FOLLOWERS...

Friday 31 May 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 2)


Bab 2

Prangggg!!!!

     Zana terjaga dari tidur sebaik terdengar bunyi yang kuat menerjah masuk ke gegendang telinganya. Terasa timpanumnya hampir pecah dek kerana bunyi kotak pensil kayu Hana yang terjatuh ke lantai. Terpisat-pisat Zana membuka matanya untuk melihat apa yang terjadi. Yang jelas kelihatan alat tulis Hana sudah bertaburan di atas lantai.

Sorry Zana, aku tak sengaja terjatuhkan kotak hikmat ni”, ujar Hana sambil tersengih macam kerang busuk.

     Tangannya pantas mencapai kotak kayu bergambar strawberi yang berada di atas lantai betul-betul berdekatan kepala katil Zana. Kemudian seraya mengutip semua alat tulis dan dimasukkan semula ke dalam kotak pensil kesayangannya itu. Kotak kayu itu terus dimasukkan ke dalam kocek hadapan beg galasnya. Zana menggelengkan kepala memerhatikan tingkah Hana.

“Kan aku dah kata, guna je pensil case kan senang? Ini tidak, asyik sibuk dengan peti kayu kau tu!”

     Geram benar Zana apabila mimpi indah dia dilamar putera raja sebentar tadi terbantut di sebabkan bunyi kuat kotak kayu milik Hana yang jatuh ke lantai. Zana menggosok-gosok matanya dengan belakang tapak tangan agar penglihatannya lebih baik. Kemudian, dia menggeliat beberapa kali membetulkan urat saraf agar lebih segar. Sesungguhnya tidur itu nikmat!

“Kau mimpi apa sampai tersenyum-senyum sorang? Dah macam orang kena sampuk aku tengok”, Hana mengerling sahabatnya sekilas sambil tangannya sibuk melilitkan selendang berwarna hijau pucuk pisang di kepala. Warna selendang itu sedondon dengan baju kurung moden yang dikenakannya petang itu.

“Aku mimpi seorang putera raja yang macho lagi kacak bergaya melamar aku. So…sweet. Tapi kau punya pasal la, masa aku nak terima lamaran dia tadi tetiba aku terjaga pulak!”, cerita Zana sambil tersenyum kecil membayangkan wajah putera raja tersebut.

“Hah! Putera raja ke putera katak tu Zana?”, Hana ketawa besar mendengar cerita sahabatnya itu. Lucu benar dirasakannya. Putera mana la yang mahu meminang Zana. Putera dari kayangan agaknya. Sakit perut Hana menahan tawa.

“Yang kau gelak teruk sangat ni kenapa? Ada yang kelakar ke?”, Zana menarik muka masam buat-buat merajuk.

“Tak kelakar la. Cuma imaginasi aku ni je yang dah advance. Aku terbayangkan kau naik pelamin dengan putera katak”, Hana menyambung ketawa sebaik mengabiskan kata-katanya.

      Semerta, sebiji bantal sampai tepat ke muka Hana. Baru puas hati Zana apabila dapat membalas perbuatan Hana mengetawakannya. Zana lantas mencapai sebiji bantal lagi untuk membuat balingan yang kedua. Tapi cepat-cepat Hana menghalangnya. Bimbang tudung yang baru dikenakannya terbuka.

“Tau takut. Jangan cari pasal dengan aku tau!”, ujar Zana sedikit bangga.

“Bukan takut la. Nanti aku jugak yang lambat pergi library disebabkan kau”

“Nak ke library? Wah, dah nak start study ke? Bagus betul student kesayangan Dr. Haziq neh”

 "Uiks! Tak ada angin tak ada ribut, apasal nama dia pulak yang terkeluar daripada mulut laser kau tuh?"

"Kau ni, bila aku sebut je nama Dr. Haziq, macam dah angin satu badan", Zana tersenyum meleret sebaik menghabiskan ayatnya. 

