FOLLOWERS...

Wednesday 23 October 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 10)



BAB 10


            Megat Shahrul Effendi memakirkan kereta Honda Civicnya berdekatan pondok pengawal. Pagi itu dia sampai agak lewat. Nasib baiklah Pn. Halimah telah menunda kelas  Immunology & Serology daripada pukul 8 pagi ke 8.30 pagi kerana pensyarah tersebut ada hal yang tak dapat dielakkan. Seraya membetulkan rambutnya yang tampak agak berserabai, dia tidak sempat bersikat sebelum tiba ke universiti kerana bimbang lewat sampai. Nasib baiklah rakan sekelasnya Fimie menghantar pesanan ringkas bahawa Puan Halimah masuk agak lewat hari ini, jika tidak pasti dia sudah memandu macam ribut untuk sampai ke kelasnya.

Effendi mencapai beg galas di bahagian tempat duduk sebelah dan melangkah meninggalkan tempat parkir yang dikhaskan untuk pelajar tersebut. Dia hampir terlupa untuk membalas sms Fimie. Seraya lantas mengeluarkan telefon bimbit di dalam kocek seluarnya untuk menghantar sms kepada Fimie. Namun, niatnya dimatikan sebaik mendengar namanya dipanggil dari arah belakang.

“Fendi! Fendi! Lajunya kau berjalan. Tak menoleh kiri kanan langsung”, ujar Fimie dalam keadaan termengah-mengah.

“Oit! Aku ingat siapa la tadi, kau ni macam tau-tau je…aku baru nak sms kau!”, Effendi melemparkan senyuman kecil kepada pemuda yang berkulit sawo matang dan hampir sama tinggi dengannya.

“Nampaknya aku dapat makan free hari ni sebab aku dah berjasa pada seseorang pagi ni”, Fimie membalas sambil berseloroh.

“Ye la..terima kasih sebab sms aku, aku terlewat bangun pagi tadi. Memang kelam kabut gila kau tahu. Takde hal la takat roti canai dengan teh tarik!”, bicara Effendi bersahaja.

“Ok! After class, kat Pelita”, Fimie sekadar memberi cadangan.

“No problem, dude”, Effendi memberi persetujuan.

Kemudian mereka berdua melangkah laju untuk ke kelas. Bimbang jika terlewat pula nanti. Tiba-tiba Effendi menepuk bahu Fimie. Semerta itu Fimie mematikan langkahnya.

“Apahal kau ni? Tetiba je tepuk bahu aku!”, Fimie bertanya ingin tahu.

“Tu..kau tengok Si Rusydi tu”, Effendi memuncungkan bibirnya ke arah merpati sejoli yang jalan beriringan.

“Sejak bila pulak kau suka bergosip ni Fendi?”, balas Fimie acuh tak acuh. Dia malas mahu ambil pusing hal Rusydi. Sememangnya sejak kebelakangan ini dia ada mendengar khabar angin yang Rusydi pasang dua. Tapi dia tidak mahu ambil tahu hal orang lain. Baginya tiada kena mengena dengan dirinya.

“Kurang ajar betul! Kesian pulak aku dengan Hana”, Effendi menyuarakan rasa kurang puas hatinya dengan tindak-tanduk Rusydi.

“Sudah la babe, jangan ambil tahu hal orang”, Fimie jelas tidak berminat.

“Kau kena ingat, aku dulu yang nak tackle Si Hana tu, alih-alih dia yang dapat. Aku dah terima seadanya yang Hana pilih dia. Tapi bengang pulak aku bila dia buat Hana macam tu”, balas Effendi masih tidak puas hati. Ada nada cemburu di sebalik kata-kata yang dikeluarkannya. Sememangnya dia tulus menyukai Hana. Cuma nasibnya kurang baik apabila Hana lebih memilih Rusydi berbanding dirinya.

“Ni kiranya cinta lama berputik kembali la ni”, Fimie cuba bergurau.

