang berada di situ. Kelihatan seraya sedang sibuk mencatat sesuatu pada buku notanya. Sesekali kelihatan dahinya berkerut.

“Dah lama sampai Detektif?” Insp. Irwan menepuk bahu bawahannya.

“Baru sepuluh minit, Tuan!” terus berdiri tegak dan memberi tabik hormat.

Insp. Irwan membalas ringkas.

“Maklumkan pada saya nanti setiap penemuan dan teori yang boleh kita kaitkan dalam kes ni. Saya mahu ke tempat mangsa dan memeriksa sekitarnya,” Insp. Irwan terus menapak menghampiri mayat mangsa yang sudah ditutup dengan kain hitam. Sepasang sarung tangan getah dikeluarkan dari poket seluarnya.

    Insp. Irwan membuka penutup yang  menutupi mayat tersebut. Mangsa berpakaian lengkap berbaju kurung bercorak bunga kecil dan memakai tudung berwarna merah jambu. Terdapat tompokan darah di bahagian perut dan kain mangsa. Wajahnya pucat lesi. Namun tiada bau busuk mahupun renga yang kelihatan menandakan kematian berlaku belum sampai 12 jam. Berdasarkan maklumat yang didapatinya, mangsa di temui oleh beberapa orang pelajar yang melalui kawasan belukar tersebut untuk ke sekolah. Hairan dengan plastik hitam yang besar membaluti mangsa, mereka nekad melihat apa di sebalik plastik tersebut. Mereka sangat terkejut apabila rupa-rupanya mayat seorang wanita muda. Mereka terus pulang ke rumah dan memberitahu kepada ibu bapa masing-masing. Seterusnya, ketua persatuan penduduk di situ terus membuat laporan polis.

    Insp. Irwan meneliti keadaan mangsa dan pada hematnya, mangsa tidak dibunuh di sini. Dia di bunuh di suatu tempat yang lain dan dibuang ke sini. Atau mungkin juga ia dilakukan tanpa sengaja oleh pembunuh amatur. Mungkin panik, jadi terus membuang mayat tersebut di belukar berhampiran. Insp. Irwan berfikir buat seketika sambil melihat keadaan mangsa. Beberapa kemungkinan bermain-main di fikiran. Tompokan darah di bahagian kain misalnya berkemungkinan mangsa telah diperkosa sebelum di bunuh. Punca kematian pula mungkin disebabkan tusukan pada bahagian perut kiri mangsa. Apa yang pasti. Insp. Irwan perlu menunggu laporan daripada unit forensik untuk mengetahui punca sebenar kematian.

