FOLLOWERS...

Saturday 6 July 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 5)

Bab 5


Haziq memakirkan keretanya di sebelah kereta BMW X6 berwarna putih milik mamanya. Nampaknya mama tidak ke mana-mana pada hujung minggu ini, sudah pasti kerana menunggu Haziq pulang. Jika tidak, hujung minggu begini sudah pasti mamanya berada di spa memanjakan diri. Tidak pun berkunjung ke rumah Haiqal anak sulungnya melayan cucu. Ataupun berada di firma guamannya. Mama seorang yang sangat penyayang berbeza dengan papanya. Mama menjalankan rutin harian seperti ibu-ibu lain dan sangat bijak menguruskan masanya walaupun pada hakikatnya dia wanita yang berkerjaya. Hal itu yang membuatkan anak-anaknya terutama Haziq sangat rapat dengan mamanya.


Haziq memberi salam sambil memulas tombol pintu kayu berukir emas itu. Seorang wanita lebih separuh abad tersenyum menyambut kepulangannya. Wajah itu kelihatan tenang dan manis sekali. Tudung biru lembut yang dikenakan wanita itu sedondon dengan blaus yang dipakainya. Sememangnya wanita itu bijak bergaya walaupun serba ringkas berada di rumah. Wajah penyayang itu selalu membuatkan hati anak-anak dan suami sejuk setiap kali memandangnya.


“Assalamualaikum ma“, ujar Haziq sambil seraya meletakkan beg galasnya di atas meja sisi berdekatan tempat dia berdiri. Haziq menghampiri Datin Zahirah lantas menghulurkan salam pada mamanya. 


“Anak mama apa khabar? Rindunya mama pada Haziq…”, Datin Zafirah menyambut ciuman tangan Haziq dan terus memeluk anaknya itu. Terasa seperti bertahun-tahun berpisah, walhal baru masuk dua minggu.


“Haz sihat alhamdulillah, ma. Mama ni selalu bimbangkan Haz, Haz ok je. Gaya mama macam dah bertahun Haz tak balik rumah”, ujar Haziq berseloroh.


“Mama kan sayang anak-anak mama…salah ke?”


“Bunyi macam merajuk je, ma. Jangan risau ok…Haz akan selalu balik jenguk mama. Haz kan sayang mama”, serentak dengan itu sebuah ciuman dihadiahkan di pipi kanan Datin Zafirah. Datin Zafirah tersenyum lebar mendengar kata-kata anak keduanya itu. Sejak dari kecil sampai besar, Haziq memang pandai memujuk dan mengambil hatinya. Mungkin kerana itulah Haziq sangat rapat dengannya berbanding anak sulungnya Haiqal.


“Haz pergi naik dulu mandi. Pastu turun minum petang dengan mama. Dah lama sangat kita tak borak-borak”, pinta Datin Zafirah lembut.


“Papa balik lambat hari ni ma?”, Haziq sempat bertanyakan papanya sebelum kakinya memanjat anak-anak tangga yang diperbuat daripada kayu jenis mahogany untuk ke kamarnya di tingkat atas. 


“Biasalah papa kamu tu Haz, sebelum maghrib nanti dia sampai la tu”, ujar mamanya seraya melangkah ke dapur.


Haziq meletakkan beg galasnya di sisi katil. Seraya terus melambungkan badannya di atas katil empuk yang telah sedia menanti tuannya sekian lama. Rindu pula Haziq dengan katil yang ditinggalkannya hampir dua minggu itu. Tangannya di depangkan bebas. Haziq memerhatikan kipas syiling berukir cantik itu. Pandangannya kosong. Dia terdiam dalam kedudukan itu beberapa minit.


“Haz, cepat sikit tau, minum petang Mak Yam dah sediakan ni!”, kedengaran sayup suara Datin Zafirah memanggil anaknya.


Haziq bingkas bangun dan menggeliat beberapa kali. Lantas seraya mencapai tuala yang telah terlipat kemas di atas katilnya. Setelah menyalin pakaian, Haziq terus melangkah ke bilik mandi. Ketika dia melewati meja tulis berdekatan almari solek, dia terpandang sepucuk surat bersampul coklat muda terletak elok di atas meja itu. Langkahnya terhenti. Haziq mencapai surat misteri tersebut dan membelek-beleknya beberapa kali mencari nama pengirimnya. Sayangnya, surat misteri bersetem negeri Selangor itu tiada tercatat nama siapa pengirimnya. Haziq berfikir sejenak mengamati tulisan tangan milik pengirim misteri itu. Namun, dia tetap tidak dapat mengingati jauh sekali mengenali pemilik tulisan tangan tersebut.


