FOLLOWERS...

Saturday 6 July 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 3)

Bab 3
 
Suasana petang itu di Kg. Sungai Haji Dorani tenang. Bayu berpuput sepoi-sepoi bahasa seakan menerpa lembut ke wajah Hana. Terasa tenang, nyaman dan damai sekali. Sesekali Hana membetulkan tudungnya yang terselak ditiup angin. Pandangannya dilemparkan jauh ke tengah bendang. Pokok-pokok padi menari-nari ditiup angin seakan melambai-lambai perlahan padanya. Sawah padi terbentang luas umpama permaidani hijau yang sangat tenang apabila dipandang. Daun nyiur pula sesekali bergoyang-goyang apabila angin bertiup sedikit kencang. Jauh benar bezanya dengan kota yang kala ini penghuninya pasti sudah mula memandu kenderaan mengharungi kesesakan jalan raya untuk pulang ke rumah masing-masing. 

Hana menarik nafas dalam-dalam. Pada fikirannya, mungkin ada hikmah di sebalik semua yang terjadi padanya. Akibat kemalangan tempoh hari, dia terpaksa menghabiskan masanya selama seminggu di kampung. Sudah tiga hari berlalu sejak kejadian kemalangan itu. Hari Selasa depan dia akan kembali ke Shah Alam. Kurang tiga minggu lagi peperiksaan akhir akan bermula. Dia mengisi masa yang terluang dengan menelaah pelajaran di pondok di tepi sawah ini. Di sinilah tempat kegemarannya sejak kecil. Jika ada masalah atau bergaduh dengan adik-beradiknya, di sinilah tempatnya dia sering membawa diri untuk menenangkan fikiran.

Pondok itu semakin dimamah usia, tetapi masih kukuh berdiri menemani ibunya setiap kali berehat apabila turun ke sawah. Ayah membinanya sejak dia masih kecil lagi. Dia sendiri sudah lupa bila ayahnya membuat pondok itu. Mungkin kerana usianya ketika itu terlalu kecil untuk mengingati semuanya. Apa yang Hana tahu, dia sangat sukakan pondok itu. Setiap kali berada di pondok itu dia akan terkenangkan gemulah ayahnya. Sudah hampir setahun ayahnya pergi mengadap ilahi. Pergi selamanya meninggalkan segala kenangan indah yang sarat di benak dan fikirannya. Setiap kali teringatkan gemulah, air mata Hana terlalu mudah mengalir.

“Hana, mari masuk nak. Mak dah sediakan goreng pisang kegemaran kamu. Dah petang ni sayang, esok je la kamu sambung ulangkaji tu”, jelas kedengaran suara Mak Ton melaung Hana dari rumahnya. Tambahan pula jarak pondok itu dengan rumah Hana tidaklah jauh. Sudah menjadi kelaziman ibunya memanggil dari rumah jika dia berehat di situ. Kadangkala, ibunya akan tumpang sekaki berehat di pondok itu menemani Hana.

“Baik mak, Hana datang ni”, laung Hana kepada ibunya kembali.

Hana mengemaskan nota-nota dan bukunya. Perlahan-lahan dia membetulkan kedudukan kakinya. Luka di lutut kirinya masih sakit. Dia bimbang kalau dia terlalu lasak, jahitan tersebut akan terbuka dan dia tidak sanggup untuk dijahit kali kedua. Azab dirasakannya!

“Semua ni Dr. Haziq punya pasal la. Asyik nak langgar aku je. Setiap kali terjumpa dia, ada aje bala yang menimpa”, Hana mengomel sendirian setiap kali teringatkan kakinya yang sakit.

