FOLLOWERS...

Wednesday 24 December 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 26)

Bab 26

      Keadaan Restoran Cili Padi ketika itu agak sesak dengan pelanggan yang keluar masuk. Ada yang menikmati makan tengahari di situ, ada pula yang membeli bungkus. Biasalah, waktu rehat tengah hari yang diperuntukkan hanyalah satu jam. Jadi, ramai yang keluar untuk menikmati juadah makan tengah hari di restoran kegemaran yang mana, Restoran Cili Padi menjadi salah satu restoran pilihan mereka. Selain juadah yang sedap-sedap belaka, lokasinya juga strategik dan memudahkan pelanggan untuk memakirkan kenderaan. Ditambah pula suasana dekorasi restoran tersebut yang sedap mata memandang. Sudah hampir lima belas minit Haiqal menunggu Farouk. Mereka telah berjanji untuk makan tengah hari bersama hari ini. Air teh ais limau yang dipesan Haiqal sudah habis diminum. Namun, kelibat Farouk masih juga tidak kelihatan. Kesabarannya semakin menipis. Sesekali tangannya mengetuk-ngetuk meja kayu di hadapannya menandakan dia mulai bosan berhadapan situasi sebegitu.

     Haiqal dapat melihat jelas dari tempat duduknya susuk tubuh orang yang dinanti-nantikannya berjalan masuk ke dalam restoren tersebut setelah berjaya memakirkan kereta tidak jauh dari jalan besar. Farouk melilaukan pandangan mencari sahabatnya Haiqal. Terkocoh-kocoh dia berjalan sampai terlanggar beberapa orang pelanggan di situ. Cepat-cepat juga dia bertindak memohon maaf. Mana tidak kelam-kabut, berjanji dengan Haiqal pukul 1 tengahari. Tetapi sekarang jam telah menunjukkan ke pukul 1.30 tengahari. Pastinya dia bakal menerima kata-kata pedas daripada anak majikannya sebentar lagi. Itu Farouk pasti!

          Farouk mengambil tempat duduk sebaik terlihat lambaian tangan Haiqal ke arahnya. Riak wajah Haiqal sudah dapat dibaca Farouk apabila melabuhkan punggung di tempat duduk berhadapan Haiqal.

“Sorry Haiqal, aku ada kerja kat pejabat tadi,” Farouk memberi alasan. Nafasnya sedikit mencungap kerana berjalan laju.

“Aku dah agak, kalau kau lambat sikit lagi tadi memang aku dah blah dah. Malas aku berurusan dengan orang tak tepat waktu macam kau ni,” sindir Haiqal sinis.

          Farouk tayang senyum kambing. Malas mahu berhujah dengan Haiqal. Selalunya dia juga yang akan mengaku kalah lebih awal demi menjaga hati Haiqal. Mengenali Haiqal lebih 10 tahun cukup membuatkan Farouk mengenali perangai teman baiknya itu. Haiqal seorang yang panas baran. Jangan menjentik kemarahannya walau sedikit, pasti dia cepat naik berang.

“Kau dan makan ke belum ni?” soal Farouk meredakan suasana tegang antara mereka.

“Belum, aku belum order apa-apa lagi. Selera aku pun dah terbantut ni disebabkan kau lambat,” tukas Haiqal masih menyindir Farouk.

“Sabar beb, makan hari ni aku yang belanja. Amacam?” Farouk masih bersahaja seperti tadi. Tidak tersinggung sedikit pun dengan kata-kata Haiqal.

“Aku ok je,” Haiqal memberi persetujuan.

               Farouk bangun untuk memesan makanan memandangkan orang penuh sesak kala ini. Bimbang pula jika makanan yang dipesan lambat sampai. Lebih baik dia sendiri bangkit untuk memesan makanan di meja kaunter. Setelah memesan dua gelas  jus oren dan dua pinggan nasi ayam, Farouk kembali ke tempat duduk sementara menunggu pesanannya sampai.

“Aku ada kerja untuk kau. Aku nak kau bereskan secepat mungkin,” ujar Haiqal apabila Farouk mengambil tempat duduknya.

“Kerja apa? Cuba cerita sikit,” Farouk inginkan kepastian.

“Papa aku dah tanya pasal projek syarikat di Pulau Pinang tu. Aku tak nak kau bukak mulut sikit pun. Jadi, aku nak kau lupuskan segala data berkaitan projek tersebut. Buatlah apa cara sekalipun!” Haiqal menerangkan serba sedikit duduk perkara yang sebenar.

“Macam mana tiba-tiba papa kau tanya? Bukankah dokumen akaun yang kita buat tu lengkap? Seingat aku tak ada cacat celanya. Musykil pulak aku,” Farouk melahirkan rasa tidak sedap hatinya kepada Haiqal.

