FOLLOWERS...

Saturday 19 July 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 22)



Bab 22 

Rusydi bangun dari tidur apabila jam penggera yang disetkan di telefon bimbitnya berdering. Sengaja dia bangun sedikit lewat pagi ini kerana malam tadi dia menelaah pelajarannya sehingga lewat malam. Hari ini pula dia telah berjanji dengan Ameer untuk mengulangkaji bersama-sama di perpustakaan jam 11.00 pagi nanti. Rusydi memerhatikan telefon bimbitnya. Lama. Terfikir di benaknya kenapa sehingga sekarang buah hatinya Hana tidak langsung menghubunginya. Usahkan panggilan telefon, pesanan ringkas juga tidak nampak bayangnya! Macam menanti buah yang tak gugur. Umpama menunggu kucing bertanduk! Adakah Hana sudah tidak ingat lagi padanya?

            Telefon bimbit yang ditenung lama dicapai dan Rusydi mula memeriksa panggilan masuk dan pesanan ringkas yang diterimanya daripada Iffa. Terdapat 32 misscall dan 12 sms. Dia menghela nafas berat dan mencampak telefon bimbit ke atas katil bersebelahan tempat dia berbaring. Seraya tidak berhasrat langsung mahu membaca semua sms daripada Iffa itu. Usahkan membaca, membalas sms Iffa dan menelefon gadis itu juga dia enggan. Biarlah Iffa mahu kata apa sekalipun kepadanya. Rusydi tidak mahu ambil peduli. Apa yang ada dalam benaknya kini adalah Hana. Ya… Hana seorang!

Rusydi bingkas bangun dan duduk termenung sebentar memikirkan Hana. Sungguh, hatinya sangat merindui gadis itu. Ke mana perginya Hana? Ke mana menghilangnya Hana? Adakah Hana sedang menghadapi masalah dan menyembunyikan masalah tersebut daripada pengetahuannya? Ataupun, mungkinkah Hana telah mengetahui hubungannya dengan Iffa? Soalan demi soalan menghimpit fikirannya. Setiap pertanyaan itu pula sehingga kini kekal tiada jawapan. Rusydi buntu memikirkannya. Keadaannya kini seperti permainan Who Wants To Be A Millionaire, meneka tanpa jawapan yang pasti. Dia masih terus-terusan meneka sedangkan mana-mana soalan yang tidak dapat dijawabnya boleh meminta bantuan talian hayat. Ya! Bantuan talian hayat yang dimaksudkan adalah Zana. Kalaulah sejak dua hari lepas lagi dia menelefon Zana untuk bertanyakan khabar Hana, sudah pasti dia tidak penasaran begini. Salah dia juga kerana terlalu ego untuk menelefon Zana.

Telefon bimbit yang dicampak ke sisi tadi dicapai semula dan digenggam erat dalam telapak tangan kanannya. Rusydi masih berkira-kira untuk menelefon Zana. Beberapa minit kemudian, dia meletakkan semula telefon bimbit tersebut di sisinya. Seraya terus bangkit lalu mencapai tuala untuk menyegarkan diri di bilik mandi. Niat untuk menghubungi Zana dibantutkan. Dia bercadang mahu menelefon Zana setibanya di kampus nanti. Manalah tahu Zana berada di kampus, boleh terus ajak Zana minum pagi sekali sambil bersoal jawab tentang Hana. Sungguh… rindu yang menghimpit dadanya tidak dapat dibendung lagi. Sehari dua ini, wajah Hana sentiasa bermain di ruangan matanya. Rusydi nekad, hari ini dia mesti berterus-terang dengan Iffa dan memutuskan hubungan dengan pelajar jurusan kejururawatan tersebut. Dia tidak mahu ambil peduli apa reaksi Iffa nanti, yang pasti tidak mungkin Rusydi sanggup kehilangan Hana jika nak dibandingkan dengan Iffa. Tidak mungkin!

******************************
            Hari sudah menginjak petang, namun Farihah masih belum beranjak kedudukannya daripada sofa di ruang tamu rumah teres dua tingakat milik babah dan umminya. Sudah beberapa hari dia bermalas-malasan sebegitu. Setelah berjaya menamatkan pelajaran dalam jurusan perundangan, buat seketikan dia berasa hidupnya bebas dan dia mahu menikmati hidup bersenang-lenang sementara dia belum mula bekerja. Nasihat uminya setiap hari umpama masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Namun, apabila sudah beberapa hari berkeadaan sangat tidak produktif sebegitu, dia pula mula naik bosan. Farihah merasakan sesuatu harus dibuat! Ya… perkara pertama yang ingin dilakukannya ialah berjumpa dengan abang iparnya, Haziq Imran. Sudah lama sangat dia teringin bersua muka dengan lelaki yang berjaya memiliki hati kakaknya Qistina Farwizah. Berdasarkan gambar dalam simpanan umi dan babah, Haziq sememangnya seorang yang kacak!

