FOLLOWERS...

Wednesday 10 September 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 24)

Bab 24 


                Haziq memakirkan kereta di kawasan letak kereta yang telah dikhaskan untuk tenaga pengajar Universiti Sains Dan Pengurusan. Nasib baik mereka tiba tidaklah terlalu lewat. Hana pula terus mencapai beg sandang dan failnya sambil bergegas untuk keluar dari perut kereta.

“Ai! Kelam kabutnya? Cuba bertenang sikit. Takkanlah Zana nak merajuk sebab kita lewat 15 minit?” Haziq bersuara tiba-tiba kerana dia melihat Hana begitu kelam-kabut untuk berjumpa dengan Zana.

“Maaf Doc, saya ni jenis yang menepati masa. Saya memang tak suka sampai lewat daripada masa yang telah dijanjikan!” balas Hana dengan wajah yang serius.

“Ye la… salah abang. Bagi je tahu Zana semua salah abang, bukan salah Hana sampai lewat,” Haziq mengaku salah.

“Tak mengapalah Doc, tahulah saya nak bagi alasan apa nanti,” Hana tidak mahu memanjangkan cerita, dia sudah terlewat. Dalam masa yang sama dia mahu menjaga hati Haziq, tidak mahu Haziq berasa bersalah. Lagi pun Haziq bukanlah betul-betul sembuh lagi. Masih dalam cuti sakit. Tetapi tetap sudi membenarkan dan menghantarnya ke kampus untuk bertemu Zana bagi memastikan keselamatannya.

“Nak balik nanti pukul berapa?” soal Haziq kemudian.

“Petang sikit kot Doc, banyak yang kami nak bincangkan,” ujar Hana pendek.

“Pukul 3 petang jumpa Hana kat foyer kampus tau. Abang nak bawa Hana ke suatu tempat. Ajak Zana sekali. Ingat pesan abang, jangan keluar daripada kawasan kampus tanpa kebenaran abang,” pesan Haziq.

“Okey! Jangan bimbang, Doc dah pesan kat saya sebelum kita sampai sini. Saya ingat lagi… saya mintak diri dulu ye,” ujar Hana sambil menutup pintu kereta dan berlari anak menuju ke pintu lif berdekatan untuk naik ke tingkat atas. Dia berjanji dengan Zana untuk bertemu di perpustakaan.

        Haziq pula tidak terus pulang. Dia mahu ke bilik pensyarah sebentar untuk mengetahui perkembangan semasa ketika ketiadaannya beberapa hari ini. Tambahan pula Haziq belum sempat siap menanda laporan makmal untuk dua kelas lagi yang berada di bawah tanggungjawabnya.

        Sementara itu, Hana sudah tiba di perpustakaan. Seraya menyimpan beg dan barang berharga di locker yang sudah disediakan pihak perpustakaan. Kemudian Hana terus melangkah masuk ke dalam perpustakaan mencari Zana. Dia dapat lihat dari tempat dia berdiri Zana sedang sibuk menelaah buku. Zana duduk berdekatan dengan rak buku jurusan pengurusan dan perhotelan. Memang kebiasaanya mereka akan memilih tempat duduk di situ kerana tempatnya agak tersembunyi dan lebih tenang. Senyuman terukir di bibir Hana. Gembira dapat berjumpa Zana akhirnya.

“Assalamualaikum kak, boleh saya duduk sini?” Hana berlakon seolah-olah meminta izin untuk duduk semeja dengan Zana.

“Duduklah, dik” Zana memberikan kebenaran tanpa sikit pun memandang insan yang berada di hadapannya.
 

        Meja tersebut terdapat enam kerusi dan boleh menempatkan enam orang pelajar. Jadi, tanpa berfikir panjang Zana membenarkan insan yang bertanya itu duduk semeja dengannya. Hana pula mahu ketawa dengan riaksi spontan dan serius yang dipamerkan oleh Zana. Seraya menekup mulutnya agar tawanya tidak kedengaran. Hana mengeluarkan fail dan alatulis dan terus berlakon membaca buku. Apabila fail Hana tersentuh buku Zana, barulah Zana mengangkat wajahnya.

