FOLLOWERS...

Saturday 19 July 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 23)



Bab 23

Hana menjengah ke luar jendela. Dia mahu menghirup udara nyaman sebanyak yang mungkin. Terasa sudah beberapa hari dia tidak merasa tenang seperti pagi ini. Sememangnya permandangan dari atas apartment ini sungguh indah. Hana tidak dapat nafikan ketika kali pertama melangkah masuk ke apartment pensyarahnya dia telah mengakui apartment ini cantik. Tidak seperti perkataan ‘my nest’ yang digambarkan Haziq tentang tempat tinggal pensyarah muda itu. Hiasan dalamannya ringkas tetapi elegan. Bermain dengan warna hitam, putih dan merah. Pada hemat Hana, sudah tentu dekorasi dalaman ini hasil sentuhan mama Haziq. Terlalu berbeza jika hendak dibandingkan dengan hostel yang didiaminya bersama Zana. Ruang bilik cukup untuk didiami dua orang pelajar, hanya ada dua buah katil bujang, meja belajar dan almari untuk menyimpan baju dan barang berharga. Semuanya telah digunakan ramai pelajar sebelum mereka. Dia dan Zana sendiri pun tidak tahu, mereka adalah orang yang ke berapa menggunakan segala kemudahan yang disediakan pihak universiti tersebut. Apa yang pasti, Hana dan Zana sentiasa bersyukur. Segala kemudahan tersebut bagi mereka sudah cukup selesa sepanjang proses pengajian di Universiti Sains dan Pengurusan ini.

“Hana nak sarapan dulu atau nak tunggu Haziq?”, sapa Mak Uteh dari belakang.

Hana sedikit tersentak dari khayalannya.

“Tidak mengapalah Mak Uteh, Hana tunggu Doc je. Nanti sarapan sama-sama dengan dia lah”, jawab Hana sambil mengukir senyuman buat Mak Uteh.

Mak Uteh membalas senyuman Hana tersebut sambil tangannya ligat menyusun tiga biji cawan di atas meja makan. Kemudian dia menghilang ke dapur untuk mengambil mee goreng yang telah siap dimasaknya.

Walaupun baru tiga hari Hana di situ, namun, dia berasa selamat dan tenang. Ditambah pula layanan baik daripada Mak Uteh dan pensyarahnya. Hana berasa lebih aman. Alhamdulillah, Hana sudah mula mengulangkaji pelajarannya memandangkan tidak sampai seminggu sahaja lagi peperiksaan semester akhirnya akan bermula. Kehadiran Haziq memudahkan lagi proses pembelajaran Hana kerana dia boleh bertanyakan apa-apa sahaja yang tidak difahaminya kepada pensyarah muda itu. Hana sangat bersyukur. Ada hikmah disebalik apa yang terjadi dalam hidupnya.

Memandangkan Hana tidak mempunyai telefon bimbit, semalam Hana telah berhubung dengan Zana di Facebook dan mereka sepakat bersetuju untuk berjumpa di universiti hari ini. Hana berharap sangat dia dibenarkan ke kampus untuk bertemu dengan sahabatnya Zana. Terasa rindu pula dia dengan Zana. Rusydi? Entahlah. Buat masa ini Hana malas memikirkan hubungannya dengan Rusydi. Diam masih terasa hati kerana teman lelakinya itu langsung tidak bertanya khabarnya hingga ke hari ini. Apa yang ada dibenak Hana sekarang adalah mengulangkaji pelajaran serta menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan akhir semester yang bakal tiba. Itu merupakan harapan terbesar ibu dan bapanya. Soal hubungannya dengan Rusydi, biarlah diselesaikan selepas habis peperiksaan.

“Oit mummy bear! Jom sarapan sama. Apa lagi yang dimenungkan tu?,” sapa Haziq tiba-tiba.

Hana menoleh dan sepantas itu juga sebiji bantal sofa  mengenai tepat ke wajahnya. Haziq pula ketawa besar melihat jelingan tajam yang dihadiahkan Hana untuknya. Haziq berasa lucu.

“Pagi-pagi lagi dah cari pasal!,” ujar Hana sambil mencebikkan bibirnya.

