FOLLOWERS...

Thursday 7 November 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 11)



BAB 11
Hana menggigit jari. Dia buntu apa yang harus dia lakukan. Dia sudah tersalah hantar sms. ‘Macam mana aku nak coverline neh? Idea…idea…aku kena seru idea bernas sekarang juga. Apa alasan yang logik aku nak bagi ni? Terasa seperti orang kurang siuman pula bercakap seorang diri. Hana membebel sendirian.


Dia berjalan mundar mandir ke kiri ke kanan mencari idea. Malu sungguh dirasakan saat ini. Kalau Haziq berada di hadapannya, pasti teruk dia diperli oleh lelaki itu. Dalam kebuntuan tersebut, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada seseorang menelefonnya. Perlahan-lahan dia mengambil telefon bimbit tersebut. Hana menarik nafas lega kerana bukan Haziq yang menelefonnya, tetapi Rusydi. Semerta, punat hijau ditekan untuk menerima panggilan masuk.



“Assalamualaikum Hana. Maaf sayang, saya sibuk sikit tadi. Tak sempat nak angkat call awak”, Rusydi menyusun ayat memulakan bicara.



“It’s ok. Saya faham. Sebab tu saya tunggu awak call saya balik. Awak sihat? Dah makan?”, Hana bertanya khabar. Sudah dua hari mereka tidak menghubungi satu sama lain.



“Saya sihat Alhamdulillah. Sebab tu saya sayang awak sangat-sangat. Awak selalu memahami saya. Saya dah makan tadi dengan Ameer. Awak apa khabar?”, manis ayat yang ditaburkan Rusydi kepada Hana. Jelas sekali dia sedang menipu Hana.



“Saya dah makan tadi dengan mak. Beg pakaian pun saya dah siapkan. Macam mana study? Nanti saya balik sana, bolehla kita study sama-sama”, ujar Hana ceria.   



“Ok. Saya tunggu awak tau sayang. Nak saya jemput awak?”, Rusydi cuba menduga. Wal hal dia sudah punya rancangan untuk menonton wayang dengan Iffa esok.



“Eh, tak payah susah-susah awak. Ada orang yang akan jemput saya”, Hana menolak lembut pelawaan Rusydi.



Sedikit tersentak Rusydi dengan jawapan yang diberikan Hana. Hatinya di jentik rasa cemburu. Siapa pula yang akan datang menjemput dan menghantar Hana? Setahunya, Hana tidak begitu rapat dengan abang sulongnya.



“Siapa yang akan datang jemput dan hantar awak, Hana?”, Rusydi inginkan kepastian. Dirinya rasa tercabar apabila ada orang yang sudi ingin mengambil dan menghantar teman wanitanya. Hatinya merasa bimbang andai ada orang yang akan merampas Hana daripadanya.



“Nanti bila dah sampai sana, saya ceritakan pada awak. Ceritanya panjang, kalau saya ceritakan sekarang, mesti berjam-jam baru habis”, balas Hana bersahaja. Baginya, dia tidak menganggap yang Rusydi akan cemburu jika dia mengetahui hal sebenar. Lagipun, Rusydi yang dia kenali  bukanlah cepat membuat kesimpulan awal dan bukan kaki cemburu.



“Awak tak curang dengan saya kan sayang?”, soal Rusydi lagi ragu-ragu dengan jawapan yang Hana berikan. Hakikat sebenarnya, dia bimbang Hana juga akan bertindak seperti dirinya.



“Ish, awak ni. Saya setia dengan awak seorang je. Sejak bila awak jadi polis pencen ni? Suka soal itu dan ini. Tak pernah pun awak macam ni?”, Hana berasa sedikit pelik dengan soalan yang diajukan Rusydi kepadanya.



“Tak mengapalah, nanti dah sampai sini awak ceritakan segalanya pada saya. Tak sabar tunggu awak balik”, ada nada gembira di sebalik bicara yang dituturkan Rusydi.  