**************************************
“Assalamualaikum,” salam diberi sebaik talian disambungkan.
“Waalaikummussalam.. What’s up bro? Aku tengah sibuk study ni,” buku di hadapannya ditolak sedikit ke hadapan.
“Kau kat mana Fendi? Aku ada sesuatu nak beritahu kau ni. Yang pasti, kau mesti akan berterima kasih kat aku tau!” Fimie tersenyum-senyum.
“Mesti kau dapat banyak tips exam ni kan? Jangan kedekut ilmu dengan aku, bagi tahu aku cepat!” teka Effendi tanpa membuang masa.
“Hahaha! Bagus! Ciri-ciri pelajar cemerlang tu dah ada. Confirm Dean List lah kau this sem,” Fimie sengaja mahu membuat Fendi tertunggu-tunggu.
“Banyak cekadak pulak. Apa sebenarnya yang kau nak bagi tahu aku ni?” kesabaran Fendi semakin menipis.
“Hana is back!” beritahu Fimie separuh menjerit.
“Betul ke kau ni? Jangan main-mainkan aku. I’m not in the mood!” Effendi sedikit teruja tetapi masih inginkan kepastian.
“Betul! Mata aku ni belum rabun lagi tau. Aku nampak Hana dan Zana di kafetaria universiti tadi. Masa tu aku tengah bincang sesuatu dengan Madam Shamala. Lepas aku habis bincang, aku dah tak nampak mereka berdua dekat situ,” kali ini Fimie memberi jawapan jujur.
Segaris senyuman terukir di bibir Effendi. Sekian lama dia menunggu Hana kembali. Dan kali ini, dia tidak akan melepaskan Hana kepada sesiapa lagi. Cintanya hanya buat Hana. Dia pasti akan merampas Hana daripada Rusydi! Ikrar Effendi di dalam hati.
“Berita ni memang akan buat mood aku jadi bertambah baik. Kau lah sahabat aku dunia akhirat!” bicara Effendi kini berubah nada ceria.
“Aku tahu!” ringkas jawapan yang diberi Fimie.
“Terima kasih beb... jutaan terima kasih atas berita yang sangat tergempar ni. Bila-bila nanti aku belanja kau. Kita jumpa nanti, aku nak sambung study ni,” Effendi ingin menamatkan perbualan. Hatinya berbunga-bunga riang.
“Elleh! Boleh ke study tu?” sindir Fimie sambil bibirnya dicebikkan.
“Diamlah!” ketawa besar mengiringi kata-kata Effendi.
Fimie juga turut tertawa. Seraya kemudian terus mematikan talian telefon.
************************************
“Lepas balik dari Mid Valley tadi, Hana terus masuk bilik dan tak keluar-keluar? Study ke tidur?” Haziq memecahkan suasana sepi sebaik melabuhkan punggungnya atas kerusi. Pinggan nasi yang dihulurkan Mak Uteh disambut dan dia tidak pernah lupa mengucapkan terima kasih.
“Ha’ah Haziq. Tapi Mak Uteh tak tahu pulak dia tidur ataupun belajar. Kebiasaannya, waktu-waktu macam ni dia tengah belajar. Nak Mak Uteh panggilkan dia?” seraya menuangkan segelas air sirap dan dihulurkan kepada Haziq.
“Nanti Mak Uteh panggilkan dia ye?” Haziq menyambut huluran gelas berisi sirap itu daripada Mak Uteh.
Mak Uteh berlalu menuju ke bilik Hana dan mengetuk beberapa kali. Mak Uteh terus menjemput Hana untuk makan bersama sebaik pintu bilik dikuak sedikit. Hana masuk kembali untuk mengenakan tudung dan keluar beberapa saat kemudian.
“Jom makan sekali! Senyap je… Abang ingatkan Hana dah tidur,” Haziq memulakan bicara.
Hana sekadar tersenyum tanpa sepatah kata pun keluar dari mulutnya.
“Mak Uteh, jemput makan sekali,” Haziq mengajak Mak Uteh untuk ikut serta makan malam bersama dia dan Hana.
“Tak mengapalah Haziq,” Mak Uteh menolak pelawaan itu dengan lembut.
“Kalau Mak Uteh tak duduk makan sekali kami, saya pun tak nak makanlah!” Haziq pura-pura merajuk.
Mak Uteh menggelengkan kepalanya dengan telatah Haziq. Seraya melangkah ke meja makan dan mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Hana. Hana pula terus mencedok nasi untuk Mak Uteh walaupun Mak Uteh menegahnya berbuat demikian. Mak Uteh senang bekerja dengan Haziq kerana pensyarah muda itu tidak pernah membezakan atau menetapkan jurang antara majikan dan pekerja. Mak Uteh merasa seperti dilayan keluarga sendiri walau hakikatnya dia tidak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan majikannya itu.
“Sebelum makan tu, tolong abang ambilkan beg kertas kat ruang tamu boleh?” kata-kata Haziq kedengaran seperti arahan.
Hana tidak membantah. Seraya bangun dan melangkah menuju ke ruang tamu. Dia dapat melihat beg kertas yang Haziq maksudkan berada di atas meja kopi. Beg berwarna biru muda itu dicapainya.
“Abang hadiahkan untuk Hana. Harap sudi terima. Kalau tak terima, harap sudi ambil dan buat macam harta sendiri!” Haziq separa melaung dari meja makan.
Hana mengintai ke dalam beg kertas berwarna biru muda itu. Ada sebuah kotak berwarna putih sederhana besar di dalamnya. Sekali pandang sahaja Hana telah dapat meneka isi di dalam kotak putih tersebut. Seraya mengeluarkan kotak tersebut dan dengan berhati-hati, mebuka kotak tersebut untuk melihat isi di dalamnya. Sebuah telefon pintar berjenama Lenovo berwarna merah jambu terletak elok di dalam kotak tersebut. Tentu harganya mahal pada hemat Hana. Dan sudah pasti hadiah semahal itu tak akan diterimanya semudah itu. Hana sedar, dirinya sudah banyak menyusahkan Haziq. Hana menyimpan kembali kotak putih tersebut ke dalam beg kertas biru muda itu dan seraya melangkah ke meja makan untuk mengembalikannya kepada Haziq. Sungguh, dia tak dapat menerima hadiah semahal itu.
“Maaf, Doc. Saya memang tak dapat terima hadiah semahal ini,” ujar Hana sambil menghulurkan beg kertas tersebut kepada Haziq.
Haziq sekadar memandang dengan ekor matanya. Riaksi Hana tersebut sudah dijangka. Pastinya Hana tidak akan menerima pemberian daripadanya. Haziq sengaja buat tidak dengar. Dia meneruskan suapannya.
“Doc, saya memang tak boleh terima pemberian semahal ini,” Hana masih berkeras dengan keputusannya.
“Mana Hana tahu mahal? Tak mahallah. Abang beli dua ringgit je. Kalau nak bayar jugak, bak dua ringgit. So, kira settle. Hana kira dah bayar harga handphone ni,” Haziq berkata selamba. Kemudian .seraya meneguk air sirap yang masih berbaki di hadapannya.
“Budak tadika pun tahu harga handphone ni bukan dua ringgit, Doc,” Hana masih menghulurkan beg kertas tersebut kepada Haziq.
“Jangan degil boleh tak? Handphone ni dah jadi keperluan zaman sekarang Hana. Susah abang nak hubungi Hana kalau tak ada handphone. Lagipun, abang ikhlas nak bagi kat Hana. Abang dah anggap Hana macam adik abang sendiri. Jadi, abang harap sangat Hana sudi terima dan tak kecewakan abang,” bicara Haziq ikhlas.
“Tapi, saya terhutang budi banyak dengan Doc. Entah bila saya dapat membalasnya,” Hana masih berat hati menerima pemberian ikhlas Haziq.
“Kenapa Hana selalu berfikir begitu? Maksudnya, sehingga sekarang Hana masih menganggap abang seperti orang asing dalam hidup Hana. Dan sebab abang orang asinglah, Hana tak mahu menerima pemberian abang, kan?” Haziq pura-pura merajuk.
Hana tertunduk mendengar kata-kata Haziq.
“Bukan begitu, Doc. Tapi…” kata-kata Hana tergantung di situ. Bukan dia tidak mahu menerima Haziq dan menganggap Haziq seperti abang kandungnya, tetapi dia sendiri tidak tahu dan tidak pernah merasai kasih seorang abang daripada abang kandungnya Idzham.
“Maaf kalau Mak Uteh mencelah. Mak Uteh rasa Hana patut terima pemberian Haziq tu. Untuk kemudahan Hana dan yang paling penting keselamatan Hana di kala Hana memerlukan,” Mak Uteh memberi pandangan selaku orang yang lebih berusia. Tambahan pula dia sangat mengenali hati budi Haziq.
“Betul kata Mak Uteh tu Hana. Handphone ni untuk kepentingan Hana juga. Jangan terlalu banyak berfikir. Abang tak pernah mengharapkan sebarang balasan di atas segala pengorbanan abang. Izinkanlah abang membalas segala jasa abah dan mak selagi abang terdaya dengan cara menjaga dan melindungi Hana,” Haziq menolak sedikit beg kertas itu ke arah Hana dengan harapan Hana menerima pemberiannya.
“Terima kasih banyak, Doc. Saya banyak terhutang budi dengan Doc,” akhirnya Hana akur dengan menerima telefon pintar pemberian Haziq kepadanya.
“Sama-sama. Kalau Hana rasa terhutang budi sekali pun, jangan risau sebab abang bukan along yang akan tuntut hutang dan anggaplah segala hutang tersebut telah lupus jika Hana sudi menganggap abang seperti abang kandung Hana sendiri,” Haziq tersenyum sebaik menghabiskan bicaranya.
Hana juga turut tersenyum. Hatinya sedikit lega dengan kata-kata ikhlas Haziq.
“Dah la tu. Simpan handphone tu dulu. Duduk makan dengan abang dan Mak Uteh.
Walaupun berat hati menerima hadiah daripada Haziq, namun terselit rasa gembira di dalam hati Hana sebab dapat handphone baru!