“Kau jangan pandang rendah pada orang tua tu Farouk, dia bijak! Aku pun tak pasti macam mana tiba-tiba dokumen projek tu boleh berada di tangannya,” Haiqal mengingatkan Farouk perihal papanya.

“Itu aku setuju, tetapi macam mana dia boleh kesan jumlah ketirisan tersebut? Aku dah buat cukup perfect tau!” bicara Farouk sedikit bangga.

“Itu aku tak tahu, apa yang aku nak kau buat sekarang ini ialah betulkan keadaan ni. Hapuskan segala bukti yang boleh menjurus kepada ketirisan wang tersebut. Buat seolah-olah yang duit syarikat tu telah digunakan untuk menyelesaikan masalah di tapak projek. Itu alasan yang aku bagi pada papa tempoh hari.”

“Kau jangan bimbang, serahkan semua pada aku. Tapi, berapa fulusnya?” tambah Farouk lagi sambil menggerak-gerakkan jari menandakan dia memerlukan wang.

“Aku dah agak dari tadi lagi,” sambung Haiqal lagi apabila terpandang gerakan jari yang dibuat oleh Farouk kepadanya.

Farouk tersengih-sengih.

“Berapa kau nak?” tanya Haiqal lagi.

“Sebab tugas yang aku nak lakukan ni menyalahi etika, aku nak RM 20 000. Boleh?” Farouk menetapkan syarat tanpa segan silu.

“Datang ambil pagi esok! Aku bagi deposit dulu, selebihnya aku bayar bila kau dah siapkan kerja kau!” tegas nada yang dikeluarkan Haiqal. Dia mahu Farouk menyelesaikan tugas tersebut secepat mungkin. Jika diketahui papanya satu hari nanti, teruk akibatnya.

“Hahaha! Sesudah subuh aku sampai,” ucap Farouk cuba berseloroh.

“Ingat! Hanya kita berdua yang tahu hal ni. Kau tahu kan apa yang mampu aku lakukan kalau rahsia kita ni bocor?,” sekali lagi Haiqal mengingatkan. Senyuman sinis berbaur amaran dilemparkan kepada Farouk.

Farouk sekadar membalas senyuman tersebut sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali.

                  Beberapa minit kemudian, makanan tiba. Perut yang sudah berkeroncong perlu diisi segera. Mereka menikmati makanan masing-masing tanpa mempedulikan pelanggan yang keluar masuk memenuhi restoran tersebut.

************
           Datin Zahirah melangkah laju menuju pejabatnya. Para pekerja memberi sapaan selamat pagi setiap kali bertembung dengannya. Seperti biasa dia pasti membalas sapaan tersebut sama ada dengan senyuman, anggukan atau jika tidak sibuk dia pasti bertanya khabar secara ringkas dengan pekerjanya. Datin Zahirah mahu melahirkan suasana gembira dan hubungan yang erat antara majikan dan pekerja. Dia tidak mahu ada jurang yang terlalu jauh sesama mereka kerana dia sangat tidak menggemari bekerja dalam suasana yang tegang.

“Selamat pagi, Datin. Ada surat penting untuk Datin. Saya dah letakkan di atas meja. Saya tak berani membukanya kerana di luar sampul tertulis Sulit dan Persendirian,” Normi setiausahanya menerangkan satu-persatu.

“Terima kasih Normi. Nanti saya tengok. Buatkan kopi saya macam biasa ye dan letakkan atas meja kopi berdekatan sofa tu.”

“Baik, Datin,” Normi membalas senyuman yang dilemparkan oleh Datin Zahirah kepadanya. Seraya melangkah segera ke pantri pejabat untuk membancuh kopi yang diminta majikannya itu.

Datin Zahirah terus melabuhkan punggung setelah meletakkan dokumen dan tas tangan di atas meja. Seraya menarik nafas beberapa kali dan menghembusnya perlahan. Kemudian surat rasmi bersampul putih di hadapannya di ambil. Mungkin keputusan hasil ujian DNA yang terdapat pada kayu yang dikatakan menjadi senjata  yang digunakan pembunuh dalam pembunuhan remaja yang kini masih dalam proses perbicaraan.

Datin Zahirah mengeluarkan lembaran putih yang terdapat di dalam sampul surat tersebut. Surat itu kemudiannya di baca penuh berhati-hati. Sesekali kelihatan kerutan pada wajah Datin Zahirah. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu yang serius. Isi kandungan surat itu menyatakan yang darah mangsa sepadan dengan tompokan darah yang ditemui pada kayu tersebut. Memang itu merupakan darah mangsa. Tetapi persoalannya, laporan makmal Forensik juga telah melaporkan bahawa si mati meninggal disebabkan tusukan objek tajam pada abdomennya dan tiada kecederaan melibatkan pukulan daripada objek tumpul seperti kayu tersebut di mana-mana bahagian tubuhnya. Oleh itu, jelas di sini menunjukkan kayu tersebut tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti penyebab kepada kematian mangsa. Nampaknya kes tersebut semakin rumit untuk diselesaikan.

