FOLLOWERS...

Thursday 30 January 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 15)


Assalamualaikum semua...maaf sebab en3 bab 15 agak lewat...kena seru mood menulis...tu yg lewat siap...hehehe...tp alhamdulillah...dpt gak disiapkan...selamat membaca n semoga terhibur..(^_^)


Bab 15  

Tak guna! Kurang ajar! Macam mana budak jahanam tu boleh ada kat rumah kau?”, radang Tiger masih belum mereda.

“Aku tak tahu Tiger! Dah bertahun aku tak nampak batang hidung dia, alih-alih dia tiba-tiba muncul depan aku semalam”, Idzham sungguh tidak menyangka Haziq datang menyelamatkan Hana dan Mak Ton. 

“Aaaaargh! Apa cara sekalipun, kau mesti dapatkan Hana untuk aku. Kalau tak, aku bunuh kau Am!”, kata-kata Tiger berupa arahan yang wajib Idzham tunaikan.

Tiger mendengus geram, melampiaskan sakit hati yang terbuku di dada. Seraya merenung Idzham dengan pandangan seperti singa kelaparan. Nafasnya turun naik menahan marah. Sudahlah dia tidak dapat menjamah tubuh Hana, bertambah malang lagi bersua muka pula dengan Haziq Imran. Sakit hati Tiger seolah-olah tidak bertepi. Seraya lantas mendapatkan Idzham dan mencekak leher baju Idzham dengan kuat.

“Apa cara sekalipun, kau mesti culik Hana untuk aku daripada si keparat tu! Aku dah janji dengan Karl untuk jadikan dia GRO kat kelab Karl! Kau mesti dapatkan dia, mesti!”, tempik Tiger kuat ke arah wajah Idzham.

Idzham memejamkan sedikit matanya dek menahan tempikan Tiger yang mendesingkan telinga. Sakit hati apabila mengingatkan kejadian di rumahnya malam tadi. Pelbagai persoalan menerjah masuk ke kotak fikirannya. Bagaimana Haziq Imran boleh muncul dan menggagalkan semua rancangannya. Sungguh, dia tidak sukakan kehadiran Haziq dalam keluarganya tujuh tahun dulu. Arwah abah dan ibu tirinya melayan Haziq terlalu baik berbanding dirinya. Sedangkan mereka tahu siapa Haziq Imran sebenarnya. Sedangkan dirinya, seolah-olah tidak pernah diberi ruang dan peluang untuk berubah seperti Haziq. Terasa abahnya lebih mengutamakan orang luar berbanding anak kandung sendiri. Idzham mengepalkan penumbuknya. Apa cara sekalipun, dia mesti mencari Hana. Mesti!

*****************************************************************************

 “Saya anak kepada pesakit. Bagaimana keadaan mak saya doktor?”, Hana terus bertanya tanpa sabar.

“Keadaan pesakit sangat kritikal. Pihak kami terpaksa melakukan pembedahan kecemasan”, saya perlukan waris untuk menandatangani surat kebenaran pembedahan”, doktor lelaki tersebut terus memberi jawapan kepada soalan Hana sekaligus mengarahkan jururawat di sebelahnya menyerahkan surat yang dimaksudkan untuk ditandatangani.

“Tolong selamatkan mak saya doktor! Tolonglah saya doktor!”, Hana merayu-rayu sambil memegang lengan doktor yang bertanggungjawab merawat ibunya tanpa segan silu. Hana sudah tidak peduli, apa yang dia mahu adalah keselamatan ibunya. 

“Pihak kami akan cuba sedaya upaya cik, jangan putus asa berdoa. Kita hanya berusaha, yang menentukan adalah Allah S.W.T.”, doktor tersebut cuba memberikan kata-kata semangat kepada Hana.

Hana terus menandatangani surat tersebut setelah diterangkan serba sedikit oleh jururawat yang diarahkan berbuat demikian.

“Dr. Haziq, right?”, doktor tersebut tiba-tiba menyoal seolah-olah dia mengenali Haziq.

Haziq mengangguk tetapi dahinya dikerutkan, jelas mempamerkan riak wajah yang seakan menginginkan penjelasan.

Dr. Hisham dengan mudah dapat menangkap riak wajah yang dipamerkan Haziq. Seraya membuka penutup hidung dan mulut yang dipakainya.

“Ya Allah! Dr. Hisham rupanya!”, Haziq sedikit terkejut sebaik doktor lebih separuh abad itu membuka penutup hidung dan mulut. 

Dr. Hisham tersenyum dan menepuk bahu Haziq beberapa kali.

“Kita sambung lagi nanti, saya mesti masuk sekarang”, Dr. Hisham meminta diri untuk kembali ke bilik bedah sebaik mendapat tandatangan kebenaran daripada Hana.

