FOLLOWERS...

Thursday 30 January 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 15)


Assalamualaikum semua...maaf sebab en3 bab 15 agak lewat...kena seru mood menulis...tu yg lewat siap...hehehe...tp alhamdulillah...dpt gak disiapkan...selamat membaca n semoga terhibur..(^_^)


Bab 15  

Tak guna! Kurang ajar! Macam mana budak jahanam tu boleh ada kat rumah kau?”, radang Tiger masih belum mereda.

“Aku tak tahu Tiger! Dah bertahun aku tak nampak batang hidung dia, alih-alih dia tiba-tiba muncul depan aku semalam”, Idzham sungguh tidak menyangka Haziq datang menyelamatkan Hana dan Mak Ton. 

“Aaaaargh! Apa cara sekalipun, kau mesti dapatkan Hana untuk aku. Kalau tak, aku bunuh kau Am!”, kata-kata Tiger berupa arahan yang wajib Idzham tunaikan.

Tiger mendengus geram, melampiaskan sakit hati yang terbuku di dada. Seraya merenung Idzham dengan pandangan seperti singa kelaparan. Nafasnya turun naik menahan marah. Sudahlah dia tidak dapat menjamah tubuh Hana, bertambah malang lagi bersua muka pula dengan Haziq Imran. Sakit hati Tiger seolah-olah tidak bertepi. Seraya lantas mendapatkan Idzham dan mencekak leher baju Idzham dengan kuat.

“Apa cara sekalipun, kau mesti culik Hana untuk aku daripada si keparat tu! Aku dah janji dengan Karl untuk jadikan dia GRO kat kelab Karl! Kau mesti dapatkan dia, mesti!”, tempik Tiger kuat ke arah wajah Idzham.

Idzham memejamkan sedikit matanya dek menahan tempikan Tiger yang mendesingkan telinga. Sakit hati apabila mengingatkan kejadian di rumahnya malam tadi. Pelbagai persoalan menerjah masuk ke kotak fikirannya. Bagaimana Haziq Imran boleh muncul dan menggagalkan semua rancangannya. Sungguh, dia tidak sukakan kehadiran Haziq dalam keluarganya tujuh tahun dulu. Arwah abah dan ibu tirinya melayan Haziq terlalu baik berbanding dirinya. Sedangkan mereka tahu siapa Haziq Imran sebenarnya. Sedangkan dirinya, seolah-olah tidak pernah diberi ruang dan peluang untuk berubah seperti Haziq. Terasa abahnya lebih mengutamakan orang luar berbanding anak kandung sendiri. Idzham mengepalkan penumbuknya. Apa cara sekalipun, dia mesti mencari Hana. Mesti!

*****************************************************************************

 “Saya anak kepada pesakit. Bagaimana keadaan mak saya doktor?”, Hana terus bertanya tanpa sabar.

“Keadaan pesakit sangat kritikal. Pihak kami terpaksa melakukan pembedahan kecemasan”, saya perlukan waris untuk menandatangani surat kebenaran pembedahan”, doktor lelaki tersebut terus memberi jawapan kepada soalan Hana sekaligus mengarahkan jururawat di sebelahnya menyerahkan surat yang dimaksudkan untuk ditandatangani.

“Tolong selamatkan mak saya doktor! Tolonglah saya doktor!”, Hana merayu-rayu sambil memegang lengan doktor yang bertanggungjawab merawat ibunya tanpa segan silu. Hana sudah tidak peduli, apa yang dia mahu adalah keselamatan ibunya. 

“Pihak kami akan cuba sedaya upaya cik, jangan putus asa berdoa. Kita hanya berusaha, yang menentukan adalah Allah S.W.T.”, doktor tersebut cuba memberikan kata-kata semangat kepada Hana.

Hana terus menandatangani surat tersebut setelah diterangkan serba sedikit oleh jururawat yang diarahkan berbuat demikian.

“Dr. Haziq, right?”, doktor tersebut tiba-tiba menyoal seolah-olah dia mengenali Haziq.

Haziq mengangguk tetapi dahinya dikerutkan, jelas mempamerkan riak wajah yang seakan menginginkan penjelasan.

Dr. Hisham dengan mudah dapat menangkap riak wajah yang dipamerkan Haziq. Seraya membuka penutup hidung dan mulut yang dipakainya.

“Ya Allah! Dr. Hisham rupanya!”, Haziq sedikit terkejut sebaik doktor lebih separuh abad itu membuka penutup hidung dan mulut. 