Bersambung...


Monday 8 December 2014

....maaf...

Assalamualaikum dan hye2 semua pembaca yg sudi terus setia menunggu BSJ...eira nak menyusun sepuluh jari utk minta maaf kpd uolls semua sebab kelewatan update bab 25 BSJ...eira mintak maaf byk2 taw semua...(T_T)

Byk benda yang nak disettlekan bermula oktober dan november...eira masih mencari masa dan ruang yang sesuai untuk update bab25....kebizian yg melanda sgt sukar untuk eira elak..harap masih setia menunggu sambungan e-novel ni...

Eira akan cuba sedaya upaya untuk update bab 25 tak lama lagi.. just give me couple more days...please...boleh la...bolehla...ngee..(^_^)

Sementara tu, bleh baca balik bab2 sebelum ni...dari bab 1 - bab 24 utk refresh balik jalan citernye..sbb eira pun wat benda yg sama bler nak menulis bab baru supaya xde jalan citer yg tergantung...ngeh ngeh..sy budak baru belajar...masih bertatih dan menapak...sebab tu eira sangat menghargai setiap kritikan dan komen membina drpd anda semua...luv uolls!!!

Comel sungguh si anak kedidi,
Berjalan meniti di tepi perigi,
Terima kasih daun keladi,
Kalau dah update, eira inform nanti.

Wednesday 10 September 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 24)

Bab 24 


                Haziq memakirkan kereta di kawasan letak kereta yang telah dikhaskan untuk tenaga pengajar Universiti Sains Dan Pengurusan. Nasib baik mereka tiba tidaklah terlalu lewat. Hana pula terus mencapai beg sandang dan failnya sambil bergegas untuk keluar dari perut kereta.

