FOLLOWERS...

Saturday 22 February 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 16)


 Assalamualaikum n hye2 semua...sebelum tu eira nak mintak maaf atas kelewatan up n3 bab 16 ni...byk yg tergendala bila sambil menulis, sambil melayan 2 org dak kecik neh...tapi, alhamdulillah...siap juga akhirnya...enjoy ye!

Bab 16
           
Haziq memecut laju keretanya. Dia tidak mahu Idzham berjaya menjejaki Hana. Dia akan berusaha semaksima mungkin untuk melindungi Hana daripada cengkaman Tiger dan Idzham. Kadangkala, Haziq jadi tidak habis fikir bagaimana Idzham boleh memperlakukan Hana seperti ini. Sanggup mengorbankan adik kandung demi kepentingan dirinya sendiri. Idzham sanggup memperhambakan diri demi wang. Ya! Wang yang dijanjikan Tiger jika dia berjaya mendapatkan Hana. 

            Suasana di dalam kereta itu sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah lagu yang berkumandang di corong radio. Lagu yang didendangkan oleh penyanyi kegemaran Haziq, Opick yang berjudul Rapuh. Juga merupakan penyanyi kesukaan Hana. Apa yang jelas, mereka saling tidak menyedari dan tidak mengetahui persamaan tersebut. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Jika tadi Hana begitu cemas, namun kini dia tampak lebih tenang. Hana membuang pandangannya jauh ke luar tingkap. Haziq pula lebih memfokuskan perhatian kepada pemanduannya.

            Haziq menoleh sekilas ke arah Hana yang berada di tempat duduk bersebelahan dengannya. Hana sudah lena dibuai mimpi. Pastinya malam tadi merupakan malam yang panjang dirasakan Hana. Malam tragedi yang sukar dilupakan. Sesekali Haziq terdengar dengkuran kecil Hana. Kasihan sungguh adik angkatnya. Sudahlah ibu masih di bilik bedah, terpaksa pula melarikan diri dek kerana dikejar oleh abang yang ingin memburunya. Haziq sendiri tidak pasti bila Hana ketiduran. Tahu-tahu sahaja, bunyi dengkuran kedengaran memecah kesunyian di dalam keretanya saat ini.

            Buat kesekian kalinya, Haziq memandang cermin pandang belakang untuk memastikan tiada sesiapa yang mengekori mereka. Haziq menarik nafas lega kerana kini dia yakin tiada yang mengekori mereka samada Idzham mahupun konco-konco Tiger. Otak Haziq berfikir ligat, di mana dia dan Hana mahu berteduh untuk membersihkan diri serta menghilangkan penat badan. Bagi Haziq, buat masa ini dialah yang menggantikan orang tua Hana dan tempat Hana bergantung harap. Tambahan pula, Hana akan menduduki peperiksaan akhir kurang dua minggu dari sekarang. Haziq tidak mahu tragedi yang berlaku ini menghalang Hana untuk menghadiri peperiksaan tersebut. Peperiksaan tersebut sangat penting, bukan sahaja untuk Mak Ton dan Pak Kamal, malah untuk Hana menentukan hala tuju hidupnya. Apa cara sekalipun, Hana mesti menghadiri peperiksaan akhir itu. Ikrar Haziq di dalam hati!

            Jam hampir ke angka 6 pagi. Tidak lama lagi azan solat fardhu Subuh akan berkumandang. Mata Haziq melilau mencari papan tanda surau. Manalah tahu ada surau berdekatan. Bolehlah dia dan Hana menunaikan solat Subuh, membersihkan diri dan berehat sebentar sebelum kembali semula ke Hospital Teluk Intan untuk mengetahui perkembangan Mak Ton. Seraya membelokkan kereta ke kanan sebaik terlihat papan tanda bersimbol masjid. Papan tanda itu menandakan arah masjid yang berada kira-kira 500 meter di hadapan. Enjin semerta dimatikan apabila sampai di tempat parkir di perkarangan masjid. Hana masih tidur seperti tadi. Lena. Azan Subuh juga masih belum berkumandang. Haziq mengambil keputusan untuk tidur buat seketika. Terasa letih benar mengharungi malam yang panjang tanpa dapat merehatkan mata walaupun sekejap. Matanya terasa semakin berat dan dia terlena.