“Habis tu, Si Rusydi tu aku nak letak mana? Dah..dah..malas aku nak layan kau. Aku nak cari info untuk siapkan assignment subjek Medical Diagnostic. Hari Isnin ni Mdm. Shamala nak, jangan kata kau lupa pulak!”, Hana memberi jawapan disamping mahu mengingatkan Zana berkenaan assignment yang perlu dihantar tiga hari lagi. Hana mencapai sebutir keronsang yang sederhana saiznya untuk disematkan dibahagian kanan selendangnya agar tampak lebih kemas.

“Tunggu aku Hana, aku nak join!” Zana bingkas bangun dan mencapai tuala di penyidaian. Kemudian terus menyarung selipar dan berlari anak ke bilik air untuk menyegarkan badan. Hana hanya menggelengkan kepala memerhatikan gelagat sahabatnya itu. Kelam-kabut sungguh.

“Cepat sikit, aku bagi kau 15 minit je tau!” sempat Hana berpesan sebelum Zana sampai ke pintu bilik air. Pesanan Hana tidak bersahut. Yang kedengaran hanya bunyi air yang bercucuran.

*************************************************************************************************

     Jam tepat menunjukkan pukul 6 petang. Haziq masih setia berada daam bilik pensyarah Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat. Terlalu banyak barang yang perlu dikemaskan. Ruangannya berserakan dengan susunan kertas kerja pelajar yang perlu disemak, alat tulis yang berada di merata-rata dan buku-buku rujukan yang tidak bersusun di bahagian rak buku di sisi kanan mejanya.

     Kebelakangan ini dia amat sibuk walaupun tidak sampai dua minggu mengajar di universiti ini. Jadual mengajarnya agak padat. Baru mula mengajar, dia telah diberi tanggung jawab menggantikan kelas Dr. Mursyid. Ditambah pula dengan rombakan bilik pensyarah, menyebabkan dia ditempatkan di ruangan sementara. Bermula hari Isnin  lalu, barulah dia diberi tempat duduk tetapnya. Haziq hanya sempat memindahkan segala barang-barang miliknya ke ruangan baru itu tanpa sempat menyusun semuanya terlebih dahulu. Dan kerana itulah ruangan tersebut berserakan bak tongkang pecah.

“Tengok tempat macam ni boleh buat aku dapat high blood pressure neh!”, rungut Haziq sendirian.

          Haziq menarik nafas sedalam mungkin. Mencari sedikit kekuatan untuk memulakan operasi mengemas ruangannya. Baginya, dia tidak boleh bertangguh lagi. Bak kata pepatah sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Kalau dia memulakan sedikit demi sedikit, pasti lama kelamaan dia berjaya mengemaskan keseluruhan tempat itu. Terbayang di ruangan mata wajah kak Yam, pembantu rumah papanya. Haziq terfikirkan Kak Yam bukan kerana dia rindukan wanita lebih separuh abad itu, tetapi membayangkan jika Kak Yam berada di sini, pasti ruangan ibarat tongkah pecah itu akan dikemas rapi. Masalahnya akan selesai dengan sekelip mata sahaja.

      Haziq mundar mandir seketika mencari idea. Setelah itu, seraya melabuhkan punggung di atas kerusi yang tidaklah begitu empuk miliknya. Entah berapa orang tenaga pengajar yang pernah menggunakan kerusi itu. Kini, kerusi itulah yang akan setia menemaninya sepanjang dia berkhidmat sebagai pensyarah di universiti itu. Haziq lantas mencapai sekeping kertas dan sebatang pen di sudut kiri mejanya. Dia perlu melakar sesuatu untuk memulakan misinya!