“Ai! Kelam kabutnya? Cuba bertenang sikit. Takkanlah Zana nak merajuk sebab kita lewat 15 minit?” Haziq bersuara tiba-tiba kerana dia melihat Hana begitu kelam-kabut untuk berjumpa dengan Zana.

“Maaf Doc, saya ni jenis yang menepati masa. Saya memang tak suka sampai lewat daripada masa yang telah dijanjikan!” balas Hana dengan wajah yang serius.

“Ye la… salah abang. Bagi je tahu Zana semua salah abang, bukan salah Hana sampai lewat,” Haziq mengaku salah.

“Tak mengapalah Doc, tahulah saya nak bagi alasan apa nanti,” Hana tidak mahu memanjangkan cerita, dia sudah terlewat. Dalam masa yang sama dia mahu menjaga hati Haziq, tidak mahu Haziq berasa bersalah. Lagi pun Haziq bukanlah betul-betul sembuh lagi. Masih dalam cuti sakit. Tetapi tetap sudi membenarkan dan menghantarnya ke kampus untuk bertemu Zana bagi memastikan keselamatannya.

“Nak balik nanti pukul berapa?” soal Haziq kemudian.

“Petang sikit kot Doc, banyak yang kami nak bincangkan,” ujar Hana pendek.

“Pukul 3 petang jumpa Hana kat foyer kampus tau. Abang nak bawa Hana ke suatu tempat. Ajak Zana sekali. Ingat pesan abang, jangan keluar daripada kawasan kampus tanpa kebenaran abang,” pesan Haziq.

“Okey! Jangan bimbang, Doc dah pesan kat saya sebelum kita sampai sini. Saya ingat lagi… saya mintak diri dulu ye,” ujar Hana sambil menutup pintu kereta dan berlari anak menuju ke pintu lif berdekatan untuk naik ke tingkat atas. Dia berjanji dengan Zana untuk bertemu di perpustakaan.

        Haziq pula tidak terus pulang. Dia mahu ke bilik pensyarah sebentar untuk mengetahui perkembangan semasa ketika ketiadaannya beberapa hari ini. Tambahan pula Haziq belum sempat siap menanda laporan makmal untuk dua kelas lagi yang berada di bawah tanggungjawabnya.

        Sementara itu, Hana sudah tiba di perpustakaan. Seraya menyimpan beg dan barang berharga di locker yang sudah disediakan pihak perpustakaan. Kemudian Hana terus melangkah masuk ke dalam perpustakaan mencari Zana. Dia dapat lihat dari tempat dia berdiri Zana sedang sibuk menelaah buku. Zana duduk berdekatan dengan rak buku jurusan pengurusan dan perhotelan. Memang kebiasaanya mereka akan memilih tempat duduk di situ kerana tempatnya agak tersembunyi dan lebih tenang. Senyuman terukir di bibir Hana. Gembira dapat berjumpa Zana akhirnya.

“Assalamualaikum kak, boleh saya duduk sini?” Hana berlakon seolah-olah meminta izin untuk duduk semeja dengan Zana.

“Duduklah, dik” Zana memberikan kebenaran tanpa sikit pun memandang insan yang berada di hadapannya.
 

        Meja tersebut terdapat enam kerusi dan boleh menempatkan enam orang pelajar. Jadi, tanpa berfikir panjang Zana membenarkan insan yang bertanya itu duduk semeja dengannya. Hana pula mahu ketawa dengan riaksi spontan dan serius yang dipamerkan oleh Zana. Seraya menekup mulutnya agar tawanya tidak kedengaran. Hana mengeluarkan fail dan alatulis dan terus berlakon membaca buku. Apabila fail Hana tersentuh buku Zana, barulah Zana mengangkat wajahnya.

“Patutla aku rasa macam kenal je dengan corak fail ni. Rupanya memang kau!” ujar Zana separa menjerit. Namun, tangannya pantas menekup mulut agar tidak didengari oleh pelajar lain, terutamanya pengawas perpustakaan.

“Tu lah, kau tu khusyuk sangat study sampai tak perasan aku sampai. Ni ciri-ciri best student neh!” sindir Hana selamba.

“Kenapa kau tak panggil aku? Saja nak kenakan aku la kan?” tebak Zana.

“Macam mana kau tau niat hati aku ni? Rindu gila aku kat kau tau!” Hana melahirkan rasa yang terbuku di hati.

“Hm… ye la tu. Tak kan lah baru tiga hari tak jumpa aku dah rindu? Lagi pun, kau kan dah ada Cik Abang Kacak?” usik Zana lagi.

“Kau jangan macam-macam. Aku sekeh kepala kau kang baru tahu!” Hana berkata-kata sambil mengangkat tangan kanannya.

