FOLLOWERS...

Thursday 13 March 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 17 - Part 1)

Assalamualaikum semua...maaf di atas kelewatan en3 bab 17. Ada sedikit masalah teknikal. Atas permintaan semua, eira up dulu Bab 17 Part 1, boleh ke mcm tu ye? aci tak? Eira akan up en3 part 2 bab 17 secepat yang mungkin...sabar taw.. For the time being, enjoy this part n i'll up d remaining part soon..will try very hard to up the en3 this weekend...enjoy!!

Bab 17 : Bahagian 1

            Hana termenung memerhatikan titisan-titisan air yang jatuh dari cucuran atap rumahnya. Hatinya dirasakan amat sunyi. Sunyi tanpa kehadiran insan yang bergelar ibu dalam hidupnya kini. Sejak peristiwa malang beberapa hari lalu, Hana banyak termenung dan mendiamkan diri. Hidupnya kini telah berubah 180 darjah. Malapetaka yang menimpa diri dan ibunya seolah-olah telah merenggut pergi kebahagian dan ketenangan dalam jiwanya. Tiada lagi senyuman, tiada lagi gurau senda dan tiada lagi gelak tawa ibu yang setia menemaninya di sisi di saat suka dan duka. Segala-galanya telah hilang. Hilang bersama pemergian insan yang disanjung tinggi. Insan bergelar ibu. Hana teringat kata-kata Ustaz Abdul Rahim semasa dia di tingkatan lima.
“Para pelajar, harus diingat! Hormatilah ibu kamu, dialah yang telah membesarkan, menjaga, mendidik dan insan yang telah melahirkan kamu ke dunia yang fana ini. Tanpa seorang yang bergelar ibu, kamu tidak akan berada di hadapan saya seperti hari ini. Doa yang amat tinggi darjatnya di sisi Allah SWT ialah doa seorang ibu. Perginya ibumu, bererti tiada lagi satu keberkatan di sisi Allah SWT iaitu doa seorang ibu.
            Nasihat Ustaz Abdul Rahim terngiang-ngiang di telinganya. Baru kini dia merasakan perasaan tersebut. Pedih. Pilu. Teramat sedih. Hana memerhatikan pondok usang di tepi sawah yang menjadi kegemaran dia dan ibunya bersantai setiap petang. Bergurau-senda dan berbual pelbagai cerita. Lazimnya, topik yang dibualkan berkisar tentang kenangan manis bersama gemulah abah. Bercerita sambil menjamah pisang goreng atau kuih seri muka kegemarannya beserta seteko kopi panas. Kini, segalanya sudah menjadi kenangan. Memori indah yang tidak mungkin berulang lagi dalam hidupnya. Hana tertunduk merenung ke tanah. Air mata yang mengalir di pipi diseka perlahan dengan hujung jemarinya. Sesungguhnya, dugaan dan ujian Allah S.W.T. ini dirasakan terlalu berat untuk ditanggung. 
            Pemergian Mak Ton memberi tamparan hebat bagi Hana. Hatinya disayat pilu saat mengiringi ibu tercinta ke tempat persemadian. Lebih nyeri di dalam hati apabila melihat jenazah ibunya di bawa turun ke liang lahad. Pergi sudah ibu kesayangannya. Baru semalam mereka berborak dan bergurau senda. Hana tidak menyangka segala pesanan ibunya kelmarin merupakan pesanan yang terakhir. Kuih seri muka yang dijamahnya kelmarin juga merupakan masakan terakhir Mak Ton untuk dirinya. Buat kesekian kalinya, air mata Hana berjujuran mengalir laju. Hana hanya membiarkan tanpa sedikit pun usaha mahu menghapuskan air jernih yang gugur membasahi tudung dan bajunya itu. 
“Mak, abah…kenapa tinggalkan Hana sendirian. Hana rindukan Mak dan abah”, bergetar bibir Hana melafazkan kata-kata tersebut. Perlahan dan penuh sayu.
Gemulah abah pernah berpesan setiap kali Hana menghadapi masalah. “Bersabarlah apabila ditimpa musibah dan cabaran, sebab Allah SWT sedang menguji kita. Bersyukurlah apabila Hana diuji, kerana Hana telah dipilih oleh-Nya untuk menerima ujian tersebut. Setiap ujian dan dugaan yang diberi adalah untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita kepada-Nya. Jadilah seorang hamba yang bersyukur kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya”, itulah pesan abah yang masih diingati Hana sehingga ke hari ini.
            Tanpa Hana sedari, ada sepasang anak mata yang memerhatikan segala tingkah-lakunya sejak tadi. Haziq sekadar menjadi pemerhati. Sengaja dia membiarkan Hana bersendirian melayan perasaan. Biarlah Hana menangis semahunya sekarang. Biarkan Hana melepaskan segala kesedihan yang terbuku dihatinya. Bagi Haziq, tangisan merupakan terapi terbaik merawat luka dan kesedihan di dalam jiwa. Haziq pernah merasai perkara yang sama ketika kehilangan Qistina Farwizah beberapa tahun dahulu. Kesedihan dan kelukaan yang hampir membuatkan dia hilang arah. Ketika itu, Haziq seolah-olah merasakan tiada lagi sebab untuk dia meneruskan hidupnya.
            Namun, manusia hanya merancang, Allah S.W.T. jualah sebaik-baik perancang. Maha Suci Allah telah menggerakkan hati Haziq untuk bertemu Ustaz Mustafa, pensyarah kanan yang bertugas di universiti tempat Haziq belajar. Atas nasihat Ustaz Mustafa, Haziq mengubat kesedihan dan lara hati dengan cara mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Haziq banyak bertalaqi dari seorang guru ke seorang guru. Dari situ, dia mendapat ketenangan jiwa dan mempelajari cara mengawal emosi dan perasaan sedih yang membelenggu jiwa. 
Sesungguhnya, Haziq merasakan kasih sayang Allah SWT itu terlalu besar buat dirinya. Allah SWT masih memberi dia peluang untuk bertaubat dan berubah ke jalan kebaikan, jalan yang diredhai oleh-Nya. Haziq menyesali segala kejahatan dan segala jenayah yang pernah dilakukannya dulu. Dia sentiasa berusaha melupakan segala kekhilafannya, kerana itu dia memilih untuk menjadi pensyarah. Dia mahu membimbing para pelajarnya ke jalan yang benar.
“Kopi, doc”, Zana menghulurkan secawan kopi panas kepada pensyarahnya.
            Haziq tersentak dari lamunan yang panjang apabila Zana menegurnya sambil menghulurkan secawan kopi panas. Seraya menarik nafas panjang dan menghelanya perlahan-lahan.
“Thanks, Zana”, ucap Haziq sambil mengangkat sedikit cawan kopi tersebut memberi isyarat ke arah Zana yang kini baru mengambil tempat bersebelahan Hana di beranda rumah.
Zana membalas dengan memberi isyarat ‘ok’ dengan jemari tangan kanannya.
Zana meraih jemari Hana perlahan dan menggenggamnya  erat. Seraya kemudian memeluk bahu sahabatnya untuk memberi semangat kepada Hana sekaligus memberitahu secara tak langsung bahawa dia akan sentiasa berada di sisi untuk menemani Hana melalui saat-saat getir ini. Hana hanya terdiam. Cuma Zana dapat merasakan esak tangisnya semakin mereda.
            Haziq pula mulai menghirup perlahan-lahan kopi panas tersebut. Terasa enak sungguh menikmati secawan kopi panas di kala hujan begini. Terimbau kenangan menikmati kopi panas bersama gemulah Pak Kamal di dalam pondok di tepi sawah kala hujan seperti ini. Apabila terkenangkan Pak Kamal, mengingatkan Haziq kepada tanggungjawabnya terhadap Hana. Hana sudah tiada sesiapa lagi untuk bergantung harap melainkan dirinya.
“Im akan jaga amanah abah dan mak sebaik mungkin”, ikrar Haziq di dalam hati.
           
