FOLLOWERS...

Friday 31 May 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 2)


Bab 2

Prangggg!!!!

     Zana terjaga dari tidur sebaik terdengar bunyi yang kuat menerjah masuk ke gegendang telinganya. Terasa timpanumnya hampir pecah dek kerana bunyi kotak pensil kayu Hana yang terjatuh ke lantai. Terpisat-pisat Zana membuka matanya untuk melihat apa yang terjadi. Yang jelas kelihatan alat tulis Hana sudah bertaburan di atas lantai.

Sorry Zana, aku tak sengaja terjatuhkan kotak hikmat ni”, ujar Hana sambil tersengih macam kerang busuk.

     Tangannya pantas mencapai kotak kayu bergambar strawberi yang berada di atas lantai betul-betul berdekatan kepala katil Zana. Kemudian seraya mengutip semua alat tulis dan dimasukkan semula ke dalam kotak pensil kesayangannya itu. Kotak kayu itu terus dimasukkan ke dalam kocek hadapan beg galasnya. Zana menggelengkan kepala memerhatikan tingkah Hana.

“Kan aku dah kata, guna je pensil case kan senang? Ini tidak, asyik sibuk dengan peti kayu kau tu!”

     Geram benar Zana apabila mimpi indah dia dilamar putera raja sebentar tadi terbantut di sebabkan bunyi kuat kotak kayu milik Hana yang jatuh ke lantai. Zana menggosok-gosok matanya dengan belakang tapak tangan agar penglihatannya lebih baik. Kemudian, dia menggeliat beberapa kali membetulkan urat saraf agar lebih segar. Sesungguhnya tidur itu nikmat!

“Kau mimpi apa sampai tersenyum-senyum sorang? Dah macam orang kena sampuk aku tengok”, Hana mengerling sahabatnya sekilas sambil tangannya sibuk melilitkan selendang berwarna hijau pucuk pisang di kepala. Warna selendang itu sedondon dengan baju kurung moden yang dikenakannya petang itu.

“Aku mimpi seorang putera raja yang macho lagi kacak bergaya melamar aku. So…sweet. Tapi kau punya pasal la, masa aku nak terima lamaran dia tadi tetiba aku terjaga pulak!”, cerita Zana sambil tersenyum kecil membayangkan wajah putera raja tersebut.

“Hah! Putera raja ke putera katak tu Zana?”, Hana ketawa besar mendengar cerita sahabatnya itu. Lucu benar dirasakannya. Putera mana la yang mahu meminang Zana. Putera dari kayangan agaknya. Sakit perut Hana menahan tawa.

“Yang kau gelak teruk sangat ni kenapa? Ada yang kelakar ke?”, Zana menarik muka masam buat-buat merajuk.

“Tak kelakar la. Cuma imaginasi aku ni je yang dah advance. Aku terbayangkan kau naik pelamin dengan putera katak”, Hana menyambung ketawa sebaik mengabiskan kata-katanya.

      Semerta, sebiji bantal sampai tepat ke muka Hana. Baru puas hati Zana apabila dapat membalas perbuatan Hana mengetawakannya. Zana lantas mencapai sebiji bantal lagi untuk membuat balingan yang kedua. Tapi cepat-cepat Hana menghalangnya. Bimbang tudung yang baru dikenakannya terbuka.

“Tau takut. Jangan cari pasal dengan aku tau!”, ujar Zana sedikit bangga.

“Bukan takut la. Nanti aku jugak yang lambat pergi library disebabkan kau”

“Nak ke library? Wah, dah nak start study ke? Bagus betul student kesayangan Dr. Haziq neh”

 "Uiks! Tak ada angin tak ada ribut, apasal nama dia pulak yang terkeluar daripada mulut laser kau tuh?"

"Kau ni, bila aku sebut je nama Dr. Haziq, macam dah angin satu badan", Zana tersenyum meleret sebaik menghabiskan ayatnya. 

“Habis tu, Si Rusydi tu aku nak letak mana? Dah..dah..malas aku nak layan kau. Aku nak cari info untuk siapkan assignment subjek Medical Diagnostic. Hari Isnin ni Mdm. Shamala nak, jangan kata kau lupa pulak!”, Hana memberi jawapan disamping mahu mengingatkan Zana berkenaan assignment yang perlu dihantar tiga hari lagi. Hana mencapai sebutir keronsang yang sederhana saiznya untuk disematkan dibahagian kanan selendangnya agar tampak lebih kemas.