“Eh, aku main-main je lah. Tapi, kau tak pernah terfikir ke suatu hari nanti kau akan jatuh cinta dengan dia? Dah la handsome, smart, bergaya tambah satu lagi, baik hati pulak!”

“Entah? Aku rasa biasa je walau pun sebenarnya memang aku dan mak terhutang budi dan nyawa kat dia. Aku pun tak sangka akan dipertemukan dengan orang sebaik dia,” ujar Hana ikhlas.

“Betullah orang kata buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali. Kebaikan dan budi yang ditaburkan oleh mak dan ayah kau dibalas baik oleh Dr. Haziq dengan cara melindungi kau setelah ketiadaan mak dan ayah kau,” tambah Zana lagi.

Hana mengangguk beberapa kali mengiakan kata-kata sahabat baiknya itu.

“Cuba kau ceritakan pada aku apa sebenarnya yang terjadi kat kampung kau. Dalam fb semalam kau cuma bagi tahu aku Abang Am datang nak culik kau. Sekarang aku nak dengar cerita sebenar apa yang terjadi malam tu,” soal Zana tidak sabar. Mana tidaknya, tiga hari dia bersabar untuk mendengar cerita Hana. Tambahan pula insiden tersebut telah menyebabkan pensyarahnya terkena tembakan rambang kawan Idzham.

“Kalau kita nak borak panjang, aku rasa ni bukan tempat yang sesuai. Nanti kena halau dengan pengawas perpustakaan buat malu je,” Hana memberi idea.

“Habis tu, kita nak lepak dekat mana?” Zana bertanya kembali.

“Apa kata kita lepak kat kafe kampus kat bawah? Dr. Haziq tak benarkan aku keluar daripada kawasan universiti ni,” cadang Hana.

“Okey, jom!” Zana terus bersetuju tanpa banyak soal.

        Mereka terus menuju ke kafe sebaik mengambil semua barang-barang di dalam lokar perpustakaan. Beberapa minit kemudian, mereka telah sampai ke kafe yang dimaksudkan. Mereka mengambil tempat duduk dan memesan minuman.

“Kita dah sampai kafe ni… cepatla cerita kat aku!” Zana tidak sabar mahu mendengar cerita sebenar insiden malang yang menimpa sahabat baiknya itu.

“Tapi sebelum tu aku nak dengar cerita kau dulu Zana, apa jadi dekat hostel kita tu sebenarnya? Siapa yang telefon kau beritahu yang hostel kita kena ceroboh?” Hana menyoal kembali.

“Sebenarnya, aku pun tak tahu siapa pemanggil misteri tu. Salah aku juga sebab aku tak tanya nama dia. Aku panik bila tahu hostel kita kena ceroboh. Mungkin sebab tu lah aku tak terfikir nak tanya nama pemanggil. Lagipun, kau tahu kan aku simpan barang kemas pusaka mak aku dalam laci almari bilik kita tu. Sebab tu aku risau gila!” cerita Zana satu persatu.

“Lepas tu apa jadi Zana?” tanya Hana lagi ingin tahu.

“Setibanya aku kat hostel malam tu, aku terus jumpa Encik Halim, penyelia asrama bertanyakan kes pencerobohan tu. Muka dia terkejut bila aku tanya macam tu. Aku bagi tahu dia yang dia sendiri telefon aku beritahu hal tersebut. Dia menafikannya. Dia beritahu aku dia tak pernah telefon mana-mana pelajar pun petang tu. Masa tu aku dah cuak gila. Aku terus terfikirkan kau. Aku risaukan kau!” panjang lebar cerita Zana.

“Sepanjang kau balik Shah Alam tu pun aku dah mula rasa tak sedap hati. Tapi aku tak tahu kenapa,” celah Hana lagi.

“Lepas tu, Encik Halim suruh aku periksa bilik kita mana tahu memang ada barang yang hilang. Aku balik bilik dan check semua barang kita. Tetapi kedudukan susun atur barang dan perkakas bilik masih dalam keadaan yang sama. Aku periksa semua barang-barang aku dan barang-barang kau. Sah! Tiada yang hilang. Kemudian, aku terus laporkan kepada Encik Halim. Dia bersetuju dengan aku, mungkin juga panggilan palsu. Tanpa fikir panjang, aku terus telefon Dr. Haziq beritahu apa yang berlaku di sini,” bersungguh-sungguh Zana bercerita.

“Baru aku faham sekarang. Sepatutnya, kami akan balik Shah Alam keesokan harinya. Tapi selepas bercakap dengan kau di telefon, Dr. Haziq terus suruh aku kemaskan barang dan dia buat keputusan drastik untuk bertolak balik ke Shah Alam malam itu juga.”

“Mungkin dia dah jangka sesuatu yang buruk akan berlaku malam itu,” Zana menyampuk.

