FOLLOWERS...

Monday 23 June 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 21)

Bab 21

         Hana terjaga dari lena apabila mendengar beberapa kali batukan kecil Haziq. Dia tidak sedar bila dia tertidur atas kerusi tersebut. Mungkin terlampau penat menyebabkan dia terlena di situ. Haziq pula tertidur selepas doktor mengeluarkan peluru yang tertanam di bahu kanannya. Mujurlah Haziq berjaya diselamatkan walaupun kehilangan agak banyak darah. Dua orang polis ditugaskan menjaga keselamatan mereka sepanjang malam. Hana menuangkan segelas air kosong kepada Haziq untuk membasahkan tekak. Haziq terus menyambut gelas tersebut dan meneguk pantas air yang diberi Hana. Tekaknya dirasakan kering dan terlalu haus.



“Terima kasih Hana.” ucap Haziq pendek. Seraya menggeliat beberapa kali. Bahu kanannya masih terasa pedih dan sakit. Haziq bangun dari perbaringannya. Seluruh sendi separuh badannya terasa lenguh-lenguh dan sengal. Dia dipakaikan anduh oleh jururawat menyebabkan pergerakan tangan kanannya agak terhad. Apa yang pasti dia belum dibenarkan pulang hari ini oleh doktor yang merawatnya.



“Saya minta maaf Doc, disebabkan saya Doc kena tembak”, sayu bicara Hana. Rasa bersalah bersarang di hati sejak semalam lagi. Namun, baru pagi ini Hana punya kekuatan untuk meluahkannya. Dia terhutang budi dan nyawa pada Haziq.



Haziq tersenyum bersahaja.



“Jasa abang terlalu kecil kalau nak dibandingkan jasa abah dan mak pada abang. Jangan pernah ada rasa bersalah dalam hati Hana. Anggaplah semua ini tanggungjawab seorang abang kepada adiknya,” balas Haziq dalam nada yang tenang dan penuh rasa tanggungjawab.



Air hangat menitis dari kelopak mata Hana demi mendengar ucapan ikhlas Haziq. Hana merasa sangat bertuah kerana dia dipertemukan dengan insan sebaik Haziq Imran. Hana terharu. Dia sendiri tidak pasti, adakah dia mampu untuk membalas segala pengorbanan Haziq kepadanya. Dalam hati Hana akui lelaki yang berada di hadapannya ini memiliki sekeping hati yang sangat mulia walaupun kadangkala usikan Haziq mengundang marah dan jelingan tajam Hana.



“Ingat pesan abang, Hana kena kuat! Jangan terlalu mudah menangis. Bukan maksud abang Hana tidak boleh langsung menitiskan air mata, tetapi jangan tunjuk depan orang terutamanya Idzham, Tiger dan konco-konconya bahawa Hana seorang perempuan yang lemah dan mudah ditindas,” panjang lebar nasihat yang diberikan Haziq buat gadis yang telah dianggap adik dihadapannya ini.



Perlahan-lahan Hana menyeka air mata yang mengalir di pipi dengan jemarinya. Kata-kata Haziq ada betulnya. Dia perlu kuat untuk menempuh hidup ini. Hana tidak boleh terlalu bergantung harap pada sesiapa terutamanya Haziq. Suatu hari nanti, dia perlu berdikari menjalani hidupnya sendiri. Haziq tidak boleh menemaninya untuk seumur hidup. Hana kena menerima hakikat itu. Hakikat bahawa abah dan emak yang dikasihi sudah pergi mengadap Yang Maha Pencipta. Pergi buat selama-lamanya. Ini bukan sebuah mimpi yang panjang di mana apabila suatu saat nanti dia akan terjaga, semuanya akan kembali seperti sediakala. Tetapi ini adalah sebuah realiti kehidupan di mana yang pergi tidak mungkin akan kembali dan yang masih hidup harus meneruskan kehidupan. Dia mesti terima dan redha dengan segala yang telah terjadi. Itu ketentuan Yang Maha Esa buat dirinya.



“Kita balik apartment abang bila doktor dah benarkan abang balik esok,” tambah Haziq lagi.



