FOLLOWERS...

Wednesday 4 December 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 13)



Alhamdulillah...akhirnya bab 13 dah siap...maaf kepada para pembaca yg tunggu lama sbb this week sy agak bz menguruskan anak sulung yg demam...alhamdulillah dia beransur pulih...tapi rasanye...ibunye pulak yg rasa nak demam ni....ape pun enjoy this chapter...feel free to drop a comment if u think that there is/are  something need to improve...tq n enjoy..=)
 BAB 13
 Tok! Tok! Tok!
 
            Datin Zahirah mengetuk pintu bilik kerja Datuk Mahfudz beberapa kali. Selalunya Mak Yam yang akan menghantarkan kopi kegemaran suaminya. Tetapi, malam ini dia memilih untuk menghantarkannya sendiri kepada suami tercinta. Datuk Mahfudz memang penggemar kopi tegar sejak dari muda lagi. Datin Zahirah sudah maklum dengan tabiat Datuk Mahfudz yang satu itu seawal mereka mendirikan rumah tangga lebih 30 tahun dahulu. Lazimnya, orang lain tidak boleh tidur jika minum kopi disebabkan kandungan caffeine yang tinggi di dalam air kopi, tetapi Datuk Mahfudz sebaliknya. Dia tidak boleh tidur nyenyak tanpa minum secawan kopi terlebih dahulu. Tabiat minum kopi menjadi-jadi sejak dia berhenti merokok beberapa tahun lalu atas nasihat doktor.


“Masuk!”, Datuk Mahfudz memberi arahan dari dalam.


Datin Zahirah masuk sambil menatang dulang kecil di tangannya. Seraya terus meletakkan dulang tersebut di atas meja kopi berdekatan meja kerja suaminya.


“Eh, kenapa Zah pulak yang hantarkan? Mana Yam?”, Datuk Mahfudz memulakan bicara sambil memandang sekilas isterinya. Kaca mata yang dipakai dibetulkan agar elok duduknya.


“Saja Zah nak hantarkan untuk abang…tak boleh ke?”, Datin Zahirah melabuhkan punggungnya di atas kerusi berhadapan Datuk Mahfudz.


“Mestilah boleh..kan isteri kesayangan abang yang hantarkan”, seulas senyuman dihadiahkan buat Datin Zahirah.


Walaupun bibirnya menguntum senyum buat isteri tercinta, namun dia tetap gagal menyembunyikan kegalauan yang bermukim di hatinya.


“Kenapa air muka abang kelat semacam je? Risau pula Zah..ceritalah pada Zah segala masalah abang tu”, Datin Zahirah cuba meneka riak wajah yang dipamerkan Datuk Mahfudz.


Datuk Mahfudz tersenyum lagi. Jelas mahu menyembunyikan apa yang terbuku di hatinya saat ini. Matanya masih tertancap pada dokumen di tangannya. Seraya membaca setiap patah kata pada lembaran putih di dalam fail di hadapannya dan membiarkan soalan Datin Zahirah tergantung di situ.


“Kenapa abang tak mahu kongsi masaalah abang dengan Zah? Abang dah tak percayakan Zah ke?”, Datin Zahirah pura-pura merajuk.


“Jangan risaulah, Zah. Cuma masalah kerja. Don't  worry too much dear, I can and will handle all this as usual. Abang tak nak bebankan Zah dengan masalah yang ada di pejabat. Lagi pun, perbicaraan kes bunuh remaja bawah 18 tahun tu pun belum selesai kan?”, Panjang lebar alasan yang diberikan Datuk Mahfudz kepada Datin Zahirah.


“Belum selesai lagi bang, perbicaraan seterusnya minggu hadapan”, Datin Zahirah seakan mengalah dengan kata-kata Datuk Mahfudz. Sudah maklum benar dengan perangai suaminya. Datuk Mahfudz tidak mahu dia bersusah hati.


Beberapa bulan kebelakangan ini memang Datin Zahirah agak sibuk mengendalikan perbicaraan satu kes bunuh melibatkan seorang remaja bawah umur. Bukti belum cukup dan saksi penting tidak mahu memberikan kerjasama untuk mengheret si pelaku ke kandang yang tertuduh.


“Bila abang bercakap pasal perbicaraan Zah tu, mulalah fikiran Zah melayang kelaut. Bagi abang, Zah datang temankan abang buat kerja ni pun dah kira membantu menghilangkan stress di kepala abang ni. Tak mahulah abang mengganggu ‘one of the famous attorney in Malaysia’!”, Datuk Mahfudz mengusap lembut pipi Datin Zahirah.


“Ada-ada aje abang ni!”, Datin Zahirah menghadiahkan seulas senyuman buat suami tercinta.