“Doktor! Kalau doktor perlukan bekalan darah maklumkan kepada saya, saya akan usahakan secepat mungkin”, Haziq cuba menghulurkan pertolongan.

Langkah Dr. Hisham serta-merta dimatikan seketika apabila mendengar soalan Haziq tersebut.

“Jenis darah pesakit B+, tolong usahakan. Saya bimbang bekalan darah yang pihak kami ada tidak mencukupi. Doakan yang terbaik buat pesakit!”, langkah Dr. Hisham dipanjangkan untuk segera sampai ke bilik bedah tersebut.

            Suasana di luar bilik bedah kembali suram seperti muramnya wajah Haziq dan Hana kala ini. Sesekali esak tangis Hana kedengaran. Air matanya sudah menjadi terlalu murah sejak malapetaka yang menimpa dia dan ibunya beberapa jam yang lalu. Wajah Hana jelas mempamerkan rasa takut yang amat sangat bercampur-baur dengan kebimbangan terhadap ibu kesayangannya.

**********************************************************************

Zana mencapai telefon bimbitnya. Seraya mahu menelefon Hana sekali lagi. Entah mengapa sejak semalam dia gagal menghubungi sahabat baiknya itu. Sudah berkali-kali dia mencuba, namun setiap kali itu jugalah panggilannya masuk ke peti suara. Zana tidak sedap hati. Lazimnya, Hana akan menjawab panggilannya. Jika tidak pun, sahabatnya itu pasti akan menghantar pesanan ringkas (sms) atau menelefonnya kembali. Ini tidak, sejak semalam dia ternanti-nanti panggilan daripada Hana, menanti seperti buah yang tidak gugur. Hana tidak langsung membalas smsnya, jauh sekali menelefonnya. Zana cuba menghubungi Hana sekali lagi. 

'Sorry, the number cannot be reached now, please try later'

Sekali lagi Hana gagal dihubungi. Zana mencampakkan telefon bimbitnya  bersebelahan tempat dia berbaring. Zana tidap sedap hati. Tidurnya malam tadi tidak begitu nyenyak memikirkan sahabat baiknya itu. Mengapa pula sms dan panggilannya tiada jawapan? Apakah Hana baik-baik saja? Atau ada musibah menimpa Hana dan keluarganya? Soalan demi soalan menerjah laju dalam kotak fikirannya. Sesungguhnya, Zana bimbangkan Hana. Sahabat baik satu-satunya yang dia punya. Zana tidak mahu mengalah. Seraya mencapai semula telefon bimbitnya untuk menelefon Rusydi. Manalah tahu kalau lelaki itu tahu berita tentang Hana.

“Assalamualaikum Rusydi, aku nak tanya kau pasal Hana. Ada tak dia sms atau call kau semalam?”, Zana menyoal terus. Sekaligus menyampai maksud utama dia menelefon teman lelaki sahabat baiknya itu.

Rusydi menguap beberapa kali sebelum menjawab salam daripada Zana. Maklumlah, semalam dia pulang lewat, menonton wayang bersama Iffa. Kira-kita pukul 1.15 minit pagi baru dia pulang. Entah bila dia tertidur, dia sendiri tidak pasti.

“Ya Allah! Kenapalah kau telefon aku pepagi buta neh. Subuh pun belum masuk tahu”, rungut Rusydi sambil meraup muka beberapa kali. Jelas. Tidurnya diganggu.

“Aku nak tanya kau pasal Hana. Aku risau ni, dari semalam aku call dia tak dapat-dapat. Kau tahu dia pergi mana?”

“Eh, kau ni! Mestilah dia ada kat kampung. Takkan kau tak tahu?”, Rusydi menjawab acuh tak acuh. Sungguh, dia merasa sangat mengantuk ketika ini.

Boyfriend apa kau ni! Pasal girlfriend sendiri pun tak ambil tahu. Menyesal aku telefon kau!”, Zana berasa geram dengan jawapan sambil lewa yang diberikan Rusydi. 

Tindakannya menelefon Rusydi menjentik rasa kesal yang amat dalam hatinya. Rasa kesal dan sakit hati Zana datang daripada 40% jawapan acuh tak acuh yang diberikan Rusydi, manakala 60% selebihnya datang dari rasa tak puas hati kerana kecurangan Rusydi pada Hana. Geram sungguh!

Buat masa ini tiada apa yang dapat Zana lakukan selain daripada menunggu berita daripada sahabat baiknya itu. Zana tidak tahu daripada siapa lagi yang boleh dia bertanyakan perihal Hana. Dia hanya mampu menunggu Hana menelefon atau menghantar sendiri sms kepadanya. Zana amat berharap Hana akan segera menghubunginya. Dalam hati Zana berdoa agar tiada perkara buruk berlaku kepada Hana dan ibunya.

