FOLLOWERS...

Friday 18 April 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 18)

Assalamualaikum dan hello2!! Yeay! Bab 18 in da house....jemput baca n bagi komen semua...eira nak ucapkan terima kasih kepada semua sebab sudi follow e-novel eira dr 1st bab sampai la sekarang...eira syg semua byk2!!!



Bab 18          

Tiger berjalan mundar-mandir. Sejak peristiwa semalam, sukar benar dia menghubungi Idzham. Nampaknya, Idzham sengaja mahu bermain dengan api pada pendapatnya. ‘Adakah Idzham sudah melarikan diri?’ Terdetik soalan tersebut di hati Tiger. Tanpa membuang waktu, Tiger mengeluarkan telefon bimbit dari kocek kanan seluarnya untuk cuba menelefon Idzham sekali lagi. Kali ini cubaannya menghubungi Idzham berhasil. Ada suara kedengaran di hujung talian.

Hello! Kau kat mana Am?”, nada suara yang dilontarkan untuk bertanya kepada Idzham agak tinggi. Seiring kemarahan yang sarat terbuku di dadanya. Kalau Idzham ada dihadapannya, sudah pasti lebam biji mata Idzham dek tumbukan Tiger.

“Aku kat KL ni. Aku cadang nak balik kampung . Mak tiri aku akan dikebumikan hari ini. Aku nak pergi tinjau keadaan Hana”, balas Idzham bersahaja, ini bukan kali pertama dia membuat Tiger naik angin. Telinganya sudah terbiasa menadah suara tengkingan Tiger.

“Aik! Cepatnya kau bertindak?”, tukas Tiger. Idzham yang dikenalinya, umpama pahat dan penukul. Kalau sekali diketuk baru nak buat kerja. Tetapi berlainan kali ini. Belum pun disuruh tahu pula bertindak sendiri. 

“Mestilah, aku tak nak si Imran tu bawa lari Hana lebih jauh”, ada nada sedikit bangga pada kata-kata Idzham.

“Macam mana pulak kau tahu mak dia dah mati?”, soal Tiger lagi inginkan kepastian.

“Malam itu jugak aku terus ke Hospital Teluk Intan untuk mencari Hana. Mestilah dia akan hantar orang tua tu ke hospital terdekat, kan? Tapi, aku tak nampak langsung batang hidung Hana dan Imran kat situ. Aku terus blah sebab aku nampak ada polis di kawasan tu. Tengah hari tadi aku ke sana lagi. Nurse kat situ bagi tahu mak dia dah mati”, Idzham memberi jawapan panjang dan penuh meyakinkan. Dia dan Hana tidak punya ramai saudara mara. Pada firasatnya, besar kemungkinan Hana dan Haziq pulang ke kampung. Lagipun, takkan lah Haziq mahu bawa lari sekali jenazah Mak Ton bersama untuk menyelamatkan Hana dari dijejaki dia dan Tiger. Tak logik!

Tiger ketawa berdekah-dekah. Dia tidak menyangka kadang-kala Idzham mampu berfikir dengan waras. Namun begitu, Tiger tidaklah terlalu yakin dengan kemampuan Idzham kerana dia tidak boleh memandang rendah pada Haziq. Dia tahu, Haziq mampu melakukan lebih dari apa yang dilakukannya pada malam kejadian itu.

“Inilah masa yang sesuai untuk kau culik dia Am! Karl dah naik angin, dia nak budak tu secepat mungkin!”, pesan Tiger tegas. Dia mahu kali ini usaha Idzham berhasil. Tiger pula tidak mahu menonjolkan diri untuk selesaikan segalanya kerana dia tahu, sudah pasti polis kini sedang memburunya atas kematian Mak Ton. Dia mesti menunggu keadaan menjadi reda sedikit untuk bertindak. 

Idzham menyeringai mendengar pesanan Tiger. Dia punya rancangan sendiri, hanya perlu menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Idzham tak mahu mati di tangan Tiger mahupun Karl. Tak mahu!

            Idzham segera mendail nombor telefon Zana sebaik mematikan talian Tiger. Nombor telefon itu diperoleh daripada telefon bimbit Hana yang dicurinya sebelum melarikan diri setelah Mak Ton ditikam. Berdasarkan jumlah panggilan dan pesanan ringkas yang masuk, Idzham tahu pastinya Zana merupakan teman rapat Hana dan sudah tentu Zana akan menghadiri pengkebumian ibu Hana.

“Hello! Ini Cik Zana ke? Cik berada di mana sekarang?”, soal Idzham sebaik Zana menjawab panggilannya. Sebaliknya, Zana tidak terus menjawab kerana dia tidak mengenali nombor telefon pemanggil.