“Nanti dah sampai sana, saya beritahu awak”, Hana cuba menyedapkan hati Rusydi.



“Baiklah, saya tunggu awak balik. Bye dear, take care! Assalamualaikum”, Rusydi mematikan perbualan.



“Waalaikummussalam. Jangan nakal-nakal tau! Bye, take care too you too”, Hana mematikan talian sebaik mengakhiri bicaranya.



            Senyuman jelas terukir dibibir Hana sebaik selesai berbicara dengan insan tersayang. Hampir terlupa dia dengan sms yang yang dihantar tanpa sengaja kepada pensyarahnya sebentar tadi. Hatinya rasa berbunga-bunga setelah mendengar suara Rusydi. Terasa segala rasa rindunya kepada jejaka tersebut terubat kini. Hana selau berangan bahawa hubungannya dengan Rusydi akan berakhir ke jinjang pelamin. Maklumlah, umur mereka sudah menginjak 23 tahun. Dia berharap agar Rusydi akan melamarnya untuk dijadikan suri hidup dalam masa setahun dua sahaja lagi. Hana memasang angan-angan tinggi melangit.



            Hana sedikit tersentak apabila telefon dalam genggamannya tiba-tiba berdering. Habis hilang segala angan-angan tinggi melangit yang bermain difikirannya sebentar tadi. Angan-angan naik pelamin dengan Rusydi! Peperiksaan akhir belum habis lagi, ada hati nak kahwin! Hampir terlepas telefon bimbit dalam genggamannya sebaik nama ‘Lecturer Mereng’ terpapar pada skrin. Hana berkira-kira mahu terus menjawab atau tidak. Daam otaknya berlegar-legar mencari idea yang sesuai lagi bernas untuk ‘coverline’. Silap hari bulan dia diejek teruk oleh Haziq sebentar lagi.



“Apa aku nak jawab ni? Aku nak pura-pura tidur je lah..atau pun..buat tak tahu je…buat-buat tak faham ke..tapi..takkan aku nak biarkan je dia kenakan aku nanti?”, Hana merungut sendirian, buntu fikirannya. Keningnya berkerut seribu.



            Telefon bimbitnya berdering buat kali kedua seperti minta diangkat segera. Sedangkan Hana hanya ralit memerhatikan telefon berjenama Samsung berwarna hitam Hitamtersebut, termenung memikirkan alasan. Deringan tersebut terhenti kerana tidak dijawab Hana. Sungguh, fikirannya buntu. Terasa susahnya seperti mahu menjawab soalan esei subjek Neuropharmacology. Silap hari bulan, soalan esei tersebut lagi senang dari mahu menjawab panggilan dari ‘Lecturer Mereng’.



            Telefon bimbit Hana berdering lagi. Ini kai ketiga si pemanggil membuat panggilan. Sepertinya ada hal penting yang ingin disampaikan si pemanggil. Hana tiada pilihan, nampaknya, dia tepaksa juga menjawab panggilan telefon tersebut. Paksa rela! Pasrah tanpa redha!



“Hello…assalamualaikum..”, Hana pura-pura baru tersedar dari tidur yang lena. Jantungnya berdebar hebat menunggu jawapan dari si pemanggil.



“Waalaikummussalam. Ha! Angkat pun. Dah banyak kali abang call tau. Kalau telefon ni boleh bercakap, dah lama dia kata ‘poyo la minah ni’. Apasal lambat angkat call abang? Malu la tu…kan? Kan?”, leter Haziq panjang lebar seolah-olah segala ayat telah disusun rapi sebelumnya.



“Maaflah, saya tidur tadi doc…”, Hana menjawab pendek beserta lakonan menguap panjang yang dibuat-buat supaya lakonannya menjadi.



“Aik, tidur? Tak sampai 15 minit Hana hantar sms kat abang tadi, cepatnya tidur”, Haziq cuba menduga.



“Betul la saya tidur, kalau tak percaya sudahlah! Baik saya sambung tidur balik”, Hana sedikit mengugut.