“Maaf ye, abang tak cari ‘pasal’ pun! Ada ke Hana nampak abang tercari-cari ‘pasal’ tadi? Tak ada kan? Lainlah ‘pasal’ tu sejenis  makanan ke ataupun awek cun, nak jugak abang cari. Bukan takat cari je, abang sanggup kejar dan tangkap sekali tau!” kata-kata Haziq disertai dengan ketawa berdekah-dekah.

“Doc ni dah gila agaknya!” ujar Hana sambil jari telunjuk tangan kanannya dipusingkan di tepi kepala menunjukkan tanda hilang akal.

“Tak baik cakap lecturer sendiri macam tu. Hana nak ke ilmu topik Neurochemical Reactions, Serotonin dan Dopamine yang abang ajar semalam tak berkat? Mana boleh kutuk cikgu tau, nanti ilmu tak berkat. Potong markah final nanti baru tahu!,” Haziq masih mengusik.

Hana sudah terdiam. Pantang sungguh dia kalau disebut potong markah final exam. Mudah sungguh dia mengalah.

“Jadi, sekarang ni kita nak makan ke, nak saya dengar Doc membebel?” ujar Hana sambil tayang muka tidak puas hati.

“Okey, kita makan ye dear…,” Haziq seakan memujuk. Bimbang juga dia andai Hana merajuk dan mogok lapar nanti. Siapa yang susah? Dirinya sendiri juga.

Mereka mula menjamah mee goreng yang dimasak Mak Uteh. Sedap masakan Mak Uteh. Orang lama, pasti sudah pakar dalam bidang masak-memasak. Duga Hana di dalam hati. Sementara Haziq pula menjamu selera sambil menatap surat khabar di hadapannya. Khusyuk. Buat seketika masing-masing membuat hal sendiri sambil menikmati makanan yang terhidang di atas meja.

            Hana mengerling sekilas jam di dinding. Sudah hampir ke angka 9.30 pagi. Baru dia teringat bahawa dia telah berjanji dengan Zana mahu berjumpa sahabatnya itu di perpustakaan university pagi ini. Perkara pertama yang perlu dia lakukan ialah meminta kebenaran Haziq untuk ke kampus bertemu Zana. Hana menoleh ke arah Haziq sekilas. Dalam hatinya berkira-kira untuk meminta izin atau tidak. Dia harus memikirkan ayat yang sesuai untuk memulakan bicara. Hana melayan perasaannya memikirkan alasan yang sesuai tanpa sedikit pun menyedari yang dia sudah beberapa kali menoleh ke arah Haziq.

“Kenapa pandang abang semacam je? For your info, muka abang memang dah handsome dah, dari dulu lagi abang tahu. Jangan tenung lama-lama, nanti jatuh hati pulak!” selamba Haziq berkata-kata tanpa menoleh sedikit pun ke arah Hana sambil tangannya menyelak surat khabar ke muka surat baru.

Hana sedikit tersentak dengan sindiran Haziq itu. Malu sungguh mukanya apabila Haziq berkata begitu. Sedangkan dia tidak pernah menyimpan perasaan langsung terhadap lelaki di hadapannya ini. Hana terus menundukkan muka membuang pandangan ke lantai kerana menyedari wajahnya mula merona merah. Sementelah, otaknya bekerja keras untuk mencari ayat cover line yang sesuai.

“Doc jangan nak perasan sangat ye. Saya tak pandang Doc, saya pandang gambar kat dinding tu. Bingkai dia cantik,” Hana beralasan.

“Tengok bingkai gambar ke tengok orang yang kacak bergaya yang tengah posing ala-ala model dalam gambar tu?” duga Haziq mengusik.

Hana pamer wajah cemberut. Tidak berkata sepatah pun. Tak kuasa dia mahu melayan perasaan perasan Haziq. Lebih baik diam dari dia berkata-kata. Nanti diri sendiri makin jadi sakit hati. Jam hampir menginjak ke pukul 9.45 pagi. Hana tidak punya banyak masa lagi untuk meminta izin daripada Haziq. Pada pandangan Hana lebih baik dia memberanikan diri bersuara sekarang, jika tidak alamatnya tak dapatlah dia bertemu sahabat baiknya itu.

