FOLLOWERS...

Wednesday 31 July 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 8)



BAB 8



“Baca surat ni Hana”, Haziq seolah-olah memberi arahan kepada pelajarnya yang masih teragak-agak untuk membuka warkah yang dihulurkannya.

Hana makin tidak mengerti. Apa kaitannya arwah abah, Dr. Haziq dan mak dengan surat ini? Kenapa kerana surat yang berada ditangannya itu membawa Dr. Haziq jauh hingga ke rumahnya? Hana memandang surat di tangannya. Seraya membuka sampul coklat muda itu dan mengeluarkan lembaran putih yang ada di dalamnya. Kemudian, tangannya pantas membuka lipatan warkah tersebut. Riak wajah Hana sedikit terkejut. Dia kenal benar dengan tulisan tangan tersebut. Ya, benar…tulisan Abah….orang yang sangat dirinduinya. Hana memandang sekilas ke arah Haziq sebelum memulakan bacaan. Nyata, pensyarah muda dihadapannya itu tidak menipu. Memang surat daripada arwah abah. Haziq hanya melemparkan segaris senyuman dan mengangguk saat mereka bertembung pandang.

Hana khusyuk mengadap warkah di hadapannya. Dia membaca setiap bait-bait yang terkandung di dalam surat tersebut. Haziq sekadar menjadi pemerhati sedari tadi. Dia menunggu dengan sabar reaksi Hana terhadap isi kandungan surat tersebut. Air mata Hana bergenang. Rindu terhadap arwah abahnya menggamit jiwa. Baru dia mengerti dengan kehadiran Haziq hari ini. Seraya menyeka air mata yang mula tumpah dari kelopak matanya. Kemudian dia melipat kembali warkah tersebut dan menghulurkannya kepada Haziq.

“Patutla saya tak ingat apa-apa berkaitan Dr., saya tiada di sini ketika itu dan kita pun belum pernah bertemu”, ujar Hana perlahan.

“Ha’ah, seingat I, ketika itu you berada di sekolah asrama penuh. Eh, letihla nak ber I dan ber you. Hana boleh panggil saya abang Im macam yang mak cadangkan”, Haziq menyuarakan cadangannya.

Hana mendiamkan diri. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Fikirannya melayang teringatkan arwah abah.

“Ketika itu abang mengalami kemalangan jalan raya tidak jauh dari susur masuk ke Ulu Bernam. Syukurlah kerana Allah SWT telah mengutuskan seorang insan sebaik bapa Hana untuk membantu abang. Bukan sahaja abang terhutang budi, malah abang terhutang nyawa”, Haziq menerangkan bagaimana dia boleh sampai ke Kg. Sg. Haji Dorani ini.

“Tapi…apa yang saya tak faham, kenapa abah titipkan Hana dan mak pada Dr.? Kami kan boleh hidup sendiri seperti biasa?”, Hana mempersoalkan wasiat terakhir abah kepada Haziq. Sungguh dia tidak faham. Dia tahu bagaimana perangai abangnya, tetapi dia yakin tidaklah setahap mahu mengorbankan dia dan ibunya.

“Mesti ada sebab yang kita tidak tahu atau belum tahu? Mungkin sebab musabab itu hanya abah sahaja yang tahu. Dan yang pasti abang kembali ke sini demi wasiat abah”, Haziq cuba meyakinkan Hana.

Hana akui, kata-kata Haziq ada benarnya. Mungkin juga abah berpesan seandainya terjadi apa-apa pada Hana dan ibunya, mereka masih ada tempat bergantung. Dahan untuk berpaut.

“Tetapi..saya tak faham kenapa arwah abah dan mak tak pernah langsung menceritakan perihal Dr. kepada saya?”, Hana menyuarakan kemusykilan yang masih bersarang di hatinya.

Haziq menarik nafas panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan Hana.

“Salah abang. Kami sudah lama tidak berhubung kerana abang melanjutkan pelajaran ke Mesir. Abang ikut nasihat yang mak dan abah berikan untuk melanjutkan pelajaran ke sana. Abang juga banyak mempelajari ilmu agama di bumi anbiya’. Sebab itulah abang katakana tadi, jasa mak dan abah Hana terlalu besar dalam hidup abang. Seingat abang, mungkin sudah 3 atau 4 tahun lebih kami tidak berhubung”, jelas Haziq panjang lebar.

Hana mengangguk tanda faham.

“Usah kita persoalkan urusan takdir. Segala yang berlaku dalam hidup kita pasti ada sebab musababnya. Mungkin benar kata abah, perkenalan abang dengan abah Hana sudah ditakdirkan. Ada sebab disebalik insiden yang berlaku pada Hana tempoh hari hingga kita dipertemukan. Dan….kerana warkah ini abang kembali ke sini”, ujar Haziq bersahaja, namun mempunyai maksud yang mendalam.

Dalam hati, Hana mengiakan segala yang dituturkan Haziq. Tetapi sejauh manakah dia dan ibunya boleh mempercayai kata-kata pemuda di hadapannya ini. Baginya, pensyarahnya itu tetap orang asing yang baru dikenalinya. Bolehkah dia bergantung harap terhadap lelaki itu? Soalan demi soalan menerjah masuk ke benaknya. Tapi soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Hana mahukan jawapan yang pasti dan biarlah masa yang menentukan segalanya.