“Ni bukan cinta lama berputik kembali. Ni namanya rasa tak puas hati dulu mekar harum berseri”, bicara Effendi sambil tersengih sendiri.

“Apa fasal kau tiba-tiba tersengih bagai ni?”, Fimie berasa hairan dengan tingkah Effendi.

“Nampaknya, peluang aku nak dapatkan Hana masih cerah”, seraya tersenyum sinis.

“Ada-ada aja kau ni. Jom masuk kelas. Takkan kau nak berdiri macam tunggul kayu depan pintu kelas ni beb?”, Fimie terus menarik tubuh Effendi agar melangkah masuk ke kelas mereka.

Effendi melangkah masuk dan mengambil tempat duduk sambil senyuman masih terukir dibibirnya.

****************************************************************************************************
            Mak Ton menguak pintu bilik Hana perlahan. Mak Ton berjalan tehincut-hincut mendekati anak daranya itu. Hana menggeleng kepala dan melemparkan senyuman ke arah ibunya. Mak Ton tidak membalas, seraya mengambil tempat duduk di birai katil Hana. Matanya ralit memerhatikan Hana melipat baju dan mengemaskan segala keperluan untuk pulang ke Shah Alam. Hati tuanya tiba-tiba dijentik rasa sayu. Tanpa disedari air mata menitis satu persatu dari tubir mata yang sudah makin banyak garis kedutan itu menandakan dia semakin di mamah usia. Cepat-cepat dia mengelap air mata yang tumpah itu dengan hujung lengan baju kurung kedahnya bimbang akan dilihat oleh Hana.

“Mak menangis ye?”, Hana terlebih dulu dapat membaca riak wajah ibunya.

“Kalau abah kamu masih ada, mesti dia bangga dengan Hana”, bicara Mak Ton perlahan.

“Ini kan salah satu impian arwah abah nak Hana belajar sampai menara gading. Seboleh mungkin Hana nak tunaikan hasrat mak dan arwah abah. Juga untuk masa depan Hana mak”, ujar Hana sambil meraih tangan ibunya lalu dikucup perlahan.

            Mak Ton memeluk erat Hana. Terasa seperti tidak mahu membenarkan Hana pulang ke Shah Alam. Hana lah yang menjadi peneman dan penghibur hatinya setelah kematian suami tercinta. Hana jugalah yang menjadi kekuatan kepadanya untuk meneruskan usia yang masih bersisa. Dalam hati Mak Ton bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan anak sebaik Hana untuk menemaninya. Cuma dia bimbang, jika dia dijemput lebih awal mengadap Ilahi, bagaimana lah nasib Hana nanti. Kepada siapa Hana nak bergantung. Entah kenapa, sejak dua menjak ini, persoalan tersebut sering menjengah ke benaknya.

“Apa yang mak menungkan tu? Mak jangan risau, Hana pergi sekejap je. Lepas habis peperiksaan, Hana balik temankan mak. Tak lama, dalam tiga minggu je. Yang penting mak doakan kejayaan Hana ye mak?”, Hana berusaha memujuk ibunya. Dia dapat membaca riak kebimbangan di wajah Mak Ton.

“Jangan risaulah. Mak akan sentiasa doakan anak mak selagi mata ni belum tertutup Hana”, ujar Mak Ton sambil mengusap bahu anaknya itu.

“Tapi risau jugak Hana nak tinggalkan mak seorang diri. Kaki mak tu bukan baik betul lagi”

“Alah…dalam 2 atau 3 hari lagi baiklah ni. Bengkak pun dah makin surut. Tak lama lagi mak dah boleh turun ke sawah”

“Itu la yang Hana bimbangkan mak. Mak berehatla lama sikit. Tak ke mana sawah padi tu mak. Lagipun, Hana kan ada duit PTPTN untuk buat belanja. Yang penting kesihatan mak”, Hana cuba memujuk agar Mak Ton tidak turun ke bendang terlalu awal. Hana mahu kaki ibunya betul-betul sembuh.
“Dah la tu, kemas cepat barang-barang kamu ni. Hari ini abang Im kamu nak datang jemput kan? Nanti susah pulak kalau ada yang tertinggal”, Mak Ton mengubah topik perbualan.

