FOLLOWERS...

Thursday 21 November 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 12)



As-salam semua...here u are...Bab 12 dah siap...jemput baca ye kengkawan.. sy budak baru blajar...mane yg salah tlg tunjukkan...kalau ada kesalahan di mana-mana..feel free to drop a comment ya...enjoy!!=)

BAB  12


            Senja sudah berlabuh, pastinya sebentar lagi azan akan berkumandang menandakan masuknya waktu solat maghrib. Hana merenung pemandangan sawah padi di sekeliling rumahnya sebelum menutup daun tingkap biliknya. Entah mengapa ada satu perasaan aneh dah tidak enak bertandang di hati. Mungkin kerana kerunsingannya untuk pulang ke Shah Alam, meninggalkan Mak Ton dan Idzham. Hana terlalu bimbang andai Idzham akan bertindak di luar duga mencederakan Mak Ton sepanjang ketiadaannya nanti. Hana cuba menepis sejauh mungkin perasaan tersebut dan cuba berfikiran positif.



“Semua barang-barang kamu dah siap Hana? Abang Im nak jemput kamu malam ni kan?”, Mak Ton mengingatkan Hana tentang segala kelengkapan anaknya untuk di bawa pulang ke universiti. Sudah menjadi kelaziman, walaupun Mak Ton tahu Hana seorang yang cermat, tetapi sebagai ibu perasaan bimbang tetap wujud. Manalah tahu andai ada barang yang tertinggal, sempat lagi untuk diperiksa sebelum bertolak.



Teguran Mak Ton yang tiba-tiba muncul di muka pintu kamarnya mematikan lamunan Hana yang telah melayang jauh entah ke mana. Raut wajahnya yang sugul sebentar tadi sedaya mungkin dimaniskan demi terpandangkan wajah ibunya. Seraya melangkah mendapatkan Mak Ton.



“Alhamdulillah mak, semuanya ada. Hana dah periksa dua kali dah. Mak jangan la bimbang sangat”,  ujar Hana untuk menyedapkan hati Mak Ton. Hana tahu, ibunya bimbang andai ada barangan yang mustahak tertinggal. Maklumlah, dia akan menduduki peperiksaan akhir semester tidak lama lagi.



“Baguslah macam tu nak”, Mak Ton mengusap kepala Hana dengan penuh kasih sayang.



“Jangan bimbang mak, Dr. Haziq kata, dia akan sampai agak lewat. Dan kemungkinan dia akan tidur di sini. Kami akan bertolak balik ke Shah Alam esoknya. Kan Hana ada beritahu mak petang tadi masa kita minum petang? Mak lupa la tu kan?”



“Ha’ah Hana, mak lupa. Entah ke mana fikiran mak melayang masa kamu beritahu mak petang tadi”, Mak Ton baru teringatkan apa yang Hana beritahunya semasa minum petang bersama.



“Alah, mak tu fikirkan abang Am kan? Mak bimbangkan dia kan?”, Hana menduga.



“Ibu mana yang tak bimbang Hana. Kamu tengokla lebam-lebam di muka dia tu. Bibir bengkak. Macam kena belasah teruk je. Kesian pulak mak tengok dia”, Mak Ton melahirkan rasa bimbang. Mak Ton melabuhkan punggungnya di atas sofa berdekatan pintu rumahnya.



Hana bingkas bangun dan menghampiri Mak Ton. Seraya mengambil tempat bersebelahan dengan ibunya.



“Hana pun kesian tengok dia, tetapi apakan daya kita. Penyakit yang dicari sendiri mak”, Hana mencapai alat kawalan jauh dan menekan punat ‘on’ untuk menonton televisyen.



“Mak cadangkan Hana, kita jual je la separuh tanah sawah ni buat bayar hutang abang kamu tu”, Mak Ton menyuarakan pendapat.



Hana memperlahankan suara televisyen untuk member perhatian kepada butir bicara yang dituturkan oleh ibunya. Niatnya untuk menonton telemovie kegemarannya terbantut dek soalan yang Mak Ton ajukan sebentar tadi.



“Tapi mak..tanah ni kan satu-satunya peninggalan arwah ayah? Lagipun, sumber pendapatan kita bergantung pada hasil tanah ni. Kalau bergantung pada duit pencen arwah abah, berapa la sangat mak? Bukan Hana tak bersyukur, tetapi Hana sayangkan tanah sawah ni mak”, Hana melahirkan perasaan kurang setuju dengan cadangan ibunya.