“Patutla aku rasa macam kenal je dengan corak fail ni. Rupanya memang kau!” ujar Zana separa menjerit. Namun, tangannya pantas menekup mulut agar tidak didengari oleh pelajar lain, terutamanya pengawas perpustakaan.

“Tu lah, kau tu khusyuk sangat study sampai tak perasan aku sampai. Ni ciri-ciri best student neh!” sindir Hana selamba.

“Kenapa kau tak panggil aku? Saja nak kenakan aku la kan?” tebak Zana.

“Macam mana kau tau niat hati aku ni? Rindu gila aku kat kau tau!” Hana melahirkan rasa yang terbuku di hati.

“Hm… ye la tu. Tak kan lah baru tiga hari tak jumpa aku dah rindu? Lagi pun, kau kan dah ada Cik Abang Kacak?” usik Zana lagi.

“Kau jangan macam-macam. Aku sekeh kepala kau kang baru tahu!” Hana berkata-kata sambil mengangkat tangan kanannya.

“Eh, aku main-main je lah. Tapi, kau tak pernah terfikir ke suatu hari nanti kau akan jatuh cinta dengan dia? Dah la handsome, smart, bergaya tambah satu lagi, baik hati pulak!”

“Entah? Aku rasa biasa je walau pun sebenarnya memang aku dan mak terhutang budi dan nyawa kat dia. Aku pun tak sangka akan dipertemukan dengan orang sebaik dia,” ujar Hana ikhlas.

“Betullah orang kata buat baik dibalas baik, buat jahat jangan sekali. Kebaikan dan budi yang ditaburkan oleh mak dan ayah kau dibalas baik oleh Dr. Haziq dengan cara melindungi kau setelah ketiadaan mak dan ayah kau,” tambah Zana lagi.

Hana mengangguk beberapa kali mengiakan kata-kata sahabat baiknya itu.

“Cuba kau ceritakan pada aku apa sebenarnya yang terjadi kat kampung kau. Dalam fb semalam kau cuma bagi tahu aku Abang Am datang nak culik kau. Sekarang aku nak dengar cerita sebenar apa yang terjadi malam tu,” soal Zana tidak sabar. Mana tidaknya, tiga hari dia bersabar untuk mendengar cerita Hana. Tambahan pula insiden tersebut telah menyebabkan pensyarahnya terkena tembakan rambang kawan Idzham.

“Kalau kita nak borak panjang, aku rasa ni bukan tempat yang sesuai. Nanti kena halau dengan pengawas perpustakaan buat malu je,” Hana memberi idea.

“Habis tu, kita nak lepak dekat mana?” Zana bertanya kembali.

“Apa kata kita lepak kat kafe kampus kat bawah? Dr. Haziq tak benarkan aku keluar daripada kawasan universiti ni,” cadang Hana.

“Okey, jom!” Zana terus bersetuju tanpa banyak soal.

        Mereka terus menuju ke kafe sebaik mengambil semua barang-barang di dalam lokar perpustakaan. Beberapa minit kemudian, mereka telah sampai ke kafe yang dimaksudkan. Mereka mengambil tempat duduk dan memesan minuman.

“Kita dah sampai kafe ni… cepatla cerita kat aku!” Zana tidak sabar mahu mendengar cerita sebenar insiden malang yang menimpa sahabat baiknya itu.

“Tapi sebelum tu aku nak dengar cerita kau dulu Zana, apa jadi dekat hostel kita tu sebenarnya? Siapa yang telefon kau beritahu yang hostel kita kena ceroboh?” Hana menyoal kembali.

“Sebenarnya, aku pun tak tahu siapa pemanggil misteri tu. Salah aku juga sebab aku tak tanya nama dia. Aku panik bila tahu hostel kita kena ceroboh. Mungkin sebab tu lah aku tak terfikir nak tanya nama pemanggil. Lagipun, kau tahu kan aku simpan barang kemas pusaka mak aku dalam laci almari bilik kita tu. Sebab tu aku risau gila!” cerita Zana satu persatu.

“Lepas tu apa jadi Zana?” tanya Hana lagi ingin tahu.