“Tunggu aku Hana, aku nak join!” Zana bingkas bangun dan mencapai tuala di penyidaian. Kemudian terus menyarung selipar dan berlari anak ke bilik air untuk menyegarkan badan. Hana hanya menggelengkan kepala memerhatikan gelagat sahabatnya itu. Kelam-kabut sungguh.

“Cepat sikit, aku bagi kau 15 minit je tau!” sempat Hana berpesan sebelum Zana sampai ke pintu bilik air. Pesanan Hana tidak bersahut. Yang kedengaran hanya bunyi air yang bercucuran.

*************************************************************************************************

     Jam tepat menunjukkan pukul 6 petang. Haziq masih setia berada daam bilik pensyarah Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat. Terlalu banyak barang yang perlu dikemaskan. Ruangannya berserakan dengan susunan kertas kerja pelajar yang perlu disemak, alat tulis yang berada di merata-rata dan buku-buku rujukan yang tidak bersusun di bahagian rak buku di sisi kanan mejanya.

     Kebelakangan ini dia amat sibuk walaupun tidak sampai dua minggu mengajar di universiti ini. Jadual mengajarnya agak padat. Baru mula mengajar, dia telah diberi tanggung jawab menggantikan kelas Dr. Mursyid. Ditambah pula dengan rombakan bilik pensyarah, menyebabkan dia ditempatkan di ruangan sementara. Bermula hari Isnin  lalu, barulah dia diberi tempat duduk tetapnya. Haziq hanya sempat memindahkan segala barang-barang miliknya ke ruangan baru itu tanpa sempat menyusun semuanya terlebih dahulu. Dan kerana itulah ruangan tersebut berserakan bak tongkang pecah.

“Tengok tempat macam ni boleh buat aku dapat high blood pressure neh!”, rungut Haziq sendirian.

          Haziq menarik nafas sedalam mungkin. Mencari sedikit kekuatan untuk memulakan operasi mengemas ruangannya. Baginya, dia tidak boleh bertangguh lagi. Bak kata pepatah sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Kalau dia memulakan sedikit demi sedikit, pasti lama kelamaan dia berjaya mengemaskan keseluruhan tempat itu. Terbayang di ruangan mata wajah kak Yam, pembantu rumah papanya. Haziq terfikirkan Kak Yam bukan kerana dia rindukan wanita lebih separuh abad itu, tetapi membayangkan jika Kak Yam berada di sini, pasti ruangan ibarat tongkah pecah itu akan dikemas rapi. Masalahnya akan selesai dengan sekelip mata sahaja.

      Haziq mundar mandir seketika mencari idea. Setelah itu, seraya melabuhkan punggung di atas kerusi yang tidaklah begitu empuk miliknya. Entah berapa orang tenaga pengajar yang pernah menggunakan kerusi itu. Kini, kerusi itulah yang akan setia menemaninya sepanjang dia berkhidmat sebagai pensyarah di universiti itu. Haziq lantas mencapai sekeping kertas dan sebatang pen di sudut kiri mejanya. Dia perlu melakar sesuatu untuk memulakan misinya!

       Mulanya, Haziq mengosongkan meja dan menyusun semula alat tulis beserta dokumen dan fail penting di atas meja dan di dalam lacinya. Ketika mengeluarkan fail kerja di dalam laci terakhir iaitu laci ketiga di bahagian kanan meja, tanpa disedari sekeping gambar berukuran passport melayang dan jatuh ke lantai. Haziq mengutip gambar tersebut dan menatapnya buat seketika. Ingatannya melayang jauh teringatkan si pemilik gambar. Sungguh dia terlalu merindui wajah itu. Raut wajah yang begitu ayu dan lembut. Sepadan dengan sikap dan peribadi pemiliknya yang cukup Haziq kenali.

“Qistina Farwizah….”, Haziq menyebut perlahan nama pemilik wajah ayu itu. Ada keluhan kecil dilepaskan di hujung nafasnya. Air matanya bergenang. Kelopak matanya sarat menakung air mata yang hampir tumpah. Wanita itulah penyebab utama dia berada di sini sekarang ini. Haziq menyeka air matanya yang mula mengalir membasahi pipi. Bukan mudah bagi seorang lelaki sepertinya mengalirkan air mata. Buat seketika, ingatannya melayang jauh entah ke mana.