            Mak Ton menarik nafas dan melepaskan satu keluhan berat. Kata-kata Hana ada benarnya. Tetapi, Mak Ton merasakan dia tidak punya pilihan lain untuk membantu Idzham melunaskan hutang piutangnya. Dia bimbang sesuatu terjadi kepada Idzham. Dia tidak mahu kerana sekeping tanah pusaka peninggalan arwah suaminya, nyawa Idzham pula akan tergadai. Mak Ton tidak sanggup melihat lebam-lebam dan luka-luka yang Idzham alami dek kerana tidak dapat membayar hutangnya kepada along sekejam Tiger. Fikiran Mak Ton buntu memikirkannya. Lebih membimbangkan lagi jika sesuatu terjadi kepada Hana disebabkan hutang Idzham kepada Tiger. Perkara satu itulah yang menambah beban fikiran Mak Ton sejak akhir-akhir ini.



“Mak lebih pentingkan keselamatan keluarga kita kalau nak dibandingkan dengan tanah sawah ni Hana. Memang terlalu berat untuk mak membuat keputusan ini, sebab terlalu banyak kenangan mak dan arwah abah kamu di sawah kita ni, tapi apakan daya..”, Mak Ton menyuarakan apa yang terbuku di hatinya. Dia berharap Hana akan memahami keputusan yang telah dibuatnya demi masa depan mereka sekeluarga.



“Kalau mak dah kata macam tu, Hana ikut je mana yang elok. Sebenarnya, kalau ikutkan Hana, Hana tak kisah sangat mak pasal harta benda ni. Yang penting kita sekeluarga boleh hidup bahagia. Cuma satu je yang Hana bimbangkan…kalau kita dah bantu abang Am bayar hutang, mak pasti ke dia tak akan berhutang lagi mak?”, ujar Hana panjang lebar menyatakan persetujuannya terhadap keputusan Mak Ton.



“Itu lah yang membimbangkan mak nak..”, Mak Ton juga bimbang dan bersetuju dengan pendapat Hana. Jika Idzham berhutang lagi di kemudian hari, pastinya mereka tidak punya apa-apa lagi untuk digadaikan melainkan tanah tapak rumah yang menjadi tempat mereka berteduh sekarang ini.



Dum! Dum! Dum!



Mak Ton dan Hana tersentak mendengar bunyi pintu diketuk dengan kuat sekali. Mereka memandang sesama sendiri. Wajah Mak Ton dan Hana mempamirkan riak cemas.



“Siapa pula tu Hana? Mungkin abang Am kamu”, teka Mak Ton.



“Bukak pintu ni sebelum aku pecahkan!”, keras suara Idzham memberi arahan.



“Betul mak, abang Am”, nada suara Hana kedengaran gugup. Dalam hati, dia bimbang sesuatu yang buruk akan menimpa dia dan ibunya.



“Buka la cepat bodoh! Terhegeh-hegeh!”, Idzham makin tidak sabar menunggu.



Hana mengumpulkan segala kekuatan yang ada untuk melangkah ke pintu. Sebenarnya, dia takut untuk membuka pintu dan membenarkan Idzham masuk. Hana dapat merasakan mungkin satu tamparan akan hinggap ke pipinya sebaik dia membuka pintu kayu tersebut. Dengan tangan yang terketar-ketar Hana menolak penyelak pintu. Dan sebaik pintu di buka, seperti yang dijangka, satu tamparan hinggap ke pipi mulus Hana. Hana jatuh terjelepok. Seraya mengusap-ngusap pipinya yang terasa perit dan pedih. Darah mengalir dari bibir kanannya.



“Idzham! Apa yang kamu buat pada adik kamu ni?”, Mak Ton tersentak dengan tindakan Idzham yang tidak dijangka itu. Semerta, terus mendapatkan Hana dan memapah anak perempuannya untuk bangun. Sakit benar hati Mak Ton apabila Idzham memperlakukan Hana sebegitu.



“Aku dah tunggu lama kat luar tu, siapa yang suruh dia lambat?”, senyuman sinis dilemparkan kepada ibu tirinya. Hatinya seolah merasa sedikit puas kerana dapat menampar Hana.



“Kau mabuk ke Am? Kau ambil dadah ye?”, Mak Ton dapat meneka dengan mudah kerana bau alkohol yang kuat daripada baju dan badan Idzham menusuk ke hidung. Masam dan busuk!