*****************************************************************************

            Haziq memerhatikan Hana sedari tadi. Sesekali Hana menyeka air mata yang mengalir di tubir mata dengan lengan baju yang dipakainya. Haziq tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengurangi rasa sedih yang dirasakan Hana. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah menemani Hana melalui saat-saat sukar ini. Andai dia muhrim kepada Hana, sudah lama dia memeluk perempuan yang dianggap adik kandungnya selama ini. Namun, hubungan mereka hanya berstatus abang dan adik angkat. Haziq masih ingat dan tahu batas-batas agama. Dalam hati dia nekad akan menjaga maruah Hana selagi nyawa dikandung badan.

            Ketika itu, Haziq teringatkan panggilan daripada sahabatnya, Insp. Irwan. Pastinya Insp. Irwan tertunggu-tunggu panggilan daripadanya. Dia perlu menghubungi Insp. Irwan untuk memaklumkan keberadaan dia, Hana dan Mak Ton kala ini. Lantas, telefon bimbit yang berada di dalam  kocek seluarnya dikeluarkan dan seraya terus mendail nombor Insp. Irwan. Tanpa perlu menunggu, panggilan Haziq terus dijawab dari pihak sebelah sana.

“Assalamualaikum… Ha! Dari tadi aku tunggu panggilan kau. Kau selamatkan, Haz?”, Insp. Irwan memulakan bicara.

“Waalaikummussalam… Aku kat Hospital Teluk Intan ni. Mak angkat aku cedera parah. Ditikam di perut. Apasal kau lambat sangat?”, Haziq memberitahu dan dalam masa yang sama melahirkan rasa kurang puas hatinya kerana polis tidak membantu ketika mereka memerlukan pertolongan.


“Aku bimbangkan keselamatan kau. Aku minta maaf bagi pihak polis. Peronda yang ditugaskan untuk ke sana sedikit lewat kerana salah satu tayar kereta peronda tiba-tiba pancit. Setibanya polis peronda di alamat yang kau bagi tadi, tiada seorang pun kat tempat kejadian. Aku mintak maaf sangat Haz”, ujar Insp. Irwan jujur melahirkan kekesalan yang terbuku dihatinya.

“Tak apalah Wan, benda dah nak jadi. Mak angkat aku sedang dirawat dalam bilik bedah tu. Doktor bagi tahu aku, kecederaannya parah. Luka daripada tikaman tersebut agak dalam. Mereka tengah berusaha menyelamatkan dia. Tiger dan Idzham dah melarikan diri”, Haziq melepaskan kekesalan yang bersarang di hati. Dia malas mahu memanjangkan cerita. Apa yang penting buatnya kini, Mak Ton berjaya diselamatkan dan Tiger serta Idzham diberkas segera.

 “Aku akan berusaha semaksima mungkin untuk menangkap Tiger dan konco-konconya. Aku janji pada kau Haz!”, Insp. Irwan berjanji kepada sahabatnya.

“Aku tak suka mendengar perkataan janji, Wan. Tiger tu penjenayah licik. Kau pun tau kan macam mana teruknya aku dibelasah tujuh tahun dulu. Tetapi sampai sekarang pihak polis tiada bukti untuk mensabitkan dia bersalah”, Haziq mengingatkan Insp. Irwan peristiwa yang menimpa dirinya tujuh tahun dahulu.

“Jangan bimbang Haz, Tiger sememangnya penjenayah yang dikehendaki pihak polis. Kami tengah mengumpul bukti yang kukuh untuk memberkas dia. Kejadian yang menimpa ibu angkat kau akan menjadi salah satu sebab kukuh untuk aku memburu dia. Aku percaya, dia pasti akan mencari kau selagi dia tak dapat apa yang dia mahu. Kalau kau perlukan apa-apa, bagitahu aku secepat mungkin Haz”, pesan Insp. Irwan panjang lebar.

“Aku akan bagitahu kau segera kalau ada maklumat tentang Tiger, Wan”, jawab Haziq ringkas.

“Ok. Kau tu jangan sekali-kali bertindak sendiri, bukannya aku tak kenal kau!”, Insp. Irwan mengingatkan Haziq. Dia sangat mengenali sahabatnya itu. Fikiran Haziq sukar dibaca dan Haziq mampu bertindak di luar dugaan.

“Ye lah. Kau jangan risau”, Haziq sekadar berbasa-basi.