“Maafkan saya, siapa ni?”, Zana menyoal kembali.

“Saya daripada pihak hostel universiti. Saya nak maklumkan berlaku pencerobohan asrama melibatkan hostel Cik dan Cik Hana”, Idzham menyamar sebagai pengurus asrama universiti.

“Bila berlaku encik? Saya dan Hana sekarang berada di Sabak Bernam menguruskan pengkebumian ibunya yang baru meninggal dunia.”, Zana bertanya dengan cemas sekaligus memberitahu lokasi mereka dengan jujur kerana menyangka panggilan itu benar-benar dari pihak universiti.

“Oh, begitu. Saya berharap Cik Zana boleh datang segera, kalau boleh sebelum esok untuk melaporkan kepada pihak polis jika terdapat kehilangan barang berharga milik Cik dan Cik Hana”,  lakonan Idzham penuh meyakinkan. Intonasi suaranya dikawal agar kedengaran tenang dan bersahaja.

 “Baiklah Encik, saya akan pulang ke sana petang ini juga. Terima kasih banyak atas makluman”, Zana bersetuju pulang tanpa berfikir panjang. Dia tidak menyangka langsung bahawa panggilan itu merupakan panggilan palsu. Tambahan pula, hatinya dipagut bimbang kerana kebetulan dia memang menyimpan seutas rantai emas dan cincin pemberian neneknya di dalam laci almari bilik mereka.

“Sama-sama”, Idzham lantas mematikan talian. Dia tidak mahu memanjangkan cerita kerana bimbang akan menjerat dirinya sendiri. Maklumat yang diinginkan sudah berjaya diperoleh dan Idzham terus menuju ke kampung kerana kini dia sudah pasti bahawa Hana membawa pulang jenazah ibunya ke kampung untuk disemadikan di sana. 

            Zana melangkah masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan Hana. Hana perlu diberitahu tentang berita tersebut segera. Namun, niat Zana untuk mengkhabarkan berita tersebut semerta dimatikan apabila melihat Hana sedang bersolat. Seraya terus melangkah keluar dari bilik Hana untuk mencari Haziq. Dia berpendapat, pensyarahnya itu perlu tahu hal tersebut memandangkan ianya melibatkan pihak universiti. 

“Kenapa kusut sangat air muka you ni Zana?”, Haziq menyoal apabila melihat Zana nampak sugul ketika berjalan ke arahnya.

Zana melabuhkan punggung tidak jauh dari tempat duduk Haziq.

“Hostel kena pecah masuk. Saya baru mendapat panggilan telefon daripada pengurus hostel sebentar tadi. Pihak universiti berharap kami boleh pulang ke sana segera untuk memeriksa andai ada barang berharga milik kami yang hilang”, Zana menceritakan duduk perkara sebenar.

“Habis tu, you nak balik sana petang ni jugak ke?”

“Cadangnya macam tu lah, doc”

“Hana dah tahu pasal ni?”, Haziq bertanya ingin tahu.

Zana menggeleng perlahan.

“Apa yang saya perlu tahu doc?”, celah Hana yang tiba-tiba muncul dari biliknya.

“Hostel kita kena ceroboh. Aku nak balik Shah Alam petang ni jugak, nak periksa sama ada barang-barang kita ada yang hilang sekaligus nak buat laporan polis”, terang Zana serba sedikit.

“Kau nak tinggalkan aku seorang kat sini ke Zana?”, Hana seperti kurang bersetuju dengan cadangan Zana.

“Bukan macam tu, aku cuma nak periksa sama ada barang kemas pemberian nenek aku kena curi atau tidak. Lagi pun tu kan barang pusaka. Aku risau ni. Aku janji, selepas segalanya selesai, aku terus datang sini”, terang Zana lagi.

“It’s ok Hana. Abang kan ada dengan Hana…janganlah risau”, celah Haziq pula.

Hana pamer wajah cemberut. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia mudah tersinggung dengan perkara-perkara kecil. Dalam keadaan ini, Rusydi pula tiada usaha langsung untuk cuba menghubunginya. Walaupun telefon bimbitnya hilang, Rusydi sepatutnya berusaha menelefon Zana untuk bertanyakan keadaan dirinya. Sungguh dia berasa kecil hati denga tindakan Rusydi. Teman lelakinya itu tiada disaat dia melalui masa-masa sukar sebegini. Orang yang setia disisinya hanyalah seorang lelaki asing yang bernama Haziq Imran.
 
“Jangan la macam tu Hana, aku kena balik ke sana petang ni juga”, Zana berusaha memujuk.