****************************************************************************************************

            Suasana di Hard Rock CafĂ© seperti biasa, tidak sunyi dengan pengunjung yang keluar masuk. Karl sedari tadi hanya memerhatikan gelagat anak muda yang amat gemar berpeleseran dan terlalu cintakan hiburan. Entah apa yang dikejarkan oleh remaja zaman sekarang, terikut-ikut dengan budaya kuning yang dibawa mat saleh baik dari segi berpakaian, pergaulan dan cara hidup. Kelemahan anak-anak muda inilah yang menjadi kesempatan berharga buat Karl untuk menjadikan mereka mangsanya. Anak-anak muda ini cetek pengalaman hidup dan mudah diperdaya oleh orang seperti dirinya. 


            Karl meneguk lemonade di hadapannya. Dia tidak berhasrat untuk ‘minum’ pada malam ini. Lazimnya, dia lebih gemar memilih  kelab malam seperti Zouk atau The Roof jika dia mahu berbuat demikian. Tambahan pula, Tiger yang mahu berjumpa dengannya di sini. Biasanya mereka menghabiskan masa berjam-jam berborak soal bisness dan perempuan. Tetapi, belum sempat panas punggung, Tiger sudah angkat kaki. Ada hal penting katanya.


            Karl mematikan nyalaan rokok pada ‘ashtray’ yang disediakan di atas meja di hadapannya. Dia tertawa sendiri mengingati kata-kata Tiger sebelum rakan kongsinya itu berlalu pergi sebaik menerima satu panggilan telefon.


“Mangsa aku sudah masuk perangkap! Makan besar aku malam ni, bai!”, Tiger menepuk bahu kanan Karl sebelum melangkah pergi.


“Untung besar la kau malam ni Tiger…ayam dara masuk perangkap!”, bicara Karl sendirian tanpa menyedari seorang pelayan pub bernama Kelly memerhatikannya.


Kelly berjalan mendekati Karl dan menepuk manja tangan Karl.


“Apa hal you tersenyum seorang ni?”, soal Kelly manja. Dia terpanggil untuk menyoal kerana sedari tadi dia memerhatikan tingkah Karl yang tersenyum dan ketawa sendirian. Persis orang yang kurang siumannya.


Karl ketawa apabila mendengar soalan yang diajukan Kelly.


“Bila masa pula aku senyum sorang-sorang? Aku ni ketawa, bukan senyum! Senyum seorang tu orang gila, ketawa macam aku ni dinamakan bahagia..masyuk kau tahu!”, terhambur lagi ketawa Karl sebaik menghabiskan kata-katanya.


Kelly tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala dan melangkah ke meja tidak jauh dari situ.

            Karl menilik jam di tangannya sekilas. Sudah hampir pukul 11.00 malam. Masih awal untuk masuk tidur untuk orang sepertinya, namun dia mesti segera pulang. Ada urusan lain yang perlu diselesaikan. Seraya bangkit dari duduknya dan mengeluarkan sekeping not RM 50 dari saku seluarnya. Wang tersebut diselitkan di bawah gelas lemonade di atas meja.


“Kelly, aku gerak dulu. Keep the change!”,  laung Karl ke arah Kelly sambil jemarinya mengetuk meja beberapa kali memberi isyarat bahawa wang RM 50 telah diletakkan.


Kelly sempat mengenyitkan mata tanda faham sebelum Karl melangkah pergi meninggalkan pub tersebut.


****************************************************************************************************

            Demi melihatkan Hana dan ibunya yang ketakutan, Tiger merasa semakin bangga. Itulah perasaan setiap kali dia menindas golongan yang lemah. Satu kepuasaan kala terdengar rayuan dan esak tangis mangsa-mangsanya. Senyuman lebar terukir dibibir dan tangan sasa Tiger menguak pintu kayu tersebut seluasnya. Seraya dapat melihat Hana dan Mak Ton berpelukan erat di satu sudut bilik itu. Tiger menyeringai menampakkan barisan giginya yang kekuningan. Dia menghamburkan ketawa berdekah-dekah kerana sekejap sahaja lagi Hana akan berada dalam pelukannya. Sudah lama dia mahu merasa tubuh Hana dan kini, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba.



            Mak Ton mengumpul segala keberanian dan bingkas bangun dari duduknya. Hana memegang erat tangan Mak Ton dan tidak mahu ibunya mengambil apa-apa tindakan. Mak Ton sedaya upaya meleraikan pelukan Hana. Dan melangkah ke arah Tiger sambil mendepangkan kedua tangannya untuk melindungi Hana.