“Aku dalam perjalanan ke sana, kita sambung lagi nanti”, ujar Insp. Irwan ringkas. Seraya mematikan talian telefon dan pemerhatiannya kembali difokuskan pada pemanduannya.

            Haziq menyimpan kembali telefon bimbitnya sebaik talian dimatikan. Perhatiannya kembali terarah kepada bilik di hadapannya. Lampu pada perkataan ‘KECEMASAN’ yang tertera pada atas pintu bilik tersebut masih belum dimatikan menandakan proses pembedahan belum selesai.

            Hana yang sedari tadi setia menanti, bingkas bagun memperbetulkan duduknya. Sesekali Hana menggeliat. Seraya memandang sekilas jam di dinding yang berada berdekatan kaunter jururawat. Jam menunjukkan hampir ke angka 5 pagi. Hana memeluk tubuhnya menahan kedinginan. Kesejukan amat terasa di ruangan yang berpenghawa dingin ini. Tambahan pula ketika waktu sudah meginjak ke waktu subuh. Tanpa penghawa dingin sekalipun, sememangnya sudah terasa sejuk. Hana bangun dan melangkah ke arah Haziq yang berada hanya beberapa langkah daripadanya. Haziq memeluk tubuh, namun wajahnya tampak tenang.

“Doc, saya nak pergi toilet kejap”, Hana memaklumkan kepada Haziq.

Haziq sekadar mengangguk ringkas.

            Hana melangkah laju menuju ke tandas. Tandas yang disediakan untuk orang awam berada di hujung bangunan berdekatan kaunter pendaftaran, tidak jauh dari bilik rawatan kecemasan. Hana mempercepatkan langkahnya agar segera sampai. Seraya terus membelok ke kanan sebaik terpandang simbol jantina yang terpampang pada pintu tandas tersebut. Semakin dingin terasa saat Hana melangkah masuk ke tandas tersebut. 

Setelah selesai, Hana membasuh tangan dan muka pula agar terasa lebih segar. Hana tidak mahu berlama-lama di situ kerana memikirkan keadaan ibunya. Seraya terus memanjangkan langkah untuk mendapatkan Haziq. Ketika melewati kaunter pendaftaran, Hana terpandangkan susuk tubuh yang amat dikenalinya. Jantungnya bagai ingin gugur saat terpandangkan wajah lelaki tersebut. Walaupun di bawah cahaya yang samar-samar, Hana amat mengenali wajah itu. Hana terus berlari-lari anak untuk mendapatkan Haziq.

“Aduh! “, Haziq mengaduh sakit kerana dirempuh Hana.

Muka Hana pucat lesi. Nafasnya mencungap. Manik-manik peluh jelas kelihatan pada wajahnya yang berwarna kuning langsat itu.

Kenapa Hana? Apa dah jadi?”, soal Haziq kebimbangan.

“Sa…saya nampak… dia…kat situ”, bicara Hana tersangkut-sangkut sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah kaunter pendaftaran. Wajahnya jelas mempamerkan riak ketakutan. Bukan kerana takut berhadapan dengan Idzham, tetapi trauma dengan kejadian yang menimpanya semalam.

“Nampak siapa? Cuba bertenang dan bagitahu abang betul-betul!”, suara Haziq ditinggikan sedikit untuk menyedarkan Hana yang berada dalam ketakutan. 

“Abang Am… Saya nampak Abang Am! Dia ada di kawasan parkir ambulans. Mungkin menuju ke sini! Macam mana ni doc?”, ujar Hana cemas.

Bersambung…




Wednesday 1 January 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 14)


Bab 14

            Effendi memandang kotak hadiah bersaiz kecil di tangannya. Sedari tadi dia membelek-belek kotak hadiah yang berbalut cantik itu. Dia sendiri yang memilih pembalut warna merah bercorak hati dan berbunga kecil tersebut. Sudah lama dia memendam rasa untuk memikat Hana. Tambahan pula sejak dia mengetahui kecurangan Rusydi terhadap Hana. Dia mahu menggunakan ruang dan peluang ini sebaiknya untuk mendapatkan Hana. Effendi merasakan dia yang lebih layak untuk Hana berbanding Rusydi. Effendi yakin, jika dia benar-benar menunjukkan keikhlasannya terhadap Hana pasti lambat laun Hana akan menerima dirinya.

“Oit!”, Fimie menegur sambil tangannya terus merampas kotak hadiah itu dari pegangan Effendi.

“Bagi balik barang aku..kau ni tak bagi salam datang. Tup..tup..main rampas je barang orang”, Effendi tidak berpuas hati lalu seraya mengejar Fimie untuk mengambil semula kotak hadiah tersebut.