       Mulanya, Haziq mengosongkan meja dan menyusun semula alat tulis beserta dokumen dan fail penting di atas meja dan di dalam lacinya. Ketika mengeluarkan fail kerja di dalam laci terakhir iaitu laci ketiga di bahagian kanan meja, tanpa disedari sekeping gambar berukuran passport melayang dan jatuh ke lantai. Haziq mengutip gambar tersebut dan menatapnya buat seketika. Ingatannya melayang jauh teringatkan si pemilik gambar. Sungguh dia terlalu merindui wajah itu. Raut wajah yang begitu ayu dan lembut. Sepadan dengan sikap dan peribadi pemiliknya yang cukup Haziq kenali.

“Qistina Farwizah….”, Haziq menyebut perlahan nama pemilik wajah ayu itu. Ada keluhan kecil dilepaskan di hujung nafasnya. Air matanya bergenang. Kelopak matanya sarat menakung air mata yang hampir tumpah. Wanita itulah penyebab utama dia berada di sini sekarang ini. Haziq menyeka air matanya yang mula mengalir membasahi pipi. Bukan mudah bagi seorang lelaki sepertinya mengalirkan air mata. Buat seketika, ingatannya melayang jauh entah ke mana.

      Lamunan Haziq tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi deringan telefon bimbit yang bergetar dalam kocek seluarnya. Seraya pantas mencapai telefon tersebut untuk mengetahui gerangan pemanggilnya. Lagu bertajuk ‘Bila Waktu Telah Berakhir’ nyanyian Opick, penyanyi dari seberang yang menjadi nada dering telefon bimbitnya terhenti tatkala dia menekan punat hijau untuk menerima panggilan masuk.

“Hello, assalamualaikum papa”, dia terus memulakan bicara.

“Waalaikummussalam. How are you my dear son? Are you coming home this weekend?”, Datuk Mahfudz menjawab salam sekaligus menyatakan maksud dia menelefon anaknya walaupun belum sempat Haziq bertanyakan maksud sebenar papanya menelefon. Haziq amat mengenali papanya. Orangnya sangat berterus terang, tegas dan sangat mengutamakan disiplin diri. Mungkin kerana itulah dia berjaya tersenarai antara ahli perniagaan yang paling sukses di negara ini.

“Insyaallah pa, hujung minggu ni Haz balik rumah”, balas Haziq ringkas. Dia tahu, pasti mama yang meminta papa menefonnya.

        Sememangnya sejak mula bekerja di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Haziq tidak sekalipun menelefon mama dan papanya. Dan sudah dua minggu juga dia tidak pulang ke rumah kerana dia menyewa sebuah apartment berdekatan dengan universiti untuk memudahkannya berulang-alik. Pada mulanya mama tidak bersetuju kerana Shah Alam dengan Ampang tidaklah begitu jauh. Namun, setelah Haziq berjaya memujuk dan meyakini mamanya, akhirnya mama bersetuju dengan keputusan anak bujangnya itu.

“Ok. Papa tunggu. Papa harap sangat Haz balik, ada perkara penting yang nak papa bincangkan”

“Insyaallah pa, don’t worry I’ll be home this weekend”, Haziq seakan berjanji.

“See you this weekend, Haz. Assalamualaikum”, Datuk Mahfudz mematikan bicara.

“Waalaikummussalam pa”, Haziq menjawab pendek. Kedengaran talian dimatikan papanya sebaik dia menjawab salam.

     Haziq memasukkan semula telefon itu ke dalam kocek seluarnya. Senyuman kecil terukir di wajah apabila dia teringatkan mamanya. Pasti mama yang ingin sangat dia pulang. Salah dia juga kerana sudah terlanjur berjanji dengan mama akan pulang setiap hujung minggu. Namun, hakikatnya dia sendiri yang memungkiri janji yang dibuat. Sememangnya dia tidak suka berjanji. Jika bukan kerana ingin meyakinkan mamanya, pasti dia tidak menabur janji sewenang-wenangnya. Dan itulah kali pertama dia berjanji dan janji itu juga gagal dikotakannya.

“Dr. belum balik lagi?”, satu suara tiba-tiba menegurnya. Terjungkit sedikit bahu Haziq akibat terperanjat.