“Kalau aku minum ke? Ambil dadah ke? Apa kau peduli orang tua!”, Idzham berjalan terhuyung-hayang dan melambungkan badannya ke atas sofa.



Idzham tidak sedikit pun menghiraukan keadaan Hana. Dia seolah-olah berada dalam dunia khayalannya sendiri. Sekejap tersenyum, sekejap ketawa, kemudian bercakap seorang diri. Persis orang yang sudah hilang siumannya.



Mak Ton makin hilang sabar dengan perangai Idzham. Makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.



“Apa nak jadi dengan kau ni Am? Sejak dua menjak ni mak tengok kau selalu minum dan ambil dadah!”, sakit benar hati tuanya melihat anak yang dipelihara sejak dari kecil menjadi sampah yang tidak berguna disebabkan pengaruh rakan-rakan. Mak Ton merasa terlalu kesal dengan apa yang terjadi.



“Mak jangan membebel boleh tak? Suka hati aku la!”, bentak Idzham tiba-tiba dengan suara yang meninggi sambil menolak tubuh Mak Ton.



Mak Ton terkujat demi mendengar kata-kata Idzham. Tindakan Idzham tersebut sudah melebihi batas. Tidak boleh ditegur walau sedikit pun.



            Hana berang apabila Idzham menolak kuat tubuh ibunya sehinggakan Mak Ton hampir terjatuh. Sebagai anak, dia tidak tega melihat ibu yang disanjungi dan dihormatinya diperlakukan sedemikian rupa. Tindakan Idzham sudah keterlaluan. Hana tidak kisah jika Idzham mengherdik dan memukulnya, tetapi dia tidak sanggup andai Idzham melakukan perkara yang sama kepada ibunya.



“Abang Am ni dah kenapa? Apa salah mak pada abang?”, Hana bingkas bangun mendapatkan Mak Ton. Nafas Hana turun naik menahan marah.



Idzham bangun cuba berdiri walaupun keadaannya kurang stabil. Dia lantas mendapatkan Hana dan mencekak leher baju Hana. Hana menepis kuat tangan Idzham. Hana tidak mahu mengalah. Cukuplah kesabarannya selama ini. Kesabarannya seakan-akan tidak bersisa lagi.



“Owh…dah pandai melawan kau sekarang ye?”, Idzham semakin naik angin dan seraya menarik kuat rambut Hana lalu dihayunkan ke dinding kayu rumah mereka. Walaupun dalam keadaan separa sedar, tenaga lelakinya masih kuat memperlakukan Hana sebegitu.



Mak Ton segera mendapatkan Hana untuk membantu anaknya. Dia bimbang Idzham akan bertindak lebih daripada itu terhadap adiknya. Mak Ton berusaha meleraikan tangan Idzham yang sedang cuba menarik Hana untuk bangun. Hana meronta-ronta minta dilepaskan. Dengan kekuatan yang ada, Hana memijak kaki Idzham sekuat hati untuk melepaskan dirinya. Dan semerta, Idzham melepaskan cengkamannya. Sebaik berjaya melepaskan diri, Hana terus menarik Mak Ton masuk ke biliknya. Dia terus mengunci pintu bilik itu untuk menyelamatkan diri buat seketika.



“Aduh! Celaka punya budak! Kau tunggu la balasan kau sebentar saja lagi”, bentak Idzham sambil memegang kakinya yang sakit.



Idzham pantas meraba-raba kocek seluar jeans lusuhnya untuk mencari telefon bimbit. Dalam keadaan itu, dia tidak dapat memikirkan di mana sebenarnya dia meletakkan telefon bimbit tersebut. Idzham cuba berjalan sebaik mungkin dan menghempaskan badannya ke atas sofa. Kepalanya dirasakan sakit sekali disebabkan tindak balas alkohol dan pil khayal yang di telannya. Idzham akhirnya berjaya mendapatkan telefonnya yang dicari sejak tadi. Dalam pandangan yang kabur, dia sedaya upaya mencari nama Tiger dalam senarai nama pemanggil. Sebaik menjumpai nama tersebut, seraya terus menekan punat hijau.