Hana mengangguk. Walaupun sebenarnya dia kurang bersetuju dengan cadangan itu sejak awal lagi. Namun perkara tersebut sudah mereka bincangkan semalam. Dia pula telah terlanjur memberi kata putus dan bersetuju dengan saranan yang dikemukakan Haziq.



“Saya ke tandas sekejap Doc,” Hana meminta diri untuk membersihkan wajah dan menyegarkan muka. Terasa mahu mandi, tetapi berat pula hati untuk meninggalkan Haziq sendirian di bilik tersebut. Hana berasa bertanggungjawab menjaga Haziq kerana dialah menjadi punca Haziq ditembak. Pengorbanan Haziq tersebut tidak boleh dipandang mudah oleh Hana.



“Nanti dulu! Dari tadi abang tak nampak pun Mak Uda. Mak Uda ke mana?” soal Haziq mendadak.



Langkah Hana terhenti. Seraya menoleh ke arah Haziq.



“Mak Uda dah balik rumah. Salah seorang polis menghantarnya pulang ke rumah semalam,” balas Hana sambil tangannya memulas tombol pintu untuk masuk ke tandas.



“Oh, patutlah tak nampak Mak Uda pun bila terjaga tadi,” sempat Haziq bersuara sebelum Hana hilang disebalik pintu tandas.



************************

Tok! Tok! Tok!



 “Masuk! Duduk!,” keras kedengaran arahan yang diberikan Datuk Mahfudz kepada anaknya Haiqal ketika Haiqal melangkah masuk ke biliknya.



Riak wajah Haiqal nampak tenang seperti telah menjangka reaksi yang akan ditunjukkan papanya.



“Papa tunggu kau semalam macam orang bodoh! Kenapa tak datang jumpa papa?” Datuk Mahfud memulakan bicara dengan suasana tegang. Sememangnya dia telah memendam perasaan marah sejak malam tadi lagi. Mujurlah semalam isteri tercinta meredakan kemarahannya, jika tidak dia sendiri pun tidak tahu apa akan terjadi.



“Along sampai dari Langkawi petang semalam. Sebab penat sangat, lepas makan malam Along terus masuk tidur. Ingatkan nak lelap sekejap je. Lepas tu nak datang jumpa papa, tapi terbabas pulak sampai ke Subuh. Sorry la, pa.” Haiqal beralasan.



“Alasan… alasan… alasan… itulah yang kamu tahu!”



“Kenapa papa ni? Along dah bagitahu betul-betul. Papa nak Along jawab macam mana lagi?” Haiqal mula berasa tidak puas hati dengan kata-kata papanya.



“Baiklah, papa nak kamu terangkan sekarang kenapa ada ketirisan hampir satu juta kat tapak projek di Pulau Pinang tu? Cakap!,” Datuk Mahfudz bersuara tegas namun masih cuba mengawal suasana.



“Mana Along tahu pa. Bukan ke Faruk yang handle projek tu sekarang? Papa tanyalah dia,” bicara Haiqal ringkas. Jelas dia seperti mahu mengelakkan diri daripada terus-terusan disoal siasat oleh papanya.



“Tapi, ketirisan tu berlaku ketika kamu yang jaga tapak projek tu. Sebab tu papa tanya kamu. Jangan ingat papa ni bodoh sangat!” balas Datuk Mahfudz sinis.



Haiqal menghela nafas berat sebelum berkata-kata.



Okey, papa beritahu Along penjelasan yang macam mana yang papa harapkan dan boleh buat papa berpuas hati,” Haiqal mulai bosan.



“Jangan cakap berputar belit dengan papa. Papa nak tahu, ke mana semua duit tu pergi!” suara Datuk Mahfudz mula meninggi. Kesabarannya seperti dicabar Haiqal.



“Along bukannya anak kesayangan papa kan? Kalau anak kesayangan papa tu, dah lama papa percaya semua kata-kata dia,” Haiqal mula berkecil hati kerana papanya tidak mempercayai kata-katanya.



“Hal ni tak ada kaitan dengan adik kamu Haziq. Tak perlu nak babitkan dia. Bila papa dah bagi kau uruskan semua projek-projek tu, maksudnya papa percayakan kau. Papa cuma nak kan penjelasan ke mana hilangnya duit RM 450 000 tu?”, Datuk Mahfudz cuba mengawal suasana yang mulai tegang itu.