“Jangan apa-apakan Hana, tolonglah Tiger…kau boleh ambil apa yang kau inginkan. Aku akan serahkan tanah ini untuk melunaskan hutang Idzham pada kau!”, Mak Ton memberanikan diri merayu.



“Apa yang mak nak buat ni? Jangan mak…jangan!”, sedaya mungkin Hana cuba menarik ibunya.



Tiger terus merentap tangan Mak Ton dan dia menolak Mak Ton ke arah Neo. Pegangan Hana dan ibunya terlerai disebabkan rentapan kuat itu.



“Kau orang uruskan orang tua tu sementara aku uruskan si cantik jelita ni!”, Tiger menyeringai memerhatikan Hana dari atas ke bawah.



“Kau dah gila ke? Tolongla lepaskan aku. Kasihankanlah aku”, Hana berusaha menepis tangan sasa Tiger yang cuba memeluknya. Hana meronta-ronta sedaya upaya. Namun, tubuh Tiger terlalu sukar untuk diusir pergi.



“Jeritlah, jerit sekuat hati kau! Tiada sesiapa yang akan menolong kau dan mak kau. Aku dah lama tunggu saat ni, mari sini sayang…”, lelaki keparat itu bersuara angkuh.



            Hana tidak mengalah. Dia mengumpul segala kudrat yang ada dan menendang perut Tiger sekuat hati. Tubuh sasa Tiger terundur ke belakang. Tiger naik angin atas tindakan Hana tersebut, kelakiannya benar-benar tercabar!



“Kau kena ingat, abang kau si Idzham tu berhutang dengan aku. Dia menjual kau pada aku untuk melunaskan segala hutang piutangnya! Kalau kau tak serahkan apa yang aku nak, aku akan bunuh abang kau malam ini juga!”, Tiger bingkas bangun dan terus menerpa ke arah Hana.



Hana tidak mampu bergerak kerana dihempap dek tubuh Tiger yang lebih tiga kali ganda besar dari tubuhnya. Tiger membenamkan mukanya ke leher Hana bertubi-tubi tanpa menghiraukan rayuan Hana agar dilepaskan. Hana tidak berdaya. Terasa tenaganya makin berkurangan untuk melawan tenaga gagah lelaki dihadapannya itu. Dalam hati Hana hanya mampu berdoa agar Allah SWT menyelamatkan dirinya dan ibunya. Harapannya kini diletakkan seratus peratus kepada kuasa Yang Maha Esa agar keajaiban berlaku dan dirinya diselamatkan dari diperkosa oleh lelaki berhati binatang dan bernafsu syaitan seperti Tiger.



Haziq membelok ke kiri menuju destinasinya. Rumah Pak Kamal berjarak lebih satu kilometer dari jalan utama lorong tersebut. Cahaya lampu jalan menerangi kawasan rumah kampung dua tingkat itu. Haziq memberhentikan keretanya di sebalik pohon mangga yang sedikit rimbun dan terus mematikan lampu kereta kerana dia bimbang kehadirannya akan  diketahui Tiger dan konco-konconya. Sebuah kereta Waja diparkir betul-betul di halaman tangga rumah tersebut. Manakala, di hadapan tangga naik ke rumah itu dikawal oleh seorang lelaki yang berjalan mundar-mandir dan sesekali melilaukan pandangan memerhatikan keadaan sekeliling. Haziq mencapai lampu suluh dan cota di bawah tempat duduk pemandu yang sentiasa di bawa bersamanya sebagai alat keselamatan.



            Haziq melangkah keluar dari keretanya dan menutup perlahan pintu kereta tersebut. Dengan berhati-hati, dia melangkah menuju ke rumah Hana dan bersembunyi di bahagian belakang kereta Waja itu. Mujurlah lelaki itu tidak menyedari kehadirannya. Sepantas kilat, Haziq memukul leher lelaki tersebut dengan menggunakan cota yang dibawanya. Lelaki tersebut sempat terjerit kecil mengaduh sebelum jatuh pengsan.



            Tanpa membuang waktu, Haziq terus melangkah pantas mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas. Jelas kedengaran ditelinganya bunyi bising jeritan Hana dan disertakan dengan suara Mak Ton yang merayu-rayu agar penjahat-penjahat itu melepaskan Hana. Turut kedengaran suara seorang lelaki yang bertengkar dengan Mak Ton menyuruh Mak Ton diam. Pastinya itu suara Idzham.



“Kau dah gila ke Am? Apa yang kau nak buat dengan Hana? Dia adik kau, lepaskan dia!!”, jeritan suara Mak Ton jelas kedengaran di cuping telinga Haziq. Tentunya sesuatu sedang terjadi pada Hana.