“Ye lah ibuku sayang..dah tak banyak ni. Dah nak siap dah. Apa yang mak bimbangkan? Abang Im kan nak jemput Hana petang”,  Hana menjawab bersahaja.

“Kalau mak cakap tu, ada saja alasannya”, Mak Ton mencuit hidung Hana perlahan sebelum melangkah keluar dari bilik anak perempuannya itu.

            Hana memasukkan pakaiannya ke dalam beg setelah selesai melipat semuanya. Kemudian seraya mencapai senarai yang telah dibuat untuk memeriksa segala kelengkapan yang masih belum ada. Sudah menjadi kebiasaan, setiap kali ingin pulang dia akan membuat senarai segala kelengkapan terlebih dahulu. Begitu juga jika ingin membeli barang atau pun ke pasar. Dia mahu segala kerja yang dilakukan cermat dan teratur bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.

Hana mencapai telefon bimbitnya sebaik merasa ada getaran. Sengaja dia menukar ke silent mode kerana tidak mahu diganggu. Ada sms yang masuk. Pantas ibu jarinya menekan punat ‘read’ pada skrin telefon bimbit tersebut. Tertera nama ‘Lecturer Mereng” sebagai nama pengirim mesej tersebut. Hana terus membaca mesej tersebut.

‘Abang datang jemput Hana lewat sikit. Banyak sangat kerja yang nak disiapkan hari ni.

Hana terus membalas sms tersebut.

Ok. Got it!

Sekali lagi telefon bimbit Hana bergetar menandakan ada balasan.

One more thing ibu beruang, Bagi tahu mak, abang akan tidur kat rumah malam ni’
Hana mencebik sebaik terbaca perkataan ibu beruang. Tak faham bahasa betul la lecturer aku ni! Getus Hana di dalam hati. Pantas sahaja jemari Hana membalas sms Haziq.

Baiklah, bapak musang!  

Rasakan! Sedap-sedap je panggil aku ibu beruang. Senyuman nakal jelas terukir dibibir Hana.

Haziq tersenyum lebar sebaik membaca sms yang dihantar oleh Hana. Ada-ada sahaja adik angkatnya yang seorang ini. Macam sarang tebuan. Pantang dicuit sedikit, mudah sangat nak melenting.

Hana mencampakkan telefon bimbitnya kembali ke atas tilam berdekatan beg pakaiannya. Kemudian seraya melangkah keluar menuju ke dapur untuk mendapatkan ibunya. Dia mahu memberitahu ibunya berkenaan sms yang dihantar Haziq kepadanya.

****************************************************************************************************
“Bila kau nak tunaikan syarat aku tu mangkuk!!”, kuat tengkingan yang dihamburkan Tiger kepada Idzham. Hampir tercampak telefon bimbit Idzham kerana terkejut dek tengkingan Tiger. Lidah Idzham kelu.

“Kau dengar tak ni? Kalau kau tak tunaikan syarat aku tu, kau mesti bayar segala hutang kau hari ni jugak! Kalau tak, nahaslah kau!!”, kuat suara Tiger bertempik. Terasa hampir pecah gegendang telinganya menampung suara kuat Tiger.

“Aku dah balik rumah semalam, tapi diaorang tak ada di rumah. Puas aku tunggu, lepas tu aku blah je la”, balas Idzham takut-takut. Dia berharap alasannya diterima oleh Tiger.

“Aku tak peduli semua tu. Apa yang aku tahu, kau kena tunaikan segala syarat aku malam ni jugak! Faham?!!”, Tiger membuat keputusan muktamad. Keputusan yang tidak mungkin mampu ditolak oleh Idzham lagi.

“Apa-apa hal, aku roger kau nanti”, akhirnya Idzham akur dengan kehendak Tiger. Dia bimbang jika dia menolak, nyawanya yang bakal menjadi taruhan.