      Lamunan Haziq tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi deringan telefon bimbit yang bergetar dalam kocek seluarnya. Seraya pantas mencapai telefon tersebut untuk mengetahui gerangan pemanggilnya. Lagu bertajuk ‘Bila Waktu Telah Berakhir’ nyanyian Opick, penyanyi dari seberang yang menjadi nada dering telefon bimbitnya terhenti tatkala dia menekan punat hijau untuk menerima panggilan masuk.

“Hello, assalamualaikum papa”, dia terus memulakan bicara.

“Waalaikummussalam. How are you my dear son? Are you coming home this weekend?”, Datuk Mahfudz menjawab salam sekaligus menyatakan maksud dia menelefon anaknya walaupun belum sempat Haziq bertanyakan maksud sebenar papanya menelefon. Haziq amat mengenali papanya. Orangnya sangat berterus terang, tegas dan sangat mengutamakan disiplin diri. Mungkin kerana itulah dia berjaya tersenarai antara ahli perniagaan yang paling sukses di negara ini.

“Insyaallah pa, hujung minggu ni Haz balik rumah”, balas Haziq ringkas. Dia tahu, pasti mama yang meminta papa menefonnya.

        Sememangnya sejak mula bekerja di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Haziq tidak sekalipun menelefon mama dan papanya. Dan sudah dua minggu juga dia tidak pulang ke rumah kerana dia menyewa sebuah apartment berdekatan dengan universiti untuk memudahkannya berulang-alik. Pada mulanya mama tidak bersetuju kerana Shah Alam dengan Ampang tidaklah begitu jauh. Namun, setelah Haziq berjaya memujuk dan meyakini mamanya, akhirnya mama bersetuju dengan keputusan anak bujangnya itu.

“Ok. Papa tunggu. Papa harap sangat Haz balik, ada perkara penting yang nak papa bincangkan”

“Insyaallah pa, don’t worry I’ll be home this weekend”, Haziq seakan berjanji.

“See you this weekend, Haz. Assalamualaikum”, Datuk Mahfudz mematikan bicara.

“Waalaikummussalam pa”, Haziq menjawab pendek. Kedengaran talian dimatikan papanya sebaik dia menjawab salam.

     Haziq memasukkan semula telefon itu ke dalam kocek seluarnya. Senyuman kecil terukir di wajah apabila dia teringatkan mamanya. Pasti mama yang ingin sangat dia pulang. Salah dia juga kerana sudah terlanjur berjanji dengan mama akan pulang setiap hujung minggu. Namun, hakikatnya dia sendiri yang memungkiri janji yang dibuat. Sememangnya dia tidak suka berjanji. Jika bukan kerana ingin meyakinkan mamanya, pasti dia tidak menabur janji sewenang-wenangnya. Dan itulah kali pertama dia berjanji dan janji itu juga gagal dikotakannya.

“Dr. belum balik lagi?”, satu suara tiba-tiba menegurnya. Terjungkit sedikit bahu Haziq akibat terperanjat.

“Terkejut saya Prof.”, seraya mengurut dadanya beberapa kali.

“Kenapa Dr.? Macam nampak hantu je”, ujar Prof. Hilmi Dekan Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat. Sebuah senyuman mengiringi kata-katanya.

Haziq ketawa kecil mendengar soalan Prof. Hilmi.

“Saya terkejut sebab tiba-tiba Prof. muncul. Setahu saya dari tadi saya seorang je dalam bilik ni”

“Maafla saya buat Dr. Haziq terkejut. Masa saya masuk tadi, Dr. tengah berbual di telefon. Segan saya nak tegur. Mana la tahu, may be bercakap dengan girlfriend ke”, ujar Prof. Hilmi berseloroh.

“Saya mana ada girlfriend Prof. Papa saya telefon tadi”, terang Haziq sambil tangannya mengemaskan beberapa fail dan buku rujukan untuk dibawa pulang.

“Umur macam Dr. neh biasanya dah ada steady girlfriend, tunang atau kebanyakannya dah kahwin. Tunggu apa lagi Dr.?”, ketawa kecil mengiringi kata-kata Prof. Hilmi.

“Ada-ada aje Prof. ni. Saya mintak diri dulu Prof. See you tomorrow”, bijak Haziq mematikan perbualan.

      Bukannya dia tidak suka berbicara soal jodoh dan perkahwinan, tapi baginya segalanya perlukan perancangan yang rapi dan dia tidak mahu tergopoh-gapah memilih teman hidup. Buat masa ini biarlah dia menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja dan kerjaya. Itu yang menjadi keutamaannya.