Lembaran putih tersebut kemudian dilipat semula dan dimasukkan ke dalam sampulnya. Datin Zahirah berfikir sejenak apa sebenarnya mesej yang nak disampaikan si pembunuh? Jelas. Si Pelaku sengaja mengada-adakan bukti palsu untuk melambatkan proses siasatan pihak berkuasa. Helaan nafas berat dilepaskan beberapa kali. Bagi Datin Zahirah, kes kali ini merupakan kes yang paling mencabar sepanjang kariernya sebagai seorang peguam. Namun, jauh di sudut hati Datin Zahirah dia bertekad tidak akan menyerah dan berputus asa dengan terlalu mudah.

Tok! Tok! Tok!

Pintu bilik Datin Zahirah diketuk beberapa kali. Seraya tidak terus memberi arahan masuk. Tetapi bangun dari duduknya untuk beralih tempat ke sofa berdekatan mejanya. Kemudian baru dia memberi kebenaran masuk. Syahrul pembantunya melangkah pantas mendapatkannya. Datin Zahirah dengan mudah sudah mampu mengagak maksud kedatangan Syahrul ke biliknya. Pasti Syahrul juga telah dimaklumkan berkaitan laporan unit Forensik tersebut.

“Datin dah baca laporan tu?,” tanya syahrul tanpa membuang masa.

Datin Zahirah mengangguk ringkas.

“Apa komen Datin? Saya rasa, pembunuh sengaja mempermain-mainkan kita. Sakit pulak hati saya,” Syahrul sedikti mengomel.

“Jangan putus asa Syahrul! Kita tak boleh menyerah kalah dengan begitu sahaja. Kita mesti teliti semula kes. Saya bimbang ada bukti atau klu yang tertinggal. Sepandai-pandai tupai melompat, pasti akan jatuh ke tanah jua. Manusia tidak sempurna. Pasti suatu masa dia akan melakukan kesilapan. Kita mesti optimistik!” panjang lebar cadangan dan nasihat yang diberi Datin Zahirah.

*****************************
“Kita dah sampai Datuk mengikut alamat ni,” Pak Samad memaklumkan Datuk Mahfudz.

Datuk Mahfudz masih tidak bersuara. Namun, air muka yang dipamerkan jelas ada cahaya kegembiraan di situ.

“Datuk nak turun atau kita terus bertanya kepada penduduk kampung di sini?” Pak Samad memberi cadangan.

“Kita terus ke warung depan tu. Tekak saya dah mula haus ni. Sambil minum nanti kita boleh tanya pada mereka,” Datuk Mahfudz terus memberi arahan agar Pak Samad meneruskan pemanduan sehingga ke warung yang dimaksudkan.

“Baiklah Datuk,” Pak Samad bersetuju tanpa banyak soal.

           Datuk Mahfudz melangkah keluar dari perut kereta sebaik kereta Audi A6 itu di parkirkan tidak jauh dari warung yang dimaksudkan. Banyak mata yang memandang mereka sejak tadi. Maklumlah tiada penduduk kampung yang mampu memiliki kereta semewah itu. Tambahan pula mereka tidak mengenali Datuk Mahfudz dan Pak Samad. Mereka memandang dengan perasaan curiga dan ingin tahu siapa gerangan orang asing yang tiba-tiba muncul di kampung mereka.

Pak Samad dan Datuk Mahfudz melemparkan senyuman dan mengambil tempat duduk di salah satu meja kosong tidak jauh dari situ. Kelihatan seorang lelaki lewat 60-an melangkah menghampiri meja mereka untuk mengambil pesanan. Datuk Mahfudz dan Pak Samad masing-masing memesan secawan kopi. Lelaki tersebut tersenyum dan masuk ke dalam warung untuk membuat air yang dipesan. Maklumlah, resmi warung di kampung. Tidak punya ramai pekerja dan pelanggan juga tidaklah begitu ramai. Yang kelihatan hanya lelaki lewat 60-an itu dan seorang perempuan awal 20-an yang berkerja di warung kecil tersebut.

Beberapa minit kemudian lelaki tadi datang semula dengan menatang dulang kecil berisi dua cawan kopi panas. Seraya meletakkan dua cawan kopi tersebut di hadapan Datuk Mahfudz dan Pak Samad.

“Maaf saya bertanya, encik berdua ni dari mana?”, soal lelaki tersebut ramah.

“Saya Pak Samad dan ini majikan saya Datuk Mahfudz. Kami dari Kuala Lumpur,” Pak Samad memperkenalkan dirinya sekaligus memberitahu dari mana mereka datang.