****************************************************************************************************
            Rusydi mengelus lembut rambut Iffa. Iffa hanya membiarkan sahaja perlakuan Rusydi. Ada sesuatu yang Rusydi sembunyikan daripada pengetahuan Iffa. Iaitu hubungannya dengan Hana. Iffa merupakan pelajar Fakulti Kejururawatan semester satu tahun pertama di MSU. Terlalu banyak perkara yang tidak diketahuinya. Dia masih hijau berkenaan selok belok kehidupan di universiti. Baginya, Rusydi lah antara orang yang banyak membantunya sepanjang dia berada di situ. Dia mengenali Rusydi ketika minggu orientasi dan Rusydi merupakan salah seorang Facie yang mengendalikan program minggu orientasi tersebut. Bagi Iffa, dia sangat bertuah kerana Rusydi memilihnya dibanding dengan pelajar-pelajar baru yang lain.

“Dear, abang tak boleh jumpa Iffa selalu selepas ni tau. Abang nak fokus pada final exam. Iffa tau kan, final exam ni penting buat pelajar tahun akhir macam abang”, Rusydi beralasan.

“Its ok, abang. Don’t worry, Iffa faham. Lagipun kan Iffa exam jugak nanti. Tapi nanti mesti Iffa rindu abang”, ujar Iffa manja.

“Jangan risau, habis je exam abang janji abang terus datang jumpa Iffa”, Rusydi mengangkat tapak tangan kanan menandakan dia berjanji dan bakal mengotakan janjinya nanti.

“Promise?”, Iffa masih menyoal meminta kepastian.

“Promise dear..”, Rusydi cuba memujuk agar Iffa mempercayai kata-katanya. Apa yang ada di dalam hatinya kini rasa gembira bukan kepalang kerana Hana Si jantung hatinya akan kembali ke Shah Alam. Dia tidak mahu Hana dapat menghidu segala perbuatannya sepanjang ketiadaan Hana.

Suasana tenang itu tiba-tiba dikejutkan dengan satu panggilan telefon. Pantas Rusydi mencapai telefon bimbitnya di dalam kocek seluar untuk menukar ke silent mode. Dari nada dering yang berkumandang, dia tahu siapa gerangan si pemanggil tersebut. Walau apa pun, dia harus bijak menyembunyikan hubungannya dengan Hana kerana khuatir tembelangnya akan diketahui oleh Iffa.

“Siapa telefon sayang?”, soal Iffa ingin tahu.

“Owh, Ameer. Malas abang nak jawab. Kacau daun je”, bersahaja Rusydi memberi alasan agar Iffa tidak bertanya lagi.

Hana mencampak kembali telefon bimbitnya ke atas tilam. Dia merasa sedikit aneh, sudah dua kali dia cuba menghubungi Rusydi hari ini, telefon tidak bertutup, tetapi panggilannya tidak berangkat. Pada hematnya, pasti Rusydi sibuk. Hana tidak begitu bimbang kerana kebiasaannya Rusydi akan menghubunginya semula kemudian.

Hana mengambil semula telefon bimbitnya. Seraya menaip sesuatu untuk dihantar kepada teman lelakinya itu.

Call me back dear when you have free time. I’ll come back to Shah Alam tomorrow. Can’t wait to see you =)

Kemudian jemarinya pantas menekan punat ‘hantar’.

Beberapa saat kemudian, Hana menerima balasan pesanan ringkas tersebut. ‘Tadi aku call susah sangat nak angkat. Cepatnya dia reply msg aku?’ Hana mengomel sendiri. Seraya lantas membaca sms tersebut.

Sorry, I really busy today. I don’t have free time to call you back. Of course I know you want to come back tomorrow dear, I’m the one who will fetch you right?

Mulut Hana melopong sebaik membaca sms dan nama pengirim tersebut. Pengirim tersebut bukan Rusydi!!

Bersambung…..


No comments:

Post a Comment