Dr. Hisham tersenyum dan menepuk bahu Haziq beberapa kali.

“Kita sambung lagi nanti, saya mesti masuk sekarang”, Dr. Hisham meminta diri untuk kembali ke bilik bedah sebaik mendapat tandatangan kebenaran daripada Hana.

“Doktor! Kalau doktor perlukan bekalan darah maklumkan kepada saya, saya akan usahakan secepat mungkin”, Haziq cuba menghulurkan pertolongan.

Langkah Dr. Hisham serta-merta dimatikan seketika apabila mendengar soalan Haziq tersebut.

“Jenis darah pesakit B+, tolong usahakan. Saya bimbang bekalan darah yang pihak kami ada tidak mencukupi. Doakan yang terbaik buat pesakit!”, langkah Dr. Hisham dipanjangkan untuk segera sampai ke bilik bedah tersebut.

            Suasana di luar bilik bedah kembali suram seperti muramnya wajah Haziq dan Hana kala ini. Sesekali esak tangis Hana kedengaran. Air matanya sudah menjadi terlalu murah sejak malapetaka yang menimpa dia dan ibunya beberapa jam yang lalu. Wajah Hana jelas mempamerkan rasa takut yang amat sangat bercampur-baur dengan kebimbangan terhadap ibu kesayangannya.

**********************************************************************

Zana mencapai telefon bimbitnya. Seraya mahu menelefon Hana sekali lagi. Entah mengapa sejak semalam dia gagal menghubungi sahabat baiknya itu. Sudah berkali-kali dia mencuba, namun setiap kali itu jugalah panggilannya masuk ke peti suara. Zana tidak sedap hati. Lazimnya, Hana akan menjawab panggilannya. Jika tidak pun, sahabatnya itu pasti akan menghantar pesanan ringkas (sms) atau menelefonnya kembali. Ini tidak, sejak semalam dia ternanti-nanti panggilan daripada Hana, menanti seperti buah yang tidak gugur. Hana tidak langsung membalas smsnya, jauh sekali menelefonnya. Zana cuba menghubungi Hana sekali lagi. 

'Sorry, the number cannot be reached now, please try later'

Sekali lagi Hana gagal dihubungi. Zana mencampakkan telefon bimbitnya  bersebelahan tempat dia berbaring. Zana tidap sedap hati. Tidurnya malam tadi tidak begitu nyenyak memikirkan sahabat baiknya itu. Mengapa pula sms dan panggilannya tiada jawapan? Apakah Hana baik-baik saja? Atau ada musibah menimpa Hana dan keluarganya? Soalan demi soalan menerjah laju dalam kotak fikirannya. Sesungguhnya, Zana bimbangkan Hana. Sahabat baik satu-satunya yang dia punya. Zana tidak mahu mengalah. Seraya mencapai semula telefon bimbitnya untuk menelefon Rusydi. Manalah tahu kalau lelaki itu tahu berita tentang Hana.

“Assalamualaikum Rusydi, aku nak tanya kau pasal Hana. Ada tak dia sms atau call kau semalam?”, Zana menyoal terus. Sekaligus menyampai maksud utama dia menelefon teman lelaki sahabat baiknya itu.

Rusydi menguap beberapa kali sebelum menjawab salam daripada Zana. Maklumlah, semalam dia pulang lewat, menonton wayang bersama Iffa. Kira-kita pukul 1.15 minit pagi baru dia pulang. Entah bila dia tertidur, dia sendiri tidak pasti.

“Ya Allah! Kenapalah kau telefon aku pepagi buta neh. Subuh pun belum masuk tahu”, rungut Rusydi sambil meraup muka beberapa kali. Jelas. Tidurnya diganggu.

“Aku nak tanya kau pasal Hana. Aku risau ni, dari semalam aku call dia tak dapat-dapat. Kau tahu dia pergi mana?”

“Eh, kau ni! Mestilah dia ada kat kampung. Takkan kau tak tahu?”, Rusydi menjawab acuh tak acuh. Sungguh, dia merasa sangat mengantuk ketika ini.

Boyfriend apa kau ni! Pasal girlfriend sendiri pun tak ambil tahu. Menyesal aku telefon kau!”, Zana berasa geram dengan jawapan sambil lewa yang diberikan Rusydi. 

Tindakannya menelefon Rusydi menjentik rasa kesal yang amat dalam hatinya. Rasa kesal dan sakit hati Zana datang daripada 40% jawapan acuh tak acuh yang diberikan Rusydi, manakala 60% selebihnya datang dari rasa tak puas hati kerana kecurangan Rusydi pada Hana. Geram sungguh!