Hana bangun sambil berpaut pada tiang pondok dan perlahan-lahan menuruni anak tangga pondok. Mujurlah anak tangga pondok tidak terlalu tinggi. Kalau tidak, alamatnya kempunan dia ingin lepak di pondok itu sepanjang cuti sakitnya ini. Hana mencapai nota dan buku yang disusunnya tadi. Sekilas dia memandang ke arah beranda rumahnya tempat Mak Ton berdiri sebentar tadi. Pasti ibunya sudah masuk ke dalam rumah. Hana berjalan terhincut-hincut sambil memeluk buku dan notanya. 

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, menandakan ada panggilan masuk. Langkahnya dimatikan serta-merta. Lagu bertajuk ‘Bila Waktu Telah Berakhir’ nyanyian Opick, penyanyi kegemarannya terhenti sebaik dia mengangkat panggilan tersebut. Hana menarik nafas panjang mengumpul udara. Terasa mengah berjalan terhincut-hincut macam si tempang.

"Hello, Assalamualaikum...", kedengaran suara si pemanggil memberi salam. Apabila mendengar suara yang memberi salam, Hana sudah dapat teka gerangan si pemanggil tersebut. Sejak dia pulang ke kampung, setiap hari dia menerima panggilan tersebut. Mungkin si pemanggil merasa bersalah kerana telah menyebabkan lututnya cedera sebegini.

"Waalaikummussalam", Hana menjawab pendek. Sebenarnya dia malas menjawab panggilan tersebut. Tapi tidak tahu mengapa, tangannya selalu ringan sahaja menekan butang hijau secara spontan. Sudah menjadi tabiat agaknya.

"Apa khabar awak hari ni Hana? Luka tu dah ok?”, soal si pemanggil.

"Saya sihat Dr. Saya ok. Dah berapa kali saya nak bagitahu? Lagipun, pagi tadi kan Dr. dah call saya tanya soalan yang sama?", sinis jawapan yang Hana berikan.

Kedengaran bunyi ketawa di hujung talian sebaik Hana menghabiskan kata-katanya.

"Dr. ada masalah ke?", sakit pula hatinya mendengar ketawa besar yang dihamburkan Dr. Haziq sebentar tadi. Entah apa yang lucu dengan jawapan yang diberikan pun dia tidak tahu. Mungkin Dr. Haziq sudah kurang waras sejak insiden tempoh hari.

"Mana ada masalah. Tiba-tiba I rasa kelakar dengan jawapan you. You ni garang macam singa betina. Kang kalau I potong markah final nanti baru you tahu!", Haziq sedikit mengugut.

Hana menelan liurnya mendengar berkenaan markah final. Bimbang juga dia jika Dr. Haziq mengotakan apa yang dikatakannya tadi. Tidak fasal-fasal keputusannya cacat dek kerana mulut celuparnya. Tapi entah mengapa hatinya panas setiap kali mendengar suara Dr. Haziq. Dirasakan mahu dicekik-cekik batang tengkuk pensyarahnya itu jika Dr. Haziq berada di hadapannya saat ini. 

"Kenapa diam? Takut la tu kan?", kedengaran lagi bunyi ketawa Dr. Haziq. Haziq semakin galak mengusik pelajarnya.

Hana sakit hati mendengar tawa di hujung talian. Seraya membuat aksi seperti mahu mencekik Dr. Haziq. Dia tidak tahu mengapa dia mendapat pensyarah yang sengal sebegitu.Harap muka je handsome, perangai macam budak-budak.

"You nak cekik I ye Hana? Beraninya you nak cekik lecturer Neuropharmacology. Tak risau ke kalau tak dapat A subject I nanti?", entah kenapa makin galak pula usikan Haziq. 

"Macam mana dia tahu aku nak cekik dia. Ada invisible eye ke lecturer aku ni?", ngomel Hana di dalam hati.

"Dr. ni telefon saya nak bertanya khabar ke nak menyakitkan hati saya. Kalau setakat nak menyakitkan hati saya, baik tak payah telefon! Tak adalah membuang masa saya dan juga masa Dr. sendiri", panjang lebar Hana membebel.