******************************************************
Datuk Mahfudz menghempaskan sebuah fail di atas meja. Bunyi kuat bergema seluruh biliknya apabila fail kulit keras berwarna hitam itu mengenai permukaan meja kaca Datuk Mahfudz. Air muka lelaki berusia lebih 60-an itu jelas menunjukkan tahap kemarahan yang dipendam saat ini. Seraya melepaskan satu keluhan berat bercampur amarah. Berlaku ketirisan wang dalam jumlah yang besar dalam salah satu projek syarikatnya di Langkawi. Dalam bulan ini sahaja, sudah dua kali kejadian ini berlaku. Kali ini melibatkan sejumlah wang yang lebih besar iaitu RM 450 000. Kedua-dua projek yang bermasalah ini dikendalikan oleh anak sulungnya, Haiqal.
Datuk Mahfudz menekan punat intercom memanggil setiausahanya, Mei Ling untuk masuk ke ruangannya segera.
“Mei Ling, come in!”, nada suara yang dikeluarkan Datuk Mahfudz dapat dibaca oleh Mei Ling dengan mudah. Pastinya Datuk Mahfudz tengah nai berang sekarang ini.
“Baik, Datuk”, semerta Mei Ling memberi jawapan sambil tangannya pantas mencapai sebatang pen dan buku nota di atas meja. Seraya terus bergegas ke bilik Datuk Mahfudz.