“Sebenarnya, projek itu bermasalah… Along seboleh mungkin tak mahu libatkan papa, Along nak cuba selesaikan sendiri. Akhirnya, tak sangka pula sampai ke pengetahuan papa,” Haiqal bersuara mendatar menerangkan satu-persatu apa yang terjadi.



Datuk Mahfudz berfikir sejenak sebelum memberi kata putus.



“Kenapa Along tak bagi tahu papa awal-awal? Sudahlah papa telefon tak berangkat, sms tak berbalas. Kalau Along berbincang dengan papa dan tak mengenepikan papa, kita tidak akan rugi hampir setengah juta,” Datuk Mahfudz menyuarakan isi hatinya.



“Along tak mahu papa bimbang dan hilang kepercayaan pada Along. Along nak buktikan yang Along juga boleh diharapkan.”



“Sudahlah, Along dah makan? Apa kata kita makan tengahari sama-sama. Papa belanja. Kita sambung lagi perbincangan kita ini kemudian,” ujar Datuk Mahfudz sambil tangannya mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja berdekatan dengannya. Datuk Mahfudz tidak mahu memanjangkan pertengkarannya dengan Haiqal. Namun, tidak bererti dia dengan semudah itu berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Haiqal kepadanya sebentar tadi. Terlalu banyak yang meragukan hatinya. Ya, dia akan siasat sendiri nanti!



         Haiqal sekadar menggangguk ringkas dan bangun dari duduknya untuk mengekori papanya melangkah keluar dari kamar kerja. Namun, terdetik juga di hatinya, kenapa papa tiba-tiba sahaja menghentikan perbincangan mereka. Apa agaknya yang papa fikirkan? Beberapa pertanyaan singgah di kotak fikirannya.



***************

Datin Zahirah menghirup perlahan teh panas yang disediakan setiausahanya sebentar tadi. Terasa bersemangat untuk memulakan kerja sebaik teh tersebut mengalir perlahan di tekaknya seterusnya sampai ke perut. Seperti mendapat satu aura baru dan pastinya aura positif. Seraya menyemak beberapa dokuman di hadapannya terutamanya berkaitan kes pembunuhan pelajar di bawah umur tersebut. Pihaknya masih menanti keputusan ujian makmal forensik berkenaan bukti yang dimaklumkan pembantunya Syahrul tempoh hari. Kes kali ini agak rumit untuk diselesaikan. Pembunuh bukan calang-calang orang. Pembunuhannya seolah-olah pembunuhan terancang. Segala bukti yang diperoleh setakat ini sia-sia. Pembunuh seperti sengaja mahu melambat-lambatkan siasatan. Tetapi Datin Zahirah tidak mahu berputus asa. Itu bukan salah satu sikapnya. Dia akan mengendalikan kes ini sehingga selesai. Itulah semangat yang ditanam di dalam hati setiap kali mengambil sesuatu kes. Dia mesti menyelesaikan sesuatu yang telah dia mulakan. Dia yakin, sebijak mana pun pembunuh tersebut, pasti dia akan melakukan kesilapan juga. Lumrah manusia biasa yang memang tidak dapat lari dari kesilapan sama ada disengajakan atau tidak disengajakan. Dia menantikan saat itu dengan sabar.



Secara tiba-tiba, telefon di atas mejanya berdering. Perhatian Datin Zahirah sedikit terganggu dengan bunyi deringan itu. Siapa pula yang membuat panggilan pagi-pagi begini? Seraya semerta mengangkat gagang telefon tersebut untuk menerima panggilan masuk.



“Assalamualaikum Datin, maaf saya mengganggu pagi-pagi begini,” bicara pemanggil memulakan perbualan.



“Mak Uteh ke ni? Apa yang boleh saya bantu?”, soal Datin Zahirah ingin tahu.



“Haziq ada pulang ke rumah semalam? Dia minta saya tunggu di apartmentnya malam tadi. Katanya dia perlukan sedikit bantuan. Tetapi, dari malam tadi hingga hari ini dia tidak balik apartment. Menelefon saya pun tidak. Saya dah cuba telefon dia. Tetapi tidak pula diangkatnya. Bimbang pula saya Datin,” Mak Uteh menyatakan kebimbangannya.