            Pada mulanya dia bercadang mahu ke Kuala Lumpur pada minggu hadapan, tetapi Farihah merasakan dia perlu mengubah pelan yang sedia ada. Dia baru teringat yang umi pernah bercerita padanya tentang latar belakang keluarga Haziq. Mama Haziq seorang peguam terkenal dan memiliki sebuah firma guaman. Jadi, dia mahu mengambil peluang ini untuk ke Kuala Lumpur. Kini dia mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk ke sana. Dia mahu memohon kerja di firma guaman tersebut. Andai tidak mendapat pekerjaan di situ sekalipun, dia tidak kisah jika menjadi pelajar praktikal di salah sebuah firma guaman tersohor di Kuala Lumpur itu. Dia mahu menimba pengalaman dalam bidang perundangan serta mengetahui selok-belok proses perbicaraan sebenar. Kalau tidak, sia-sia sahaja segulung ijazah bidang guaman yang dimilikinya selama ini. Seraya yakin yang umi dan babah pasti tidak akan menghalang niat baiknya itu. Dalam pada masa yang sama, dia boleh menjalankan pelan untuk merealisasikan wasiat Qistina Farwizah kepadanya. Orang tua-tua kata, sambil menyelam minum air!

            Farihah memerhatikan nama dan nombor telefon Haziq yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Dia berkira-kira mahu menelefon Haziq. Tetapi, tidak tahu mengapa, hatinya berat hendak menghubungi abang iparnya itu. Dia berasa gemuruh. Dia cuba menekan punat ‘call’ kemudian dia menamatkan semula talian yang belum pun sempat bersambung. Kenapa dengan aku ni? Takkan belum bersua muka dah jatuh hati kot? Bisik Farihah dalam hati. Lebih baik dia meminta bantuan ummi. Itu lebih baik. Senyuman kecil terhias di wajahnya. Seraya bangkit dari duduknya dan melangkah menuju ke dapur. Setibanya di dapur, kelihatan uminya tengah sibuk menguli tepung.

“Umi, boleh tolong Ari tak?” soal Farihah sebaik menjengul muka di sebalik cabinet di dapur.

Hajah Halimah yang leka menguli tepung sedikit tersentak dengan kedatangan Farihah yang secara tiba-tiba. Semerta, tangannya yang ligat bekerja sebentar tadi terhenti apabila mendengar permintaan anaknya Farihah. Mana tidaknya, sudah berjam-jam berada di hadapan televisyen, tiba-tiba muncul dan meminta bantuan daripadanya.

“Ish… mengejutkan umi saja. Ada apa sayang?” ujar Hajah Halimah ingin tahu.

Farihah tunjuk muka kesian kepada uminya. Dia selalu menggunakan taktik sebegitu jika inginkan sesuatu dan kebiasaannya taktik itu berhasil!

Hajah Halimah menjuihkan bibirnya seakan mengejek Farihah. Dia sudah sedia maklum dengan memek muka yang ditayangkan satu-satunya anak perempuan yang dia punya sejak pemergian Qistina Farwizah. Apa pula permintaan Farihah kali ini.

“Erm… Ari nak minta tolong umi hubungi abang Haziq. Ari nak bincang dengan dia soal kerja. Manalah tahu kalau dia boleh tolong rekomenkan Ari bekerja di firma guaman mama dia,” ujar Ari penuh mengharap. Seulas senyuman manis terukir dibibir.

“Umi kan sibuk, tengah buat kuih ni Ari.”

“Ala… bolehla umi.”

“Kenapa Ari tak nak telefon dia sendiri? Nak jugak mengacau umi kat dapur ni.”

“Ari seganlah umi, lagipun Ari kan belum pernah kenal dia. Lainlah kalau Ari dah pernah jumpa dia, tak adalah segan sangat,” Farihah beralasan. Kali ini umi mesti membantunya.

“Apa yang nak disegankan? Haziq tu baik orangnya, berbudi bahasa, takkanlah dia nak marahkan Ari tak tentu pasal,” tambah Hajah Haimah untuk menyedapkan hati anaknya.