“Baiklah Dr., jumpa esok”, ujar Prof. Hilmi ringkas. Prof. Hilmi kembali menumpukan perhatian kepada kerjanya.

        Haziq menghayun langkah pantas menuju ke ruangan lif yang berada di hujung bilik pensyarah. Suasana lewat petang itu sunyi sepi. Maklumlah, para pelajar telah lama meninggalkan blok akademik itu melainkan yang mempunyai program atau aktiviti di kampus. Selain daripada itu mungkin sedang sibuk menelaah pelajaran atau menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah masing-masing di perpustakaan universiti.

       Sampai sahaja di depan pintu lif, Haziq terus menekan punat lif untuk ke tingkat parkir. Tiada seorang pun yang berada dalam lif melainkan dirinya. Yang kedengaran hanya muzik gamelan acara konvokesyen yang datangnya daripada skrin kecil yang terletak di sebelah atas bahagian kanan lif tersebut.

      Haziq terus melangkah keluar sebaik pintu lif terbuka. Seraya melangkah pantas menuju ke tempat dia memakirkan keretanya. Setelah menekan punat hijau pada alarm key, Haziq terus membuka pintu kereta dan mencampakkan begnya beserta buku dan fail ke tempat duduk sebelah. Perutnya mulai berkeroncong. Terasa seperti perlu diisi segera sebelum dia pulang ke rumah sewanya.

        Mana tidaknya, jam sudah menunjukkan pukul 7.30 petang. Beberapa minit lagi pasti azan Maghrib berkumandang. Haziq memandu sedikit laju untuk keluar dari kawasan parkir bertingkat itu. Mujurlah kawasan parkir bertingkat itu tidak terlalu besar dan kereta juga boleh di bilang dengan jari kerana ramai yang telah pulang sejak petang tadi. 

     Haziq memandang sekilas anak panah dengan perkataan ‘Exit’ dibahagian kiri tiang dan tanpa berfikir panjang sterengnya terus dipusingkan ke arah kanan mengikut arah anak panah itu. Tanpa disangka-sangka, muncul sebuah skuter dari arah bertentangan dan semerta Haziq terus menekan brek kecemasan. 

Dummm!!!! 

Serentak dengan itu terdengar jeritan daripada penunggang dan pembonceng skuter tersebut.

      Berkeriut bunyi tayar keretanya bergeseran dengan tar jalan. Bau hangit kuat menusuk rongga hidung. Walaupun Haziq sempat menekan pedal brek, namun disebabkan jarak yang terlalu dekat, malangnya...kemalangan tetap juga terjadi.

       Penunggang skuter yang kaget dengan kehadiran kereta Haziq dari arah bertentangan langsung tidak sempat menekan brek mahupun mengelak perlanggaran tersebut. Skuter itu terus terbalik dek terlanggar bucu kanan kereta Haziq menyebabkan penunggang dan pemboncengnya ikut sama terjatuh ke atas jalan tar. Buku-buku dan fail bertaburan. Haziq lantas keluar dari keretanya untuk membantu penunggang dan pembonceng motosikal itu. Haziq terkejut kerana mangsa perlanggaran itu adalah pelajarnya sendiri, Hana dan Zana.

      Zana berusaha bangun. Tapak tangannya terasa pedih dan sengal akibat menampan tubuhnya daripada tersembam. Seraya mengibaskan pakaiannya membuang pasir dan habuk yang melekat. Dia hanya mengalami sedikit luka di tapak tangan. Zana terus mendapatkan Hana yang langsung tidak boleh bangkit kerana tidak dapat menggerakkan kaki kirinya. Siku kirinya luka, manakala luka di lututnya agak besar dek terlanggar bucu kereta Haziq.

"Aduh, siku dan lutut aku sakit sangat ni! Aku tak boleh bangun", Hana terjerit kecil. Mukanya berkerut menahan sakit.

"Maafkan saya, Hana...Zana. Saya betul-betul tak perasan tadi", Haziq cepat-cepat mendapatkan mereka berdua untuk membantu.

        Hana memandang Haziq dengan jelingan mata yang tajam. Sakit sungguh hatinya. Takkan dengan hanya ungkapan maaf boleh menyembuhkan siku dan lututnya yang sakit saat ini. Hatinya panas  atas kecuaian Dr. Haziq. Tambahan pula ini kali kedua Dr. Haziq melanggarnya. Nasib baiklah Dr. Haziq merupakan pensyarahnya. Kalau tidak, sudah macam-macam perkataan pedas dihamburkan dari mulutnya.

