FOLLOWERS...

Wednesday 28 May 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 20)

Bab 20

Datuk Mahfudz berjalan mundar-mandir di dalam kamar kerjanya. Malam semakin larut, namun dia masih belum mahu tidur. Segala yang dibuat dirasakan serba tak kena. Gelisah. Seperti cacing kepanasan. Tetapi bukan panas badan yang dialami saat ini, sebaliknya lebih menjurus kepada panas hati yang sukar untuk diredakan bahangnya. Sehingga kini, dia masih menunggu kedatangan anak sulungnya, Haiqal. Datuk Mahfudz telah menghantar pesanan ringkas agar Haiqal berjumpa dengannya malam ini tepat pukul 9.00 malam. Kini, jam menunjukkan hampir ke angka 11.00 malam. Bayang Haiqal masih belum kelihatan.

            Adakah Haiqal tidak menerima pesanan ringkas tersebut? Tetapi, jika mesej yang dihantar tidak sampai sudah pasti penghantaran pending. Namun, matanya jelas membaca perkataan delivered setelah menghantar mesej tersebut. Datuk Mahfudz memicit-micit kepalanya untuk meredakan perasaan runsingnya. Itulah salah satu sebab kenapa dia lebih gemar membuat panggilan terus dibandingkan dengan menghantar pesanan ringkas. Seraya terpaksa memilih untuk menghantar mesej kerana sudah berkali-kali dia cuba menghubungi Haiqal, namun panggilannya langsung tidak berjawab. 

Haiqal seakan sengaja mahu menguji kesabarannya. Sengaja mencabar keegoaannya sebagai ayah merangkap pemilik saham terbesar Jentayu Holdings. Sejak kebelakangan ini, Haiqal sekeluarga memang jarang sekali bertandang ke rumahnya. Tambahan pula Datin Zahirah agak sibuk beberapa hari ini kerana mendapat kes baru berhubung kematian seorang remaja. Lazimnya, anak-anak akan datang ke rumah hanya apabila mama mereka berada di rumah. Mungkin kerana Datuk Mahfudz selalu sibuk menyebabkan semua anak-anak lebih rapat dengan mama mereka berbanding dirinya. Hal itu juga membuatkan Datuk Mahfudz merasa bertuah berkahwin dengan Datin Zahirah. Seorang wanita hebat yang mampu menyeimbangkan antara kerjaya dan rumah tangga.

            Datuk Mahfudz melangkah keluar dari bilik kerjanya menuju ke dapur. Seraya mahu membasahkan tekaknya dengan minuman sejuk sekaligus menyejukkan hatinya yang dipenuhi dengan perasaan marah. Datuk Mahfudz mahu mencuba petua Datin Zahirah. Isteri kesayangnya itu akan meminum minuman sejuk setiap kali berasa marah atau untuk meredakan kekusutan fikiran.

            Wajah Datuk Mahfudz semerta mengukir senyuman sebaik terlihat Datin Zahirah ada di dapur. Dia berharap segala masalah yang dihadapinya mampu disembunyikan daripada pengetahuan isteri tercinta. Datin Zahirah sedang khusyuk mengacau minuman panas dihadapannya tanpa menyedari kehadiran Datuk Mahfudz di situ. Perlahan-lahan Datuk Mahfudz menapak  ke arah belakang Datin Zahirah. Terbit idea nakal mahu mengusik isteri tercinta.

“Hah!”, Datuk Mahfudz mengejutkan Datin Zahirah daripada belakang. Mug berisi air coklat panas yang dipegang Datin Zahirah bergoyang dan tertumpah sedikit di atas meja.

“Terkejut Zah, tak senonoh abang ni!”, Datin Zahirah menegur manja suaminya. Sememangnya dia tahu Datuk Mahfudz gemar mengusik dan berjenaka. Itulah perangai yang tidak pernah berubah sepanjang lebih 30 tahun usia perkahwinan mereka.

“Apa Zah buat kat dapur malam buta macam ni?”, soal Datuk Mahfudz.

“Zah tengah menari ballet, abang tak nampak ke?”, giliran Datin Zahirah memulangkan paku buah keras.

Datuk Mahfudz ketawa besar mendengar jawapan yang diberikan isterinya.

“Loyar buruk pulak Zah ni”, bicara Datuk Mahfudz sebaik ketawanya mulai mereda.

“Patutnya Zah yang tanya abang, apa abang buat kat dapur ni?”, soal Datin Zahirah pula.

“Abang terasa nak minum minuman sejuk. Nak cuba petua Zah tu. Manalah tahu, lepas minum boleh rasa mengantuk”, Datuk Mahfudz memberi jawapan ringkas.