"I tak kisah kalau setakat habiskan masa I selama 10 minit untuk call you. I bukannya sibuk macam Perdana Menteri pun!", selamba jawapan yang diberikan Haziq.

"Owh, kalau Dr. dah banyak sangat masa terluang yang nak dibazirkan, sila bazirkan kat tempat lain. Tolong hargai masa saya!", Hana berkata tegas. Kalau Haziq bukan lecturernya, sudah pasti dari tadi lagi dia mematikan talian.

"You ni garang macam ibu beruang yang kehilangan anak. Eh, silap-silap…ibu beruang lagi baik dari you tau", Haziq sengaja membuat Hana marah. Dia rasa gembira setiap kali mendengar suara Hana memarahinya. Perangai Hana mengingatkan dia kepada arwah adik bongsunya Haseena. Pantang diusik sedikit, pasti melenting sambil membuat muncung panjang sedepa. Cepat merajuk, tapi mudah di pujuk. Namun, mungkin ada perbezaannya dengan Hana kerana dia belum mengenali Hana sepenuhnya.

"Makin melalut Dr. ni. Tadi macam singa betina, sekarang dah nak disamakan saya dengan ibu beruang pulak.  Apa kena mengena saya dengan singa dan ibu beruang!", hati Hana makin sakit apabila dia disamakan dengan ibu beruang. Terbayang di ruang mata lagak ibu beruang dalam National Geographic yang pernah ditontonnya. Tak comel langsung!

"Ok. Kalau tak mahu I samakan dengan ibu beruang, you pilihlah haiwan yang you suka. Katak kodok ke, obor-obor ke. It's up to you", Haziq makin galak ketawa.

Panas hati Hana mendengar kata-kata Haziq. Sudah macam Zana, makin dilayan makin menjadi-jadi. Hana terus menekan punat merah mematikan talian. Dr. Haziq ni gila agaknya. Sepanjang dia bergelar pelajar, inilah kali pertama dia terjumpa pensyarah yang berperangai pelik sebegitu. Nasib baiklah di dalam kelas Dr. Haziq tidak berperangai sebegitu, jika tidak mahu mereng satu kelas di buatnya. Huh! Hana meneruskan langkah menuju ke rumahnya.

Dari tempat dia berdiri itu, dia ternampak Idzham abang sulungnya berlari-lari anak naik ke rumah. Tergopoh-gapah gayanya. Hati Hana terdetik, pasti ada yang tidak kena jika Idzham tiba-tiba pulang dalam keadaan terkocoh-kocoh itu. Hana cuba mempercepatkan langkahnya. Tapi sayang, lututnya terlalu sakit. Hana akur dengan memperlahankan ayunan pergerakannya. Hatinya dipujuk agar bersabar walaupun pada hakikatnya perasaan ingin tahu tersebut membuak-buak di dalam dada. Hana mengurut dada dan beristighfar beberapa kali. Ya Allah! Semoga tiada perkara buruk yang terjadi.

Hana tiba di hadapan anak tangga untuk naik ke rumahnya. Seraya menanggalkan selipar yang disarungnya dan melangkah memijak anak tangga pertama. Dia dapat mendengar dengan jelas suara pertengkaran ibunya dengan abang sulungnya. Ini bukan kali pertama kejadian itu berlaku. Sudah banyak kali. Hal itulah yang membuatkannya susah hati apabila ingin kembali ke universiti setiap kali setelah cuti semesternya tamat. Dia risaukan keselamatan ibunya, bimbang kalau tiba-tiba Idzham akan bertindak melampau dan di luar dugaan. 

"Mak mana ada duit Am, setiap kali kamu balik itulah yang kamu mintak", ujar Mak Ton separuh merayu.

"Asyik asyik itu je lah alasan mak, takde duit...takde duit! Habis tu, mana Am nak dapatkan duit bayar semua hutang Am tu?", Idzham mula meninggikan suaranya.