"Hana, biar aku tolong kau", ujar Zana sambil menghulurkan tangan kanannya.

"It's ok Zana, get in my car. Biar saya uruskan Hana", ujar Haziq seakan memberi arahan.

"Tapi Doc, buku-buku dan fail tu?"

"Tak apa, I boleh kutipkan", pendek Haziq memberi jawapan.

"Hana, boleh izinkan I angkat you?", sopan Haziq meminta kebenaran.

"Tak payah Doc, saya boleh bangun sendiri", Hana tidak mahu dibantu. Hatinya masih sakit menahan marah.

"Don't be so stubborn Hana. You're bleeding...", Haziq memujuk perlahan.

"Saya kata, saya tak nak Dr. tolong saya, Dr. tak faham ke?", Hana mengetap bibir tanda marah. Bukan sahaja marah kepada Dr. Haziq atas kemalangan tersebut, tetapi memikirkan tidak sampai tiga minggu lagi peperiksaan akhir semester akan bermula. Itu yang sedang bermain dalam pemikiran Hana kala ini.

"You kena dengar cakap I, jangan degil. I kena bawa you pergi hospital sekarang juga. You need a few stiches!", Haziq membuat keputusan tegas sambil tangannya terus memaut badan Hana dan di angkat untuk di bawa masuk ke dalam keretanya.

"What! Stiches?", Hana gerun mendengar perkataan itu. Seumur hidupnya, dia belum pernah mengalami luka yang perlu di jahit. Apatah lagi membayangkan jarum yang akan menjahit lukanya. Hana rasa kepalanya tiba-tiba pening dan berpinar-pinar. Pandangannya semakin kabur. Dia tidak sedarkan diri.

Bersambung….

Enjoy reading…

Tuesday 28 May 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 1)

Bab 1



Cepatla Zana! Kau ni berjalan macam siput sedutla. Kelas dah nak mula, nanti kita lambat pulak!” bebel Hana seraya melangkah laju supaya cepat sampai ke destinasi mereka.

Memang sudah sedia maklum perangai Dr. Mursyid, beliau memang pantang kalau pelajar lewat. Pelajar wajib sampai sebelum beliau memulakan kelasnya. Jika lambat lazimnya akan didenda samada dengan memberi extra assignment atau pun dihalau keluar daripada kelas. Bergantung pada mood Dr. Mursyid ketika itu. Pensyarah subjek Neuropharmacology itu sangat tegas dan sentiasa mahu para pelajarnya berada pada prestasi yang dia inginkan. Pelajar tidak boleh malas dan culas!

“Kau ni suka sangat membebel macam mak nenek, kalau dapat laki tua nanti baru padan muka kau!”, ujar Zana sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Dia memang gemar menyakat sahabatnya itu. Tambahan pula kalau Hana berada dalam situasi kelam kabut sebegitu. Dia faham benar yang Hana merupakan ‘minah skema’ kelasnya. Memang Hana seorang yang ‘gila-gila’ dan periang, tapi dia akan bertukar menjadi serius kalau masuk bab pelajaran. Setakat ini, belum pernah sekali pun Hana lewat sampai ke kelas Dr. Mursyid. Boleh dikatakan, Hana merupakan antara pelajar kesayangan pensyarah yang berumur lebih separuh abad itu. Sedangkan Zana, sudah dua kali dia terlewat ke kelas Neuropharmacology itu dan sudah dua kali jugalah dia pernah didenda diberi extra assignment oleh Dr. Mursyid.

Hana tidak menghiraukan kata-kata Zana yang jelas-jelas cuba mengusiknya. Sahabatnya itu memang nakal. Berada sebilik dengan Zana sejak hari pertama dia menjejakkan kaki ke universiti itu sehingga berada di semester lima kini, rasanya cukup membuatkan dia arif dengan perangai Zana. Sahabatnya itu lagi dilayan, lagi lambatlah dia tiba di kelasnya nanti. Makin dilayan makin menjadi!

Hana sempat mengerling jam di tangan. Lagi lima minit kelas Dr. Mursyid akan bermula. Seraya melajukan ayunan langkahnya meninggalkan Zana jauh di belakang. Selang beberapa kelas lagi dia akan sampai ke Bilik Kuliah 2 tempat di mana kelas Dr. Musyid akan bermula.