“Terima kasih Mak Uteh sebab bagitahu saya. Kejap lagi saya akan cuba telefon dia. Jangan bimbang ya Mak Uteh,” Datin Zahirah pantas mencadangkan penyelesaian.



“Baiklah Datin. Saya akan menunggu dia di apartmentnya,” Mak Uteh membalas ringkas.



Talian dimatikan sebaik mereka saling berbalas salam.



Datin Zahirah menolak sedikit dokumen di hadapannya. Niat untuk meneruskan kerjanya terbantut. Terjentik kebimbangan di hati setelah bercakap dengan Mak Uteh sebentar tadi. Kali terakhir dia berbual di telefon dengan Haziq tiga hari lalu. Seperti biasa anaknya itu menelefon dan bertanya khabar dia dan papanya. Semerta Datin Zahirah mengambil telefon bimbitnya di dalam tas tangan berwarna krim di atas meja bersebelahan dengannya. Nombor Haziq terus didail. Beberapa saat selepas itu, talian disambungkan.



“Assalamualaikum Haz… anak mama dekat mana ni?,” soalan tersebut terus terpacul laju dari bibir Datin Zahirah tanpa sempat mendengar jawapan salam daripada Haziq.



“Waalaikummussalam mama… er… kenapa mama telefon pagi-pagi ni?” Haziq terus menukar topik perbualan tanpa menjawab pertanyaan mamanya.



“Biasanya, kalau anak mama seorang ni tukar topik ada sesuatu yang disembunyikan daripada mama. Jawab soalan mama tu Haz…,” Datin Zahirah sekadar berteka-teki. Namun, naluri keibuannya kuat mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan Haziq daripadanya.



“Okey.. okey… Haz surrender. Haz kat hospital sekarang ni,” Haziq mengambil keputusan memberitahu mamanya perkara sebenar. Dia tidak mahu membuatkan mamanya bimbang dan terus-terusan tertanya-tanya.



“Hospital? Bila Haz masuk hospital? Sakit apa? Hospital mana? Bagi tahu mama sekarang!” bertalu-talu soalan ditujukan kepada Haziq tanpa sempat Haziq menjawab satu pun. Kalau peguam tu peguam juga. Lagak Datin Zahirah seperti menyoal pesalah di kandang saksi.



“Banyaknya soalan mama… Haz nak jawab yang mana satu dulu ni? Ada pilihan soalan tak ma? Pilih 2 daripada 4 ke? Atau jawab satu je ma?” Haziq cuba buat lawak untuk  meredakan suasana.



“Tiada pilihan jawapan, jawab semua soalam mama, cepat! Jangan loyar buruk dengan mama,” suara Datin Zahirah kedengaran serius.



“Haz kat Hospital Teluk Intan ni panjang ceritanya mama. Nanti bila Haz dah keluar, Haz ceritakan pada mama ya,” ujar Haziq ringkas.



Jelas. Datin Zahirah tidak menggemari jawapan yang diberikan Haziq itu.



“Okey, kalau macam tu, ceritakan pada mama petang nanti. I’ll be there around 3 pm,” bunyinya tegas dan talian telefon dimatikan sebelum Haziq sempat memberikan jawapan.



Haziq menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya. Tanpa disedari, dia melepaskan satu keluhan yang jelas didengari Hana.



“Kenapa mengeluh doc?” Hana menyoal ingin tahu.



“Mama telefon. Dia nak datang sini petang ni. Buat masa ini abang tak mahu mama tahu apa yang terjadi pada abang semalam. Abang akan ceritakan juga pada mama nanti, tapi biarlah abang cari masa yang sesuai. Jadi, apabila mama datang nanti, jangan ceritakan apa-apa pada mama, boleh Hana?” pesan Haziq panjang lebar.



Bukan niatnya untuk menipu atau menyembunyikan masalahnya daripada pengetahuan mama. Tetapi dia harus mencari masa yang sesuai supaya mama tidak salah faham dengan dirinya. Maklumlah, dia punya sejarah hitam suatu ketika dulu. Dia tidak mahu lagi membuatkan mamanya bersedih dan susah hati.