Buat masa ini tiada apa yang dapat Zana lakukan selain daripada menunggu berita daripada sahabat baiknya itu. Zana tidak tahu daripada siapa lagi yang boleh dia bertanyakan perihal Hana. Dia hanya mampu menunggu Hana menelefon atau menghantar sendiri sms kepadanya. Zana amat berharap Hana akan segera menghubunginya. Dalam hati Zana berdoa agar tiada perkara buruk berlaku kepada Hana dan ibunya.

*****************************************************************************

            Haziq memerhatikan Hana sedari tadi. Sesekali Hana menyeka air mata yang mengalir di tubir mata dengan lengan baju yang dipakainya. Haziq tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengurangi rasa sedih yang dirasakan Hana. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah menemani Hana melalui saat-saat sukar ini. Andai dia muhrim kepada Hana, sudah lama dia memeluk perempuan yang dianggap adik kandungnya selama ini. Namun, hubungan mereka hanya berstatus abang dan adik angkat. Haziq masih ingat dan tahu batas-batas agama. Dalam hati dia nekad akan menjaga maruah Hana selagi nyawa dikandung badan.

            Ketika itu, Haziq teringatkan panggilan daripada sahabatnya, Insp. Irwan. Pastinya Insp. Irwan tertunggu-tunggu panggilan daripadanya. Dia perlu menghubungi Insp. Irwan untuk memaklumkan keberadaan dia, Hana dan Mak Ton kala ini. Lantas, telefon bimbit yang berada di dalam  kocek seluarnya dikeluarkan dan seraya terus mendail nombor Insp. Irwan. Tanpa perlu menunggu, panggilan Haziq terus dijawab dari pihak sebelah sana.

“Assalamualaikum… Ha! Dari tadi aku tunggu panggilan kau. Kau selamatkan, Haz?”, Insp. Irwan memulakan bicara.

“Waalaikummussalam… Aku kat Hospital Teluk Intan ni. Mak angkat aku cedera parah. Ditikam di perut. Apasal kau lambat sangat?”, Haziq memberitahu dan dalam masa yang sama melahirkan rasa kurang puas hatinya kerana polis tidak membantu ketika mereka memerlukan pertolongan.


“Aku bimbangkan keselamatan kau. Aku minta maaf bagi pihak polis. Peronda yang ditugaskan untuk ke sana sedikit lewat kerana salah satu tayar kereta peronda tiba-tiba pancit. Setibanya polis peronda di alamat yang kau bagi tadi, tiada seorang pun kat tempat kejadian. Aku mintak maaf sangat Haz”, ujar Insp. Irwan jujur melahirkan kekesalan yang terbuku dihatinya.

“Tak apalah Wan, benda dah nak jadi. Mak angkat aku sedang dirawat dalam bilik bedah tu. Doktor bagi tahu aku, kecederaannya parah. Luka daripada tikaman tersebut agak dalam. Mereka tengah berusaha menyelamatkan dia. Tiger dan Idzham dah melarikan diri”, Haziq melepaskan kekesalan yang bersarang di hati. Dia malas mahu memanjangkan cerita. Apa yang penting buatnya kini, Mak Ton berjaya diselamatkan dan Tiger serta Idzham diberkas segera.

 “Aku akan berusaha semaksima mungkin untuk menangkap Tiger dan konco-konconya. Aku janji pada kau Haz!”, Insp. Irwan berjanji kepada sahabatnya.

“Aku tak suka mendengar perkataan janji, Wan. Tiger tu penjenayah licik. Kau pun tau kan macam mana teruknya aku dibelasah tujuh tahun dulu. Tetapi sampai sekarang pihak polis tiada bukti untuk mensabitkan dia bersalah”, Haziq mengingatkan Insp. Irwan peristiwa yang menimpa dirinya tujuh tahun dahulu.

“Jangan bimbang Haz, Tiger sememangnya penjenayah yang dikehendaki pihak polis. Kami tengah mengumpul bukti yang kukuh untuk memberkas dia. Kejadian yang menimpa ibu angkat kau akan menjadi salah satu sebab kukuh untuk aku memburu dia. Aku percaya, dia pasti akan mencari kau selagi dia tak dapat apa yang dia mahu. Kalau kau perlukan apa-apa, bagitahu aku secepat mungkin Haz”, pesan Insp. Irwan panjang lebar.

“Aku akan bagitahu kau segera kalau ada maklumat tentang Tiger, Wan”, jawab Haziq ringkas.

