FOLLOWERS...

Wednesday 31 July 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 8)



BAB 8



“Baca surat ni Hana”, Haziq seolah-olah memberi arahan kepada pelajarnya yang masih teragak-agak untuk membuka warkah yang dihulurkannya.

Hana makin tidak mengerti. Apa kaitannya arwah abah, Dr. Haziq dan mak dengan surat ini? Kenapa kerana surat yang berada ditangannya itu membawa Dr. Haziq jauh hingga ke rumahnya? Hana memandang surat di tangannya. Seraya membuka sampul coklat muda itu dan mengeluarkan lembaran putih yang ada di dalamnya. Kemudian, tangannya pantas membuka lipatan warkah tersebut. Riak wajah Hana sedikit terkejut. Dia kenal benar dengan tulisan tangan tersebut. Ya, benar…tulisan Abah….orang yang sangat dirinduinya. Hana memandang sekilas ke arah Haziq sebelum memulakan bacaan. Nyata, pensyarah muda dihadapannya itu tidak menipu. Memang surat daripada arwah abah. Haziq hanya melemparkan segaris senyuman dan mengangguk saat mereka bertembung pandang.

Hana khusyuk mengadap warkah di hadapannya. Dia membaca setiap bait-bait yang terkandung di dalam surat tersebut. Haziq sekadar menjadi pemerhati sedari tadi. Dia menunggu dengan sabar reaksi Hana terhadap isi kandungan surat tersebut. Air mata Hana bergenang. Rindu terhadap arwah abahnya menggamit jiwa. Baru dia mengerti dengan kehadiran Haziq hari ini. Seraya menyeka air mata yang mula tumpah dari kelopak matanya. Kemudian dia melipat kembali warkah tersebut dan menghulurkannya kepada Haziq.

“Patutla saya tak ingat apa-apa berkaitan Dr., saya tiada di sini ketika itu dan kita pun belum pernah bertemu”, ujar Hana perlahan.

“Ha’ah, seingat I, ketika itu you berada di sekolah asrama penuh. Eh, letihla nak ber I dan ber you. Hana boleh panggil saya abang Im macam yang mak cadangkan”, Haziq menyuarakan cadangannya.

Hana mendiamkan diri. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Fikirannya melayang teringatkan arwah abah.

“Ketika itu abang mengalami kemalangan jalan raya tidak jauh dari susur masuk ke Ulu Bernam. Syukurlah kerana Allah SWT telah mengutuskan seorang insan sebaik bapa Hana untuk membantu abang. Bukan sahaja abang terhutang budi, malah abang terhutang nyawa”, Haziq menerangkan bagaimana dia boleh sampai ke Kg. Sg. Haji Dorani ini.

“Tapi…apa yang saya tak faham, kenapa abah titipkan Hana dan mak pada Dr.? Kami kan boleh hidup sendiri seperti biasa?”, Hana mempersoalkan wasiat terakhir abah kepada Haziq. Sungguh dia tidak faham. Dia tahu bagaimana perangai abangnya, tetapi dia yakin tidaklah setahap mahu mengorbankan dia dan ibunya.

“Mesti ada sebab yang kita tidak tahu atau belum tahu? Mungkin sebab musabab itu hanya abah sahaja yang tahu. Dan yang pasti abang kembali ke sini demi wasiat abah”, Haziq cuba meyakinkan Hana.

Hana akui, kata-kata Haziq ada benarnya. Mungkin juga abah berpesan seandainya terjadi apa-apa pada Hana dan ibunya, mereka masih ada tempat bergantung. Dahan untuk berpaut.

“Tetapi..saya tak faham kenapa arwah abah dan mak tak pernah langsung menceritakan perihal Dr. kepada saya?”, Hana menyuarakan kemusykilan yang masih bersarang di hatinya.

Haziq menarik nafas panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan Hana.

“Salah abang. Kami sudah lama tidak berhubung kerana abang melanjutkan pelajaran ke Mesir. Abang ikut nasihat yang mak dan abah berikan untuk melanjutkan pelajaran ke sana. Abang juga banyak mempelajari ilmu agama di bumi anbiya’. Sebab itulah abang katakana tadi, jasa mak dan abah Hana terlalu besar dalam hidup abang. Seingat abang, mungkin sudah 3 atau 4 tahun lebih kami tidak berhubung”, jelas Haziq panjang lebar.