“Dah pandai jiwang kau sekarang ye…kau nak bagi siapa hadiah ni?”, ujar Fimie sambil berlari-lari seperti kanak-kanak sekolah rendah bermain kejar-mengejar.

“Kau tak payah sibuk, bagi balik pada aku kotak tu”, Effendi masih tidak berputus asa mengejar sahabat baiknya itu. Dari sofa di ruang tamu, hinggalah mengelilingi meja makan rumah sewa Fimie.

“Ok..ok! Aku surrender. Ambil la balik hadiah kau ni! Gila lah…sampai sanggup kejar aku bertawaf keliling meja makan tu, semput mak..”, usik Fimie sambil membuat gaya ala-ala si sotong. Terhambur ketawa Fimie berselang-seli seraya mencungap untuk mengambil nafas.

 “Siapa suruh kau kacau aku. Tengah syok aku berangan, tetiba kau kacau daun pulak!”, Effendi mencapai kotak hadiah tersebut dan melabuhkan punggung di atas sofa berdekatan Fimie.

“Mana taknya, dari tadi aku usya kau tersenyum seorang membelek kotak hadiah tu. Rasa dengki pula dalam hati aku ni tengok kau khusyuk berangan”

“Tak payah busy body, kau cuma perlu doakan saja angan-angan aku ni menjadi kenyataan dalam masa terdekat ni”, Effendi mengangkat keningnya beberapa kali.

“Kejap! Ni mesti pasal Hana kan? Kau nak cari nahas dengan si Rusydi tu ke beb?”

“Lantakla..malas aku nak fikir pasal dia!”, Effendi terus menghentikan perbualan sebaik nama Rusydi disebut oleh Fimie. Dia kurang berminat untuk berbicara soal Rusydi. Seraya menyimpan semula kotak hadiah tersebut ke dalam beg galasnya.

Fimie mengangkat kedua tangannya tanda menyerah. Memberi isyarat bahawa dia tidak akan bertanya lagi perihal Rusydi. Bimbang juga Fimie andai hal itu bakal membuat Effendi naik angin dan moody. Bukan dia tidak kenal dengan Effendi yang agak ‘kepala angin’.

“Kau tidur umah aku ke malam ni beb?”, Fimie menukar topik perbualan.

“Cadangnya macam tu la, aku nak pinjam Lab Report Pharmacology kau dan nak siapkan malam ni jugak!”, jawapan yang diberi Effendi kepada Fimie ringkas dan padat.

“Macamla kau ada hari lain lagi nak buat lab report tu. Kerja dah nak hantar esok, kau baru nak buat malam ni”, sindiran Fimie tepat mengenai batang hidung Effendi.

Effendi tersengih mendengar kata-kata sahabat baiknya itu.

“Nah, siapkan cepat! Esok kita dah nak submit. Aku masuk tidur dulu. Macam biasa la beb, katil kau kat sofa ni”, Fimie menghulurkan report makmal yang telah disiapkannya untuk rujukan Effendi.

“Ai..ai..kapten, arahan diterima!”, Effendi mengangkat tangan memberi tabik hormat kepada Fimie seakan-akan mendengar arahan tentera berpangkat atasan.

Fimie terus berlalu ke biliknya untuk masuk tidur.

******************************************************************************
Dang!!
Haziq menendang pintu kayu bilik Hana yang sudah terkopak tersebut untuk memberi isyarat agar Tiger segera menghentikan niat jahatnya itu.

“Lepaskan Hana Tiger!”, sergahan Haziq gagal menghentikan tindak-tanduk Tiger.

Tiger tidak menghiraukan kata-kata Haziq, dia terlalu rakus untuk menjamah tubuh separuh bogel dihadapannya. Haziq terus menendang Tiger sekuat hati. Tiger jatuh tersungkur di tepi birai katil. Mukanya berang dan marah sekali dengan tindakan Haziq itu. Seraya bingkas bangun untuk menyerang Haziq. Tumbukan Tiger tepat mengenai rahang kanan Haziq. Haziq tercatuk menahan kesakitan. Separuh mukanya terasa perit sekali.

“Dulu aku pernah bagi amaran kat kau, jangan sekali-kali muncul depan aku lagi! Tak guna!!”, Tiger menghamburkan kemarahannya.

Pertemuan semula dengan Haziq seolah-olah mengungkit kembali luka lama di hati Tiger. Luka dan dendam!

