FOLLOWERS...

Tuesday 29 April 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 19)



 Assalamualaikum...Alhamdulillah..eira berjaya siapkan Bab 19...jemput baca n komen taw member2 n semua pembaca yg baik hati....terima kasih eira ucapkan kerana sudi baca n follow...sama ada yang follow secara nyata atau silent reader...sgt2 eira hargai kerana sudi baca karya eira yg x seberapa ni..maaf andai ada terkurang di mana2...eira sentiasa cuba sedaya upaya hasilkan karya yang terbaik untuk memuaskan hati anda semua...luv u all...saranghae!!!

Bab 19

Karl membetulkan kaca mata hitam yang dipakainya. Sebatang rokok yang disisip di celahan jari tangan kanannya disedut dan dilepaskan perlahan.

Come on Tiger, tak kan budak Hana tu pun kau tak boleh handle? Susah sangat ke?”, soal Karl seperti memandang rendah kebolehan Tiger.

Tiger mendengus kecil sebelum menjawab pertanyaan Karl.

“Bukan Hana masalah aku Karl, Zeeq yang buat kacau! Ke mana sahaja budak Hana tu pergi, ada sahaja Zeeq mengekori. Tambah pulak sekarang ni Idzham bagi tahu aku mak Hana yang aku tikam tu dah mati. Silap-silap dah jadi kes polis!”, Tiger beralasan.

Karl tayang senyum sumbing. Seraya menyandarkan tubuhnya ke sofa empuk berwarna coklat tua miliknya. Tempat tersebut sememangnya menjadi tempat kegemaran yang dikhaskan untuknya sebagai pemilik pub tersebut. Orang awam sememangnya tidak dibenarkan duduk di situ.

“Tak payah kau nak susah hati, memang kes kau tu dah tentu-tentu jadi kes polis! Macam tak biasa pulak. Aku rasa, buat masa sekarang ni kau jangan keluar di khalayak ramai. Nanti tak pasal-pasal lagi cepat kau ke dalam. Kau pernah ceritakan pada aku pasal si Idzham tu kan? Inilah masanya kau gunakan dia cukup-cukup. Budak terdesak macam tu akan buat apa sahaja asalkan nyawa dia selamat! Hahaha!”, Karl mengakhiri bicaranya dengan ketawa berdekah-dekah sambil menepuk bahu Tiger beberapa kali.

“Kau tak payah nak ajar aku, memang itu pun yang aku rancangkan! Kalau rancangan aku ni gagal dan si Idzham tu buat hal, aku bunuh dia!”, Tiger mengepalkan penumbuk dan mensasarkan ke arah meja di hadapannya. Bergoyang-goyang meja dan segala benda yang berada di atasnya.
Karl menyambung tawa yang masih bersisa. Bagi Karl, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk dia bertindak. Dia mahu Tiger selesaikan segalanya sendirian. Seandainya Tiger gagal juga mendapatkan Hana, ketika itu barulah dia mengambil alih. Tetapi untuk menunjukkan dirinya yang sebenar di khalayak ramai, ini bukanlah masa yang sesuai. Matlamatnya belum tercapai!

“Bagi aku sedikit masa lagi Karl, aku akan dapatkan Hana dan Idzham”, Tiger menabur janji.

            Tiger menyorotkan pandangan ke arah seorang lelaki yang berjalan laju menghampirinya. Karl pula hanya memandang bersahaja sambil menyedut baki rokok di tangannya. Kemudian, seraya merapatkan pelukannya di pinggang seorang GRO yang menemaninya sejak tadi. Gadis lingkungan awal 20-an itu tersenyum manja dan melentokkan kepalanya di bahu Karl. Bukan senang hendak terpilih menemani bos empunya pub itu. Gadis mentah itu merasakan satu penghormatan besar buat dirinya dipilih untuk menemani Karl sepanjang malam ini.

Lelaki yang berjalan menghampiri Tiger sebentar tadi kelihatan berbisik sesuatu ke telinga Tiger. Sesekali Tiger mengerutkan kening dan menggeleng kepala. Mungkin perbualan mereka terganggu dek bunyi bising musik yang dimainkan DJ serta bunyi hingar suara para pengunjung pub tersebut. Karl sekadar menjadi pemerhati sejak tadi. Tiger kemudiannya mengajak lelaki itu untuk berbincang di luar.

“Apa kau cakap tadi? Polis sedang cari aku?”, Tiger menyoal tidak sabar.

Lelaki yang dipanggil Mat Top itu mengangguk dan mengiakan soalan Tiger. “Betul bos. Haziq dah buat laporan polis semalam”.

“Tak guna! Nampaknya kau memang sengaja bermain api Zeek, kau sengaja nak cari pasal dengan aku!”, Tiger menendang sebuah pasu hiasan yang agak besar yang berada tidak jauh daripadanya untuk melepaskan geram yang bersarang di hatinya kala ini.