“Jangan bimbang, Doc. Saya akan bagi kerjasama,” Hana mengangkat tapak tangan seolah-olah berjanji.



Haziq tersenyum kecil.



**************************



“Kau ni memang tak oleh harap Am! Kat mana budak dua ekor tu sekarang?” Tiger kecewa kerana Idzham tidak berjaya menculik Hana. Sudahlah begitu, tak pasal-pasal pula pihak polis menggiatkan pencarian memburunya. Kalau tersalah langkah, alamatnya ke tali gantunglah dia jawabnya.



“Aku… aku… tak tahu Tiger,” Idzham menjawab terketar-ketar. Kedua-dua tangannya telah dipegang kuat oleh dua orang konco Tiger. Idzham telah dibelasah teruk kerana tidak berjaya menculik Hana dari tangan Haziq.



“Aku memang tak puas hati dengan kau! Kalau ikutkan hati aku ni, ringan je tangan aku ni nak bunuh kau!” Tiger masih berang walaupun dia telah membelasah Idzham setengah nyawa.



Idzham sedaya upaya berusaha untuk bangkit sendiri setelah dua orang suruhan Tiger melepaskan tangannya atas arahan Tiger. Seluruh tubuhnya terasa lemah dan sakit. Lutut, sendi dan urat saraf terasa sengal dan pedih. Beberapa kali dia terjatuh semula dalam cubaannya untuk bangun sendiri. Tiger dan konco-konconya tidak sedikitpun berasa ehsan belas terhadap keadaan Idzham. Mereka sekadar melihat Idzham berusaha bangun tanpa ada sedikit pun perasaan untuk membantu. Ada yang ketawa mengejek dan ada yang memandang sinis. Tiger pula membuang pandangan ke tempat lain. Sakit hati benar dia melihat wajah Idzham. Tidak boleh diharap! Tak guna!



Cecair merah yang mengalir di tepi bibir dan dahi Idzham disapu dengan lengannya. Terasa pedih amat apabila lengannya mengenai bahagian luka tersebut. Sesekali Idzham terbatuk-batuk. Dia sudah menjangka habuan yang dia bakal terima kerana gagal untuk mendapatkan Hana. Sememangnya Haziq tidak boleh dipandang enteng. Dia bijak dan licik. Idzham tidak menyangka rancangannya semudah itu gagal disebabkan Haziq. Sebenarnya, Idzham tidaklah mengenali Haziq dengan begitu rapat semasa Haziq menumpang teduh di rumahnya kira-kira 7 tahun dahulu. Apa yang Idzham tahu, Tiger dan orang-orangnya seakan-akan telah lama mengenali Haziq Imran yang mereka gelarkan Zeeq itu. Dia sekadar mengenali Haziq kerana abah dan ibu tirinya menyelamatkan Haziq dan merawatnya di rumah mereka. Tetapi berdasarkan tahap kecederaan yang Haziq alami ketika itu dan cacahan tatu ular tedung yang ada dibadannya, Idzham dapat rasakan yang Haziq bukanlah calang-calang orangnya. Pastinya dia ada kaitan dengan kumpulan Tiger. Ataupun mereka telah lama bermusuh. Apa yang pasti, mengapa Tiger begitu benci dan menyimpan dendam terhadap Haziq, dia sendiri pun kurang jelas. Sehingga kini Idzham tidak faham bagaimana Haziq Imran yang dulu boleh berubah terlalu drastik. Daripada seorang yang kurang adab dan kasar menjadi seorang Haziq Imran yang sanggup berhadapan dengan Tiger dan berkorban melindungi Hana dengan nyawanya sendiri .



“Aku tak peduli Am! Aku akan bagi kau satu lagi peluang. Tetapi kali ini kau mesti bertindak pantas!” pesan Tiger dalam nada keras.



“Tapi…,” Idzham teragak-agak.



“Tapi apa lagi bodoh? Aku mahu kau dapatkan dia tak kita apa cara sekali pun! Lepas kita dapatkan Hana untuk diserahkan kepada Karl, aku nak menghilangkan diri, biar pihak polis tak dapat tangkap aku!” kata-kata Tiger berupa arahan keras yang mesti Izham tunaikan.

Idzham senyum sinis mendengar kata-kata Tiger itu.