“Siapalah yang buat suami Zah yang kacak dan baik hati ni marah. Biar Zah sekeh-sekeh kepala dia sampai benjol”, Datin Zahirah masih cuba bergurau.

“Tak adalah. Saja tekak abang ni tetiba terasa nak minum jus oren”, Datuk Mahfudz cuba mengelak.

“Dah berapa tahun kita kahwin bang… Biasanya kalau tak boleh tidur, abang pekena secawan kopi O. Tiba-tiba malam ni nak minum jus oren pulak?”, Datin Zahirah masih cuba menerka untuk beroleh jawapan.

Datuk Mahfudz menghadiahkan senyuman hambar.

“Kalau Zah tahu, confirm Zah tak akan sekeh kepala dia punya!”, Datuk Mahfudz seakan mengejek.

Datin Zahirah menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan. Seraya membetulkan duduknya agar terasa lebih selesa.

“Haziq or Haiqal dear?”, soal Datin Zahirah kemudiannya.

“Haiqal”, Datuk Mahfudz memberi jawapan pendek malas mahu membuatkan isterinya terus-terusan berteka-teki.

“Apa yang dia dah buat?”, Datin Zahirah bertanya ingin tahu.

“Ada masalah pada projek yang diuruskannya. Berlaku ketirisan dalam jumlah yang besar. More than half million, dear”, Datuk Mahfudz menceritakan perihal Haiqal kepada Datin Zahirah. Hatinya merasa sedikit lega apabila meluahkan segalanya pada isteri tercinta.

“Banyak tu, bang. Abang dah bincang dengan dia ke?”, Datin Zahirah cuba mencadangkan penyelesaian.

“Nak bincang macam mana, Zah kalau call tak berangkat, sms tak reply”, getus Datuk Mahfudz.

“Sabar, bang. Manalah tahu dia juga sedang ada masalah. Mungkin sebab tu dia tak boleh angkat call abang dan reply sms abang”, seboleh mungkin Datin Zahirah tidak mahu pertengkaran berlaku antara dua beranak itu.

“Entahlah Zah, kalau ada masalah kenapa tak beritahu kita. Ini tidak, buat abang tertunggu-tunggu macam orang bodoh”, rungut Datuk Mahfudz lagi.

Datin Zahirah menghirup perlahan minuman di dalam mug berwarna merah hati di hadapannya.

“Karenah anak-anak bang, kadang-kala kita orang yang lebih tua ni kena banyak bersabar”, Datin Zahirah masih berusaha memujuk hati suami tercinta. Seraya menghulurkan segelas jus oren kepada suaminya.

Datuk Mahfudz menyambut gelas tersebut tanpa bersuara sepatah pun. Diam seperti sedang memikirkan sesuatu.

****************************
Haziq menekan pedal minyak melajukan keretanya apabila kenderaan Idzham menghampiri. Permukaan jalan kampung yang berlopak sana sini menyukarkan lagi pemanduan Haziq. Tambahan pula lengannya yang luka terkena pisau Tiger baru mula membaik. Sesekali terasa sengal dan sedikit pedih apabila memusing stering kereta. Idzham pula lebih arif tentang keadaan jalan di kampungnya. Dia cekap mengelak lopak dan meredah lekuk-lekak jalan yang bagai telah sebati dengan dirinya. Apa tidaknya, di sinilah dia bermain dan dibesarkan. Haziq cuba sedaya upaya menjauhkan jarak mereka agar Idzham tidak dapat memintas keretanya. Dia akan cuba sehabis mungkin untuk menyelamatkan Hana daripada Idzham dan kawan-kawannya. 

“Doc, apa kita nak buat ni? Mereka makin hampir!”, Hana semakin cemas. Panik. Jantungnya berdegup laju. Wajah gerun Tiger yang menyeringai memandang ke arahnya semerta terbayang di ruang mata. Hana cepat-cepat menekup mata dengan kedua belah tapak tangannya untuk mengusir jauh wajah itu.

“Bertenang Hana, tenangkan hati dengan istighfar dan zikrullah. Percaya pada abang… kita akan selamat. Insyaallah!”, sempat Haziq berpesan tanpa sedikitpun menoleh ke arah Hana kerana terlalu fokus dengan pemanduannya.

Mak Uda pula mencapai tangan Hana dan memegang jemari yang semakin sejuk itu dengan erat. Memberi semangat agar Hana lebih kuat. Nasib baik juga Mak Uda tiada sakit jantung, jika tidak bimbang juga dia bakal terkena serangan jantung menghadapi keadaan yang cukup mencemaskan ini.