“Tunggu la aku Hana, aku semput kejar kau ni!”, ujar Zana termengah-mengah berlari anak. Terkocoh-kocoh dia berjalan berusaha mendekatkan jaraknya dengan Hana. Hampir keciciran fail yang dibimbitnya semata-mata ingin mengejar sahabatnya itu.

Hana tersenyum sinis, seraya menoleh ke arah Zana sambil melambaikan tangannya.

“Siapa suruh kau lambat? Aku dah tunggu kau bersiap tadi pun dah seribu rahmat tau. Nantikan la extra assignment daripada pensyarah kesayangan kau tu!” Hana sengaja mengejek Zana beserta dengan ketawa yang dibuat-buat. Geli hatinya melihat gelagat Zana.

“Sampai hati kau Hana, kelas kat depan tu je. Macam la kau perlukan masa lima minit nak sampai kelas yang dekat secoet tu ha! Huh!” Zana masih tidak puas hati.

“Aduh!”

Tiba-tiba Hana terjerit perlahan apabila terlanggar satu lembaga tinggi di hadapannya. Sepantas kilat juga satu tangan sasa sempat merangkul tubuhnya daripada tersungkur macam nangka busuk di situ.

Fuhh! Nasib baik. Hana mengurut dadanya beberapa kali. Kalau dia tersungkur juga kala itu, pasti terkehel lengan kanannya. Silap hari bulan boleh patah. Tak pasal-pasal nanti dia tidak dapat menduduki peperiksaan pertengahan semester yang hanya tinggal tidak sampai tiga minggu sahaja lagi.

“Maafkan saya, cik tak apa-apa?”, lelaki itu meminta maaf di atas kesalahannya melanggar hanya tanpa sengaja.

“Err…”, Hana terpana seketika melihat wajah lelaki di hadapannya. Aduh! Kacak sungguh.

“Cik…Cik ok tak?”

Lelaki itu masih menyoal Hana yang seolah-olah masih kaget dengan insiden itu. Dia merasa agak aneh kerana Hana masih keras membatu dalam rangkulannya. Macam kena sumpahan ahli sihir Voldemort dalam filem Harry Potter.

“Cik!”, Kali ini suara lelaki itu sengaja ditinggikan sedikit.

Hana seolah-olah baru tersedar daripada mimpi. Wajahnya mulai merona merah. Kelam kabut Hana meleraikan rangkulan kemas lelaki bertubuh sasa di hadapannya. Dia lantas mengutip kertas dan fail yang berserakan di atas lantai. Terasa sengal lengan kanannya impak daripada momentum perlanggaran yang tidak diduga tersebut.

“Kalau jalan, mata tengok depan la Encik!”, Hana mengetap bibir menahan marah. Malu pun ada sebenarnya.
  
        Selesai mengutip barang-barangnya yang berserakan, dia terus berlalu meninggalkan lelaki itu yang masih terpinga-pinga. Hana perlu sampai ke kelas Dr. Mursyid sebelum pukul 8 pagi.

“Maafkan saya cik, saya betul-betul tak sengaja tadi”

    Lelaki itu masih belum berputus asa memohon maaf sambil berlari-lari anak mengejarnya. Rasa bersalah bermukim di hati. Andai dia tidak terlalu ralit membaca papan tanda ketika mencari kelas sebentar tadi, sudah pasti insiden itu tidak berlaku.

        Kata-kata lelaki itu tidak diendahkan oleh Hana lalu terus melangkah masuk ke Bilik Kuliah 2. Malunya bukan kepalang!

“Haziq…..Haziq…”, ujar Haziq sambil menepuk dahinya beberapa kali. Salah dia juga kerana terlewat sampai ke kelasnya. Bukan kerana tiba lewat di universiti, tapi mengambil masa yang terlalu lama mencari Bilik Kuliah 3, Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat. Tambahan pula, ini merupakan hari pertamanya ke kelas tersebut. Sepatutnya dia membuat persediaan rapi sebelum tiba di kelas. Akibatnya, dia terpaksa berlegar-legar selama setengah jam sebelum menjumpai kelas yang perlu dihadirinya pagi itu. Siap terlanggar orang lagi!