“Betul tu, dan memang sangkaan Dr. Haziq tepat. Malam tu dia arahkan aku dan Mak Uda masuk kereta dulu. Selepas dia kunci pintu rumah dan menghidupkan enjin kereta, Abang Am dengan kawan-kawan dia berlari keluar dari belukar tak jauh dari rumah aku. Apa lagi, Dr. Haziq pun pecutla kereta dia. Tapi, Abang Am dengan kawan-kawannya tak berputus asa. Dia mengejar kami daripada belakang. Aku dengan Mak Uda cemas sangat. Seram sejuk dibuatnya. Tetapi, aku tengok Dr. Haziq tenang memandu. Dia sempat pesan kat aku supaya berzikir dan mengingati Allah SWT. Buat seketika aku kagum dengan ketenangan yang ada padanya.”

“Betul tak aku cakap yang one day kau akan jatuh hati pada dia Hana. Jaga-jaga tau,” Zana sempat mengusik.

“Ish kau ni! Tadi suruh aku cerita, sekarang banyak bunyi pulak. Tak nak dengar tak apa,” Hana sedikit mengugut. Rimas setiap kali Zana mahu gosipkan dia dengan Dr. Haziq.

“Okey… okey… sambung la lagi. Aku nak dengar ni. Please…” Zana separa merayu. Bimbang juga kalau Hana benar-benar merajuk dengan usikannya sebentar tadi.

“Ha! Tau takut… Bagi aku sambung dulu. Mereka kejar kami sampai simpang nak ke Sabak Bernam. Kau tahu, konco Tiger tunggu betul-betul depan simpang tu menghadang jalan kami. Nasib baikla tak jauh dari situ ada jalan lain. Tapi Dr. Haziq memang berani. Dia memberhentikan kereta dan terus berpatah balik. Masa tu, aku cuak gila tau! Abang Am dan kawan-kawannya memang tak jangka Dr. Haziq akan buat macam tu. Mereka ingat, kami dah berada dalam genggaman mereka. Masa nak berpatah balik tu lah Dr. Haziq terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang kawan Abang Am,” panjang lebar penerangan Hana.

Zana pula seakan melopong mendengar cerita yang disampaikan Hana. Khusyuk benar.

“Macam mana keadaan Dr. Haziq masa tu? Dia kena tembak dekat mana? Gila ah. Macam dalam filem barat pulak adegan kejar mengejar macam ni,” ujar Zana kagum.

“Masa tu aku dengan Mak Uda memang bimbangkan dia sebab darah keluar banyak. Tetapi dia masih tenang walaupun aku jelas Nampak dia berpeluh. Mungkin menahan sakit dan tak mahu buat kami bimbang. Ketika tu aku berdoa semoga Allah SWT selamatkan dia. Nasib menyebelahi kami apabila ada sekatan jalan raya di hadapan. Abang Am dengan kawan-kawan dia semerta berpatah balik dan menghilang dalam ladang kelapa sawit. Kesian Dr. Haziq, dia jatuh pengsan masa nak berjalan menuju kereta polis peronda. Kau tahu dia cakap apa sebelum mata dia tertutup rapat?” Hana menceritakan detik cemas tersebut dengan mata yang berkaca.

“Dia kata apa?” pantas Zana menyoal.

“Dia kata ‘selamatkan Hana’, Lepas tu dia dah tak sedarkan diri. Polis memberi bantuan dan hantarkan kami ke hospital. Dia kena tahan dua hari di sana,” cecair jernih memenuhi kolam matanya.

        Zana meraih jemari Hana dan digenggam erat. Memang Hana nampak kuat pada luarannya, namun dalamannya masih rapuh. Perlukan dahan yang kukuh untuk berpaut. Zana kemudian menyapu air mata Hana yang mula mengalir. Hana tunduk menghadap meja. Bimbang ada mata yang nampak dia menangis.

“Syukur kau selamat Hana. Kau kena kuat dan tabah. Apa yang penting kau ada aku dan Dr. Haziq untuk bergantung harap. Kami sentiasa akan berada di sisi kau Hana. Aku berdoa semoga penjahat-penjahat tu diberkas segera oleh pihak polis,” Zana memujuk Hana agar sahabatnya itu lebih tenang.

        Hana mengangguk-anggukkan kepalanya. Jemarinya menyeka air mata yang mengalir. Dia mesti bersyukur kerana dia masih punya Mak Uda, Dr. Haziq Imran dan sahabat baiknya Zana untuk mengadu dan bergantung harap.

“Jangan menangis ye… apa yang penting, kau fokuskan untuk mengadap exam akhir tak lama lagi ni. Ini kan harapan mak dan ayah kau. Kau kena tunaikan dengan sebaik mungkin. Mereka nak tengok kau berjaya,” pujuk Zana lagi. Dia mahu Hana menguatkan semangat untuk menempuh peperiksaan akhir yang berbaki tidak sampai seminggu sahaja lagi.