“Dah lah kantoi nak hantar sms kat boyfriend, terhantar kat abang. Lepas, tu nak coverline cakap tidur pulak”, Haziq ketawa besar sebaik menghabiskan bicaranya. Geli hati betul dia dengan gelagat Hana. Sudah buat salah, tidak mahu mengaku. Ego sungguh!



“Doc jangan nak serkap jarang ye, bila masa pulak saya ada teman lelaki ni?”, Hana masih cuba berdolak dalih. Tak mungkin semudah itu dia mengaku dan menyerah kalah kepada Haziq.



“Owh, kalau macam tu, kiranya sms tu cubaan Hana nak mengorat abang la ye? Saja nak uji sama ada abang ni mudah tergoda ke tidak?”, Haziq masih mengusik adik angkatnya itu. Ketawa Haziq bergema lagi.



“Jangan nak perasan boleh tak? Tak ingin saya nak mengorat doc. Lagipun, umur kita jauh beza. Tak ingin saya bersuamikan orang tua”, Hana membidas kata-kata Haziq. Perasan sungguh ‘Lecturer Mereng’ ni, getus Hana di dalam hati. Kalau ada depan aku ni, dah lama aku sekeh kepala dia!



            Haziq menyambung tawa yang masih bersisa sebaik mendengar jawapan Hana. Lucu sungguh dirasakannya. Memang dia sengaja menelefon Hana sebaik mesyuaratnya tamat. Memeriksa kertas kerja pelajar dan mensyuarat yang panjang sangat meletihkan otaknya. Bercakap dengan Hana boleh menghilangkan tekanan kerja yang dialami sejak pagi tadi. Hana selalu menjadi penyebab dia ketawa dan senyum sendiri.



“Jangan cakap besar, takut suatu hari nanti, orang tua ni jugak lah yang Hana tergila-gilakan! Bak kata orang, makan tak kenyang mandi tak basah tidur pun tak lena tau! Hahaha!”, Haziq masih terus-terusan menyakat Hana.



“Eee..perasan sungguh doc ni. Doc ingat semua lelaki di Malaysia ni dah pupus ke? Ramai lagi tau untuk saya pilih! Melainkan semua lelaki dah jadi gila dan doc satu-satunya lelaki yang waras dalam dunia ni, masa itu barulah saya terpaksa sangat pilih doc”, panjang lebar hujah Hana.



“Owh..macam tu. Tapi yang abang pelik sangat dan lagi memusykilkan, yang bagi sms ber’dear-dear’ dengan abang tadi siapa ye? Entah ibu beruang mana la tu agaknya ye?”, terhambur lagi tawa Haziq sebaik menghabiskan kata-katanya.



Hana terus mematikan talian. Muka Hana merona merah menahan malu dek mendengar kata-kata Haziq yang berbaur sindiran tajam tepat mengenai batang hidungnya. Bidasan kata-kata tersebut umpama pukulan smash tajam yang tidak mampu langsung Hana menangkisnya. Kalau Haziq berada di hadapannya, sudah pasti Hana akan lari laju terjun ke sawah membenamkan mukanya dalam lumpur. Malu sungguh!



Rasakan! Baik aku matikan je talian daripada nak bersoal jawab dengan ‘Lecturer Mereng’ lagi tiga suku ni. Ngomel Hana di dalam hati. Makin sakit hati kalau dilayan. Lama-lama Hana bimbang dia juga akan tersampuk penyakit ‘mereng’ Haziq.



“Hana, mari turun minum petang nak!”, kedengaran suara Mak Ton memanggil namanya dari arah dapur.



“Baik, mak. Hana datang sekarang”, Hana bingkas bangun dari perbaringan. Seraya mencampakkan telefon bimbitnya ke atas tilam dan melangkah menuruni anak tangga untuk ke dapur.



            Belum sampai anak tangga terakhir, Hana terdengar suara seseorang memberi salam. Langkahnya dimatikan. Hana kembali memanjat anak tangga untuk ke ruang anjung rumahnya bagi melihat gerangan si pemberi salam. Siapa pulak yang datang petang-petang macam ni? Hana bercakap sendiri.