Hana mengangguk tanda faham.

“Usah kita persoalkan urusan takdir. Segala yang berlaku dalam hidup kita pasti ada sebab musababnya. Mungkin benar kata abah, perkenalan abang dengan abah Hana sudah ditakdirkan. Ada sebab disebalik insiden yang berlaku pada Hana tempoh hari hingga kita dipertemukan. Dan….kerana warkah ini abang kembali ke sini”, ujar Haziq bersahaja, namun mempunyai maksud yang mendalam.

Dalam hati, Hana mengiakan segala yang dituturkan Haziq. Tetapi sejauh manakah dia dan ibunya boleh mempercayai kata-kata pemuda di hadapannya ini. Baginya, pensyarahnya itu tetap orang asing yang baru dikenalinya. Bolehkah dia bergantung harap terhadap lelaki itu? Soalan demi soalan menerjah masuk ke benaknya. Tapi soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Hana mahukan jawapan yang pasti dan biarlah masa yang menentukan segalanya.

“Hana tak percayakan abang? Kan?”, Haziq seakan dapat membaca riak wajah yang Hana pamerkan.

“Bukan macam tu doc, semuanya berlaku terlalu mendadak. Rasa macam tak percaya. Ye la, last week saya terjumpa Dr. masa nak pergi kelas Dr. Mursyid. Pastu siap eksiden dengan Dr. lagi. Pastu eksiden pula kali kedua dengan kereta Dr. sampai lutut saya luka dan kena jahit. Pastu insiden pagi tadi yang menyebabkan siku saya yang dah nak baik ni luka balik. Rasa macam setiap kali jumpa Dr., saya dapat bala je”, panjang lebar hujah yang Hana kemukakan kepada Haziq, tak berlapik dan beralas langsung!

“Bunyi nya macam berdendam je dengan abang? Laser jugak mulut Hana ni ye?”, Haziq buat-buat kecil hati dengan kata-kata Hana sebentar tadi.

“Maafkan saya doc, saya ni orangnya berterus terang. Saya dah sakitkan hati Dr. ke?”, ujar Hana serba salah.

“Tak adalah sakit hati sangat, Cuma ayat Hana tu makan dalam je”, Haziq masih cuba menduga.

“Tak payah nak makan dalam sangatla doc, yang Dr. selalu samakan saya dengan haiwan-haiwan tu ingat saya tak ada perasaan ke?”, Hana masih tidak mahu mengaku kalah. ‘Jangan mimpilah aku nak pujuk kau doc’. Bisik hati Hana dan tanpa sedar sebaris senyuman manis terukir di wajahnya.

Haziq tersenyum melihat senyuman Hana. Senyuman yang belum pernah dilihatnya daripada gadis dihadapannya ini.

“Cantik jugak adik abang ni bila senyum macam tu”, puji Haziq.

“Alah…Dr. nak tukar topik la tu kan? Kalau senyuman saya ni cantik, tak adalah Dr. nak samakan saya dengan ibu beruang. Sepatutnya samakan saya dengan puteri kayangan”, balas Hana selamba.

“Hahaha!!! Ada hati nak samakan dengan puteri. Hana ni perasan betul. Patutnya dah cukup bersyukur tau abang tak samakan Hana dengan seluruh haiwan-haiwan di zoo tu. Ok apa ibu beruang? Kan comel!”, ketawa Haziq berderai lagi mebuatkan Hana sakit hati.

Hana terus bingkas bangun menyarung selipar dan melangkah meninggalkan Haziq di pondok itu. Haziq terkejut dengan tingkah Hana dan terus menapak mengekori Hana dari belakang.

“Hana! Hana! Tolong mak nak”, jeritan Mak Ton dari dalam rumah jelas kedengaran.

“Ye mak, Hana datang ni”, jawab Hana. Seraya terus melajukan langkah demi mendengarkan jeritan ibunya.