“Macam ni, umi telefon Abang Haziq dan sembang dengan dia dulu. Lepas tu, baru bagi telefon pada Ari, boleh macam tu umi? Please…,” Ari separa merayu.

“Hm… ye lah. Tapi, tunggu umi basuh tangan dulu,” Hajah Halimah mula mengalah dengan permintaan anak kesayangannya.

Setelah membasuh dan mengesat tangannya di tuala berdekatan sinki, Hajah Halimah mencapai telefon bimbit yang dihulurkan Farihah kepadanya. Punat ‘call’ ditekan dan Hajah Halimah menunggu panggilan disambungkan.

“Assalamualaikum umi. Apa khabar?” Haziq memberi salam sopan.

“Waalaikummussalam Haz. Umi dan babah kat sini sihat. Ari pun sihat. Haz kat sana sihat? Lama umi tak dengar khabar Haz,” bicara Hajah Halimah ramah.

“Alhamdulillah, Haz sihat umi. Ari dah balik Malaysia ke umi?,” Haziq tidak mahu umi tahu keadaannya sekarang. Dia tak mahu membuatkan ibu mertuanya bimbang. Umi telah Haziq anggap seperti ibunya sendiri sejak dia berkahwin dengan gemulah isterinya. Ibu dan bapa isterinya adalah ibu dan bapanya juga.

“Haah. Baru lagi, belum masuk 2 minggu pun.”

“Maafkan Haz umi, lama Haz tak telefon atau balik ke sana jenguk umi dan babah. Kebelakangan ni Haz sibuk sikit. Maklumlah, pelajar dah nak menduduki peperiksaan,” Haziq memberi alasan jujur. Tercuit rasa bersalah dalam hatinya kerana sudah lama tidak bertanya khabar dan menziarahi umi dan babah.

“Tak apa Haz, umi faham. Jangan simpan rasa bersalah pulak dalam hati tu. Umi telefon ni ada hal nak cakap. Si Ari ni nak bercakap dengan Haz, tapi dia segan. Jadi dia mintak umi yang telefon Haz sebab…” kata-kata Hajah Halimah tergantung kerana Farihah mencuit bahunya dan memberi isyarat agar Hajah Halimah tidak meneruskan kata-katanya.

Hajah Halimah menekup telefon bimbit tersebut agar bicara dia dengan Ari tidak didengari Haziq.

“Kenapa umi cakap macam tu pada abang Haz?” Ari membantah.

Haziq pula menanti dengan sabar dihujung talian apa yang ingin disampaikan ibu mertuanya kepadanya.

“Maaf ye Haz, Ari nak bercakap dengan Haz,” Hajah Halimah bersuara beberapa saat kemudian.

“Baiklah, umi,” jawab Haziq pendek.

Telefon bertukar tangan.

“Assalamualaikum Abang Haz… ni Ari,” Farihah memperkenalkan diri.

“Waalaikummussalam… Adik abang apa khabar?” Haziq bertanya khabar adik ipar yang belum pernah bersua muka dengannya. Suara Ari mirip Izah. Terdetik kata-kata itu dalam hati Haziq. Namun, tidak terlahir keluar melalui mulutnya.

Haziq terdiam seketika. Tiba-tiba teringatkan arwah isterinya apabila mendengar suara Farihah sebentar tadi. Suara mereka hampir sama, yang berbeza cuma intonasi suara. Qistina Farwizah mempunyai intonasi suara yang lebih lemah lembut manakala Farihah kedengaran agak tegas.

“Ari sihat alhamdulillah. Ari ada sesuatu nak mintak tolong abang Haz.”

“Apa dia Ari? Beritahu abang, jangan malu-malu. Abang anggap Ari macam adik abang sendiri.”

“Er… Ari nak mintak abang tolong carikan kerja untuk Ari. Ari teringin sangat nak bekerja di firma mama abang. Kalau tak diterima kerja pun tak apa, dapat pengalaman kerja beberapa bulan pun dah cukup. Ari nak cari pengalaman,” jelas Ari jujur.

Kedengaran ketawa kecil di hujung talian.

“Itu je? Ingatkan apa la yang susah sangat nak cakap tadi. Kalau macam tu, nanti abang tanyakan pada mama. Memang sejak kebelakangan ini dia agak sibuk, manalah tahu dia perlukan pekerja kan?” Haziq terus bersetuju ingin membantu Farihah mencari kerja di firma guaman mamanya. Lagipun baginya, Farihah bukan orang lain. Adik arwah Farwizah.