“Waalaikummussalam”, Hana menjawab salam yang diberi. Seraya mengintai melalui tingkap untuk mengetahui gerangan orang yang datang ke rumahnya.



“Bukak je la pintu ni. Tak kan dah tak kenal suara aku!”, kasar kata-kata yang dilemparkan Idzham kepadanya.



            Kelam kabut Hana membuka penyelak pintu sebaik mendengar suara Idzham. Dia tidak mahu abang sulungnya itu mengamuk jika dia terlambat membuka pintu. Kepulangan Idzham ke rumah pada Hana ibarat biskut Chipsmore, ‘sekejap ada, sekejap tak ada’. Sejak perginya gemulah abahnya, Idzham makin jarang pulang ke rumah. Rumah itu ibarat tempat persinggahan bagi Idzham. Dia akan pulang bila-bila disukainya. Mak Ton sudah tidak kuasa menasihati anak tirinya itu. Makin dinasihatkan, makin Idzham memberontak dan pelbagai kata-kata kasar akan dihamburkan kepadanya dan Hana.



            Hana menguak pintu perlahan untuk memberi ruang kepada Idzham masuk ke rumah. Dengan wajah yang tidak sabar, Idzham lantas menolak Hana ke tepi bagi memberi ruang untuknya melangkah masuk. Hampir tersungkur Hana disebabkan tolakan Idzham yang agak kuat itu. Idzham mendengus kasar dan menghempaskan diri di atas sofa berdekatan.



Hana membiarkan abang sulungnya berbaring di situ. Dia malas memulakan sebarang bicara apatah lagi bertanyakan khabar Idzham. Hana bimbang, tersilap kata pasti mengundang pergaduhan antara dia dan abangnya itu. Dia sudah sedia maklum dengan perangai panas baran Idzham. Hana kemudian menapak menuju ke dapur untuk minum petang bersama ibunya.



“Apa yang di bisingkan Am tu, Hana?”, ujar Mak Ton dengan nada perlahan. Bimbang di dengari Idzham.



“Biasalah abang Am tu mak, marah Hana lambat bukakan pintu untuk dia”, selamba Hana menjawab. Dia tidak mahu memanjangkan cerita.



“Biarlah dia, mari kita minum. Mak ada buatkan kuih kegemaran Hana, kuih seri muka”, Mak Ton tersenyum sambil menghulurkan sepiring kuih seri muka kepada Hana. Hana menyambut piring kuih tersebut sambil tersenyum.



“Bismillahirrahmanirrahim….”, Hana menyuapkan kuih seri muka tersebut ke mulutnya. Dia mengunyah kuih tersebut perlahan-lahan. Dia mahu menikmati kuih air tangan ibunya sebelum dia pulang ke universiti.



“Mak, Hana risaula nak tinggalkan mak seorang diri bila Hana balik universiti nanti. Hana bimbangkan abang Am tu. Kalau dia buat apa-apa pada mak macam mana?”, ujar Hana tiba-tiba melahirkan kebimbangan yang terbuku di hati.



“Tak apa Hana, jangan di fikirkan sangat. Apa yang Hana kena fikirkan sekarang ini adalah peperiksaan Hana tak lama lagi. Selepas peperiksaan akhir nanti, Hana cuti panjang kan? Bolehlah temankan mak”, Mak Ton cuba menyedapkan hati anaknya. Bagi Mak Ton, andai ada perkara buruk yang berlaku kelak biarlah dia yang tanggung sendiri. Dia tidak mahu Hana terlibat sama jika ada benda yang tak baik berlaku.



“Baiklah mak, yang penting mak jaga diri. Kalau ada apa-apa hal, bagi tahu Hana”, ujar Hana sambil mengukir sebuah senyuman buat ibunya. Dia menghabiskan kuih seri muka yang masih bersisa di tangannya.



Bersambung….






No comments:

Post a Comment