“Kenapa dengan mak tu? Tak mengapa Hana, jangan risau. Biar abang yang tengok mak. Hana bukannya boleh berjalan laju, terkedek-kedek macam itik pulang petang je”, ujar Haziq sambil berlari-lari anak menuju ke rumah untuk melihat apa yang terjadi kepada Mak Ton.

            Tanpa disangka-sangka, Haziq tersepak tunggul kayu yang berada di hadapannya. Akar pokok mangga yang sudah semakin tua. Pokoknya berlumut dan sudah ditumpangi oleh pokok duit-duit, sejenis tumbuhan epifit. Haziq gagal mengawal langkahnya dan tersungkur di situ. Hana yang menyaksikan kejadian itu terasa geli hati dan menghamburkan ketawa dengan sekuat-kuatnya.

“Tu la doc, lain kali jangan suka nak kutuk orang. Zaman sekarang ni Allah SWT bayar cash tau”, ujar Hana dalam ketawa yang masih bersisa.

“Balas dendam ye?”, Haziq bingkas bangun dan mengibas- ngibaskan dedaun kering dan tanah yang melekat pada bahagian lutut seluarnya.

Hana hanya memerhatikan tingkah Haziq daripada tadi.

“Apa pandang-pandang? Tak pernah tengok model hensem jatuh tersungkur ke?”, sakit pula hati Haziq melihatkan tingkah Hana.

Terhambur lagi ketawa Hana dek mendengarkan kata-kata yang baru dituturkan Haziq kepadanya.

“Tak adalah, saya geli hati sangat tengok Dr. jatuh tadi. Kelakar sungguh! Sebijik macam nangka busuk. Saling tak tumpah!”, Hana menekup mulut sebaik selesai berbicara. Sedaya upaya dia cuba menahan ketawa yang hamper pecah lagi.

“Dah…dah…jangan banyak bunyi. Jom kita tengok mak, risau pulak kalau ada apa-apa yang tak diingini terjadi”, Haziq melangkah laju meninggalkan Hana. Dia tidak menoleh sedikitpun ke arah pelajarnya itu.

Haziq terkesima sebaik sampai di hadapan pintu rumah. Mak Ton pula terduduk di atas lantai sambil memegang kakinya seperti menahan kesakitan yang amat sangat.

Bersambung…..




Bukan Sebuah Janji (Bab 7)



BAB 7



            Haziq menapak menuruni anak tangga mengikuti Mak Ton dan Hana untuk ke ruang dapur di tingkat bawah. Kebiasaannya, rumah kampung memang begitu. Ruang tamu dan bilik di atas, manakala dapur dan bilik air terletak di tingkat bawah. Selepas menyalami Mak Ton dan berpelukan seketika sebentar tadi, Mak Ton terus mengajak Haziq menjamah sarapan pagi bersama. Mereka bertiga diam membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Air mata Mak Ton masih bersisa dan sesekali diseka oleh tangan tuanya. Haziq masih diam tanpa seribu bahasa. Ada persoalan yang belum terjawab dalam benaknya. Tetapi hatinya berbelah bagi untuk bertanya kepada Mak Ton. Hana pula sedari tadi tertanya-tanya apa kaitan dan hubungan keluarganya dengan pensyarah muda itu.

            Mak Ton menuang kopi ke dalam tiga biji cawan di atas dulang bercorak bunga antik di hadapannya. Dulang tersebut adalah peninggalan gemulah ibunya dulu. Usia dulang itu melebihi umur Idzham dan Hana. Sesekali air mata yang masih mengalir diseka dengan hujung lengan bajunya. Mak Ton tidak menyangka dia akan bertemu kembali dengan Imran anak angkatnya. Sayangnya, hajat suaminya, Pak Kamal untuk bertemu dengan Haziq Imran untuk kali terakhir sebelum menghembuskan nafas setahun dulu tidak kesampaian. Nak buat macam mana, bukan rezeki suaminya. Mungkin sudah tertulis begitu.