***************************************
“Cik, saya nak tanya. Ada tak pesakit bernama Zaiton dihantar ke sini tengah malam tadi?”, Idzham bertanya kepada seorang jururawat yang berada di kaunter pendaftaran.

“Maaf, boleh saya tahu apa hubungan encik dengan pesakit?”, soal jururawat itu kembali.

“Saya anak pesakit. Mak saya ditimpa musibah tengah malam tadi. Ketika itu saya tiada ditempat kejadian. Adik perempuan saya yang menghantarnya ke sini”, Idzham mereka cerita agar jururawat itu mempercayai kata-katanya.

“Puan Zaiton masih berada di dalam bilik pembedahan. Cik Hana dan seorang lelaki sedang menunggu di luar bilik tersebut”, balas jururawat berwajah manis itu memberikan segala maklumat sesuai dengan soalan yang diajukan Idzham.

“Okey, terima kasih nurse yang cantik”, ujar Idzham ringkas. Seraya sempat mengenyitkan mata kanannya sebelum berlalu ke bilik pembedahan yang dimaksudkan jururawat itu.

            Apabila Idzham tiba di situ, dia tidak melihat langsung kelibat Hana atau Haziq di ruangan menunggu di hadapan bilik pembedahan tersebut. Idzham tidak mahu membuang masa. Dia terus mencari mereka di seluruh kawasan. Manalah tahu jikalau Hana dan Haziq menunggu di tempat yang berlainan. Namun, Idzham masih juga tidak menemui sebarang petanda atau jejak Hana mahupun Haziq.

“Mana pulak perempuan ni pergi. Susah betul aku nak cari dia”, Idzham merungut sendirian.

            Geram sungguh Idzham apabila tidak dapat menjejaki Hana. Bukankah Hana sangat menyayangi Mak Ton? Kenapa begitu tega Hana meninggalkan Mak Ton menjalani pembedahan di sini sendirian sedangkan Hana hilang entah ke mana. Maksudnya, Hana tidaklah begitu baik seperti yang dianggapnya selama ini. Duga Idzham di dalam hati. Sebaliknya, Idzham tidak pernah terfikir yang Hana dan Haziq sudah menyedari kehadirannya terlebih dahulu. Dan mereka bertindak lebih pantas dengan melarikan diri daripadanya.

            Idzham meninjau ke sana dan ke mari mencari Hana. Masih juga tidak bertemu. Sudahnya, dia terpaksa berputus asa apabila terlihat sebuah kereta polis memakirkan kereta tidak jauh dari kawasan parkir kecemasan. Idzham bimbang dia akan ditangkap polis dan disumbat ke penjara. Perlahan-lahan Idzham menyelinap ke kawasan parkir kenderaan tanpa melalui hadapan kaunter pendaftaran untuk menyelamatkan diri. Buat masa ini dia terpaksa membantutkan hasratnya untuk mencari Hana. Apa yang penting, keselamatan dirinya terlebih dahulu. Idzham memecut laju motorsikalnya sebaik berjaya menyelamatkan diri untuk segera meninggalkan kawasan hospital tersebut.

**********************************

Tok! Tok! Tok!

“Encik…encik!”, seorang lelaki lewat 60-an mengetuk cermin kereta Haziq.

Haziq cuba sedaya upaya membuka matanya. Terpisat-pisat dia menggosok mata dengan kedua belah tapak tangan. Terasa mengantuk yang amat. Haziq meraba-raba pembalut luka di lengannya. Luka tersebut terasa ngilu dan sakit. Pasti ubat bius semalam sudah habis kesannya. Seraya menggeliat beberapa kali untuk menghilangkan lenguh-lenguh badan dan membetulkan urat saraf.

“Assalamualaikum encik…azan dah berkumandang, mari kita berjemaah sekali”, lelaki berkopiah putih dan berbaju melayu cekak musang berwarna coklat muda itu berkata-kata sebaik Haziq menurunkan cermin keretanya.

“Terima kasih banyak Pak Cik. Sekejap lagi saya menyusul. Nak kejutkan adik saya yang tidur lena ni”, Haziq berterima kasih kerana lelaki itu mengejutkannya untuk solat Subuh.