Rasa ingin tahu berkobar-kobar dalam hatinya. Mindanya pula ligat berteka teki mencari jawapan siapa pengirim surat itu. Tanpa membuang masa, Haziq terus mengoyak pantas sampul coklat muda itu untuk mengetahui siapa pengirimnya. Sepucuk surat berwarna putih yang terlipat kemas di keluarkan dari dalam sampul surat tersebut. Di belakang lembaran putih itu tercatat alamat pengirim misteri yang menjadi tanda tanya Haziq sejak tadi. 

Muhd. Kamal B. Abd. Syukor,
No. 49, Lorong Intan,
Kg. Sungai Haji Dorani,
45300 Sg. Besar, Sabak Bernam,
Selangor.

Segaris senyuman kecil bermain di bibir Haziq setelah membaca nama dan alamat pengirimnya. Seraya membuka lipatan surat tersebut dan semerta, sekeping foto yang diselitkan dalam lipatan surat itu terjatuh ke lantai. Haziq terus mengutip foto tersebut dan menatapnya. Sebuah lagi senyuman terukir di wajah apabila terpandang foto sepasang suami isteri yang sangat dikenalinya. Seraya menyentuh gambar seorang lelaki berumur lewat 60-an. Rindu sungguh rasanya pada lelaki di dalam foto itu. Lelaki yang berjaya merubah kehidupannya sehingga dia menjadi siapa dirinya saat ini. Lelaki yang dia hormati dan berjasa besar kepada dirinya. Sememangnya dia terhutang budi pada sepasang suami isteri itu.


Seraya pantas membaca warkah tulisan tangan tersebut.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

Kehadapan anakandaku Imran,

Apa khabar Im? Abah harapkan Im sentiasa sihat dan dilindungi Allah SWT selalu. Terlalu lama kita tak bersua. Adakah Im masih mengingati abah dan mak di kampung?Dah lama rasanya abah tidak mendengar sebarang khabar berita daripada Im sejak 3 tahun lalu. Kali terakhir abah dapat undangan perkahwinan yang Im kirimkan. Maafkan abah dan mak sebab kami tidak dapat hadir pada hari pernikahan Im dulu. Mak demam teruk masa itu, sebab itulah kami tak dapat menghadirkan diri. Apa khabar isteri Im? Mesti cantik orangnya. Teringin sungguh abah dan mak nak jumpa. Mungkin juga, sekarang Im sudah menimang seorang cahaya mata yang comel.

Sayu hati Haziq membaca perenggan pertama warkah tersebut. Seandainya abah dan mak tahu, apa yang terjadi kepadanya dan Qistina Farwizah… Tidak mengapalah, biarlah masa mengubat lara di hati ini. Bisik Haziq di dalam hatinya. Kemudian dia menyambung bacaan.


Abah dan mak sangat rindukan Im. Emak selalu berangan yang satu hari nanti, Im akan datang menjenguk kami di kampung. Abah tahu, Im sibuk dengan tugasan seharian dan tidak pernah sekali-kali melupakan kami di sini. Abah dan ibu dah anggap Im macam anak kami sendiri.

Sesekali abah teringat pengalaman kita turun ke sawah membanting padi. Bersarapan pagi di pondok tepi sawah. Abah tak sangka Imran tidak kekok turun ke bendang bermain lumpur. Ingat tak ketika Im dipatuk ular? Cemas sungguh abah dan mak. Nasib baiklah Im sempat di bawa ke hospital dengan kereta Pak Din. Untuk pengetahuan Im, Pak Din sudah tiada. Dia meninggal 3 tahun lalu akibat sakit jantung. Mungkin tidak lama lagi, abah juga akan menyusul.

            Terlalu banyak cerita yang ingin abah kongsikan di sini. Tetapi rasanya mungkin warkah yang tidak diundang ini akan menjadi terlalu panjang pula nanti. Sesungguhnya, tiada siapa lagi yang boleh abah harapkan melainkan Im. Tidak keterlaluan jika abah katakan, abah lebih mempercayai Im bebanding abang Am. Bukan niat abah ingin membuka aib diri atau memburukkan anak sendiri. Tetapi, abah percaya, Im sendiri sudah sedia maklum perangai abang Am.