Kemudian, Mak Ton mencedok nasi goreng ke dalam dua buah pinggan bercorak sama di hadapannya. Haziq dan Hana sekadar menjadi pemerhati sejak dari tadi.Haziq bersyukur kerana ibu angkatnya masih mengenali dirinya. Sedangkan Hana sedari tadi diam membisu. Keningnya berkerut kerana dia tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi di hadapannya. Bagaimana ibunya boleh mengenali Dr. Haziq Imran? Tambahan pula mereka berdua kelihatan sangat rapat. Seakan-akan sudah bertahun Mak Ton mengenali pensyarahnya itu.

“Jemput duduk Im. Mak tahu kamu belum makan, kita sarapan sama-sama”, pelawa Mak Ton.

Haziq melabuhkan punggung berdekatan dengan Mak Ton. Sengaja dia memilih tempat duduk berdekatan jendela mengadap sawah padi. Haziq rindukan bau segar yang datang dari sawah padi di sekeliling rumah tersebut. Sangat nyaman dan tenang. Matanya disorotkan nun jauh ke sebuah pondok di tepi sawah. Disitulah dia, Mak Ton dan Pak Kamal akan berehat selepas menuai padi. Sesekali senyuman terukir tatkala teringatkan kenangan manis tujuh tahun dahulu.

“Apa yang Im menungkan tu? Jemput makan. Nanti sejuk pulak nasi goreng depan mata tu”, Mak Ton mempelawa Haziq makan.

“Abah mana mak? Tak makan dengan kita sekali? Mesti awal pagi tadi sudah turun ke sawah. Im ada ronda-ronda tengok pokok padi tadi, tak pulak Im nampak kelibat abah?”, soal Haziq. Sememangnya itu soalan yang ingin ditanya sedari tadi kerana dia langsung tidak melihat bayang Pak Kamal di mana-mana. Rindu benar dia dengan ayah angkatnya itu. Terlalu banyak yang ingin diceritakan kepada Pak Kamal dan sekaligus ingin memohon maaf kerana sudah lama tidak mengirim berita mahupun menghubungi Pak Kamal dan Mak Ton.

            Soalan Haziq tidak berjawab. Hana dan Mak Ton bertukar pandang sesama sendiri sebaik mendengar soalan yang Haziq utarakan. Buat seketika, suasana kembali sepi. Air mata Mak Ton mengalir laju umpama empangan pecah manakala Hana tunduk memandang lantai. Ada air jernih mengalir perlahan dari tubir matanya. Esak tangis Mak Ton menjadi-jadi. Haziq menjadi serba salah. Dari riak wajah Hana dan Mak Ton, Haziq sudah menduga jawapan di sebalik persoalan yang bermain di mindanya sejak dia menerima warkah Pak Kamal tempoh hari.

“Abah….dah tak ada Im…”, perlahan nada suara Mak Ton kedengaran, namun jelas didengari Haziq kerana jarak kedudukan mereka hanya bersebelahan.
Hana mengangguk perlahan mengiakan kata-kata ibunya.

Rasa bersalah terdetik di hati Haziq kerana soalannya mengundang kesedihan kepada Mak Ton dua beranak. Sungguh dia tidak menyangka, gerak hatinya selama ini benar-benar terjadi. Dalam hati Haziq menanam azam untuk melindungi Mak Ton dan Hana. Dia akan menyempurnakan amanah terakhir yang telah dititipkan Pak Kamal kepadanya kerana bagi Haziq, pengorbanan dan bantuan Pak Kamal dan Mak Ton tujuh tahun dulu terlalu besar buat dirinya.

“Maafkan Im mak, Hana. Im tak berniat langsung untuk melukakan hati mak anak beranak. Im kembali ke sini kerana sepucuk warkah yang Im terima beberapa hari lepas daripada arwah abah. Im sangka, Im masih berkesempatan berjumpa dengan arwah. Ternyata Im terlambat…”, berhati-hati Haziq menerangkan duduk perkara sebenar agar tidak mengguris lagi hati wanita di hadapannya itu.

“Tak mengapa Im. Mak faham. Mak sebenarnya yang mengirimkan surat itu kepada Im. Itu amanat terakhir arwah abah”, terang Mak Ton pula.

“Boleh Im tahu, bila mak kirimkan surat tu?”, Haziq berasa ingin tahu kerana mengapa baru sekarang dia menerima surat tersebut.