            Buat seketika Hana dan ibunya merasa aman berada di dalam bilik tersebut. Walaupun mereka masih dalam keadaan cemas, tetapi Mak Ton bersyukur kerana Idzham tidak bertindak membabi buta seperti tadi. Sesekali Mak Ton mengurut dadanya yang sedari tadi terasa amat menyesakkan. Nafas Hana pula turun naik bagi meredakan perasaan cemas yang dialaminya sebentar tadi.



Hana mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja solek. Dalam kotak fikirannya saat ini hanya terfikirkan abang angkatnya, Haziq Imran. Tangannya pantas mencari nama ‘Lecturer Mereng’ dalam senarai pemanggil. Sejurus kemudian, Hana terus menghubungi Haziq untuk meminta bantuan. Mana tahu, Haziq dalam perjalanan sampai ke sini. Namun malang sekali, talian tidak berjawab. Hana mencuba sekali lagi, tetapi gagal. Fikirannya kusut saat ini mahu meminta pertolongan dari siapa. Dia bimbang, Idzham akan mengapa-apakan dirinya dan ibunya.



Suasana sunyi sepi. Hanya terdengar esak tangis Mak Ton yang kian mereda. Hana buntu. Dia tidak tahu tindakan yang harus di ambil ketika ini. Adakah dia perlu memberanikan diri keluar daripada bilik itu atau hanya bersembunyi sehingga abang angkatnya tiba. Hana juga bimbang andai perkara yang lebih buruk lagi bakal terjadi jika mereka hanya berdiam diri di situ. Hana merasakan, mereka berdua perlu keluar dari rumah itu untuk meminta pertolongan. Idzham pastinya telah merencanakan sesuatu yang tidak diketahuinya.



“Kita keluar dari sini mak? Kita mesti cari tempat untuk selamatkan diri. Hana tak sedap hati la mak. Macam ada sesuatu yang tak kena je”, Hana menyuarakan pendapat kepada Mak Ton.



“Mak rasa pun macam tu sayang”, Mak Ton bersetuju. Seraya menarik tangan Hana mendekat ke pintu.



            Mak Ton mendekapkan telinganya ke pintu kayu tersebut. Derap tapak kaki beberapa manusia kedengaran masuk ke rumahnya. Mak Ton berasa tidak sedap hati. Riak wajahnya berubah cemas. Apa sekalipun yang bakal terjadi kelak, dia mesti menyelamatkan anak gadisnya, satu-satunya amanah yang dititipkan Pak Kamal kepadanya. Walau nyawa jadi taruhan.



“Lambatnya korang sampai, mana Tiger?”, soal Idzham.



“Dia hantar kami berdua dulu untuk pastikan yang kau tidak menipu!”, salah seorang dari orang suruhan Tiger bersuara.



“Aku tak kan menipu la. Aku dah janji kan? Bagi tahu bos kau suruh datang cepat sebelum aku berubah fikiran!!”, Idzham mula berang apabila Tiger tidak mempercayainya. Dia sudah tidak sabar untuk melunaskan segala hutang piutangnya malam ini juga dan mendapatkan wang saguhati RM 10,000 yang Tiger janjikan padanya.



“Hello bos! Budak ni tak menipu kita. Bos boleh datang sekarang…hahaha!!!”, ketawa besar mengiringi kata-kata orang suruhan Tiger yang dipanggil Neo itu.



“Mak…dengar tak apa yang Hana dengar? Macam suara beberapa orang lelaki. kat ruang tamu kita ni. Hana dengar jelas abang Am sebut nama Tiger. Apa kita nak buat sekarang?”, Hana semakin cemas.



“Cuba telefon Imran sekali lagi..”, perlahan dan mendatar suara Mak Ton. Seboleh mungkin dia mahu menenangkan Hana walau hakikatnya hati tuanya dapat merasakan sesuatu yang buruk bakal menimpa mereka dua beranak.



Hana pantas mendapatkan telefon bimbitnya dan terus membuat panggilan kepada Haziq. Sekali lagi panggilan tidak berjawab. Hana semakin bimbang. Seraya menekan punat dail semula. Dalam keadaan ini, dia tidak boleh berputus asa. Talian ada, cuma panggilan tidak berjawab. Hana semakin resah gelisah.



“Dia tak jawab mak”



“Kamu telefon polis sekarang!”, Mak Ton memberikan arahan. Kalau tadi dia masih berfikir akan nasib Idzham andai ditangkap polis, kini Mak Ton sudah tidak peduli apa balasan dan hukuman yang akan Idzham hadapi kelak. Yang ada di benaknya saat ini adalah untuk menyelamatkan Hana. Idzham mesti diberi pengajaran!!