“Hari ini saya nak ke kampus jumpa Zana. Boleh kan Doc?” ujar Hana teragak-agak.

            Haziq yang khusyuk membaca berita di ruangan sukan kegemarannya semerta menghentikan bacaan. Seraya mengangkat mukanya memandang Hana. Dia masih tidak memberi sebarang kata putus. Haziq berfikir sejenak. Dia sengaja membiarkan Hana menunggu keputusannya. Hana pula jadi tidak sabar menunggu jawapan daripada Haziq. Kaki di bawah meja digoyang-goyangkan untuk menyembunyikan perasaan gementar. Dalam hati Hana berharap sangat Haziq membenarkan dia pergi ke kampus hari ini berjumpa Zana. Rindu pula dia dengan bff dia itu.

“Boleh tak ni Doc?” Hana bertanya tanpa sabar.

“Erm… dengan dua syarat!,” Haziq tersenyum meletakkan syarat. Tidak semudah itu dia mahu memberi keizinan. Dia bimbang apa-apa terjadi kepada Hana.

“Syarat apa pulak, Doc?” soal Hana lagi.

“Syarat pertama, macam pernah kita persetujui dulu. Pergi dan balik kampus, abang yang akan hantar dan jemput,” bicara Haziq terhenti di situ. Dia sengaja mahu membuat Hana tertanya-tanya syarat yang kedua.

“Tapi, kan tangan Doc baru nak baik. Saya tak nak susahkan Doc. Jangan bimbang, saya boleh jaga diri sendiri,” Hana cuba meyakinkan Haziq.

“Jangan risaulah pasal tangan abang, abang ni kan superhero. Mana boleh manja-manjakan diri,” Haziq membuat lagak seperti ahli bina badan.

Hana menjuihkan bibir. Rasa nak muntah.

“Apa jadi sekalipun, buat masa sekarang ni, di mana ada Hana di situ ada abang! Kecuali tempat-tempat peribadi,” Haziq masih bertegas tidak membenarkan Hana pergi bersendirian.

            Hana melepaskan satu keluhan kecil. Segalanya sudah dapat diduganya sejak tadi. Sengaja dia bertanya untuk meminta kepastian. Itu merupakan salah satu persetujuan antara dia dan Haziq semasa di kampung tempoh hari. Mahu atau tidak, Hana terpaksa akur. Jika dia membantah, bimbang pula andai langsung tidak dibenarkan keluar oleh abang angkatnya itu.

“Hm… ye lah. Tapi, syarat yang kedua pulak apa dia? Cepat la Doc, saya dah lambat ni!” desak Hana.

“Dan syarat yang kedua… erm… Hana kena kata, abang memang kacak lagi bergaya! Itu sahaja. Mudah kan?” Haziq tayang muka serius seperti dia memang benar-benar maksudkan syarat kedua yang diletakkannya.

Hana telan liur mendengar syarat kedua Haziq. Mereng dia dah datang dah! Bisik Hana di dalam hati. Hana tidak berkata-kata. Mulutnya seperti telah terkunci rapat apabila mendengar syarat kedua yang diletakkan oleh Haziq.

“I’m waiting, Hana! Time is running…” telunjuk Haziq dihalakan pada permukaan jam tangannya.

“Hm… ha’ah, betul tu Doc. Doc la pensyarah paling handsome dan stylo yang pernah saya jumpa. Senyuman pulak manis. Ada lagi… baik hati,” Hana tayang senyuman manis yang jelas-jelas palsu. Mee goreng dan air milo yang dijamahnya sebentar tadi terasa hendak terkeluar semuanya.

Berderai ketawa Haziq mendengar pujian Hana yang tidak ikhlas kepadanya. Mimik muka yang dipamer Hana dirasakan sangat lucu. Comel!

Hana menjeling tajam kepada Haziq kerana tawanya belum berhenti. Apa yang kelakar pun aku tak tahu! Dia ingat aku ni badut sarkas ke? Hana mengomel sendirian dalam hati.
“Pukul berapa kita nak bertolak?” soal Haziq dalam tawanya yang masih bersisa. Sesekali dia beristighfar dan menghapuskan air mata yang keluar kerana baginya Hana terlampau lucu dan comel.