“Beberapa minggu sudah. Maafkan mak nak, mak menjumpai surat tersebut ketika mahu mengemaskan almari pakaian arwah abah. Surat tu berada dalam sebuah peti kayu milik abah yang terkunci, sedangkan kuncinya telah lama hilang. Mak berusaha membuka peti kayu tersebut kerana ingin tahu apa yang tersimpan di dalamnya. Kemudian, mak menjumpai satu sampul surat, dan di dalamnya terdapat satu sampul berwarna coklat muda. Satu surat ditujukan kepada mak dan satu lagi arwah abah minta mak kirimkan pada Im”, panjang lebar Mak Ton menceritakan bagaimana dia menjumpai surat tersebut.

“Tapi mak…kan beberapa minggu selepas arwah abah pergi, Hana ada kemaskan pakaian arwah. Mak kata nak sedekahkan kepada sesiapa yang memerlukan. Semasa Hana mengemas, tak ada pulak Hana jumpa peti kayu tu?”, soa Hana ingin tahu.

“Bukan ke satu laci yang paling bawah di sebelah kiri mak tak benarkan Hana buka dan kuncinya pada mak? Dalam laci tu tersimpan barangan peribadi milik arwah abah dan mak. Ketika itu, mak tak sampai hati ingin membukanya kerana di situ tersimpan pelbagai kenangan antara mak dan abah”, Mak Ton menceritakan perkara sebenar agar Hana faham.

“Satu lagi mak, macam mana mak boleh kenal pensyarah Hana? Dan macam mana pula Dr. boleh kenal dengan mak saya?”, terkeluar juga soalan yang sejak tadi ditahan-tahan apabila melihat ibunya memeluk erat pensyarahnya. Siap menangis bagai ketika bertemu tadi. Macam dah bertahun-tahun terpisah. Sungguh dia tidak mengerti apa yang berlaku di hadapannya ini. Hana memandang Mak Ton dan Haziq silih berganti menantikan jawapan yang diinginkannya sedari tadi.

“Panjang ceritanya Hana, nanti mak ceritakan. Hidangan depan mata ni dah nak sejuk. Sekarang ni, mari kita sarapan sama-sama. Dah lama sangat kita tak bersarapan sama-sama kan Im?”, senyuman mengiringi bicara Mak Ton.

            Hana masih seperti tadi, masih mengerutkan kening memerhatikan ibu dan pensyarahnya silih berganti. Pastinya mereka berdua mempunyai pertalian yang rapat. Atau adakah lelaki di hadapannya ini merupakan abang kandungnya? Kerana dari segi perbualan yang didengarinya sejak tadi, lelaki tersebut memanggil ibunya dengan panggilan ‘mak’ dan ayahnya dengan panggilan ‘abah’ seperti dia dan abangnya Idzham. Pelbagai soalan menerjah laju ke benaknya.

“Kenapa Hana tak makan?”, soal Mak Ton kerana dari tadi dia melihat Hana hanya memerhatikan nasi goreng dalam pinggannya. Tidak menjamah walau sesudu pun.

“Sebab mak belum ceritakan macam mana mak boleh kenal pensyarah Hana ni?”’Hana masih tidak berpuas hati selagi dia tidak mendengar cerita dari mulut ibunya sendiri.

            Haziq tersenyum memandang Hana yang sedari tadi bertanya itu dan ini seperti anak kecil. Haziq memberhentikan kunyahan dan seraya meneguk air kopi suam yang dihidangkan oleh Mak Ton sebentar tadi.

“Lepas kita sarapan ni, temankan I ke sawah. Kita lepak dekat pondok tu. Kat situ nanti I ceritakan semuanya pada you”, Haziq menawarkan diri untuk menceritakan perkara sebenar kepada Hana sambil matanya memandang Mak Ton seakan meminta izin.

Mak Ton sekadar mengangguk bersetuju dengan cadangan Haziq tersebut.

“Elok juga tu, mak pun ada kerja sikit nak buat kat belakang rumah ni. Nanti Hana ikut abang Im kamu ye sayang”, lembut kata-kata yang dituturkan Mak Ton.