“Mak cakap betul Am, mak dah tak ada duit. Minggu lepas kamu dah balik ambil semua duit mak. Dah tak ada lagi dah nak…”, Mak Ton masih cuba memujuk Idzham.

“Aahhhh!! Habis tu, mana semua duit peninggalan arwah ayah? Mak nak bolot semua sorang-sorang?!”, suara Idzham semakin meninggi.

            Hana berdiri di muka pintu rumahnya. Dia melihat ibunya menangis teresak-esak. Sementara wajah Idzham merah padam dan nafasnya turun naik. Matanya berbinar seperti singa kelaparan. Ini bukan kali pertama Hana mengalami kedaan seperti itu. Sudah lama. Sejak gemulah ayah masih ada lagi. Bahkan sejak dia masih bersekolah lagi. Jarak umur yang agak jauh membuatkan dia sememangnya tidak rapat dengan Idzham. Ditambah pula Idzham bukan anak yang dilahirkan ibunya. Idzham anak ayahnya bersama isteri yang pertama. Ibunya berkahwin dengan ayahnya ketika umur Idzham sepuluh tahun. Idzham tidak bersetuju ayahnya berkahwin lain. Dia mula memberontak apabila Hana dilahirkan.

            Idzham merasakan dia terpaksa berkongsi kasih dan sudah tentu perhatian ayahnya tidak lagi tertumpu padanya seorang. Dia menjadi semakin degil dan tidak terkawal. Degilnya menjadi-jadi sejak masuk ke alam remaja. Pelbagai keburukan yang dibuat dan kerap kali itulah ayahnya dipanggil oleh Pengetua untuk datang ke sekolah. Gemulah ayah malu dengan kedegilan Idzham dan bertindak lebih tegas lagi. Tetapi, makin ayah bertegas dengan Idzham, makin galak pula dia membuat perangai. Bercampur gaul dengan budak nakal dan sudah mula berjudi dan mengambil dadah.

“Cukuplah tu abang Am. Sampai bila abang nak jadi macam ni?”, Hana cuba menenangkan keadaan. Kalau boleh dia memang tidak mahu ikut campur. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Tetapi bimbang sesuatu akan terjadi kepada ibunya. Dia terpaksa juga bersuara.

“Kau jangan cuba nak mengajar aku. Kau dan mak kau sama saja! Nak bolot semua harta peninggalan ayah! Kaki kikis!”, pedas sungguh kata-kata yang keluar dari mulut Idzham kala itu. Sudah bertahun Hana dan ibunya dihina oleh Idzham sebegitu. Walaupun hatinya terluka, namun dia sudah lali. Telinganya seperti sudah tebal menahan segala sumpah seranah yang keluar dari mulut Idzham.

“Mak jangan nak berdegil, bagi apa yang aku nak. Kalau tidak aku akan buat sesuatu yang lebih dahsyat lagi!”, Idzham meluru masuk ke bilik Mak Ton sebaik menghabiskan bicaranya. Dia menyelongkar almari baju dan meja solek untuk mencari wang yang dihajatkannya. Habis berkecah bilik Mak Ton umpama tongkang pecah digeledah Idzham. Namun, dia tetap tidak menemui walau sekeping pun not merah atau biru. Idzham tidak berpuas hati. Dia terus melangkah keluar untuk mendapatkan Mak Ton.

“Mana duit ayah mak! Bagi aku sekarang jugak!”, Idzham menengking kuat sambil mencekak leher baju kurung kedah Mak Ton. Dia seperti sudah hilang sabar. Mak Ton meronta-ronta untuk melepaskan cengkaman Idzham. Mak Ton terbatuk-batuk kecil kerana penumbuk Idzham yang mencengkam leher bajunya mengenai leher tuanya.

“Abang Am, lepaskan mak bang! Abang ni dah gila ke?”, Hana terus meluru ke arah Idham dan menarik kasar tubuh lelaki itu tanpa menghiraukan luka di lututnya.