“Setibanya aku kat hostel malam tu, aku terus jumpa Encik Halim, penyelia asrama bertanyakan kes pencerobohan tu. Muka dia terkejut bila aku tanya macam tu. Aku bagi tahu dia yang dia sendiri telefon aku beritahu hal tersebut. Dia menafikannya. Dia beritahu aku dia tak pernah telefon mana-mana pelajar pun petang tu. Masa tu aku dah cuak gila. Aku terus terfikirkan kau. Aku risaukan kau!” panjang lebar cerita Zana.

“Sepanjang kau balik Shah Alam tu pun aku dah mula rasa tak sedap hati. Tapi aku tak tahu kenapa,” celah Hana lagi.

“Lepas tu, Encik Halim suruh aku periksa bilik kita mana tahu memang ada barang yang hilang. Aku balik bilik dan check semua barang kita. Tetapi kedudukan susun atur barang dan perkakas bilik masih dalam keadaan yang sama. Aku periksa semua barang-barang aku dan barang-barang kau. Sah! Tiada yang hilang. Kemudian, aku terus laporkan kepada Encik Halim. Dia bersetuju dengan aku, mungkin juga panggilan palsu. Tanpa fikir panjang, aku terus telefon Dr. Haziq beritahu apa yang berlaku di sini,” bersungguh-sungguh Zana bercerita.

“Baru aku faham sekarang. Sepatutnya, kami akan balik Shah Alam keesokan harinya. Tapi selepas bercakap dengan kau di telefon, Dr. Haziq terus suruh aku kemaskan barang dan dia buat keputusan drastik untuk bertolak balik ke Shah Alam malam itu juga.”

“Mungkin dia dah jangka sesuatu yang buruk akan berlaku malam itu,” Zana menyampuk.

“Betul tu, dan memang sangkaan Dr. Haziq tepat. Malam tu dia arahkan aku dan Mak Uda masuk kereta dulu. Selepas dia kunci pintu rumah dan menghidupkan enjin kereta, Abang Am dengan kawan-kawan dia berlari keluar dari belukar tak jauh dari rumah aku. Apa lagi, Dr. Haziq pun pecutla kereta dia. Tapi, Abang Am dengan kawan-kawannya tak berputus asa. Dia mengejar kami daripada belakang. Aku dengan Mak Uda cemas sangat. Seram sejuk dibuatnya. Tetapi, aku tengok Dr. Haziq tenang memandu. Dia sempat pesan kat aku supaya berzikir dan mengingati Allah SWT. Buat seketika aku kagum dengan ketenangan yang ada padanya.”

“Betul tak aku cakap yang one day kau akan jatuh hati pada dia Hana. Jaga-jaga tau,” Zana sempat mengusik.

“Ish kau ni! Tadi suruh aku cerita, sekarang banyak bunyi pulak. Tak nak dengar tak apa,” Hana sedikit mengugut. Rimas setiap kali Zana mahu gosipkan dia dengan Dr. Haziq.

“Okey… okey… sambung la lagi. Aku nak dengar ni. Please…” Zana separa merayu. Bimbang juga kalau Hana benar-benar merajuk dengan usikannya sebentar tadi.

“Ha! Tau takut… Bagi aku sambung dulu. Mereka kejar kami sampai simpang nak ke Sabak Bernam. Kau tahu, konco Tiger tunggu betul-betul depan simpang tu menghadang jalan kami. Nasib baikla tak jauh dari situ ada jalan lain. Tapi Dr. Haziq memang berani. Dia memberhentikan kereta dan terus berpatah balik. Masa tu, aku cuak gila tau! Abang Am dan kawan-kawannya memang tak jangka Dr. Haziq akan buat macam tu. Mereka ingat, kami dah berada dalam genggaman mereka. Masa nak berpatah balik tu lah Dr. Haziq terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang kawan Abang Am,” panjang lebar penerangan Hana.

Zana pula seakan melopong mendengar cerita yang disampaikan Hana. Khusyuk benar.

“Macam mana keadaan Dr. Haziq masa tu? Dia kena tembak dekat mana? Gila ah. Macam dalam filem barat pulak adegan kejar mengejar macam ni,” ujar Zana kagum.