“Ok. Kau tu jangan sekali-kali bertindak sendiri, bukannya aku tak kenal kau!”, Insp. Irwan mengingatkan Haziq. Dia sangat mengenali sahabatnya itu. Fikiran Haziq sukar dibaca dan Haziq mampu bertindak di luar dugaan.

“Ye lah. Kau jangan risau”, Haziq sekadar berbasa-basi.

“Aku dalam perjalanan ke sana, kita sambung lagi nanti”, ujar Insp. Irwan ringkas. Seraya mematikan talian telefon dan pemerhatiannya kembali difokuskan pada pemanduannya.

            Haziq menyimpan kembali telefon bimbitnya sebaik talian dimatikan. Perhatiannya kembali terarah kepada bilik di hadapannya. Lampu pada perkataan ‘KECEMASAN’ yang tertera pada atas pintu bilik tersebut masih belum dimatikan menandakan proses pembedahan belum selesai.

            Hana yang sedari tadi setia menanti, bingkas bagun memperbetulkan duduknya. Sesekali Hana menggeliat. Seraya memandang sekilas jam di dinding yang berada berdekatan kaunter jururawat. Jam menunjukkan hampir ke angka 5 pagi. Hana memeluk tubuhnya menahan kedinginan. Kesejukan amat terasa di ruangan yang berpenghawa dingin ini. Tambahan pula ketika waktu sudah meginjak ke waktu subuh. Tanpa penghawa dingin sekalipun, sememangnya sudah terasa sejuk. Hana bangun dan melangkah ke arah Haziq yang berada hanya beberapa langkah daripadanya. Haziq memeluk tubuh, namun wajahnya tampak tenang.

“Doc, saya nak pergi toilet kejap”, Hana memaklumkan kepada Haziq.

Haziq sekadar mengangguk ringkas.

            Hana melangkah laju menuju ke tandas. Tandas yang disediakan untuk orang awam berada di hujung bangunan berdekatan kaunter pendaftaran, tidak jauh dari bilik rawatan kecemasan. Hana mempercepatkan langkahnya agar segera sampai. Seraya terus membelok ke kanan sebaik terpandang simbol jantina yang terpampang pada pintu tandas tersebut. Semakin dingin terasa saat Hana melangkah masuk ke tandas tersebut. 

Setelah selesai, Hana membasuh tangan dan muka pula agar terasa lebih segar. Hana tidak mahu berlama-lama di situ kerana memikirkan keadaan ibunya. Seraya terus memanjangkan langkah untuk mendapatkan Haziq. Ketika melewati kaunter pendaftaran, Hana terpandangkan susuk tubuh yang amat dikenalinya. Jantungnya bagai ingin gugur saat terpandangkan wajah lelaki tersebut. Walaupun di bawah cahaya yang samar-samar, Hana amat mengenali wajah itu. Hana terus berlari-lari anak untuk mendapatkan Haziq.

“Aduh! “, Haziq mengaduh sakit kerana dirempuh Hana.

Muka Hana pucat lesi. Nafasnya mencungap. Manik-manik peluh jelas kelihatan pada wajahnya yang berwarna kuning langsat itu.

Kenapa Hana? Apa dah jadi?”, soal Haziq kebimbangan.

“Sa…saya nampak… dia…kat situ”, bicara Hana tersangkut-sangkut sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah kaunter pendaftaran. Wajahnya jelas mempamerkan riak ketakutan. Bukan kerana takut berhadapan dengan Idzham, tetapi trauma dengan kejadian yang menimpanya semalam.

“Nampak siapa? Cuba bertenang dan bagitahu abang betul-betul!”, suara Haziq ditinggikan sedikit untuk menyedarkan Hana yang berada dalam ketakutan. 

“Abang Am… Saya nampak Abang Am! Dia ada di kawasan parkir ambulans. Mungkin menuju ke sini! Macam mana ni doc?”, ujar Hana cemas.

Bersambung…




4 comments:

  1. Terima kasih banyak baby mio...sy lam proses menyiapkan full manuskrip..semoga ade rezki utk dibukukan...keep on supporting me ya! (^_^)...

    ReplyDelete
  2. tak saba nak tahu sape haziq tu sebenarnya. apa dia dah buat 7 tahun dulu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih -anak ayah- sudi baca n bg komen...setia menanti bab-bab akan dtg utk tahu siapa haziq 7 thn dulu...insyaAllah...bab 17 akan menyusul...:)

      Delete