“Abang Im?!”, nada suara Hana sedikit meninggi apabila ibunya membahasakan pensyarahnya sebagai ‘Abang Im’.

Haziq dan Mak Ton sekadar tersenyum.

****************************************************************************************************

“Aku tak peduli Am! Kau mesti bayar hutang aku hari ini jugak. Kau dah janji!”, Tiger naik berang. Tangannya mencekak leher baju Idzham. Kali ini dia tidak boleh lagi bertolak ansur dengan Idzham.

“Tolong la aku Tiger. Kita kenal dah lama. Bagi aku sikit masa je lagi untuk bayar hutang-hutang kau tu. Tolonglah!”, Idzham masih cuba merayu agar Tiger memberinya waktu untuk melunaskan segala hutang piutangnya kepada pemiutang tidak berlesen itu.

“Tak boleh! Sebab aku kenal kau la, aku dah tak percayakan kau! Kau berhutang dengan aku dah lima kali, tapi baru sekali je kau bayar, kau tak ingat semua tu?”, nada suara Tiger semakin meninggi. Dia sudah hilang sabar dengan kerenah Idzham. Janji hanya tinggal janji.

            Tiger menolak keras tubuh Idzham sehingga pemuda itu jatuh terduduk. Dengan hanya isyarat tangan yang dilayangkan kepada konco-konconya, mereka terus membelasah Idzham sesuka hati. Idzham tidak berdaya melawan kerana badan mereka jauh lebih tegap daripadanya. Tambahan pula, mana mungkin dia berjaya meloloskan diri daripada konco Tiger seramai lima orang itu. Tiger hanya memerhatikan Idzham dibelasah dengan ketawa yang berdekah-dekah. Puas hatinya.

“Tolonglah aku Tiger, jangan buat aku macam ni! Kau nak bunuh aku ke?”, Idzham masih cuba merayu buat kesekian kalinya. Dia sanggup merayu walau berapa kali sekalipun, yang penting nyawanya tidak melayang di tangan Tiger dan konco-konconya.

            Tiba-tiba Tiger menyeringai memerhatikan Idzham yang separuh mati dibelasah oleh konco-konconya. Niat jahat jelas terserlah pada riak wajahnya yang bengis itu. Dengan satu isyarat tangan, konco-konconya berundur ke belakang meninggalkan Idzham yang terbaring tidak bermaya. Idzham terbatuk-batuk kecil. Cacair merah pekat mengalir dari mulutnya. Bibirnya pecah dek tumbukan penjahat-penjahat itu. Mukanya lebam-lebam sana sini. Idzham mengumpulkan segala kekuatan untuk membuka kelopak matanya. Dia dapat melihat dengan jelas senyuman Tiger.

“Aku akan anggap hutang kau dah lunas, tapi dengan satu syarat….”, kata-kata Tiger terhenti di situ. Sengaja dia membiarkan kata-katanya menjadi tanda tanya.

            Mata Idzham yang layu tadi kembali bersinar. Dia tidak sabar-sabar mahu mendengar apa syarat yang ditetapkan oleh Tiger untuk melunaskan segala hutang piutangnya yang bernilai lebih RM 100 ribu itu. Idzham cuba untuk bangun dari perbaringannya. Digagahkan jua untuk bangkit duduk dengan segala kudrat yang masih bersisa.

“Apa syaratnya Tiger? Bagi tahu aku…aku akan cuba penuhi syarat kau tu!”, Idzham bertanya tanpa sabar.

            Tiger ketawa lagi. Ketawanya makin kuat. Konco-konconya juga ikut tertawa. Bilik gelap itu bergema dengan bunyi ketawa mereka berenam. Tiger menghampiri Idzham dan mencekak muka Idzham agar menghampiri mukanya. Kemudian, dia menyambung lagi derai tawanya. Dia tahu, dalam keadaan terdesak sebegini Idzham sanggup buat apa-apa sahaja. Apatah lagi untuk menunaikan syarat dan hasrat hatinya.