“Masa tu aku dengan Mak Uda memang bimbangkan dia sebab darah keluar banyak. Tetapi dia masih tenang walaupun aku jelas Nampak dia berpeluh. Mungkin menahan sakit dan tak mahu buat kami bimbang. Ketika tu aku berdoa semoga Allah SWT selamatkan dia. Nasib menyebelahi kami apabila ada sekatan jalan raya di hadapan. Abang Am dengan kawan-kawan dia semerta berpatah balik dan menghilang dalam ladang kelapa sawit. Kesian Dr. Haziq, dia jatuh pengsan masa nak berjalan menuju kereta polis peronda. Kau tahu dia cakap apa sebelum mata dia tertutup rapat?” Hana menceritakan detik cemas tersebut dengan mata yang berkaca.

“Dia kata apa?” pantas Zana menyoal.

“Dia kata ‘selamatkan Hana’, Lepas tu dia dah tak sedarkan diri. Polis memberi bantuan dan hantarkan kami ke hospital. Dia kena tahan dua hari di sana,” cecair jernih memenuhi kolam matanya.

        Zana meraih jemari Hana dan digenggam erat. Memang Hana nampak kuat pada luarannya, namun dalamannya masih rapuh. Perlukan dahan yang kukuh untuk berpaut. Zana kemudian menyapu air mata Hana yang mula mengalir. Hana tunduk menghadap meja. Bimbang ada mata yang nampak dia menangis.

“Syukur kau selamat Hana. Kau kena kuat dan tabah. Apa yang penting kau ada aku dan Dr. Haziq untuk bergantung harap. Kami sentiasa akan berada di sisi kau Hana. Aku berdoa semoga penjahat-penjahat tu diberkas segera oleh pihak polis,” Zana memujuk Hana agar sahabatnya itu lebih tenang.

        Hana mengangguk-anggukkan kepalanya. Jemarinya menyeka air mata yang mengalir. Dia mesti bersyukur kerana dia masih punya Mak Uda, Dr. Haziq Imran dan sahabat baiknya Zana untuk mengadu dan bergantung harap.

“Jangan menangis ye… apa yang penting, kau fokuskan untuk mengadap exam akhir tak lama lagi ni. Ini kan harapan mak dan ayah kau. Kau kena tunaikan dengan sebaik mungkin. Mereka nak tengok kau berjaya,” pujuk Zana lagi. Dia mahu Hana menguatkan semangat untuk menempuh peperiksaan akhir yang berbaki tidak sampai seminggu sahaja lagi.

“Memang aku trauma sangat Zana. Lepas satu-satu jadi dalam hidup aku. Aku cuba cekalkan hati untuk tempuhi semua yang berlaku ni. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Tapi Zana, aku manusia biasa. Kadang-kala bila aku rasa lemah, aku akan menangis semahunya. Selepas kejadian tu, aku selalu alami mimpi buruk,” Hana meluahkan segala yang terbuku di hatinya.

“Aku tahu terlalu berat untuk kau lalui semua dugaan ni Hana. Kalau aku jadi kau pun, belum tentu aku mampu hadapi semua yang berlaku ni. Tetapi, sebagai sahabat aku akan sentiasa ada untuk kau, akan sentiasa menyokong kau dari belakang dan bahu aku ni selalu je percuma kalau kau perlukan seseorang untuk mengadu,” Zana cuba memujuk walaupun dia tahu, mungkin kata-katanya belum tentu mampu mengubat derita yang Hana alami.

Hana menyeka air mata dengan belakang telapak tangannya. Terasa segan pula jika dilihat para pelajar yang lalu lalang di situ.

“Terima kasih Zana. Kaulah sahabat sejati aku,” ujar Hana sambil memeluk erat sahabatnya itu.

“Itulah gunanya kawan kan?” Zana membalas rangkulan erat Hana. Sesekali, dia menepuk bahu Hana untuk memberi sedikit semangat.

Zana mengerling seimbas jam ditangannya. Sudah hampir menginjak ke pukul 2 petang.