“Hana tak percayakan abang? Kan?”, Haziq seakan dapat membaca riak wajah yang Hana pamerkan.

“Bukan macam tu doc, semuanya berlaku terlalu mendadak. Rasa macam tak percaya. Ye la, last week saya terjumpa Dr. masa nak pergi kelas Dr. Mursyid. Pastu siap eksiden dengan Dr. lagi. Pastu eksiden pula kali kedua dengan kereta Dr. sampai lutut saya luka dan kena jahit. Pastu insiden pagi tadi yang menyebabkan siku saya yang dah nak baik ni luka balik. Rasa macam setiap kali jumpa Dr., saya dapat bala je”, panjang lebar hujah yang Hana kemukakan kepada Haziq, tak berlapik dan beralas langsung!

“Bunyi nya macam berdendam je dengan abang? Laser jugak mulut Hana ni ye?”, Haziq buat-buat kecil hati dengan kata-kata Hana sebentar tadi.

“Maafkan saya doc, saya ni orangnya berterus terang. Saya dah sakitkan hati Dr. ke?”, ujar Hana serba salah.

“Tak adalah sakit hati sangat, Cuma ayat Hana tu makan dalam je”, Haziq masih cuba menduga.

“Tak payah nak makan dalam sangatla doc, yang Dr. selalu samakan saya dengan haiwan-haiwan tu ingat saya tak ada perasaan ke?”, Hana masih tidak mahu mengaku kalah. ‘Jangan mimpilah aku nak pujuk kau doc’. Bisik hati Hana dan tanpa sedar sebaris senyuman manis terukir di wajahnya.

Haziq tersenyum melihat senyuman Hana. Senyuman yang belum pernah dilihatnya daripada gadis dihadapannya ini.

“Cantik jugak adik abang ni bila senyum macam tu”, puji Haziq.

“Alah…Dr. nak tukar topik la tu kan? Kalau senyuman saya ni cantik, tak adalah Dr. nak samakan saya dengan ibu beruang. Sepatutnya samakan saya dengan puteri kayangan”, balas Hana selamba.

“Hahaha!!! Ada hati nak samakan dengan puteri. Hana ni perasan betul. Patutnya dah cukup bersyukur tau abang tak samakan Hana dengan seluruh haiwan-haiwan di zoo tu. Ok apa ibu beruang? Kan comel!”, ketawa Haziq berderai lagi mebuatkan Hana sakit hati.

Hana terus bingkas bangun menyarung selipar dan melangkah meninggalkan Haziq di pondok itu. Haziq terkejut dengan tingkah Hana dan terus menapak mengekori Hana dari belakang.

“Hana! Hana! Tolong mak nak”, jeritan Mak Ton dari dalam rumah jelas kedengaran.

“Ye mak, Hana datang ni”, jawab Hana. Seraya terus melajukan langkah demi mendengarkan jeritan ibunya.

“Kenapa dengan mak tu? Tak mengapa Hana, jangan risau. Biar abang yang tengok mak. Hana bukannya boleh berjalan laju, terkedek-kedek macam itik pulang petang je”, ujar Haziq sambil berlari-lari anak menuju ke rumah untuk melihat apa yang terjadi kepada Mak Ton.

            Tanpa disangka-sangka, Haziq tersepak tunggul kayu yang berada di hadapannya. Akar pokok mangga yang sudah semakin tua. Pokoknya berlumut dan sudah ditumpangi oleh pokok duit-duit, sejenis tumbuhan epifit. Haziq gagal mengawal langkahnya dan tersungkur di situ. Hana yang menyaksikan kejadian itu terasa geli hati dan menghamburkan ketawa dengan sekuat-kuatnya.

“Tu la doc, lain kali jangan suka nak kutuk orang. Zaman sekarang ni Allah SWT bayar cash tau”, ujar Hana dalam ketawa yang masih bersisa.

“Balas dendam ye?”, Haziq bingkas bangun dan mengibas- ngibaskan dedaun kering dan tanah yang melekat pada bahagian lutut seluarnya.

Hana hanya memerhatikan tingkah Haziq daripada tadi.

“Apa pandang-pandang? Tak pernah tengok model hensem jatuh tersungkur ke?”, sakit pula hati Haziq melihatkan tingkah Hana.

Terhambur lagi ketawa Hana dek mendengarkan kata-kata yang baru dituturkan Haziq kepadanya.

“Tak adalah, saya geli hati sangat tengok Dr. jatuh tadi. Kelakar sungguh! Sebijik macam nangka busuk. Saling tak tumpah!”, Hana menekup mulut sebaik selesai berbicara. Sedaya upaya dia cuba menahan ketawa yang hamper pecah lagi.

“Dah…dah…jangan banyak bunyi. Jom kita tengok mak, risau pulak kalau ada apa-apa yang tak diingini terjadi”, Haziq melangkah laju meninggalkan Hana. Dia tidak menoleh sedikitpun ke arah pelajarnya itu.

Haziq terkesima sebaik sampai di hadapan pintu rumah. Mak Ton pula terduduk di atas lantai sambil memegang kakinya seperti menahan kesakitan yang amat sangat.

Bersambung…..




No comments:

Post a Comment