            Hana mendail nombor kecemasan 999 untuk melaporkan apa yang terjadi. Belum sempat dia menekan punat ‘call’, tiba-tiba ada panggilan masuk daripada Haziq. Hana menarik nafas lega dan terus menerima panggilan tersebut.



“Assalamualaikum..kenapa Hana telefon abang banyak kali? Maaf, tadi abang berhenti kat Masjid untuk solat Maghrib. Telefon tertinggal dalam kereta. Takkan dah tak sabar nak jumpa abang kot?”, Haziq memulakan bicara tenang.



“Abang Am mengamuk. Doc dekat mana sekarang? Abang Am panggil beberapa orang kawan dia datang rumah. Dia ada sebut nama Tiger. Along yang pernah datang ke rumah kami tempoh hari. Hana dan mak sembunyi dalam bilik!”, Hana cemas. Dia tidak tahu dari mana harus dia mulakan ceritanya. Yang penting Haziq mesti datang secepat mungkin menyelamatkan dia dan ibunya.



“Hana dah call polis?”



“Belum doc….”,kata-kata Hana mati di situ apabila mendengar pintu biliknya diketuk kasar. Hampir tercampak telefon dalam genggamannya.



Dum! Dum! Dum!



“Buka pintu ni! Aku nak masuk!”, kedengaran suara Tiger yang garau meminta Hana dan ibunya membuka pintu.



“Doc..tolonglah datang sekarang. Saya rasa Tiger dah sampai!!”, Hana separuh merayu.



“Abang akan call polis. Sementara tu Hana cuba bertenang dan jangan sekali-kali matikan talian telefon ni. Abang datang sekarang!!”, Haziq terus menekan pedal minyak memecut kenderaan agar cepat sampai ke destinasinya. Sambil itu, jemarinya menekan punat ‘hold’ dan terus mendail nombor Inspektor Irwan teman baiknya untuk melaporkan kejadian yang berlaku sekaligus meminta bantuan.



“Dude, do me a favor! Aku perlukan pertolongan kau sekarang!”



“Ok…ok..cuba bawa bertenang. Aku tak faham bantuan yang macam mana kau perlukan ni?”



“Aku nak kau tolong aku sekarang. Adik angkat aku dalam bahaya!”, Haziq agak cemas apabila terdengar jeritan Hana dan ibunya sebentar tadi.



            Kesabaran Tiger semakin menipis apabila permintaannya tidak diendahkan. Ketukan demi ketukan dibuat. Namun, Hana dan ibunya masih diam membatu. Tanpa sabar, Tiger mengarahkan anak-anak buahnya memecahkan pintu kayu tersebut.



Mak Ton dan Hana berdakap erat. Mereka hanya mampu berdoa dan menunggu agar Haziq atau pun pihak polis datang membantu. Manik-manik peluh jelas kelihatan pada dahi Hana. Hana merasa semakin cemas apabila teringatkan amaran yang pernah dihamburkan Tiger kepadanya tempoh hari. Hana bimbang maruahnya akan tergadai di tangan manusia serakah seperti Tiger.



Sementara itu, Haziq telah selesai membuat laporan kepada Inspektor Irwan dan Inspektor Irwan berjanji akan menghantar beberapa orang anggota polis dari balai polis berdekatan untuk membantu sementara dia dan Haziq tiba.



Praaakkk!!



Bunyi kuat kedengaran apabila tombol pintu kayu bilik Hana dipecahkan. Semerta, Hana dan ibunya menjerit ketakutan…



Bersambung…

6 comments:

  1. Replies
    1. Tq sudi baca...chapter 13 dah nak siap..nnt sy update kat sini ye...sabar menanti ye (^_^)

      Delete
  2. Best baca...mmg ikut sejak bab 1 lg...xsbr nk bc next n3....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nnt sy update bab 13..in progress..dah nak siap...terima kasih sbb sudi follow sy drpd awal lagi..teruskan sokongan ye..tq=)

      Delete
  3. apa jadi lepas ni?TAk sabar nak tau;-) jahatnya idzham!Ei..geram pula...cepat sambung ya:-)

    ReplyDelete
  4. Ha'ah...Idzham mmg jahat...sgt pentingkan diri sendiri...sudi la follow en3 seterusnye ye...tq..=)

    ReplyDelete