“Ada sesuatu aku nak tanya kau. Tetapi, aku nak kau jawab jujur pada aku dan jangan berselindung sedikitpun sebab nak jaga hati aku. Biarlah aku tahu awal daripada kemudian hari,” Hana bersuara tiba-tiba setelah beberapa ketika mereka membisu melayan perasaan masing-masing.

“Serius bunyinya nada kau ni Hana… Kau nak tanya apa kat aku tadi? Zana menyoal pendek.

“Pasal Rusydi. Aku pernah nampak dia berjalan dengan seorang perempuan. Masa tu aku dan Dr. Haziq dalam perjalanan nak balik ke Shah Alam. Kami singgah pasaraya Giant beli barang sikit. Aku ternampak dia tengah makan dengan serang perempuan kat food court. Aku rasa junior kita. Diaorang ada apa-apa ke?” Hana menerangkan satu-persatu dengan tenang.

“Kau dah tanya Rusydi sendiri?”
 

Hana menggelengkan kepalanya.

“Telefon bimbit aku kan dah hilang, takkan kau nak suruh aku call dia guna telefon bimbit pensyarah kau tu? Tak nak aku”

Zana tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. Dia lupa yang Hana telah kehilangan telefon bimbitnya.

“Dia ada call kau tanya pasal aku tak?” soal Hana lagi.

“Aku tak nak sakitkan hati kau dengan apa yang aku nak beritahu ni… memang dia tak ada call aku nak tanya pasal kau, Hana. Aku pernah terserempak beberapa kali dengan diaorang berjalan bersama-sama. Pada firasat aku ni, hubungan mereka lebih dari seorang kawan. Cuba kau tengok ni,” terang Zana jujur sambil seraya menunjukkan video pendek yang sempat dirakamnya tempoh hari.

        Hana menonton video itu sepenuh perhatian. Dia tak mahu tersalah lihat atau tersalah membuat andaian. Memang benar wajah yang ada di dalam video tersebut. Wajah Rusydi dan gadis yang dilihatnya bersama Rusydi di pasaraya Giant pada hari itu. Hana terdiam. Tidak memberi apa-apa riaksi. Jauh di sudut hatinya, dia berkecil hati dengan sikap Rusydi. Rusydi tiada saat dia perlukan tempat untuk mengadu, tempat untuk berpaut. Memang benar telefon bimbit Hana hilang dan menyebabkan Rusydi tidak dapat menghubunginya. Namun, jika Rusydi betul-betul sayang dan ambil berat padanya, seharuasnya Rusydi punya inisiatif untuk menghubungi Zana dan bertanya kepada Zana berkaitan dirinya. Ini tidak, Rusydi sekadar acuh tidak acuh.

“Kau okey ke Hana?” Zana bertanya dalam nada bimbang.

“Aku okey…” jawapan yang diberi mendatar bunyinya. Hana  kecewa. Dia sangat menyayangi lelaki itu. Tidak pernah terlintas langsung difikirannya yang Rusydi telah berlaku curang kepadanya. Mengambil kesempatan saat ketiadaannya. Hana terasa amat sedih. Hatinya terguris.

“Aku pun baru tahu… tetapi aku sengaja tak nak beritahu kau. Aku tak mahu menambah lagi masalah yang kau hadapi ketika itu. Aku bimbangkan kau Hana. Aku harap kau tak akan marahkan aku sebab sembunyikan pasal kecurangan Rusydi daripada pengetahuan kau,” terang Zana penuh berhati-hati. Dia tidak mahu mengguris hati sahabat baiknya itu dengan pengakuannya sebentar tadi. Sungguh, musibah yang Hana hadapi beberapa hari lalu jauh lebih dahsyat jika nak dibandingkan masalah Hana dengan Rusydi. Jadi, Zana tidak mahu menambah lagi beban yang ada di bahu Hana.

“Tak apalah Zana. Tak usah kau nak rasa bersalah sangat. Aku faham kenapa kau tak beritahu aku. Kalau aku berada di tempat kau pun, aku akan buat perkara yang sama,” bicara Hana tenang walaupun kelopak matanya sudah digenangi air hangat yang bila-bila sahaja akan tumpah ke pipi.
 