“Memang aku trauma sangat Zana. Lepas satu-satu jadi dalam hidup aku. Aku cuba cekalkan hati untuk tempuhi semua yang berlaku ni. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Tapi Zana, aku manusia biasa. Kadang-kala bila aku rasa lemah, aku akan menangis semahunya. Selepas kejadian tu, aku selalu alami mimpi buruk,” Hana meluahkan segala yang terbuku di hatinya.

“Aku tahu terlalu berat untuk kau lalui semua dugaan ni Hana. Kalau aku jadi kau pun, belum tentu aku mampu hadapi semua yang berlaku ni. Tetapi, sebagai sahabat aku akan sentiasa ada untuk kau, akan sentiasa menyokong kau dari belakang dan bahu aku ni selalu je percuma kalau kau perlukan seseorang untuk mengadu,” Zana cuba memujuk walaupun dia tahu, mungkin kata-katanya belum tentu mampu mengubat derita yang Hana alami.

Hana menyeka air mata dengan belakang telapak tangannya. Terasa segan pula jika dilihat para pelajar yang lalu lalang di situ.

“Terima kasih Zana. Kaulah sahabat sejati aku,” ujar Hana sambil memeluk erat sahabatnya itu.

“Itulah gunanya kawan kan?” Zana membalas rangkulan erat Hana. Sesekali, dia menepuk bahu Hana untuk memberi sedikit semangat.

Zana mengerling seimbas jam ditangannya. Sudah hampir menginjak ke pukul 2 petang.

“Ada sesuatu aku nak tanya kau. Tetapi, aku nak kau jawab jujur pada aku dan jangan berselindung sedikitpun sebab nak jaga hati aku. Biarlah aku tahu awal daripada kemudian hari,” Hana bersuara tiba-tiba setelah beberapa ketika mereka membisu melayan perasaan masing-masing.

“Serius bunyinya nada kau ni Hana… Kau nak tanya apa kat aku tadi? Zana menyoal pendek.

“Pasal Rusydi. Aku pernah nampak dia berjalan dengan seorang perempuan. Masa tu aku dan Dr. Haziq dalam perjalanan nak balik ke Shah Alam. Kami singgah pasaraya Giant beli barang sikit. Aku ternampak dia tengah makan dengan serang perempuan kat food court. Aku rasa junior kita. Diaorang ada apa-apa ke?” Hana menerangkan satu-persatu dengan tenang.

“Kau dah tanya Rusydi sendiri?”
 

Hana menggelengkan kepalanya.

“Telefon bimbit aku kan dah hilang, takkan kau nak suruh aku call dia guna telefon bimbit pensyarah kau tu? Tak nak aku”

Zana tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. Dia lupa yang Hana telah kehilangan telefon bimbitnya.

“Dia ada call kau tanya pasal aku tak?” soal Hana lagi.

“Aku tak nak sakitkan hati kau dengan apa yang aku nak beritahu ni… memang dia tak ada call aku nak tanya pasal kau, Hana. Aku pernah terserempak beberapa kali dengan diaorang berjalan bersama-sama. Pada firasat aku ni, hubungan mereka lebih dari seorang kawan. Cuba kau tengok ni,” terang Zana jujur sambil seraya menunjukkan video pendek yang sempat dirakamnya tempoh hari.

        Hana menonton video itu sepenuh perhatian. Dia tak mahu tersalah lihat atau tersalah membuat andaian. Memang benar wajah yang ada di dalam video tersebut. Wajah Rusydi dan gadis yang dilihatnya bersama Rusydi di pasaraya Giant pada hari itu. Hana terdiam. Tidak memberi apa-apa riaksi. Jauh di sudut hatinya, dia berkecil hati dengan sikap Rusydi. Rusydi tiada saat dia perlukan tempat untuk mengadu, tempat untuk berpaut. Memang benar telefon bimbit Hana hilang dan menyebabkan Rusydi tidak dapat menghubunginya. Namun, jika Rusydi betul-betul sayang dan ambil berat padanya, seharuasnya Rusydi punya inisiatif untuk menghubungi Zana dan bertanya kepada Zana berkaitan dirinya. Ini tidak, Rusydi sekadar acuh tidak acuh.

“Kau okey ke Hana?” Zana bertanya dalam nada bimbang.

“Aku okey…” jawapan yang diberi mendatar bunyinya. Hana  kecewa. Dia sangat menyayangi lelaki itu. Tidak pernah terlintas langsung difikirannya yang Rusydi telah berlaku curang kepadanya. Mengambil kesempatan saat ketiadaannya. Hana terasa amat sedih. Hatinya terguris.