            Sejak 2-3 tahun ini, dia menjadi makin liar dan perangainya makin teruk. Bercampur gaul dengan budak liar dan gangster. Ketagihan judinya pula makin menjadi-jadi. Abah bimbangkan keselamatan mak dan Hana. Ingat tak lagi anak perempuan abah yang pernah abah ceritakan pada Im dulu? Abah tahu, Im tidak pernah bertemu dan mengenali Hana kerana ketika Im tinggal di sini Hana bersekolah asrama dan Im belum berkesempatan bertemu dengannya. Abah amat berharap, jika Im menerima warkah ini, sudilah kiranya mencari mak dan Hana. Abah titipkan mak dan Hana di bawah penjagaan Im kerana abah sangat bimbang jika abang Am akan bertindak di luar dugaan satu hari nanti.

            Maafkan abah jika abah telah menyusahkan Im atas amanah yang abah titipkan ini. Namun, abah tidak dapat mencari jalan penyelesaian yang lain lagi. Bagi abah, segalanya salah abah juga kerana gagal mendidik abang Am menjadi manusia yang berguna. Abah harap, Im boleh menjaga amanah yang abah tinggalkan ini. Itulah harapan terakhir abah.

            Abah faham, pastinya Im merasa bingung, kenapa abah tiba-tiba mengamanahkan mak dan Hana kepada Im. Ya nak, ketika ini abah sakit tenat. Abah dapat rasakan, mungkin hayat abah sudah tidak lama lagi dan berkemungkinan juga, ketika Im menerima dan membaca warkah ini, abah sudah menghembuskan nafas yang terakhir… Abah akan simpan segala kenangan kita dalam hati abah hingga abah menutup mata. Mungkin perkenalan kita dulu merupakan takdir yang telah Allah SWT tentukan dan abah harap Im boleh menjaga mereka seperti keluarga sendiri.

Akhir kata, abah dahulukan dengan ucapan ribuan kemaafan seandainya ada kekurangan atau kesalahan yang abah lakukan sepanjang perkenalan kita, nak. Wassalam…

Salam sayang,

Abah

Haziq menyeka air mata yang tumpah ke pipinya. Ingatannya terimbau memori tujuh tahun dulu. Haziq Imran hari ini bukanlah Haziq Imran yang sama tujuh tahun dahulu. Bagi Haziq, mungkin Pak Kamal gagal mendidik Idzham, tetapi jasa Pak Kamal terhadap dirinya terlalu besar. Ada kekesalan terbit di hati Haziq kerana tidak terus berjumpa orang tua itu setelah pulang dari Mesir setahun yang lalu. Masihkah ada kesempatan untuknya bertemu insan sebaik Pak Kamal dan Mak Ton? Masih hidupkah Pak Kamal? Soalan demi soalan menerjah masuk ke benak Haziq.


Tok! Tok! Tok! 


             Kedengaran pintu biliknya diketuk beberapa kali. Lamunan Haziq terhenti, wajah yang bermain di mata dan berlegar-legar diingatannya serta-merta hilang.


“Dah siap ke belum Haz, mama tunggu lama kat bawah tadi. Takkan bersiap macam tuan puteri kot sayang?”, terdengar suara mamanya di sebalik daun pintu.


“Ok, Ok! 5 minutes, ma!”, Haziq terus melipat kembali warkah itu dan bergegas melangkah ke bilik air untuk menyegarkan tubuhnya.


            Beberapa minit kemudian, Haziq keluar dari kamarnya dengan siap berbaju-T berwarna biru muda dan berseluar jeans. Langkahnya terhenti apabila tiba di anak tangga yang kedua apabila telefon bimbitnya bergetar menandakan ada mesej yang masuk. Haziq terus mengeluarkan telefon bimbitnya untuk membaca mesej tersebut. Dia tersenyum sebaik melihat nama ‘Hana’ yang terpapar pada nama pengirim. Mesej yang disampaikan ringkas, namun mampu membuat mata Haziq terbuntang dan jantungnya hampir luruh sebaik membaca mesej tersebut.

Maaf, lambat sms Dr. Ini alamat saya yang Dr. minta petang tadi.

Nur Hana Nazira, 
No. 49, Lorong Intan,
Kg. Sungai Haji Dorani,
45300 Sg. Besar, Sabak Bernam,
Selangor.

Alamat Hana sama dengan alamat yang tertera pada warkah misteri tersebut!!


Bersambung……


Enjoy reading =)


No comments:

Post a Comment