“Tak nak lah. Kalau asyik bertolak bila tahun nak sampai?” Hana loyar buruk.

“Kalau tak bertolak, macam mana kita nak sampai? Ada idea?” Haziq menyoal balas.

“Kita naik keretalah Doc! Kan lagi cepat sampai,” balas Hana penuh yakin.

“Tak nak lah abang. Kalau naik kereta nanti mesti orang kata kita gila!” Haziq menduga.

“Kenapa pulak? Naik kereta kan perkara yang normal, bukannya pelik,” Hana masih mahu menang.

“Ye lah, maksud Hana duduk atas kereta? Orang gila je yang naik kereta! Biasanya kita akan duduk dalam kereta kan? Hahaha!”, berderai sekali lagi ketawa Haziq.

Hana terasa mahu ketawa sama, namun dia sedaya mungkin menyembunyikan tawanya. Keegoannya menghalang dia dari berbuat demikian. Mana boleh bagi Haziq menang macam itu saja. No way!

“Saya janji dengan Zana nak jumpa dia pukul 10.30 pagi di perpustakaan universiti, sekarang dah nak pukul 10 pagi dah,” Hana memberitahu dalam nada sedikit merungut.

“Tak payah nak buat ayat sedih, kita bersiap sekarang. Semua ni nanti biar Mak Uteh yang bereskan,” Haziq memberi arahan.

Hana menggangguk laju. Bukan niatnya tidak mahu membantu Mak Uteh, tetapi dia memang sudah telat untuk ke kampus. Hana melangkah laju menuju biliknya yang berada tidak jauh dari ruang tamu.

*********

Iffa melajukan ayunan langkahnya untuk menyaingi Rusydi. Entah kenapa sejak kebelakangan ini Rusydi seolah-olah cuba melarikan diri daripadanya. Setiap kali Iffa menghantar pesanan ringkas, Rusydi tidak lagi membalas walau satu pun sms yang dihantarnya. Setiap kali dia menelefon pula, Rusydi akan memberi alasan yang dia sedang sibuk mengulangkaji pelajaran dan tiada masa untuk berbual walaupun sekejap. Iffa mulai sedar perubahan sikap dan layanan Rusydi terhadapnya sejak akhir-akhir ini. Iffa jadi sakit hati. Dia mahukan penjelasan mengapa Rusydi melayan dia sebegitu rupa. Setahunya, dia tidak pernah berbuat salah pada teman lelakinya itu. Iffa berasa sangat tidak puas hati.

“Tunggu Iffa abang, I need your explaination!” Iffa separa melaung apabila Rusydi seakan tidak mahu mengendahkan dirinya.

“Cukup Iffa, tak ada apa yang nak dibincangkan. Abang sibuk ni!” Rusydi masih mengelak. Langkahnya dilajukan agar jaraknya dengan Iffa semakin menjauh. Dia malas mahu melayan kerenah Iffa. Rusydi dapat merasakan yang kehadiran Iffa dalam hidupnya cukup merimaskan.

“Paling tidak pun, abang beritahu apa salah Iffa pada abang!” Iffa seakan merayu agar Rusydi mahu berbincang dengannya. Mana tidaknya, tiada angin tiada ribut malah pokok juga tidak bergoyang tahu-tahu sahaja hujan lebat di tengah hari. Hati siapa yang tidak tertanya-tanya inginkan kepastian dan jawapan.

Secara tidak semena-mena Rusydi menghentikan langkahnya. Berdiri di hadapan Iffa. Semerta itu juga langkah Iffa terhenti. Iffan masih tidak mengerti.

“Iffa tak ada salah apa-apa dengan abang… Cuma… abang nak kita putuskan hubungan kita. Semakin lama abang rasakan yang kita semakin tiada persefahaman. Iffa buat abang rimas,” bicara Rusydi lambat-lambat. Namun mesej tersebut jelas dan sampai pada Iffa. Rusydi cuba tidak menyinggung perasaan gadis muda dihadapannya, tetapi bicara yang keluar lewat mulut Rusydi tersebut jelas amat melukakan hati Iffa.