“Aku takkan lepaskan dia perempuan tua. Aku dah janji dengan Tiger untuk menjual Hana bagi melunaskan hutang-hutang judi aku tu! Kau dah lupa? Kan sebelum ni aku dah banyak kali minta kat kau? Satu sen pun kau tak nak bagi! Jadi, inilah balasannya!”, Idzham menengking ibu tirinya sekuat hati.



            Ketika Haziq tiba di muka pintu, dia melihat Idzham sudah mengangkat tangan kanannya bersedia untuk memukul Mak Ton. Sementelah, tangan kirinya mencengkam kuat lengan wanita tua itu untuk menghalangnya dari menuju ke bilik bagi menyelamatkan Hana. Mak Ton meraung-raung memanggil nama Hana. Terdengar jeritan Hana dari dalam bilik tersebut.



“Lepaskan mak Idzham!”, Haziq terus meluru ke arah Idzham dan menolak kuat tubuh Idzham sebaik menghabiskan bicaranya.



Idzham hampir tersungkur disebabkan tolakan yang kuat tersebut. Hatinya panas. Terasa bahangnya meruap hingga ke muka. Mak Ton terus menerpa ke arah Tiger untuk membantu Hana.



“Apa kau nak tiba-tiba muncul depan aku ni? Kau jangan cuba masuk campur urusan kami! Jangan cari nahas dengan aku. Aku bunuh kau nanti”, Idzham bertempik kuat memberi amaran.



“Mak dan Hana sudah jadi tanggungjawab aku, aku mesti selamatkan mereka berdua walau nyawa menjadi galang gantinya!”, Haziq menjawab tegas.



Idzham meluru ke arah Haziq dan melepaskan satu tumbukan ke muka Haziq. Haziq pantas menepis dan terus bertindak dengan menolak Idzham ke tepi. Tolakan yang kuat itu menyebabkan Idzham jatuh tersungkur. Kepalanya terhantuk ke bucu meja kopi di hadapannya. Darah merah mengalir di dahi kanannya. Kepalanya terasa pening. Dengan sekali pukulan di belakang lehernya, Idzham rebah tidak sedarkan diri.



“Cepat Im, selamatkan Hana dulu. Mereka mahu memperkosa Hana!”, terketar-ketar Mak Ton bersuara kerana kedua tangannya telah dikilas ke belakang dengan kuat oleh Neo, seorang lagi konco Tiger.



Haziq terus menuju ke arah Neo untuk membantu Mak Ton. Namun Neo sempat mengeluarkan sebilah pisau lipat. Nasib tidak menyebelahi Neo kerana Haziq sepantas kilat memukul tangannya dengan cota sebelum dia sempat mengacukan pisau lipat tersebut ke arah Mak Ton. Pisau tersebut disepak jauh oleh Haziq. Neo agak tergamam dan semerta menolak tubuh Mak Ton ke dinding. Kepala Mak Ton terhantuk dan darah merah mengalir dari tempat luka tersebut.



“Mak!”, Haziq terjerit spontan melihatkan kejadian tersebut.



Haziq lantas mengetuk dahi Neo dengan cotanya. Neo rebah, namun masih cuba sedaya upaya bangkit untuk cuba menyerang Haziq. Mak Ton sempat mencapai pasu bunga di atas meja kopi berhampirannya lantas menghentak belakang kepala Neo dengan kudrat yang masih bersisa. Neo masih cuba untuk bangun, namun kepalanya terasa amat sakit. Dia mengaduh kesakitan.



 “Jangan hiraukan mak Im, selamatkan Hana! Cepat!!”, Mak Ton bersuara tenggelam timbul. Apa yang ada dalam fikirannya kini bukan lagi keselamatan dirinya, tetapi keselamatan Hana anak perempuan Mak Ton satu-satunya.



Hana meronta-ronta untuk menyelamatkan diri. Selagi ada kudrat, dia mesti berusaha melepaskan dirinya. Biarlah dia mati sekalipun, asalkan mati bermaruah daripada dia hidup tetapi terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Hana masih meronta-ronta dengan sekuat tenaganya untuk menyelamatkan diri dan dikala itu satu tamparan kuat mengenai pipi kanannya. Kepalanya terasa pening dan pipinya terasa pedih sekali. Dia dapat rasakan ada darah mengalir di bibirnya. Kepalanya berpinar-pinar. Pandangannya berbalam dan dia dapat merasakan bajunya dikoyak rakus oleh lelaki tidak berhati perut itu. Hana tidak berdaya lagi dan akhirnya dia tidak sedarkan diri.



Bersambung….

p/s : Sy nak mintak kengkawan/pembaca klik kotak survey kat bawah...boleh ye (^_^)..tq..