Serentak itu juga tangan kasar Idzham menolak Hana. Hana jatuh terduduk. Terasa pedih luka dilututnya kirinya. Mak Ton masih meronta minta dilepaskan. Hana mengumpul sepenuh kekuatan untuk melawan Idzham. Dia mesti menyelamatkan ibunya. Apa nak jadi, jadilah!

“Hei, jangan nak mengajar aku. Kang tak pasal-pasal ada yang makan terajang aku ni!”, gertak Idzham sambil matanya bulat memandang Hana. 

“Hana akan tetap menentang abang untuk selamatkan mak. Tak guna ada abang seperti Abang Am ni!”, jerit Hana melampiaskan perasaan marah dan kecewanya dia dengan sikap Idzham.

“Sudahlah tu. Jangan bergaduh!”, Mak Ton cuba meredakan keadaan.

            Kedengaran bunyi hon kereta dari luar rumah kampung dua tingkat itu. Kereta Waja berwarna kelabu memasuki perkarangan rumah mereka. Idzham melepaskan cengkamannya pada baju Mak Ton untuk melihat gerangan si pemilik kereta Waja itu. Mak Ton terundur ke belakang dan hampir terjatuh. Idzham tidak menghiraukan keadaan Mak Ton. Seraya lantas menolak kasar daun pintu yang ditutup separuh. Berdentum bunyi pintu kayu itu mengenai dinding.

“Dapat ke beb?”, jerit suara dari dalam kereta sebaik melihat Idzham di muka pintu.

            Idzham menoleh ke belakang sebelum menuruni anak tangga. Pandangannya tajam. Mukanya masam tidak berpuas hati kerana dia tidak memperoleh walau satu sen pun daripada ibu tirinya. Dengusan kasar dilepaskan.

“Jaga korang berdua, aku belum habis lagi!!”, jari telunjuknya di tudingkan ke arah Hana dan ibunya.

“Habuk pun tarak. Jom blah!”, Idzham menghempaskan dirinya ke dalam kereta. Marahnya masih bersisa.

Enjin kereta Waja berwarna kelabu itu mengaum kuat dan terus meluncur laju meninggalkan kawasan rumah di tepi sawah itu. Buat seketika, Hana dan Mak Ton merasa selamat.

            Hana berjalan terhincut-hincut mendapatkan ibunya. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Sejak ayahnya pergi, hidup mereka sering diancam oleh Idzham. Seharusnya Idzham lah yang menggantikan gemulah ayahnya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, ini tidak, dialah menjadi ancaman kepada keluarga. Hidup Hana dan ibunya merasa tidak aman setiap kali Idzham pulang.

“Mak…mak sakit ke? Biar Hana tengokkan leher mak”, pinta Hana lembut. Sedaya upaya dia mahu memujuk hati tua ibunya agar tidak bersedih atas apa yang terjadi. Ada sedikit kesan lebam pada leher ibunya. Hana menangis lagi apabila tangan Mak Ton meraba-raba lebam di lehernya. Hatinya terlalu sedih kerana ibunya di sakiti.

            Mak Ton mengurut-ngurut lehernya. Seraya mengumpul kekuatan untuk bangun dari duduknya. Dia memerhatikan Hana yang berjalan masuk ke biliknya untuk mengambil minyak urut. Susah sungguh hatinya apabila memikirkan Hana. Apalah nasib anak tunggalnya itu seandainya sesuatu terjadi pada dirinya satu hari nanti. Dia amat berharap agar ada seseorang yang boleh diharapkan menjaga dan melindungi Hana jika dia sudah tiada nanti.

“Mak, mari Hana sapukan”, Hana menuang sedikit minyak urut lantas disapukan ke leher ibunya.

“Terima kasih sayang. Tapi lain kali Hana jangan buat macam tadi ya? Kalau Am mengapa-apakan Hana macam mana sayang?”, ujar Mak Ton lemah.