“Terkejut saya Prof.”, seraya mengurut dadanya beberapa kali.

“Kenapa Dr.? Macam nampak hantu je”, ujar Prof. Hilmi Dekan Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat. Sebuah senyuman mengiringi kata-katanya.

Haziq ketawa kecil mendengar soalan Prof. Hilmi.

“Saya terkejut sebab tiba-tiba Prof. muncul. Setahu saya dari tadi saya seorang je dalam bilik ni”

“Maafla saya buat Dr. Haziq terkejut. Masa saya masuk tadi, Dr. tengah berbual di telefon. Segan saya nak tegur. Mana la tahu, may be bercakap dengan girlfriend ke”, ujar Prof. Hilmi berseloroh.

“Saya mana ada girlfriend Prof. Papa saya telefon tadi”, terang Haziq sambil tangannya mengemaskan beberapa fail dan buku rujukan untuk dibawa pulang.

“Umur macam Dr. neh biasanya dah ada steady girlfriend, tunang atau kebanyakannya dah kahwin. Tunggu apa lagi Dr.?”, ketawa kecil mengiringi kata-kata Prof. Hilmi.

“Ada-ada aje Prof. ni. Saya mintak diri dulu Prof. See you tomorrow”, bijak Haziq mematikan perbualan.

      Bukannya dia tidak suka berbicara soal jodoh dan perkahwinan, tapi baginya segalanya perlukan perancangan yang rapi dan dia tidak mahu tergopoh-gapah memilih teman hidup. Buat masa ini biarlah dia menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja dan kerjaya. Itu yang menjadi keutamaannya.

“Baiklah Dr., jumpa esok”, ujar Prof. Hilmi ringkas. Prof. Hilmi kembali menumpukan perhatian kepada kerjanya.

        Haziq menghayun langkah pantas menuju ke ruangan lif yang berada di hujung bilik pensyarah. Suasana lewat petang itu sunyi sepi. Maklumlah, para pelajar telah lama meninggalkan blok akademik itu melainkan yang mempunyai program atau aktiviti di kampus. Selain daripada itu mungkin sedang sibuk menelaah pelajaran atau menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah masing-masing di perpustakaan universiti.

       Sampai sahaja di depan pintu lif, Haziq terus menekan punat lif untuk ke tingkat parkir. Tiada seorang pun yang berada dalam lif melainkan dirinya. Yang kedengaran hanya muzik gamelan acara konvokesyen yang datangnya daripada skrin kecil yang terletak di sebelah atas bahagian kanan lif tersebut.

      Haziq terus melangkah keluar sebaik pintu lif terbuka. Seraya melangkah pantas menuju ke tempat dia memakirkan keretanya. Setelah menekan punat hijau pada alarm key, Haziq terus membuka pintu kereta dan mencampakkan begnya beserta buku dan fail ke tempat duduk sebelah. Perutnya mulai berkeroncong. Terasa seperti perlu diisi segera sebelum dia pulang ke rumah sewanya.

        Mana tidaknya, jam sudah menunjukkan pukul 7.30 petang. Beberapa minit lagi pasti azan Maghrib berkumandang. Haziq memandu sedikit laju untuk keluar dari kawasan parkir bertingkat itu. Mujurlah kawasan parkir bertingkat itu tidak terlalu besar dan kereta juga boleh di bilang dengan jari kerana ramai yang telah pulang sejak petang tadi. 

     Haziq memandang sekilas anak panah dengan perkataan ‘Exit’ dibahagian kiri tiang dan tanpa berfikir panjang sterengnya terus dipusingkan ke arah kanan mengikut arah anak panah itu. Tanpa disangka-sangka, muncul sebuah skuter dari arah bertentangan dan semerta Haziq terus menekan brek kecemasan. 

Dummm!!!! 

Serentak dengan itu terdengar jeritan daripada penunggang dan pembonceng skuter tersebut.