“Kemaskan barang you Zana, I hantarkan sampai stesen bas. Abang harap Hana boleh mula bersiap. Ikut abang hantar Zana”, tegas bunyi arahan Haziq. Dalam keadaan ini, Haziq perlu bertindak tegas. Bukan kerana dia tidak kasihankan Hana yang baru kehilangan ibu tercinta, tetapi Hana perlu rasional dengan keadaan Zana. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Zana bingkas bangun mendengar arahan pensyarahnya manakala Hana hanya diam membisu tidak berganjak walau seinci dari kedudukan asalnya.

“Suka sangatla tayang muka ibu beruang merajuk tu? Bersiap cepat, kalau tak..”

“Kalau tak apa doc? Suka hati saya la!”, Hana memotong bicara Haziq.

Haziq tersenyum. Dia sedar, Hana sedang berkecil hati dengan tindakannya.

“Kalau tak, abang terus je dukung Hana masuk kereta. Jangan ingat abang tak mampu buat macam tu”, Haziq sedikit mengugut. Sekadar mengusik untuk mengelakkan Hana berkecil hati dengannya.

“Doc ingat saya ni budak kecil ke? Suka suki je nak dukung saya?”, Hana mula naik angin.

“Tak adalah, saya tak kata awak budak kecil. Saya kan kata awak ibu beruang tadi…ibu beruang yang akan berubah jadi ibu singa sekejap je lagi”, ujar Haziq sambil tayang muka serius yang dibuat-buat.

Hana melangkah ke bilik dengan menghadiahkan jelingan tajam pada Haziq. Dia malas bertikam lidah. Bimbang juga dia kalau pensyarah ‘mereng’ tersebut betul-betul mendukungnya ke kereta. Lagipun, Haziq memang pernah mendukungnya. Bukan sekali, tapi sudah dua kali. Jadi, sebelum Haziq buat kerja gila, lebih baik Hana angkat kaki pergi bersiap.

“Tau takut...”, ujar Haziq sambil tersenyum kecil ke arah Hana.

****************************
           
           Ari melabuhkan punggungnya bersebelahan Hajah Halimah. Sudah hampir dua minggu dia pulang ke Malaysia setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang perundangan di Universiti Monash, Australia. Hingga  kini dia masih belum berhasrat ingin mencari kerja. Sengaja mahu berehat dan menenangkan fikiran. Apa yang pasti, Ari punya misi yang belum selesai. Misi mencari bekas suami kakaknya seperti yang diceritakan oleh kakaknya Qistina Farwizah dalam warkah email terakhir yang dikirimkan kepadanya sebelum kakaknya itu menyahut panggilan ilahi. Dia berharap sangat dapat bersua muka dengan abang iparnya itu kerana sejak kakaknya berkahwin dia belum pernah bersua muka dengan Haziq walaupun sekali. Dia tahu, pastinya umi dan babah masih menyimpan alamat rumah Haziq. Hal ini akan memudahkan pencarian ‘jejak kasih’nya kelak.

“Jadi ke Ari pergi ke Kuala Lumpur hujung minggu ini?” soal Hajah Halimah sebaik anak daranya itu mengambil tempat bersebelahan dengannya.

“Mestilah jadi Ummi, Ari teringin sangat nak jumpa abang ipar Ari. Sebelum ini Ari cuma tengok dekat Fb Kak Izah je. Nak tahu juga, macam mana orangnya”, Farihah memberi jawapan yang agak panjang kepada Umminya.

“Babah dah tahu?’, soal Hajah Halimah lagi.

Farihah mengetap bibir dan menggeleng laju.

“Kenapa tak bagi tahu babah? Nanti dia ingat Ari ketepikan dia pulak. Alamatnya, tak pasal-pasal babah tak izinkan Ari ke sana jumpa Haziq”, ummi mengingatkan.

Hajjah Halimah tahu, Ari memang teringin benar berjumpa dengan abang iparnya. Mereka belum pernah bersua muka walaupun sekali kerana Qistina Farwizah berkahwin ketika masih belajar di Mesir. Manakala Farihah pula di Australia. Sehinggakan, dia tidak sempat bertemu kakaknya buat kali terakhir sebelum kakaknya menghembuskan nafas terakhir. Mereka hanya sempat berhubung melalui internet. Apabila Qistina Farwizah dikebumikan, sekali lagi dia tidak dapat hadir kerana menduduki peperiksaan akhir tahun pertama ketika itu. Sehingga kini, Farihah masih memendam rasa kesal jauh di sudut hatinya.

Farihah meraih tangan umminya, lalu  tangan itu dicium beberapa kali. Kemudian kepalanya dilentokkan di bahu Hajjah Halimah.