“Kau ingat semudah itu ke nak culik Hana daripada Haziq? Ingat! Kalau aku ke dalam, kau pun akan aku heret sama! Mahu atau tidak, kau terpaksa melindungi aku daripada pihak polis sampai semuanya selesai,” Idzham memberanikan diri mengugut Tiger. Akal tersebut tiba-tiba datang untuk menyelamatkan dirinya.



“Kau cuba ugut aku ke bedebah? Kurang ajar!” Tiger berang dan terus menghadiahkan satu tumbukan ke perut Idzham.



Idzham terjelepok mengaduh menahan kesakitan. Tiba-tiba kedengaran ketawa Idzham sambil diselangi batukan kuat.



“Bagus jugak kalau kau anggap macam tu,” Idzham masih berani mencabar kesabaran Tiger. Dia tahu, tidak semudah itu Tiger akan membunuhnya.



Kata-kata Idzham menambah sakit hati Tiger. Salah seorang konco Tiger melangkah ke arah Idzham untuk bertindak. Namun, langkahnya terbantut apabila melihat isyarat tangan yang diberikan Tiger menegahnya memukul Idzham. Idzham tersenyum sinis kepada orang suruhan Tiger itu.



“Kau ingat senang ke nak culik Hana? Polis tentu sedang giatkan rondaan. Lagipun, aku tak tahu di mana Haziq sembunyikan Hana!” Idzham mengingatkan Tiger.



            Sudah berkali-kali dia memberitahu tahu Tiger yang dia sememangnya tidak tahu di mana Haziq dan Hana sejak kejadian kejar-mengejar tempoh hari. Dia dan beberapa orang Tiger terus melarikan diri sebaik terlihat sekatan jalan raya ketika mengejar kereta Haziq. Tambah malang lagi apabila salah sebuah kereta polis peronda pula cuba mengejar mereka. Mujurlah kereta polis tersebut berjarak agak jauh dengan kenderaan yang dipandunya dan menyebabkan dia dan konco Tiger berhasil menyelamatkan diri. Sekembalinya mereka ke tempat persembunyian Tiger, Idzham telah menduga yang Tiger pasti naik angin apabila mengetahui yang Haziq sekali lagi berjaya menyelamatkan Hana. Sungguh, keegoannya untuk menyaingi Haziq menghalang dia daripada menerima hakikat keadaan kini lebih berpihak kepada Haziq. Tiger bertempik kuat untuk melepaskan amarahnya, seumpama Pak Belang yang kelaparan mahu menerkam mangsanya.



Aku tidak akan berputus asa! Kau tunggu balasan kau Zeeq! Azam Tiger di dalam hati. Kematian adik angkatnya, Lucky 7 tahun dahulu mesti dibela. Tiger melangkah menghampiri Idzham. Leher baju lelaki itu dicekak dan ditarik rakus mendekat ke arahnya. Idzham terbatuk-batuk kerana genggaman Tiger mengenai batang tengkuknya.



“Bagi tahu aku di mana tempat Hana belajar!” Tiger menyoal kasar.



“Kau sendiri nak culik dia ke?” Idzham bertanya dalam nada menyindir.



“Jangan banyak bunyi! Beritahu aku sekarang sebelum kaki aku ni sampai ke muka kau!” keras dan kuat tengkingan Tiger terhadap Idzham.



Idzham mengecilkan matanya menahan tengkingan Tiger tersebut.


“Dia… dia… belajar di… Shah Alam kalau tak silap aku,” Idzham bersuara tersekat-sekat.



“Apa nama universiti dia?” celah Tiger tidak sabar.
 




Bersambung…..








 

5 comments:

  1. best ! bila nak update lagi ? selalu baca cerita ni . tak sabar ><

    ReplyDelete
    Replies
    1. The Sky: terima kasih sudi singgah n tinggalkan jejak..maaf sbb buat ramai tertunggu-tunggu..sy akan update bab 25 tak lama lg...harap sudi nantikan...terima kasih sekali lagi..=)

      Delete
  2. Salam,

    Boleh saya dapat e-mel penulis?

    Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. wslm...
      Boleh....tp maaf ye...boleh sy tau nape?

      Delete
    2. ini email sy...syaeira86@gmail.com...=)

      Delete