“Tapi kenapa abang…” air hangat mula mengalir dari kelopak mata Iffa demi mendengar penjelasan ringkas dan padat Rusydi itu.

“Maafkan abang. Abang rasa penerangan abang tadi dah cukup jelas untuk buat Iffa faham. Anggaplah kita tak ada jodoh,” semudah itu Rusydi mengeluarkan kata-kata. Setiap bait yang diucapkannya menambah luka di hati Iffa.

“Kenapa tiba-tiba abang berubah? Sampai hati abang buat Iffa macam ni!” Iffa tidak puas hati. Dia langsung tidak dapat menerima alasan yang Rusydi berikan. Nampak sangat yang Rusydi sekadar mempermain-mainkannya selama ini.

“Terpulanglah apa sekalipun tanggapan Iffa pada abang. Tetapi abang tetap mahu perhubungan kita diputuskan!” Rusydi menegaskan sekali lagi. Dia memang sengaja mahu menyakitkan hati Iffa agar perbualan ini dihentikan segera dan agar Iffa lebih mudah melupakannya.

Iffa melangkah setapak menghampiri Rusydi dan berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Rusydi pula tidak berhasrat untuk berganjak walau seinci pun.

“Iffa tak sangka abang macam ni, senangnya abang bercakap! Abang ni dah gila agaknya!” intonasi suara Iffa semakin meninggi. Iffa mulai berang.

It’s over between us Iffa. Anggaplah ini kesilapan abang. Abang nak perbetulkan kesilapan ini daripada menjadi semakin parah. Abang harap sangat Iffa dapat terima keputusan abang,” suara Rusydi mendatar seperti orang yang tidak punya perasaan.

“Apa? Kesilapan!” Iffa gagal menahan sabar. Nafasnya turun naik. Desah nafas itu jelas didengari telinga Rusydi.

Pangg!

Satu tamparan hinggap di pipi kiri Rusydi tanpa diduga. Iffa terus berlalu dengan esak tangis yang masih kedengaran setelah menghadiahkan satu tamparan buat bekas teman lelakinya. ‘Hadiah’ itu jelas menggambarkan betapa terlukanya hati Iffa ketika ini.

Rusydi tidak berganjak. Dia kaget seketika dengan tindakan Iffa tersebut. Pipinya terasa pedih. Sungguh dia tidak menyangka tindakan Iffa senekad itu. Seraya memerhatikan sekeliling sambil meraba-raba pipinya yang sakit. Ada dua orang pelajar yang kebetulan lalu di situ sempat menyaksikan drama sebabak Rusydi dan Iffa. Mereka menggelengkan kepala. Panas sungguh hati Rusydi dengan tindakan Iffa itu. Iffa benar-benar mencabar egonya sebagai seorang lelaki. Kurang ajar!

Rusydi mengambil keputusan untuk beredar dari tempat tersebut. Lagipun, dia telah berjanji dengan Ameer mahu menelaah pelajaran di perpustakaan. Dia malas mahu ambil peduli pasal Iffa lagi. Yang penting dia telah berjaya meluahkan segala yang terbuku di hatinya selama ini. Rusydi lega kerana berjaya memutuskan hubungan cintanya denga Iffa. Rusydi menarik nafas dalam-dalam dan dihembuskan. Terasa berjaya mengalihkan satu bebanan besar di atas kepalanya. Yang peliknya, tiba-tiba Rusydi menguntum senyuman sambil melangkah menuju ke perpustakaan untuk bertemu dengan sahabat baiknya, Ameer.

Bersambung…..

p/s : eira sangat mengalu-alukan komen drpd pembaca semua untuk eira improve kelemahan yang ada. Komenlah apa yang anda semua rasakan samada membina atau dalam bentuk kritikan..tq..=)


.

4 comments:

  1. you're truly a excellent webmaster. The site loading speed is incredible.

    It kind of feels that you're doing any unique trick.
    Moreover, The contents are masterpiece. you've done a magnificent job in this subject!


    Take a look at my web page - medical negligence consultants

    ReplyDelete