“Aku pun baru tahu… tetapi aku sengaja tak nak beritahu kau. Aku tak mahu menambah lagi masalah yang kau hadapi ketika itu. Aku bimbangkan kau Hana. Aku harap kau tak akan marahkan aku sebab sembunyikan pasal kecurangan Rusydi daripada pengetahuan kau,” terang Zana penuh berhati-hati. Dia tidak mahu mengguris hati sahabat baiknya itu dengan pengakuannya sebentar tadi. Sungguh, musibah yang Hana hadapi beberapa hari lalu jauh lebih dahsyat jika nak dibandingkan masalah Hana dengan Rusydi. Jadi, Zana tidak mahu menambah lagi beban yang ada di bahu Hana.

“Tak apalah Zana. Tak usah kau nak rasa bersalah sangat. Aku faham kenapa kau tak beritahu aku. Kalau aku berada di tempat kau pun, aku akan buat perkara yang sama,” bicara Hana tenang walaupun kelopak matanya sudah digenangi air hangat yang bila-bila sahaja akan tumpah ke pipi.
 

        Dugaan demi dugaan terpaksa ditempuhinya. Betapa dia sangat menyayangi Rusydi. Mereka pernah menyulam angan-angan akan mengikat tali pertunangan selepas tamat belajar dan selepas itu berkahwin. Hana tidak pernah terfikir yang hubungan mereka akan terhenti di tengah jalan. Betullah kata orang, kita tidak akan kenal kesetiaan jika tidak pernah diuji. Mungkin Rusydi bukanlah jodoh yang telah ditentukan Allah SWT buat dirinya. Hana menyeka air mata yang mengalir di pipi. Sebolehnya dia tidak mahu menangis, namun kecewa dan sakit hati yang dirasakan gagal menghalang air jernih itu daripada mengalir.

Zana yang sedari tadi mendiamkan diri mengusap belakang sahabatnya untuk menenangkan Hana. Zana mengerti apa yang dirasakan Hana saat ini.

“Kat sini rupanya you all berdua. Jenuh I cari kat perpustakaan tadi,” sapa Haziq sambil menarik kerusi dan terus duduk tanpa dipelawa.

Kedua-dua gadis itu sedikit tergamam dengan kehadiran Haziq yang tiba-tiba. Hana cepat menyeka air matanya. Zana pula tersenyum kelat.

“I ganggu ke?” Haziq bertanya lurus. Baru dapat menangkap situasi mereka saat itu. Seperti terkejut dengan kehadirannya di situ.

Hana tidak menjawab. Zana pula menggeleng-gelengkan kepalanya.


Haziq tersenyum kecil. Dia tahu, kedatangannya menganggu perbualan dua sahabat yang sudah beberapa hari tidak bertemu. Mesti banyak yang hendak dibualkan.

“Hana dah beritahu Zana yang kita nak pergi ke satu tempat? Macam ni, both of you just carry on. Abang pergi ambil kereta kejap,” Haziq minta diri untuk beredar kerana dia sedar kehadirannya di situ ketika itu tidak diundang.

Hana dan Zana mengangguk serentak. Terus bersetuju denga cadangan Haziq tersebut.

“Sebenarnya, ada sesuatu aku nak serahkan pada kau. Tapi aku tak bawa, ada dekat hostel,” ujar Zana apabila dia teringatkan sesuatu yang perlu dia serahkan kepada Hana.

“Apa yang dikatakan sesuatu sangat tu? Banyak rahsia kau sembunyikan daripada aku ni ye,” Hana cuba menduga.

“Aku tak ada sikit pun niat nak sembunyikan apa-apa daripada pengetahuan kau beb, Cuma masa yang tak sesuai untuk aku ceritakan semuanya sekaligus,” Zana cuba memberi penerangan logik.

        Hana menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Kemudian seraya menghirup baki minuman yang ada di hadapannya. Zana juga menurut perbuatan Hana dengan menghabiskan jus mangga yang di pesannya sebentar tadi.

“Chop! Kita nak ke mana sebenarnya ni?” tanya Zana hairan.

Hana menjungkitkan bahunya tanda dia sendiri tidak tahu ke mana Haziq ingin membawa mereka.

“Jom Zana, nanti lama pulak Dr. Haziq tunggu kita,” cadang Hana. Dalam hati Hana tertanya-tanya juga ke mana sebenanrnya arah tuju mereka. Apa yang ada dalam fikiran pensyarah muda itu sukar diramalkan.

“Jom!” Zana sekadar berjalan membontoti Hana menuju ke jalan keluar utama.

Kereta Haziq sudah terpakir di situ menunggu mereka. Hana dan Zana masuk ke dalam kereta dan Haziq terus memandu untuk ke tempat yang ingin dituju. Mereka langsung tidak menyedari ada sepasang mata yang memerhatikan mereka menaiki kereta pensyarah muda itu. Apa yang pasti pemilik sepasang mata itu tidak sempat mendapatkan mereka sebelum kereta Haziq meluncur laju meninggalkan perkarangan universiti tersebut.

Bersambung…

P/s: Jemput baca dan komen ya semua..