“Mak jangan bimbang, tak ada apa yang berlaku pada Hana. Hana cuma bimbangkan mak. Tak kan la Hana nak diamkan je kalau Abang Am buat mak macam tu? Kalau apa-apa jadi pada mak, nahaslah dia!”, ujar Hana sambil mengepalkan penumbuk seakan mahu menumbuk muka seseorang. Hana cuba memujuk ibunya agar tidak bimbang lagi. Segaris senyuman terukir di wajahnya.

“Tengok tu, mak cakap betul-betul dia main-main pulak”, Mak Ton mencuit hidung Hana. Dia tahu Hana cuba menghiburkan hatinya.

“Dah lah tu mak. Hana lapar ni. Jom kita makan goreng pisang yang mak buat tu. Mesti dah sejuk..”, Hana bangun perlahan-lahan. Lututnya terasa pedih sekali. Hana menunduk untuk melihat lututnya. Darah mengalir keluar dari tempat jahitan itu. Hana duduk semula untuk memeriksa lukanya. Bimbang lukanya perlu dijahit kembali. Na’uzubillah!

“Ya, Allah! Lutut kamu berdarah Hana. Duduk jap, mak ambilkan peti kecemasan”, mak Ton bergegas masuk ke bilik Hana untuk mengambil peti kecemasan.

Sedang Hana mebelek-belek lututnya, telefon bimbit Hana berbunyi. Mata Hana melilau mencari di mana telefon bimbitnya tercampak semasa menolak Idzham sebentar tadi. Hana dapat mendengar bunyi telefon bimbitnya datang dari arah bawah meja kopi. Hana cuba untuk bangun. Namun ditegah oleh ibunya. Mak Ton membongkok sedikit mencapai telefon bimbit itu dan diserahkan kepada Hana.

“Terima kasih mak”, ucap Hana sambil tersenyum. Mak Ton hanya mengangguk.

            Seperti biasa Hana terus menekan punat hijau untuk menerima panggilan masuk. Sudah menjadi kebisaannya menerima panggilan tanpa melihat gerangan si pemanggil.

“Hello! Assalamualaikum..”, Hana memulakan bicara. Namun perhatiannya lebih tertumpu kepada lukanya yang berdarah sebentar tadi.

            Mak Ton mencuci perlahan darah yang mengalir dari luka tersebut. Kemudian seraya menuang sedikit iodine pada kapas dan di sapukan pada luka Hana. Berkerut kening Hana menahan sakit. Nasib baiklah jahitan lukanya tidak tertetas. Alhamdulillah…

“Aduh, mak! Sakitnya…perlahan la sikit mak”, Hana merengek kepada ibunya. Mak Ton hanya menggelengkan kepala.

“Hello…hello!”, Hana baru tersedar, tiada suara kedengaran dihujung talian. Sepi. Tetapi yang menghairankan, talian masih disambungkan.

“Siapa Hana?”, soal Mak Ton ingin tahu.

“Entah mak, orang gila mana entah yang menelefon. Tak nak bercakap pulak tu, bisu agaknya”, ujar Hana tanpa melihat sekilas pun gerangan si pemanggil.

            Hana menekup mulut sebaik mematikan talian. Dia baru terlihat nama yang tertera di skrin. Seandainya dia membaca nama pemanggil terlebih dahulu, tidak mungkin dia membahasakan si pemanggil sebagai ‘orang gila’ yang ‘bisu’. Hana gelisah.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi kembali. Hana terkujat memandang telefon bimbit tersebut. Hampir tercampak telefon bimbit itu dek kerana terkejut melihat nama yang tertera. Perlukah Hana menerima panggilan si pemanggil yang digelarkannya ‘orang gila’ sebentar tadi? Buat seketika, Hana bungkam dan membiarkan telefon bimbitnya berbunyi…

Bersambung….


No comments:

Post a Comment