“Maaflah kalau Ari menyusahkan abang Haz…”

“Tak ada apa yang nak dimaafkan, kalau ada berita gembira nanti abang beritahu Ari. Tapi, bila Ari nak datang KL? Abang nak tahu juga bila anggaran Ari boleh mula berkerja,” Haziq berbual ramah seperti mereka sudah pernah mengenali antara satu sama lain.

“Ari cadang nak datang hujung minggu ni. Tapi Ari kena mintak izin babah dulu, kalau jadi Ari akan beritahu abang ye,” Ari memberi jawapan tidak pasti. Bukan apa, dia bimbang babahnya tidak bersetuju dengan cadangannya.

“Betul tu, restu umi dan babah penting dalam kejayaan kita sebagai anak, Tanya pendapat umi dan babah dulu. Sebelum tu, nanti email pada abang resume Ari untuk abang serahkan pada mama. Mama suka sesuatu yang detail, jadi lebih baik sediakan sebelum dia minta. Betul tak?” Haziq menyelit sedikit nasihat buat Ari dalam bicaranya walaupun kedengaran bersahaja.

“Terima kasih banyak abang Haz, kalau ada apa-apa Ari akan maklumkan pada abang. Assalamualaikum,”  Farihah menamatkan perbualan. Bukan tidak mahu berbual lama, tetapi dia tidak punya topik yang menarik untuk dibualkan. Simpan semua apabila berjumpa dengan Haziq nanti. Bimbang pula kali pertama berjumpa tiada tajuk yang nak dibualkan.

“Waalaikummussalam… sama-sama. Jangan lupa kirimkan salam abang pada umi dan babah. Insyaallah… kalau abang ada masa nanti, abang balik kampung jenguk umi dan babah,” Haziq sempat menitipkan salam buat ibu dan bapa mertuanya. Talian dimatikan dari pihak sana. Haziq terus meletakkan telefon bimbitnya di sisi dan melemparkan senyuman manis kepada seorang wanita cantik yang berusia lebih separuh abad yang baru melangkah masuk ke biliknya.

“Assalamualaikum my dear,” sapa Datin Zahirah sebaik melangkah masuk ke bilik pesakit bernombor 122 yang menempatkan anak keduanya Haziq Imran.

“Waalaikummussalam mama… jemput duduk ma. Kan Haz dah bagi tahu dalam telefon tadi Haz ok. Esok dah boleh balik dah. Bukannya serius mana pun, buat susah mama je datang jauh-jauh macam ni,” Haziq tidak mahu membuat mamanya bimbang.

“Mana susahnya, untuk anak-anak mama tak ada yang dinamakan susah. Lagipun, bukan mama yang pandu kereta. Pak Samad yang hantarkan,” seraya melabuhkan punggung di tempat duduk pelawat yang disediakan bersebelahan katil pesakit.

Kedengaran pintu diketuk beberapa kali daripada luar. Setelah mendengar kebenaran masuk daripada dalam, Hana melangkah perlahan. Dia sedikit terkejut kerana Haziq ada tetamu. Mana tidaknya, sejak malam tadi hanya dia yang menjaga Haziq di bilik itu. Hana melemparkan senyuman sebaik dia dan wanita bergaya elegan yang duduk berdekatan Haziq bertembung pandang. Wanita tersebut turut membalas senyumannya. Wanita di hadapannya ini masih anggun bergaya walaupun pada tekaan Hana umurnya mungkin sudah menginjak 50-an. Buat seketika Hana tidak dapat melarikan pandangannya. Pastinya ini ibu Dr. Haziq. Hana meneka di dalam hati.

“Mama, ini Hana. Dan Hana, ini mama abang,” Haziq memperkenalkan kepada Hana kepada mamanya.

Dah agak dah. Hana mengiakan di dalam hati. Pantas Hana menghulurkan tangan untuk bersalam dengan mama Haziq. Sememangnya dia telah dididik untuk menghormati orang yang lebih tua tidak kira di mana dia berada. Jati diri yang telah diterapkan oleh ibu bapanya sejak kecil telah menjadi sebati dalam dirinya.

“Ini adik angkat yang Haz ceritakan pada mama tu ye? Manis orangnya,” puji Datin Zahirah.

“Ha’ah mama, inilah orangnya. Cantik kan?”, celah Haziq mengusik.

“Janganlah cakap macam tu Datin. Jangan percaya cakap Doc ni. Saya budak kampung je Datin,” Hana mulai segan. Malu pun ada. Macam mana nak cover ni? Bisik Hana di dalam hati.