“Aku tak mahu cari pasal dengan kau Tiger! Tapi kalau kau nak aku serahkan Hana kepada kau, jangan pernah kau mimpi!”, tingkah Haziq tegas.
Tiger berang mendengar kata-kata Haziq. Seraya meluru ke arah Haziq dan melepaskan satu lagi tumbukan ke perut Haziq. Mujurlah Haziq berjaya menepis serangan Tiger. Tidak semena-mena, Tiger mengeluarkan sebilah pisau yang terselit di pinggangnya dan terus meluru ke arah Haziq untuk membenamkan mata pisau itu ke tubuh Haziq. Haziq sempat mengelak namun pisau itu tetap mengenai lengan kanannya. Darah merah pekat mengalir dari luka torehan tersebut. Ketika Tiger mahu menyerang buat kali kedua, dia merasakan ada sesuatu yang kuat memukul bahagian belakang kepalanya. Malangnya, dia sempat berpaling dan menikam orang yang berjaya memukul kepalanya.

“Mak!!”, jeritan Haziq bergema seluruh bilik itu.

Haziq berang dengan tindakan Tiger. Marahnya tidak dapat dibendung lagi. Seraya bangun dan terus menendang Tiger ke dinding. Haziq mencengkam leher baju Tiger dan bersedia untuk melepaskan satu tumbukan ke muka Tiger, tetapi niatnya terbantut apabila mendengar Mak Ton memanggilnya. Tiger bingkas bangun dan berlalu meninggalkan Haziq, Mak Ton dan Hana. Sebelum pergi dia sempat memberi amaran kepada Haziq.

“Aku sumpah akan cari kau lagi Zeeq!!”, tengking Tiger sebelum berlalu.

Haziq tidak menghiraukan amaran Tiger. Seraya terus mendapatkan Hana dan menyelimutkan tubuh Hana yang separuh terdedah. Kemudian dia mendapatkan Mak Ton yang sedang terbaring lemah. Mak Ton memegang perutnya yang berlumuran darah. Tangan tuanya terketar-ketar menahan sakit akibat tikaman tersebut. Idzham yang baru tersedar dari pengsan tergamam dengan kejadian itu. Seraya lantas berlari turun ke tanah untuk mendapatkan Tiger dan Neo. Kesemuanya sempat melarikan diri dengan kereta Waja yang terparkir di hadapan rumah tersebut.

“Mak, mengucap mak, Im akan hantarkan mak ke hospital”, pujuk Haziq menenangkan Mak Ton.
Berkerut dahi Mak Ton merenung wajah Haziq. Sememangnya dia terhutang nyawa kepada Haziq kerana sudah menyelamatkan dia dan Hana.

“Selamatkan Hana Im, selamatkan Hana”, Mak Ton terbatuk-batuk kecil.

“Mak jangan risau pasal Hana, Im akan lindungi dia mak. Yang penting, mak perlu di selamatkan segera!”, Haziq cuba memapah Mak Ton untuk bangun. Namun, Mak Ton terlalu lemah.
  
            Ketika itu Hana yang sedari tadi tidak sedarkan diri dan tidak tahu apa yang terjadi terjaga. Dia berusaha bangun. Tubuhnya terasa sengal-sengal. Seraya membuka matanya dan apabila terpandangkan sekujur tubuh ibunya yang terbaring di pangkuan Haziq dengan berlumuran darah, Hana bingkas bangun mendapatkan ibunya.

“Mak! Apa dah jadi ni doc?’ soal Hana tanpa sabar.

“Cepat Hana, kita mesti bawa mak ke hospital sekarang juga!”, Haziq terus memberi arahan tanpa menjawab soalan Hana. 

 Haziq memandu laju membelah kesunyian malam. Suasana sekitar sunyi dan jelas sekali tiada penduduk kampung yang menyedari malapetaka yang menimpa keluarga Mak Ton. Mungkin juga kedudukan rumah Mak Ton yang agak terpencil berbanding jiran-jirannya menyebabkan tiada seorang pun jiran tetangga yang datang membantu. Darah yang mengalir gagal dikawal. Hana semakin cemas. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Mak Ton semakin lemah. Peluh memercik muka tua wanita itu menandakan dia sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.

“Mak, sabar mak! Dah tak jauh ni. Bertahan mak, Hana tak mahu kehilangan mak!”, Hana meraung-raung seperti orang hilang arah. Dia benar-benar takut akan kehilangan satu-satunya insan yang paling disayanginya di dunia ini.

“Hana, mengucap! Istighfar banyak-banyak. Kalau Hana asyik meraung macam ni, akan tambah memburukkan lagi keadaan. Hana kena bertenang. Mak akan makin susah hati kalau Hana macam ni!”, suara Haziq separuh meninggi.
           
Hana terkedu mendengar suara kuat Haziq. Dia seakan-akan baru tersedar dari mimpi.

“Dah tak jauh dah mak. Doktor akan selamatkan mak sekejap lagi. Mak ikut Hana mengucap ye mak…Asyhaduallaailaahaillallah…”, Hana tidak putus asa mengajarkan Mak Ton menyebut dua kalimah syahadah. Itu sahaja yang ada difikirannya saat ini.