“Jangan bimbang ye ummi, sekejap lagi bila babah balik kerja Ari bagi tahu babah”, Ari memberi jawapan bersahaja sambil memaniskan muka memandang umminya.

Hajjah Halimah sekadar menggelengkan kepala dan menepuk lembut tangan Farihah setelah mendengar jawapan anaknya itu.

“Ummi, abang Haz tu orangnya macam mana?”, Ari bertanya ingin tahu.

“Seorang yang pandai menghormati orang tua, berpendidikan tinggi. Ilmu agamanya pun boleh tahan. Babah berkenan sangat ketika kali pertama bersua muka dengan dia. Mungkin sebab itulah arwah kakak kamu jatuh hati pada dia. Keluarganya dari golongan  berada. Tetapi dia seorang yang cukup sederhana. Nak buat macam mana, jodoh dia dengan kakak kamu tak panjang...”, kata-kata Hajjah Halimah terhenti di situ. Air hangat mula menitis dari tubir matanya. Sungguh, dia merindui Qistina Farwizah. Hati ibu mana yang tidak luluh saat menghantar anaknya sendiri ke tempat persemadian yang kekal abadi.

Ari mengesat air mata Umminya. Lantas memeluk erat wanita berusia lewat 50-an itu.

“Haziq seorang lelaki yang sangat baik. Walaupun sudah 3 tahun kakak kamu pergi, tetapi sehingga hari ini Haziq masih bertanyakan khabar Ummi dan Babah. Ada masa dia akan datang sini ziarah kami. Setiap bulan pula dia tidak pernah lupa mengirimkan duit kepada kami. Dia dah anggap Ummi dan Babah macam ibu dan ayahnya sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini dia agak sibuk katanya. Rasanya, sudah lebih sebulan juga dia tidak ke mari”, Hajah Halimah menyambung.

“Sebab tulah Ari teringin sangat nak berjumpa dengan dia. Kak Izah pun banyak bercerita pasal dia pada Ari”, Farihah menambah.

Hajah Halimah bingkas bangun dan melangkah menuju meja telefon, seraya kemudian menyelak–nyelak helaian  buku telefon sambil mencatat sesuatu di atas sekeping nota. Setelah itu, dia menghulurkan kepada Farihah.

“Hah, ini alamat dan nombor telefon abang Haz kamu. Jangan lupa simpan dalam telefon bimbit tu”, Hajah Halimah sempat berpesan sebelum menghilang ke dapur.

Farihah menyambut huluran tersebut dan membaca sekilas alamat yang tertera.

“Ari akan cuba realisasikan permintaan akak” janji Farihah di dalam hati.

“Ummi, abang Haziq tu handsome tak?”, Farihah melaung ke arah umminya di dapur.

“Sudah, jangan nak macam-macam!”, sempat ummi membalas kata-katanya.

            Farihah tersenyum simpul. Seraya mengubah kedudukannya daripada duduk, kini dia berbaring di atas sofa. Nota kecil pemberian umminya tidak dilepaskan. Telefon bimbit di atas meja kopi dicapainya dan dia mula menaip untuk menyimpan alamat dan nombor telefon Haziq ke dalam telefon bimbitnya. ‘Ari akan cuba realisasikan permintaan akak’. Janji Farihah di dalam hati.

Bersambung.... (^_^)

p/s: Mcm biasa, jemput bg komen sepatah dua ye buat pembaca2 yg eira sayangi semua...ataupun, just klik kotak survey kat bwh...utk eira tingkatkan lagi mutu penulisan di masa-masa akan dtg...tq semua..luv u =)

10 comments:

  1. best jln cerita membacanya bagaikan menonton drama tv je. keep it up
    kalau boleh pls remove security code untuk memudahkan pembaca komen dngn senang.tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanx a lot sis...terus follow ape jadi seterusnye ye..p/s: eira dah remove security code...so that make it easier for everyone to drop comments next time..tq so much sis..=)

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih byk Azzureen Azhan...keep on following me for da next en3 yea!

      Delete
  3. Replies
    1. Thanx a lot misschocolate...sabar taw..sy tgh siapkan Bab 19..more than halfway...sy akan cuba up secepat mungkin bila dah siap nnt...thanx again!

      Delete
  4. Thanks sbb terus mwnulis novel nih... :-)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama-sama..yeay!!! eira dah up bab 19...jemput baca ye dear...=)

      Delete
  5. Novel yg berlainan jln ceritanya. Amat menarik dan tidak stereotype...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih byk...eira hepy kalau pembaca terhibur...terima kasih..teruskan beri komen dan sokongan ye..eira budak baru belajar dan masih terlalu muda dalam bidang penulisan (Walaupun umur xmuda sgt)...hehehe...

      Delete