“Mama cakap apa yang betul je. Tak terpengaruh dengan Haziq ni pun. Lagi satu, tak usah nak berdatin-datin. Panggil mama je cukup, senang kan?,” bicara Datin Zahirah jujur. Memang pada pandangannya wajah Hana manis dan sejuk dipandang. Dia lebih suka Hana menggelarkan dirinya mama kerana Haziq juga memanggilnya begitu.

            Bertemu Hana membuatkan naluri keibuannya terkenangkan gemulah anaknya Haseena yang telah pergi mengadap Ilahi setahun yang lalu kerana menderita penyakit kanser darah atau dikenali leukemia. Seorang anak yang periang dan selalu menghiburkan keluarga dengan tingkah-lakunya. Suka mengusik dan berjenaka. Tetapi akan cepat merajuk apabila dia diusik abang-abangnya. Gemulah paling rapat dengan Haziq. Pemergiannya seperti telah meninggalkan satu ruang kosong di hati seluruh ahli keluarga. Awalnya, Datin Zahirah terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa anak bongsu kesayangannya juga merupakan anak perempuan satu-satunya telah pergi meninggalkan dia buat selama-lamanya. Ibu mana yang ingin melihat anak yang dikandung dan dilahirkan pergi dahulu mengadap Yang Maha Pencipta. Namun, dia harus redha dengan ketentuan Ilahi. Sesungguhnya mati itu adalah sesuati yang pasti. Tiada manusia di dunia yang terkecuali daripada menempuh kematian. Yang membezakan hanyalah sama ada cepat atau lambat.

            Pemergian Haseena memberi satu tamparan hebat buat Datin Zahirah. Hampir seminggu selera makannya hilang dan dia mengalami demam panas kerana terlalu rindukan anak bongsunya itu. Mujurlah Datuk Mahfudz dan Haziq segera membawanya berubat di Pusat Perubatan Islam Darussyifa’ untuk memulihkan kembali semangatnya. Dan alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T. , dia sembuh dan semangatnya kembali pulih. Sejak itu Datin Zahirah menyibukkan dirinya dengan kes-kes mahkamah agar dia tidak terlalu mengikut perasaan memikirkan kepergian Haseena.

Hana menghadiahkan sebuah senyuman manis apabila mendengar kata-kata Datin Zahirah. Segan sungguh dibuatnya. Dia tidak menyangka semudah itu penerimaan Datin Zahirah terhadap dirinya. Sikap Datin Zahirah yang mudah mesra dan tidak sombong itu serta-merta menangkis pandangan Hana terhadap golongan elit sebelum ini. Selama ini Hana menyangka golongan elit selalu memandang rendah kepada orang miskin, sombong serta memilih bulu dalam pergaulan mereka. Ternyata hari ini pandangannya sebelum ini meleset sama sekali. Keikhlasan, kelembutan, sifat keibuan dan ketinggian budi pekerti jelas terlihat pada peribadi wanita di hadapannya ini. Hana berasa kagum.

“Mama nak tanya, kenapa ada dua orang polis berhampiran bilik Haz? Masa mama nak masuk bilik Haz tadi dia tanya apa hubungan mama dengan Haz. Siap mintak kad pengenalan diri lagi. Kebiasaannya polis akan berjaga jika ada penjenayah berbahaya yang dimasukkan ke hospital atau pun melindungi keselamatan seseorang daripada penjenayah. Ada kes ke area sini?,” soal Datin Zahirah meminta kepastian. Hatinya turut dipagut rasa bimbang yang mendalam. Sungguh hatinya terasa tidak enak sejak tadi. Tambah pula Haziq belum menceritakan apa-apa kepadanya di dalam telefon pagi tadi.

Haziq dan Hana terdiam mendengar soalan yang terpacul dari mulut Datin Zahirah. Mereka memandang sesama sendiri. Otak Haziq berpusing ligat mencari jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada mamanya. Jika dia memberitahu hal sebenar, pasti mamanya akan bimbang dan Haziq khuatir mamanya tidak bersetuju dengan keputusannya untuk melindungi Hana. Haziq buntu memikirkan apakah jawapan yang mesti diberikan kepada mamanya.

Bersambung….=)

p/s : eira sangat mengalu-alukan komen drpd pembaca semua untuk eira improve kelemahan yang ada. Komenlah apa yang anda semua rasakan samada membina atau dalam bentuk kritikan..tq..=)

No comments:

Post a Comment