Hana masih berada dalam keadaan tadi. Tidurnya terlalu lena sehingga tidak langsung menyedari kehadiran lelaki lebih separuh abad itu. Haziq sempat berkira-kira mahu mengejutkan Hana atau tidak. Hendak dikejutkan, tidak sampai hati pula mahu mengganggu tidur Hana. Jika dia masuk dulu, bimbang pula meninggalkan Hana sendirian di dalam kereta. Akhirnya Haziq mengambil keputusan untuk mengejutkan adik angkatnya itu. Apa yang penting adalah keselamatan Hana. Lagipun, Hana boleh menyambung semula tidurnya setelah selesai mendirikan solat Subuh sebentar lagi.

“Hana, bangun Hana. Dah masuk waktu Subuh ni. Jom kita solat dulu”, Haziq memanggil Hana lembut.

Tiada sebarang respon diberi.

“Bangun solat Subuh Hana!”, seraya menegaskan suara sambil menepuk lembut bahu Hana.

Hana bergerak-gerak dan menggeliat beberapa kali sebelum membuka matanya.

“Kejap mak, lima minit je lagi”, Hana terus menyambung semula tidurnya.

Haziq terdiam seketika. Hati kecilnya berasa kasihan dengan Hana. Nampaknya, Hana masih belum menerima sepenuhnya apa yang telah terjadi. Haziq cuba menepuk perlahan bahu Hana sekali lagi untuk mengejutkannya.

“Kita kat mana ni doc? Kita dah selamat kan, doc?”, soal Hana pantas setelah membuka matanya dan melihat suasana sekeliling. Dia sedar kini di mana dia berada dan dengan siapa.

“Jangan risau, kita dah selamat. Kalau Hana nak mandi dulu, ambil tuala dan baju abang dalam bonet kereta. Lepas solat, kita gerak balik ke hospital tengok keadaan mak”, pesan Haziq kepada Hana. Beg berisi pakaian dan kelengkapannya masih di dalam bonet tidak berusik. Hasrat hati mahu bermalam di rumah Mak Ton semalam telah disambut oleh tragedi yang berlaku diluar dugaannya.

Hana sekadar mengangguk dan menuruti setiap pesanan Haziq. Seraya keluar menuju ke belakang kereta dan mengambil pakaian yang dimaksudkan Haziq. Semerta, Hana melangkah laju menuju ke masjid. Haziq mengekori dari belakang. Mereka mengikut haluan masing-masing memasuki masjid. Hana berjalan ke ruangan solat muslimat manakala Haziq ke ruangan solat muslimin. Langkah Haziq terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. Panggilan daripada Insp. Irwan.

“Assalamualaikum Haz. Kau dan Hana ada di mana sekarang ni? Dari tadi aku tak nampak batang hidung kau orang kat sini”, Insp. Irwan bertanya kerana ketika dia sampai di hospital tersebut, Hana dan Haziq tiada di situ.

“Kau dah sampai hospital ke Wan? Kau tolong tengokkan keadaan ibu angkat aku sementara kami sampai. Aku bawa Hana lari sebab Idzham ada di sana tadi. Aku risau dia buat kecoh kat hospital tu. Lagipun, aku tak mahu Hana hadapi trauma lagi berhadapan dengan orang seperti Idzham”, penjelasan yang diberi Haziq sekaligus menjawab segala persoalan Insp. Irwan sejak tadi.

“Alhamdulillah kalau macam tu. Aku bimbangkan keselamatan kau dan Hana”, Insp. Irwan melahirkan rasa lega.

“Aku kat masjid area Rawang. Aku nak mandi dan solat Subuh dulu. Boleh kau tunggu sampai aku dan Hana sampai, Wan?”, Haziq memaklumkan kedudukannya buat masa ini kepada Insp. Irwan.

“It’s okay beb. Aku tunggu kau kat sini. Aku pun nak solat dulu ni. Jumpa nanti!”, Insp. Irwan meminta diri.

“Alright, dude. Ciaou!”, Haziq menjawab ringkas dan mematikan talian telefon bimbitnya. Seraya melangkah ke bilik air untuk membersihkan badan dan menunaikan solat Subuh.

********************************************************

Sekali lagi telefon bimbit Haziq berdering dan ini merupakan kali ketiga bunyi itu kedengaran. Deringan handphone yang menjerit-jerit tersebut seperti minta dijawab segera. Solatnya agak terganggu dek bunyi yang betalu-talu itu. Silap dia juga kerana tidak menukar ke silent mode terlebih dahulu sebelum mula bersolat tadi. Selesai melakukan rukun solat terakhir, Haziq meraup mukanya. Telefon bimbitnya berbunyi lagi tatkala dia mahu menadah tangan untuk berdoa. Niatnya untuk berdoa terbantut. Seraya pantas mencapai telefon bimbitnya untuk melihat nama pemanggil. Nama Insp. Irwan terpampang pada skrin. Tanpa berlengah, Haziq terus menekan punat hijau untuk menyambung panggilan tersebut.