Mei Ling mengetuk pintu dua kali sebaik tercegat di hadapan pintu bilik Datuk Mahfudz.

“Masuk!”, kedengaran Datuk Mahfudz memberi arahan dari dalam.
            Mei Ling memulas tombol pintu dan melangkah masu berhati-hati. Dia bimbang, andai tersilap langkah, silap hari bulan boleh mengundang amukan dari majikannya itu. Seraya berhenti melangkah dan berdiri tidak jauh dari meja Datuk Mahfudz untuk menunggu arahan seterusnya.
“Tolong ambil semua fail-fail berkaitan usahasama MA Holdings dan Sejati Sdn. Bhd. I nak semua fail-fail tu tanpa satu pun tertinggal. Kemudian, you panggilkan Haiqal masuk sekarang juga!”, Datuk Mahfudz terus memberikan arahan tanpa sempat Mei Ling bertanya.

“But Datuk, Encik Haiqal was not around. He went to Langkawi due to your order yesterday”, beritahu Mei Ling jujur.
Datuk Mahfudz mendengus kasar. Salah dia juga kerana mengarahkan Haiqal melawat tapak projek kerana ada sedikit salah faham dengan pembekal. Datuk Mahfudz menghantar Haiqal ke sana untuk mewakili dirinya bagi menyelesaikan masalah berkaitan bekalan pasir yang tiba lewat. ‘Kalau Haziq bersetuju untuk membantu di pejabat, pasti segalanya takkan jadi macam ni’. Getus Datuk Mahfudz dalam hati.
“Dia ada bagitahu you tak bila dia balik?”, soal Datuk Mahfudz kemudian.
“Maaf Datuk, Encik Haiqal tiada maklumkan apa-apa pada I”, Mei Ling menjawab serba salah.
It’s ok. You may go now. Don’t forget to bring all the files that I requested just now!”, arah Datuk Mahfudz sebelum Mei Ling melangkah keluar.
Mei Ling sekadar mengangguk dan menutup perlahan daun pintu.
**********************************

Karl membetulkan kaca mata hitam yang dipakainya. Sebatang rokok yang disisip di celahanjari tangan kanannya di sedut dan dilepaskan.
“Come on Tiger, tak kan budak Hana tu pun kau tak boleh handle? Susah sangat ke?”, soal Karl seperti memandang rendah kebolehan Tiger.
Tiger melepaskan keluhan kecil sebelum menjawab pertanyaan Karl.
“Bukan Hana masalah aku Karl, Zeeq yang buat kacau! Ke mana sahaja budak Hana tu pergi, ada sahaja Zeeq mengekori. Tambah pulak sekarang ni informer aku bagi tahu, kes aku tikam mak Hana tu dah jadi kes polis. Si jahananm tu yang buat report”, Tiger beralasan.
Karl tayang senyum sumbing. Seraya menyandarkan tubuhnya ke sofa empuk berwarna coklat miliknya. Tempat tersebut sememangnya menjadi tempat kegemarannya dikhaskan untuknya sebagai pemilik pub tersebut.
“Aku rasa, buat masa sekarang ni kau jangan keluar di khalayak ramai. Nanti tak pasal-pasal lagi cepat kau ke dalam. Kau pernah ceritakan pada aku pasal si Idzham tu kan? Inilah masanya kau gunakan dia cukup-cukup. Budak terdesak macam tu akan buat apa sahaja asalkan nyawa dia selamat! Hahaha!”, Karl mengakhiri bicaranya dengan ketawa berdekah-dekah sambil menepuk bahu Tiger beberapa kali.
“Kau tak payah nak ajar aku, memang itu pun yang aku rancangkan! Kalau rancangan aku ni gagal dan si Idzham tu buat hal, aku bunuh dia!”, Tiger mengepalkan penumbuk dan mensasarkan kea rah meja di hadapannya. Bergoyang-goyang meja dan segala benda yang berada di atasnya.
Karl menyambung tawa yang masih bersisa. Bagi Karl, sekarang bukanlah masa yang sesuai untk dia bertindak. Dia mahu Tiger selesaikan segalanya sendirian. Seandainya Tiger gagal juga mendapatkan Hana, ketika itu barulah dia bertindak. Tetapi untuk menunjukkan dirinya yang sebenar di khalayak ramai, ini bukanlah masa yang sesuai.

“Bagi aku sedikit masa lagi Karl, aku akan dapatkan Hana dan Idzham”, Tiger seakan berjanji.

Bersambung….

2 comments:

  1. Adakah Karl & Haiqal org yg sama?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sis misz Zazaa...kena tunggu tu...nanti xsaspen pula kalau eira jawab sekarang..(^_^)

      Delete