        Disebabkan insiden tersebut, Hana terus terlupa sahabat baiknya Zana. Apa yang ada difikirannya ialah kelas Dr. Mursyid! Terasa otaknya seperti telah diprogramkan dengan perkataan ‘Kelas Dr. Mursyid’. Pergh! Kuat sungguh penangan kelas Dr. Mursyid sampaikan Hana seolah-olah dipukau selepas insiden itu.

       Sekali lagi Hana terpana sebaik melangkah masuk ke Bilik Kuliah 2. Tiada seorang pun manusia di dalam kelas itu. Yang ada cuma kerusi dan meja yang sedikit berselerak. Dia meninjau sekeliling mencari kalau-kalau ada kelibat manusia atau Dr. Mursyid sendiri dalam kelas tersebut. Tapi malangnya, kelibat yang dicari langsung tidak ditemui. Hana mengerling jam di pergelangan tangan kirinya. Sudah 8.04 minit pagi. Dia sudah dikira lewat empat minit. Tapi, ke mana semua orang pergi? Hana masih kebingungan memikirkannya. Dahinya berkerut seribu.

      Zana tiba di bilik itu sejurus kemudian. Senyuman lebar terukir di wajahnya walaupun nafasnya sedikit tercungap-cungap. Pastinya disebabkan drama romantik yang baru disaksikannya sebentar tadi. Tetapi, tiba-tiba senyuman itu terbantut sebaik menyedari tiada seorang pun manusia dalam kelas itu selain Hana dan dirinya. Mereka saling memandang sesama sendiri.

“Mana semua orang pergi ha? Takkan kelas cancel kot? Aku tak dapat apa-apa info pun!”
Soalan demi soalan Hana ajukan kepada Zana sambil tangannya ligat membuka fail berwarna merah hati yang dibimbitnya untuk memeriksa jadual kelas mereka pagi itu. Rasanya dia tidak tersalah melihat jadual ketika menyusun alat tulisnya malam tadi. Kalaupun dia bermimpi, tidak mungkin Zana terlibat sama dengan mimpinya itu.

“Aku pun tak tahu, aku pun tak dapat apa-apa info pasal kelas hari ni”, balas Zana seraya melangkah menghampiri Hana untuk melihat sama jadual yang berada dalam fail Hana. Matapelajaran, masa dan tempat betul. Tapi kenapa tiada seorang pun yang hadir kecuali mereka berdua?

Tit! Tit! Tit! 

       Telefon bimbit Zana berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Sepantas kilat Zana menyelongkar beg galasnya untuk mendapatkan telefon bimbit tersebut. Telefon bimbit jenama Samsung berwarna putih itu dicapainya. Lantas seraya membaca sms yang diterimanya sebentar tadi.

Salam beb! Kelas Neuropharmacology dah tukar. Dr. buat kelas kat Bilik Kuliah 3.

“Hana, Fimie bagi mesej! Kelas Dr. Mursyid tukar kat Bilik Kuliah 3”, Zana terus menyampaikan mesej yang baru diterimanya.

“La, apsal baru sekarang Fimie bagi tau kita? Kita dah lambat ni. Siot betul la! Comfirm aku ngan kau kena denda la kejap lagi ni”, Hana tidak puas hati. Kakinya dihentak beberapa kali tanda protes. Zana hanya mengangkat bahu dan buat muka seposen tanda pasrah.
 
“Bilik kuliah 3 kat sebelah ni je. Jom Hana! Kang tak pasal-pasal kita jadi ‘bahan’ pulak lam kelas Dr. Mursyid nanti”

        Zana sedia maklum yang Dr. Mursyid memang suka menyindir. Sarcastic! Hana hanya mengangguk tanda setuju. Dia redha dengan apa sahaja denda yang bakal diterima mereka berdua sebentar lagi. Hana menghayun langkah longlai menuju ke bilik kuliah 3. Semangatnya seolah-olah telah mengalami penurunan sebanyak 50 peratus, tidak seperti sebelum insiden yang memalukan dirinya tadi. Sebelum ini, langkahnya penuh bersemangat umpama mahu masuk pertandingan lari 4 x 100 meter. Tapi kini umpama baru menyudahkan larian merentas desa 10 kilometer.

“Pasal mamat tu la aku lambat masuk kelas kalau aku jumpa dia lagi, siapla!” gumam Hana di dalam hati. Dia pasti Zana lihat apa yang terjadi kepadanya sebentar tadi. Mungkin masa tidak sesuai untuk Zana mem’bahan’nya. Tapi dari air muka Zana tadi jelas menunjukkan apa yang tersirat dalam hatinya saat ini.