“Maaf, aku baru lepas solat. Kenapa, Wan?”, Haziq terus menyoal.

“Kau dan Hana kena datang segera. Pembedahan telah dilakukan. Tapi… ibu angkat kau sedang nazak!”, ujar Insp. Irwan cemas.

Thanks for the info, aku datang sekarang. Segala perkembangan nanti jangan lupa beritahu aku”, Haziq segera melipat sejadah yang digunakannya. Mengemaskan kain pelikat dan bergegas keluar untuk mencari Hana.

            Haziq terlihat Hana membetulkan tudung yang dipakainya sambil berjalan. Langkah yang diatur Hana pantas sekali. Haziq mempercepatkan langkah untuk bersama-sama dengan Hana menuju ke kereta. Haziq perlu mengkhabarkan berita penting daripada Insp. Irwan seberapa segera.

“Masuk dalam kereta cepat Hana. Insp. Irwan telefon abang tadi, dia beritahu abang yang mak tengah nazak!”, beritahu Haziq sambil tangannya menutup pintu kereta.

“Ya, Allah! Mak… cepatlah doc!”, Hana terkejut mendengar khabar kurang baik yang disampaikan Haziq kepadanya. Padanlah dia merasa tidak sedap hati sejak tadi lagi.

“Selamatkanlah ibuku Ya Allah!”, Hana menadah tangan memanjatkan doa kepada Allah SWT. Hanya kepada Yang Maha Berkuasa Hana bergantung harap kini.

Haziq memecut laju kereta untuk cepat sampai ke hospital. Kebimbangan jelas terpancar pada wajahnya saat ini. Manik-manik peluh mula membasahi tubuhnya. Haziq terlalu bimbang seandainya mereka tidak sempat bertemu Mak Ton buat kali terakhir.

Hana melompat keluar dari perut kereta setibanya mereka di kawasan parkir kecemasan hospital. Seraya berlari laju menuju ke bilik bedah untuk mendapatkan ibunya.

“Bagaimana keadaan mak saya doktor? Mak saya berada di mana sekarang? Cepatla jawab doktor!”, Hana terus menerpa ke arah Dr. Azim yang masih berada di hadapan bilik tersebut untuk mengetahui keadaan terkini Mak Ton.

Dr. Azim yang sedang bercakap dengan Insp. Irwan semerta tergamam dengan tingkah Hana. Haziq pula baru tiba di situ setelah memakirkan kereta berdekatan pintu utama.

“Saya harap Cik bertenang. Maafkan saya Cik, ibu Cik…”, kata-kata Dr. Azim tersekat di rengkungan. Seraya menelan liur untuk meneruskan bicaranya.

“Kenapa mak saya doktor? Bagi tahu saya sekarang!”, suara Hana meninggi.

“Maafkan saya, kami gagal menyelamatkan Puan Zaiton…”, Dr. Azim tampak tenang sebaik menghabiskan bicaranya.

“Ya, Allah! Mak…”, Hana rebah sebaik mendengar berita yang disampaikan Dr. Azim kepadanya.

Sepantas kilat Haziq menyambut tubuh Hana daripada terjelepok ke lantai. Hana sudah tidak sedarkan diri.

Bersambung…

p/s: Sudi2 la drop komen taw kalau ada salah n silap di mana2...eira akan perbaiki lagi dari masa ke semasa atau pun jemput klik survey box kat bwh neh ye...tq n syg semua...^_^

8 comments:

  1. setiap bab yg mendebarkn apabila dibaca

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sgt sis sudi drop komen...nantikan bab 17 ye..=)

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih baby mio sudi singgah n drop comment yg membina...nantikan bab 17 taw..(^_^)..

      Delete
  3. Best..smbg lg..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanx sudi baca n bagi komen...setia menanti bab 17 ye..=)

      Delete
  4. Best2...next episode pls...hihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanx a lot Husna...insyaAllah..will be updated soon..setia menanti taw..=)

      Delete