“Bagi tahu aku Tiger, apa yang harus aku buat? Bagi tahu aku!”, Idzham tidak mampu lagi bersabar. Dia akan menunaikan segala syarat andainya itu satu-satunya cara dia untuk melepaskan diri dari cengkaman Tiger yang kejam itu.

Tiger menghampiri Idzham. Lantas menarik telinga Idzham mendekati mukanya. Tiger berbisik sesuatu di telinga Idzham. Selesai menyatakan segala syarat-syaratnya, dia menolak semula Idzham menjauhinya. Idzham masih terkebil-kebil mendengar syarat yang Tiger letakkan untuk melunaskan segala hutangnya. Buat seketika, dia bingung.

“Itu sahaja syarat yang aku tetapkan. Dan jika kau berjaya, aku akan hadiahkan kau RM 10, 000”, Tiger menyeringai lagi menampakkan barisan giginya. Seakan-akan dia berpuas hati dengan syarat yang dikenakan kepada Idzham.

“Ba..ba..gi aku sikit masa Tiger. Aku janji, aku akan tunaikan syarat kau tu”, Idzham cuba bermulut manis. Hakikatnya, dia sendiri tidak yakin adakah dia mampu menunaikan hasrat Tiger yang satu itu. Apa yang ada dibenaknya saat ini, dia harus menyelamatkan dirinya dari dibunuh Tiger. Dia akan menunaikan permintaan Tiger itu andai itulah satu-satunya cara untuk dia melunaskan hutangnya. Dia terpaksa!

****************************************************************************************************
Hana melabuhkan punggung di atas tikar mengkuang yang menjadi alas duduk pondok di tepi sawah itu. Matanya hanya memerhatikan tingkah Haziq yang berlari-lari anak seperti anak kecil di batas-batas sawah. Sesekali Haziq menampar-nampar pokok padi di sisinya. Dedaun padi meliuk lentok lembut ditiup angin pagi. Segar dirasakan.

“You tak nak join I ke Hana? Best tau berlari-lari macam ni. Rasa bebas dari segala masalah!”, ujar  Haziq sambil menggamit ke arah Hana agar sama-sama menyertainya.

Hana menggeleng-gelengkan kepalanya dan menarik muka masam.‘Gila agaknya Dr. Haziq ni nak ajak aku berlari-lari macam dia. Dia tak sedar ke lutut aku yang berjahit ni? Sengaja nak menyakitkan hati aku la tu’.Getus hati Hana sendirian.

“Kenapa masam je muka you tu? Bulan purnama tengah mengambang ke? Asyik moody je dari tadi. Ngalahkan ibu beruang yang kena cerai dengan bapa beruang…Hahaha!”, selamba bicara yang keluar dari mulut Haziq.

Hana menjeling Haziq. Sakit benar hatinya apabila dia disamakan dengan ibu beruang. ‘Lagi-lagi ibu beruang, macam tak ada binatang lain agaknya mamat ni! Macam mana pulak dia tahu aku tengah bulan mengambang ni? ’. Bisik Hana di dalam hati.

Haziq melangkah menghampiri pondok tersebut. Malas dia mahu bertegang urat dengan gadis di hadapannya ini. Boleh tahan degil orangnya. Tidak pernah mahu mengalah. Setibanya di pondok itu, Haziq mengambil tempat di sebelah Hana. Matanya memandang bebas burung yang berterbangan dengan bunyi kicauan yang meriangkan.

“Awak mesti tak sabar nak tahu cerita sebenarnya kan?”, Haziq memulakan bicara apabila dia lihat Hana hanya mendiamkan diri sedari  tadi.

“Eh, mestilah. Takkan saya saja-saja je datang lepak kat pondok ni!”,  ujar Hana sinis.

Haziq mengangkat kening dan melemparkan senyuman kepada Hana. Seraya lantas mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya.

“Inilah surat yang mak katakan tadi, bacalah”, ujar Haziq.

Sepucuk warkah berwarna coklat muda itu diserahkan kepada Hana. Hana menyambut warkah itu dengan teragak-agak. Jelas dia masih kurang mengerti apa yang ingin disampaikan oleh pensyarahnya itu. Keningnya berkerut seribu.

Bersambung...