Kereta Haziq hampir tiba di simpang untuk ke Sabak Bernam. Namun dalam suasana malam yang kelam dan ditambah pula dengan penglihatan yang terhad dek tiada lampu jalan di sepanjang jalan tersebut, Haziq masih dapat melihat dengan jelas dari kejauhan sebuah kereta menghadang laluan mereka untuk ke Sabak Bernam. Pastinya kenderaan tersebut milik anak buah Tiger, duga Haziq di dalam hati. Haziq meninggikan lampu keretanya sambil otaknya berfikir ligat bagaimana untuk mengelak daripada kenderaan di hadapannya sekaligus menyelamatkan Hana daripada tertangkap. Seraya melilaukan pandangan ke kiri dan kanan andai ada jalan alternatif buat mereka untuk menyelamatkan diri. Namun jalan yang ada hanya satu. Di kiri dan kanan jalan hanyalah sawah padi yang terbentang luas. Tidak mungkin mereka dapat meredah lumpur sawah padi untuk melarikan diri. Silap hari bulan, keretanya pula akan tersekat di dalam lumpur sawah padi itu.

“Mereka cuba menghalang jalan kita Mak Uda. Mak Uda tahu tak jalan lain yang selamat untuk kita lalui? Mungkin ada jalan singkat untuk ke balai polis terdekat?”, Haziq terus bertanya kepada Mak Uda.

“Ada Im, tapi kita sudah terlepas hampir satu kilometer…”, Mak Uda menjawab dengan nada yang agak kecewa. Dia langsung tidak terfikir tadi. Mungkin dalam keadaan yang cemas tersebut membuatkan otaknya terlupa tentang jalan singkat melalui ladang kelapa sawit milik arwah Pak Din.

“Kalau macam tu, kita mesti berpatah balik!”, Haziq membuat keputusan mendadak. Mungkin juga terdesak!

“Doc dah gila ke? Kan abang Am sedang kejar kita kat belakang ni!”, hampir terkeluar biji mata Hana saat mendengar kata-kata Haziq sebentar tadi. Mungkin Haziq sudah kurang waras agaknya. Hana kaget.

“Percaya pada abang!”, Haziq memperlahankan keretanya.

“Apa Doc nak buat ni? Kenapa perlahankan kereta?”, Hana tidak senang duduk dengan tindakan Haziq.

Hana bingung. Duduknya semakin tidak kena. Sekejap berlunjur, sekejap pula dia memeluk lutut untuk meredakan keresahan yang membelenggu jiwa. Mak Uda pula menggenggam tangan Hana semakin erat. Dia redha andai apa pun yang bakal terjadi kelak. Mulutnya terkumat-kamit berdoa dan berzikir kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa agar mereka semua terselamat daripada musibah ini.

            Tanpa membuang masa, Idzham memecut keretanya untuk memintas kereta Haziq. Idzham ketawa berdekah-dekah. Dia sepatutnya berterima kasih kepada Neo kerana tiba tepat pada waktunya. Sudah pasti Haziq tiada jalan lain yang nak dituju. Akhirnya Hana jatuh juga dalam genggamannya. Terbayang di ruang mata wang sagu hati yang dijanjikan Tiger. Idzham bercadang mahu menaikkan harga sagu hati tersebut sebaik menyerahkan Hana kepada Tiger nanti. Senyuman jahat terukir dibibir. Haziq pula tampak tenang, dia terlebih dahulu telah menduga tindakan yang akan diambil Idzham.

“Hahaha! Ke mana lagi korang nak lari hah? Mampus kau kali ni Zeeq!”, Idzham ketawa berdekah-dekah sambil tangannya pantas memusingkan stering kereta untuk menghadang kereta Haziq.

Semua yang ada di dalam kereta tersebut juga ketawa bersama-sama Idzham. Salah seorang daripadanya mengeluarkan sepucuk pistol. Bersedia untuk bertindak jika keadaan mendesak. Idzham memberhentikan kereta secara mengejut sebaik berjaya memintas kereta Haziq. Serentak itu juga Haziq memberhentikan keretanya apabila dihadang kereta Idzham tiba-tiba.

“Ok, now! Hana dan Mak Uda pegang kuat-kuat!”, Haziq separuh menjerit memberikan arahan tersebut. 