      Mereka berdua mengetuk pintu Bilik Kuliah 3 beberapa kali sebelum meminta izin untuk masuk. Setelah mendengar arahan dari dalam, mereka pun melangkah masuk.

“Bismillahhirrahmanirrahim...”, bisik Hana di dalam hati.

     Langkah Hana dan Zana tiba-tiba terhenti dek terpandangkan sekujur tubuh di hadapan mereka. Masing-masing terkesima seketika apabila melihat lelaki bertubuh sasa itu berada di dalam kelas mereka. Berdiri di bahagian hadapan kelas sambil tangannya memegang sebatang pen papan putih. Lagaknya persis seperti seorang pensyarah. Pandangannya tepat ke arah mereka berdua. Lelaki itu melemparkan senyuman manis kepada kedua pelajarnya itu dan sudah pasti, dia tahu alasan mengapa mereka terlewat masuk ke kelasnya.

      Mata Hana ligat mencari kelibat Dr. Mursyid yang sepatutnya mengajar subjek tersebut pada pagi ini. Lelaki itu seperti memahami apa yang bermain dalam fikiran dua orang pelajarnya itu.

Have your seat. I’m about to start the class. First of all, I would like to introduce myself. I’m Dr. Haziq Imran bin Mahfudz. I’m your new lecturer and I will replace Dr. Mursyid for a week to teach you Neuropharmacology’s subject. Dr. Mursyid won’t be around because he had an accident yesterday and he was admitted last night regarding severe injury”.

      Merah padam muka Hana menahan malu apabila Dr. Haziq memperkenalkan diri sambil memandangnya. Terasa bahang panas meresap di seluruh mukanya yang berwarna kuning langsat itu. Terasa kata-kata yang lahir dari mulut Dr. Haziq sebentar tadi seperti sindiran tepat mengenai batang hidungnya. Rasa bersalah pula Hana kerana tidak menghiraukan ucapan maaf daripada pensyarah muda itu sebentar tadi. Betullah pesan orang tua-tua, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan perbuatan buruk padahnya.

“Ah, bukan aku kenal dia pun tadi”, gumam Hana di dalam hati untuk menyedapkan perasaannya sendiri. Risau juga dia kalau Dr. Haziq ambil hati atas insiden pagi tadi.

“Tu la kau Hana, sombong tak bertempat! Nak cepat sampai kelas konon. Siap tinggalkan aku kat belakang lagi. Tup tup, eksiden dengan lecturer hensem”, sindir Zana. Kata-kata Zana itu kedengaran pedas di cuping telinga Hana. Kaau ada cili ketika ini, sudah pasti dilumurkan pada mulut Zana yang tiada insurans itu.

“Apsal? Kau jeles ke aku eksiden dengan lecturer hensem tu?” balas Hana tidak puas hati.
“Maksud awak, saya ni handsome la ye?” tiba-tiba kedengaran suara garau datang dari arah belakang Hana.

      Zana menekup mulut dengan kedua belah tapak tangannya apabila terpandangkan pemilik suara tersebut.

“Ha’ah, memang handsome pun!”, spontan Hana menjawab soalan cepumas tersebut tanpa memandang ke arah pemilik suaranya.

“Patutla awak tenung lama muka saya tadi ye?”

Hana menoleh sepantas kilat apabila menyedari gerangan si empunya suara itu.

“Sa…ya…er..”, kata-kata Hana mati di situ. Lidahnya kelu.

       Muka Hana merona merah umpama udang dibakar. Dia tidak menyangka suara yang datang dari arah belakang itu adalah suara Dr. Haziq. Malu sungguh! Terasa mahu ditanggalkan kulit mukanya saat itu dan benamkan ke dalam air. Hana tunduk. Seraya tidak berani menatap wajah pensyarah muda itu yang kini sudah berdiri betul-betul di hadapan mejanya.

      Zana hanya ketawa terkekeh-kekeh. Sebenarnya, dia sudah menyedari kehadiran Dr. Haziq di belakang mereka sebentar tadi. Tetapi dia terus terdiam apabila terlihat isyarat jari telunjuk di atas bibir yang ditayangkan Dr. Haziq kepadanya.

     Walau apapun, Zana mengerti perasaan yang ditanggung sahabatnya kala ini. Andai diberi peluang dia tidak ingin berada di temapat Hana sekarang. Tidak tahu mana nak disorokkan muka. Malu oi!

Bersambung...