      Berkeriut bunyi tayar keretanya bergeseran dengan tar jalan. Bau hangit kuat menusuk rongga hidung. Walaupun Haziq sempat menekan pedal brek, namun disebabkan jarak yang terlalu dekat, malangnya...kemalangan tetap juga terjadi.

       Penunggang skuter yang kaget dengan kehadiran kereta Haziq dari arah bertentangan langsung tidak sempat menekan brek mahupun mengelak perlanggaran tersebut. Skuter itu terus terbalik dek terlanggar bucu kanan kereta Haziq menyebabkan penunggang dan pemboncengnya ikut sama terjatuh ke atas jalan tar. Buku-buku dan fail bertaburan. Haziq lantas keluar dari keretanya untuk membantu penunggang dan pembonceng motosikal itu. Haziq terkejut kerana mangsa perlanggaran itu adalah pelajarnya sendiri, Hana dan Zana.

      Zana berusaha bangun. Tapak tangannya terasa pedih dan sengal akibat menampan tubuhnya daripada tersembam. Seraya mengibaskan pakaiannya membuang pasir dan habuk yang melekat. Dia hanya mengalami sedikit luka di tapak tangan. Zana terus mendapatkan Hana yang langsung tidak boleh bangkit kerana tidak dapat menggerakkan kaki kirinya. Siku kirinya luka, manakala luka di lututnya agak besar dek terlanggar bucu kereta Haziq.

"Aduh, siku dan lutut aku sakit sangat ni! Aku tak boleh bangun", Hana terjerit kecil. Mukanya berkerut menahan sakit.

"Maafkan saya, Hana...Zana. Saya betul-betul tak perasan tadi", Haziq cepat-cepat mendapatkan mereka berdua untuk membantu.

        Hana memandang Haziq dengan jelingan mata yang tajam. Sakit sungguh hatinya. Takkan dengan hanya ungkapan maaf boleh menyembuhkan siku dan lututnya yang sakit saat ini. Hatinya panas  atas kecuaian Dr. Haziq. Tambahan pula ini kali kedua Dr. Haziq melanggarnya. Nasib baiklah Dr. Haziq merupakan pensyarahnya. Kalau tidak, sudah macam-macam perkataan pedas dihamburkan dari mulutnya.

"Hana, biar aku tolong kau", ujar Zana sambil menghulurkan tangan kanannya.

"It's ok Zana, get in my car. Biar saya uruskan Hana", ujar Haziq seakan memberi arahan.

"Tapi Doc, buku-buku dan fail tu?"

"Tak apa, I boleh kutipkan", pendek Haziq memberi jawapan.

"Hana, boleh izinkan I angkat you?", sopan Haziq meminta kebenaran.

"Tak payah Doc, saya boleh bangun sendiri", Hana tidak mahu dibantu. Hatinya masih sakit menahan marah.

"Don't be so stubborn Hana. You're bleeding...", Haziq memujuk perlahan.

"Saya kata, saya tak nak Dr. tolong saya, Dr. tak faham ke?", Hana mengetap bibir tanda marah. Bukan sahaja marah kepada Dr. Haziq atas kemalangan tersebut, tetapi memikirkan tidak sampai tiga minggu lagi peperiksaan akhir semester akan bermula. Itu yang sedang bermain dalam pemikiran Hana kala ini.

"You kena dengar cakap I, jangan degil. I kena bawa you pergi hospital sekarang juga. You need a few stiches!", Haziq membuat keputusan tegas sambil tangannya terus memaut badan Hana dan di angkat untuk di bawa masuk ke dalam keretanya.

"What! Stiches?", Hana gerun mendengar perkataan itu. Seumur hidupnya, dia belum pernah mengalami luka yang perlu di jahit. Apatah lagi membayangkan jarum yang akan menjahit lukanya. Hana rasa kepalanya tiba-tiba pening dan berpinar-pinar. Pandangannya semakin kabur. Dia tidak sedarkan diri.

Bersambung….

Enjoy reading…

No comments:

Post a Comment