Semerta, seraya menukar ke gear reverse dan terus mengundurkan kenderaannya. Sebaik jarak antara keretanya dengan Idzham agak jauh, Haziq terus memusingkan keretanya untuk berpatah balik. Idzham yang tidak menyangka tindakan nekad Haziq tersebut kelam-kabut turut sama menukar gear reverse untuk mengejar Haziq. Salah seorang konco Tiger yang duduk bersebelahan Idzham yang telah bersedia dengan sepucuk pistol sedari tadi  tanpa diduga terus melepaskan tembakan ke arah Haziq. Tembakan tersebut sedikit tersasar daripada terkena kepala Haziq, namun mengenai bahu kanannya. Darah terpercik mengenai dinding dan cermin kereta di sebelah tempat pemandu. Hana dan Mak Uda menjerit apabila mendengar bunyi tembakan dilepaskan.

“Doc!”. Hana terkejut.

“Aduh! Allahuakbar…”, Haziq mengaduh.

Mak Uda juga secara spontan memanggil nama Haziq kerana menyedari tembakan tersebut mengenai pensyarah muda itu. 

Haziq sempat menoleh sekilas lukanya yang mula mengalirkan cecair merah pekat. Namun tangan kirinya pantas bertindak menukar gear dan kaki kanannya menekan pedal minyak untuk memecut kenderaan. Luka tersebut mula berasa sakit dan pedih. Nyeri sekali.

Idzham yang sedikit terkejut dengan tindakan mendadak anak buah Tiger tersebut berang.

“Kau gila ke? Kalau terkena Hana tadi, apa aku nak jawab dengan Tiger? Bodoh!”, Idzham melampiaskan amarahnya sambil memecut untuk mengejar Hana dan Haziq.

“Kau patutnya berterima kasih pada aku! Si Haziq tak mungkin mampu bertahan dengan luka sebegitu”, selamba konco Tiger menjawab.

“Diamlah!”, marah Idzham masih bersisa.

Hana semakin cemas melihat darah yang tidak berhenti keluar.

“Macam mana ni, Doc? Apa kata kita berhenti dekat mana-mana dulu. Saya bimbang dengan luka Doc tu!”, Hana semakin cemas. Dia tidak mampu untuk berfikir bagaimana cara dia mahu membantu Haziq.

“Fikir pasal Hana dulu, sebelum fikir pasal abang!”, cadangan Hana tersebut dirasakan terlalu mengikut perasaan.

“Betul kata Hana tu Imran. Takkan kamu nak memandu dalam keadaan luka macam ni?”, Mak Uda juga semakin risau. Ada nada ketakutan pada bicaranya. Seumur hidup Mak Uda, dia tidak pernah menghadapi keadaan sebegitu. Inilah kali pertama dan dalam hatinya sentiasa berdoa agar ini juga menjadi kai terakhir menghadapi keadaan yang menyesakkan dada ini.

“Tak mengapa Mak Uda… saya masih mampu bertahan”, Haziq sekadar menjawab pendek. Peluh yang mula keluar jelas menunjukkan kesakitan yang ditanggungnya. Seraya jelas menunjukkan reaksi tidak mahu berbicara lanjut ketika ini.

“Idzham masih di belakang kita! Kenapalah budak ni boleh jadi sejahat ini? Mak Uda tak habis fikir kenapa dia sanggup buat macam ni pada adik sendiri”, Mak Uda semakin tidak puas hati apabila menoleh ke belakang dan masih ternampak kenderaan Idzham mengejar mereka walaupun jaraknya kini agak jauh.

“Sebab dia masih mengekori kita lah saya tak boleh berhenti. Jangan bimbang, berdoalah supaya kita diberi jalan keluar”, Haziq tampak lebih tenang kini walaupun sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Dia kini hanya memandu dengan sebelah tangan sahaja.

Tiba-tiba, sedas tembakan dilepaskan sekali lagi, kali ini ke arah tayar kereta Haziq. Haziq sempat memandang sekilas cermin sisi dan sudah menjangkakan tindakan tersebut. Dengan spontan, Haziq mengelak tembakan rambang itu. Nasib menyebelahi mereka kerana peluru itu tidak mengenai sasaran. Wajah Hana pucat. Hana semakin panik dan ketakutan. Mak Uda menjerit sekali lagi kerana terkejut. Namun Haziq masih tenang dan meneruskan pemanduan. Bagi Haziq, keadaan sebegini sudah pernah dilauinya sebelum ini. Malah lebih teruk lagi. Mungkin kerana itu dia mampu mengawal emosi berhadapan dengan situasi sebegini. Hana mula menangis. Dia merasa bersalah yang amat sangat terhadap Haziq dan Mak Uda. Tidak fasal-fasal dia telah mengheret sekali Mak Uda dan Haziq dalam masalahnya. Hana menangis semahu-mahunya. 