Hana berasa seram sejuk setiap kali nafas Mak Ton turun naik. Air mata Hana terus-terusan mengalir tanpa dapat dihentikan lagi. Semakin lama nafas Mak Ton semakin perlahan dan matanya kini tertutup rapat.

“Doc, mak dah senyap ni! Cepat la sikit doc!”, Hana menjerit ke arah Haziq. Kali ini Hana gagal mententeramkan dirinya. Dia terlalu bimbang.

“Tekan tempat luka biar pendarahannya berkurangan. Sekejap lagi kita sampai hospital”, Haziq memberi arahan. Seraya menekan pedal minyak keretanya melajukan kenderaan.

Hana hanya mengikut arahan pensyarahnya tanpa banyak soal. Yang ada difikirannya saat ini adalah keselamatan ibunya. Apapun dia sanggup lakukan demi menyelamatkan nyawa ibunya. Lagipun, dia sudah terhutang budi dengan lelaki di hadapannya ini.

Dalam keadaan yang cemas dan kelam kabut tersebut, tiba-tiba telefon bimbit Haziq berbunyi. Namun, Haziq sikit pun tidak mengendahkan suara telefon bimbit tersebut. Dia benar-benar tidak mahu diganggu saat ini. Fikirannya hanya difokuskan pada pemanduan. Apa yang ada dibenaknya saat ini adalah untuk menyelamatkan Mak Ton. Telefonnya bimbitnya berdering sekali lagi. Sepertinya ada hal penting yang mahu disampaikan oleh si pemanggil. Namun, sekali lagi Haziq membiarkan deringan tersebut tanpa diangkat. Telefon bimbit Haziq berdering lagi buat kesekian kalinya seperti memaksa dia untuk menjawab panggilan itu. Haziq menghela nafas panjang sebelum menjawab panggilan tersebut. Telefon bimbit yang berada berdekatan brek tangannya dicapai pantas. Seraya sempat mengerling sekilas nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.

“Nanti aku call kau balik, bro! Aku dalam keadaan genting ni!”, Haziq terus memulakan bicara tanpa dimulakan dengan salam seperti biasa. Kemudian, panggilan tersebut dimatikan serta-merta sebelum mendengar jawapan dari si pemanggil.

Kira-kira 10 minit kemudian, mereka tiba di unit kecemasan Hospital Teluk Intan. Attendan hospital yang bertugas terus menyorong stretcher untuk membawa Mak Ton ke bilik rawatan kecemasan. Doktor yang bertugas sempat bertanya serba sedikit maklumat ringkas kejadian yang menimpa Mak Ton agar memudahkan proses rawatan. Haziq dan Hana diminta untuk menunggu di ruangan menunggu semasa Mak Ton diberikan rawatan kecemasan. Mak Ton terus diberikan alat bantuan pernafasan untuk membantunya bernafas kerana keadaannya semakin kritikal.

Hana menunggu sendirian dengan gelisah. Tubuhnya menggigil ketakutan. Trauma yang dihadapi akibat kejadian malang tadi masih belum berkurangan sedikitpun. Wajah Tiger bermain-main di matanya bersilih ganti dengan wajah ibunya yang pucat menahan sakit. Air matanya berjujuran tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Seraya memeluk tubuhnya menunggu dalam keadaan berteleku di pintu bilik rawatan. Dalam hatinya berdoa agar Allah SWT menyelamatkan ibunya dan memberi peluang kepadanya untuk membalas jasa ibu yang telah membesarkannya.

Setelah selesai urusan pendaftaran, Haziq datang mendapatkan Hana. Hana hanya dia membisu dan langsung tidak menoleh padanya. Jelas, Hana masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Segalanya berlaku terlalu pantas dalam sekelip mata. Haziq mengerti perasaan Hana kala ini. Dugaan tersebut terlalu berat untuk ditanggung gadis muda seusia Hana. Haziq menanggalkan jaketnya dan menyelimuti tubuh Hana agar tidak kedinginan berada di dalam ruangan hospital yang berhawa dingin itu. Hana terkejut dengan tindakan Haziq itu dan dengan pantas menepis tangan Haziq. Hana menyangka itu merupakan tangan Tiger. Wajah Tiger masih bermain di ruang mata dan terlalu sukar diusir pergi. Haziq pula sedikit tersentak dengan tindakan Hana yang diluar duga itu.

“Maafkan saya doc….”, suara Hana mendatar kerana dia tidak sengaja memperlakukan Haziq begitu. Niat Haziq baik. Namun, Hana seperti orang hilang arah saat ini.