        Dugaan demi dugaan terpaksa ditempuhinya. Betapa dia sangat menyayangi Rusydi. Mereka pernah menyulam angan-angan akan mengikat tali pertunangan selepas tamat belajar dan selepas itu berkahwin. Hana tidak pernah terfikir yang hubungan mereka akan terhenti di tengah jalan. Betullah kata orang, kita tidak akan kenal kesetiaan jika tidak pernah diuji. Mungkin Rusydi bukanlah jodoh yang telah ditentukan Allah SWT buat dirinya. Hana menyeka air mata yang mengalir di pipi. Sebolehnya dia tidak mahu menangis, namun kecewa dan sakit hati yang dirasakan gagal menghalang air jernih itu daripada mengalir.

Zana yang sedari tadi mendiamkan diri mengusap belakang sahabatnya untuk menenangkan Hana. Zana mengerti apa yang dirasakan Hana saat ini.

“Kat sini rupanya you all berdua. Jenuh I cari kat perpustakaan tadi,” sapa Haziq sambil menarik kerusi dan terus duduk tanpa dipelawa.

Kedua-dua gadis itu sedikit tergamam dengan kehadiran Haziq yang tiba-tiba. Hana cepat menyeka air matanya. Zana pula tersenyum kelat.

“I ganggu ke?” Haziq bertanya lurus. Baru dapat menangkap situasi mereka saat itu. Seperti terkejut dengan kehadirannya di situ.

Hana tidak menjawab. Zana pula menggeleng-gelengkan kepalanya.


Haziq tersenyum kecil. Dia tahu, kedatangannya menganggu perbualan dua sahabat yang sudah beberapa hari tidak bertemu. Mesti banyak yang hendak dibualkan.

“Hana dah beritahu Zana yang kita nak pergi ke satu tempat? Macam ni, both of you just carry on. Abang pergi ambil kereta kejap,” Haziq minta diri untuk beredar kerana dia sedar kehadirannya di situ ketika itu tidak diundang.

Hana dan Zana mengangguk serentak. Terus bersetuju denga cadangan Haziq tersebut.

“Sebenarnya, ada sesuatu aku nak serahkan pada kau. Tapi aku tak bawa, ada dekat hostel,” ujar Zana apabila dia teringatkan sesuatu yang perlu dia serahkan kepada Hana.

“Apa yang dikatakan sesuatu sangat tu? Banyak rahsia kau sembunyikan daripada aku ni ye,” Hana cuba menduga.

“Aku tak ada sikit pun niat nak sembunyikan apa-apa daripada pengetahuan kau beb, Cuma masa yang tak sesuai untuk aku ceritakan semuanya sekaligus,” Zana cuba memberi penerangan logik.

        Hana menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Kemudian seraya menghirup baki minuman yang ada di hadapannya. Zana juga menurut perbuatan Hana dengan menghabiskan jus mangga yang di pesannya sebentar tadi.

“Chop! Kita nak ke mana sebenarnya ni?” tanya Zana hairan.

Hana menjungkitkan bahunya tanda dia sendiri tidak tahu ke mana Haziq ingin membawa mereka.

“Jom Zana, nanti lama pulak Dr. Haziq tunggu kita,” cadang Hana. Dalam hati Hana tertanya-tanya juga ke mana sebenanrnya arah tuju mereka. Apa yang ada dalam fikiran pensyarah muda itu sukar diramalkan.

“Jom!” Zana sekadar berjalan membontoti Hana menuju ke jalan keluar utama.

Kereta Haziq sudah terpakir di situ menunggu mereka. Hana dan Zana masuk ke dalam kereta dan Haziq terus memandu untuk ke tempat yang ingin dituju. Mereka langsung tidak menyedari ada sepasang mata yang memerhatikan mereka menaiki kereta pensyarah muda itu. Apa yang pasti pemilik sepasang mata itu tidak sempat mendapatkan mereka sebelum kereta Haziq meluncur laju meninggalkan perkarangan universiti tersebut.

Bersambung…

P/s: Jemput baca dan komen ya semua..

No comments:

Post a Comment