“Don’t worry dear, you’ll be saved. Yakinlah pada Allah SWT…”, bicara Haziq perlahan.
Tetapi Hana dapat menangkap bait-bait yang dilontarkan Haziq dengan jelas di cuping telinganya.

            Kira-kira lima minit mengharungi jalan bengkang-bengkok dan lekak-lekuk ladang kelapa sawit, akhirnya mereka tiba di jalan besar. Idzham di belakang masih belum berputus asa. Namun, setelah kira-kira satu kilometer perjalanan, kenderaan Idzham berpatah balik. Kereta jenis Waja yang dipandu Idzham memecut laju dan menghilang di sebalik ladang kelapa sawit. Mak Uda yang sentiasa meninjau ke belakang mengawasi kenderaan Idzham sejak tadi berasa hairan dengan tindakan drastik Idzham itu.

“Mereka berpatah balik Imran, Hana”, Mak Uda seperti melaporkan.

“Depan tu ada sekatan jalan raya Mak Uda, sebab itulah mereka patah balik. Kalau mereka redah juga alamatnya mencari nahas namanya”, Haziq bersuara tenang. Dia sudah melihat Idzham berpatah balik menuju ke ladang kelapa sawit melalui cermin pandang belakang.

“Kita minta tolong daripada pihak polis kat depan tu untuk bawa Doc ke hospital. Saya bimbangkan luka Doc tu”, Hana bersuara gementar dalam esak tangis yang masih bersisa. Jauh di sudut hatinya dia memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana menyelamatkan mereka dari penjahat-penjahat tersebut.

Haziq tidak bersuara. Mengiakan tidak, membantah juga tidak. Haziq terus memberhentikan kenderaan sebaik tiba berdekatan sebuah kereta polis peronda. Segala urat sarafnya kini dirasakan  semakin lemah. Hana terus membuka pintu kereta dan melompat keluar untuk meminta bantuan pihak polis. Dia mesti membantu pensyarahnya secepat mungkin. 

Mak Uda tidak henti menyabarkan Haziq dan memberi semangat kepadanya. Haziq beristighfar dan mengucap beberapa kali bagi menenangkan diri. Peluh jantan merenik-renik keluar dan membasahi dahi serta dadanya dek menahan sakit yang amat sangat. Dia mahu merehatkan diri seketika sementara Hana meminta bantuan. Darah masih mengalir. Haziq hanya mampu menekan tempat luka dengan tangan kirinya. Matanya dipejam erat. 

“Tolong pensyarah saya encik! Cepat encik, dia kena tembak!”, Hana memberitahu cemas. 

Seorang anggota polis mengambil keterangan Hana. Rupa-rupanya, sekatan jalan yang dibuat adalah untuk menangkap Idzham dan Tiger. Insp. Faizal yang mengetuai sekatan jalan raya malam itu mengerahkan anak buahnya menyusul ke arah ladang kelapa sawit yang diceritakan oleh Hana untuk menjejaki Idzham dan konco-konco Tiger. Insp. Faizal terus mengarahkan seorang anggota polis membantu Haziq untuk berjalan masuk ke kereta polis peronda. Namun, Haziq menegah, dia mahu berjalan sendiri.

“Cik Hana boleh memandu?”, soal Insp. Faizal.

“Maaf Inspektor, saya tak pandai bawa kereta”, jawab Hana jujur.

“Kalau macam tu, Cik Hana ikut kami ke hospital. Yang lain serahkan pada pihak kami”, ujar Insp. Faizal ringkas.

Hana sekadar mengangguk ringkas. Mak Uda pula tidak membantah.

Baru beberapa tapak melangkah, Haziq merasakan pandangan matanya semakin kabur dan berbalam. Dia gagal mengimbangi badannya daripada rebah. Mujurlah polis muda yang berjalan di sisinya sempat memaut tubuh Haziq daripada terjelepok atas jalan tar. Beberapa orang lagi anggota polis yang berada berdekatan mendapatkan Haziq untuk membantu. Hana terus berlari anak ke arah Haziq dan memanggil-manggil nama Haziq beberapa kali. Haziq membuka kembali matanya lemah. Dalam keadaan yang terlalu tidak berdaya Haziq masih mampu bersuara. Suaranya jelas di pendengaran Hana dan anggota polis yang berada bersebelahan dengannya.

“Selamatkan Hana…”, dua patah kata itu sempat ditangkap cuping telinga Hana dengan jelas.

“Doc..”, panggilan Hana tidak lagi bersahut. Haziq senyap.

Bersambung……………