“Its ok Hana, abang cuma nak tenangkan Hana. Abang risau Hana kesejukan dalam bilik berhawa dingin ni. Kalau Hana rasa kurang selesa dengan tindakan abang tadi, abang mintak maaf”, Haziq lantas meminta maaf andai tindakannya sebentar tadi telah menakutkan Hana.

            Hana tidak menjawab walau sepatah pun. Hana mengangguk beberapa kali. Seraya hanya menyambut jaket yang dihulurkan Haziq kepadanya tanpa sepatah pun ucapan terima kasih. Dia kembali menundukkan pandangan sambil melayan perasaan yang berglak di dadanya. Sungguh, Hana tidak punya kekuatan saat ini. Yang ada dalam fikirannya hanyalah keselamatan Mak Ton.

“Maafkan saya encik, sila ikut saya ke bilik rawatan di hadapan. Luka encik perlu di rawat”, seorang jururawat muda menyapa penuh sopan. Selepas proses pendaftaran tadi dia telah meminta Haziq ke bilik tersebut untuk mendapatkan rawatan. Namun, Haziq tidak muncul-muncul. Hal ini memaksa jururawat tersebut keluar memanggilnya buat kali kedua.

            Hana menoleh sekilas sebaik mendengar bicara jururawat tersebut. Matanya tertancap seketika pada luka di lengan kanan Haziq. Darah merah masih menitis. Wajah Haziq tenang, namun peluh yang mengalir pada wajahnya jelas menunjukkan dia sedang menahan sakit.

“Boleh rawat saya di sini je, nurse? Saya tak mahu tinggalkan adik saya bersendirian”, pinta Haziq jujur.

“Maafkan saya encik, luka encik perlukan beberapa jahitan. Rawatan tidak boleh dilakukan di tempat awam begini. Tambahan pula, segala kelengkapan berada di bilik rawatan”, jururawat muda itu masih mahu Haziq mengikutnya ke bilik rawatan yang dimaksudkan.

Haziq menoleh ke arah Hana sebelum menjawab soalan jururawat di hadapannya. Hana membalas renungan Haziq. Saat pandangan mereka bersatu, Hana sekadar memberi isyarat agar Haziq mengikut jururawat tersebut untuk menerima rawatan. Haziq pula sekadar mengangguk tanda faham isyarat mata yang diberikan Hana. Seraya bangkit dari duduknya untuk mengikut jururawat tersebut ke bilik yang dimaksudkan. Namun, sebelum berlalu dia sempat memberi pesan kepada Hana.

“Walau apa jadi sekalipun, tunggu abang di sini, sampai abang datang”, ringkas pesanan yang diberikan Haziq.

            Hana mengangguk dan hanya memerhatikan Haziq berlalu dengan ekor matanya. Sayu benar hatinya melihat luka di lengan kanan Haziq yang masih berdarah. Haziq sanggup menemaninya di situ tanpa menghiraukan kecederaan yang dialami sendiri. Hana terharu. Terasa jauh benar Idzham, abang kandungnya jika nak dibandingkan dengan Haziq yang hanya berstatus abang angkat. Allah S.W.T. telah mengutuskan seseorang untuk membantu saat dia dan ibunya dalam kesusahan. Hana tiba-tiba teringatkan kata-kata abahnya di dalam warkah yang dibaca tempoh hari. ‘Abah titipkan Hana dan mak kepada Im’. Bait-bait tersebut seakan-akan terngiang-ngiang di benaknya. Patutlah abah lebih mempercayai Haziq berbanding Idzham. Air mata Hana menitis lagi saat terlihat titisan darah yang berada di lantai tidak jauh darinya. Terasa dia terlalu mementingkan diri. Hanya berfikir soal dia dan Mak Ton sahaja tanpa sedar pengorbanan insan yang telah menyelamatkan mereka dua beranak. Lelaki itu telah berbuat jasa besar kerana telah menyelamatkan maruahnya.

Haziq kembali 15 minit kemudian dengan lengan kanan yang berbalut kemas. Seraya terus mendapatkan Hana.

“Ada apa-apa berita tentang mak?”, Haziq terus menyoal. Dia sangat bimbang dengan keadaan Mak Ton.

Hana menggeleng perlahan. Entah kenapa Hana benar-benar tiada minat langsung untuk berbicara walau sepatah pun.

Kira-kira setengah jam kemudian, doktor yang merawat Mak Ton keluar dari bilik kecemasan.

“Siapa waris kepada pesakit?”, doktor tersebut memandang Hana dan Haziq silih berganti.

Bersambung…

p/s: mcm biasa...jgn lupa klik kat kotak survey kat bawah ni ye...tq..(^_^)