“Nama saya Ismail. Orang kampung panggil saya Pak Mail. Datuk dan Encik Samad jangan ambil hatilah ya dengan renungan orang kampung di sini. Maklumlah, mereka agak pelik melihat orang kaya berkereta mewah yang tiba-tiba datang ke kampung ni. Kalau boleh saya tahu, apa hajat Datuk dan En. Samad datang ke sini?” Pak Mail memperkenalkan diri sekaligus bertanya hajat Datuk Mahfudz dan Pak Samad datang ke kampungnya.

“Usah berdatuk-datuk dengan saya. Panggil saja saya Mahfudz. Dah lama abang Mail tinggal di sini?”, Datuk Mahfudz berbasa-basi. Dia tidak mahu berasa canggung berada di tempat orang. Seperti juga Datin Zahirah, Datuk Mahfudz tidak memandang manusia berdasarkan pangkat dan keturunan. Yang membezakan seorang manusia dengan manusia lainnya ialah pegangan agama, ketinggian akhlak dan budi pekerti. Semua manusia dilahirkan sama sahaja.

Seperti kata-kata Bill Gates, pereka perisian Microsoft yang tersohor, jika dilahirkan sebagai seorang yang miskin ia bukannya salah anda, sebaliknya jika anda mati dalam keadaan miskin maka ianya adalah salah anda. Setiap manusia dikurniakan akal dan fikiran serta tulang empat kerat untuk berusaha memperbaiki kehidupan.

“Saya tinggal dikampung ini sejak lahir lagi. Ibu dan ayah saya memang orang sini,” senyuman terukir dibibir tuanya sebaik menghabiskan bicaranya.

“Maksudnya saya sudah bertemu dengan orang yang tepat. Biarlah saya berterus-terang abang Mail, kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya mencari abang saya yang telah terpisah hampir 30 tahun. Dah lama saya menjejakinya. Tetapi tidak ketemu juga. Saya berharap sangat ini merupakan penamat pencarian saya selama ini,” Datuk Mahfudz menaruh harapan yang besar untuk bertemu abang kandungnya.

“Memang besar hajat tu. Siapa yang Mahfudz cari, beritahu saya namanya. Manalah tahu saya kenal, boleh saya tolong,” ujar Pak Mail cuba menghulurkan pertolongan.

“Dah lama saya mencari abang saya. Kami sebapa, tetapi berlainan ibu. Ibunya berkahwin lain dan mengikut suami berpindah ke Pahang. Dia mengikut ibunya berpindah sama. Selepas itu kami pernah berjumpa ketika sama-sama bekerja di Kuala Lumpur. Kami membina syarikat sendiri. Namun, atas satu salah faham yang berlaku antara kami, dia membawa diri. Yang saya ingat, dia punya seorang anak lelaki yang hampir sebaya dengan anak sulung saya. Sudah sekian lama saya menjejakinya. Tetapi hingga kini menemui jalan buntu,” Datuk Mahfudz menerangkan perihal cerita dia dan abangnya. Wajahnya kelihatan sugul setelah bercerita panjang lebar menggambarkan kekesalan yang telah lama bersarang di hati akibat salah faham antara dia dan abangnya sehingga menyebabkan saudara sedarah sedagingnya itu menghilangkan diri.

Datuk Mahfudz mengeluarkan sekeping gambar lama bersaiz passport dari dalam dompetnya. Gambar itu telah usang seiring dengan waktu. Bahagian tepi gambar itu telah lusuh dan merekah. Namun gambar itu masih jelas dan boleh dilihat. Gambar abangnya yang terpisah kira-kira 30 tahun dahulu. Datuk Mahfudz merenung gambar itu sejenak kemudian menyerahkannya kepada Pak Mail. Pak Mail menyambut huluran tersebut dan menatap gambar lama itu buat seketika. Seraya cuba mengamati insan yang dimaksudkan dalam gambar tersebut. Dia lantas teringatkan seseorang.

Bersambung….

9 comments:

  1. Replies
    1. Terima kasih banyak baby mio sbb sudi follow Bukan Sebuah janji sehingga kini... terima kasih daun keladi.. (^_^)

      Delete
  2. cepatlah update entry yg seterusnya..x sabar nk baca..cerita ni best..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih byk sebab sudi baca dan mengikuti cerita ni...sgt2 eira hargai...terima kasih banyak ye...nantikan bab seterusnya taw....=)

      Delete
  3. How about next?
    Please make it more eira. Your story is good.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanx a lot for the support..I'll try to finish it as best as I can.. :)

      Delete
  4. masukkan lagi..ada try antar kat mna2 publisher x? anta la kt karya seni or kaki novel..sure meletup novel u ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanx a lot sis for ur comment and support...really appreciate it...doakan saya ye..=)

      Delete
    2. thanx a lot sis for ur comment and support...really appreciate it...doakan saya ye..=)

      Delete