Pasu malang itu terhempas ke lantai dan pecah serta-merta. Perlakuan Tiger mengundang perhatian pengunjung pub yang semakin ramai berkunjung ke situ. Ada yang menggeleng kepala, berbisik sesama mereka dan ada pula sekadar menjadi pemerhati. Pengawal terus menghampiri Tiger untuk memeriksa apa yang berlaku.  Mereka sangat mengenali Tiger yang merupakan sahabat baik bos mereka. Tiger memandang semua yang memerhatikannya tanpa berkelip. Api kemarahan jelas dizahirkan pada pandangan mata dan wajahnya saat ini. Panas sungguh hatinya apabila merasakan yang Haziq sengaja mahu mencabarnya. Wajahnya terasa berbahang menahan amarah. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia mencari Haziq sekarang untuk melunaskan dendam lama. Namun, akal warasnya menahan dia dari berbuat demikian. 

“Aku rasa, kau kena sembunyikan diri buat masa ni bos. Info terbaru yang aku dapat, mak budak perempuan tu dah mati. Sekarang dia ada di kampung untuk uruskan pengkebumian orang tua yang kau tikam tu”, ujar Mat Top memberikan informasi terkini berkaitan Hana. 

“Aku tahu, kau tak payah ajar aku! Tau la aku nak buat apa. Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku!”, panas pula telinga Tiger mendengar kata-kata Mat Top yang seperti sengaja menjentik radang hatinya. 

“Maafkan aku bos..sorry…sorry”, Mat Top segera meminta maaf.

“Sudahlah! Aku sudah hantar Idzham ke sana. Lagipun, itu kan rumah dia. Aku nak Idzham culik perempuan tu malam ini jugak!”, senyuman jahat terukir dibibir Tiger. 

Mat Top semerta terdiam. Bimbang andai tersilap kata, buruk padahnya.

 “Kau boleh pergi. Tapi ingat! Cepat cari aku kalau kau ada informasi terbaru!”, arah Tiger kepada Mat Top.

Mat Top menganggukkan kepalanya beberapa kali mendengar kata-kata Tiger. Setelah itu, seraya terus angkat kaki beredar dari situ.

Karl keluar untuk meninjau keadaan kerana dari dalam dia dapat melihat ramai manusia yang berkumpul di pintu masuk pubnya. 

“Masuk la wei, kau nak cari publisiti murahan ke hah?”, Karl mengarahkan Tiger masuk ke pub. Tangannya pula memberi arahan kepada pekerjanya untuk membersihkan sisa-sisa pasu yang pecah bertaburan itu. Dua orang pekerjanya mengangguk tanda mamahami isyarat tangan yang diberikan Karl.

Tiger pula kembali ke dalam pub untuk menenangkan fikiran. Dia mahu ‘minum’ sepuas-puasnya untuk melupakan seketika segala masalah yang bersarang di otaknya.

***************************************
Suasana di ruang tamu tenang. Setenang air muka yang dipamerkan Haziq saat itu. Cuma Hana yang tertanya-tanya di dalam hati apa yang bakal Haziq sampaikan padanya. Haziq menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara. Sesungguhnya, keputusan itu telah lama difikirkannya dengan mengambil kira pelbagai sudut positif dan negatif.

“Abang cadangkan, Hana tinggal dengan abang buat sementara waktu. Pergi dan balik ke kelas abang akan hantar dan jemput”, kedengaran cadangan yang diberikan Haziq lebih menjurus kepada arahan yang perlu Hana patuhi.

Hana termenung seketika memikirkan segala cadangan yang diutarakan Haziq sebentar tadi. Dia perlu masa untuk berfikir dan mencerna tiap patah kata yang dikeluarkan Haziq. Adakah itu jalan yang terbaik ketika ini demi menjaga keselamatannya sehingga para penjenayah itu berjaya ditangkap? Kata-kata  Haziq seolah-olah menari-nari dibenaknya. Otak Hana seakan gagal berfungsi saat itu. 

“Apa yang dimenungkan tu? Hana dengar tak apa yang abang cakap tadi?”, soal Haziq kerana Hana seolah-olah dibuai mimpi.

 “Maaf, doc. Saya rasa, saya tak setuju. Saya nak tinggal di hostel dengan Zana sehingga habis exam. Saya nak jalani hidup saya macam biasa”, Hana cuba membantah.

            Wajah Haziq tenang mendengar bicara Hana. Sememangnya dia telah menduga Hana tidak akan bersetuju dengan cadangannya. Tetapi, Haziq tidak punya pilihan lain. Baginya, dengan cara ini dia dapat menjaga keselamatan Hana daripada Idzham dan Tiger.

“Abang tak setuju! Abang tak akan rasa tenang kalau Hana tidak berada dalam jagaan dan pemerhatian abang. Cuba Hana bayangkan kalau Idzham atau konco-konco Tiger datang cari Hana di hostel. Apa yang Hana akan buat?”, bicara Haziq panjang lebar. Jelas, dia kurang bersetuju dengan cadangan Hana.

            Hana pula mengetap bibir tanda protes. Namun, hati kecilnya mengakui kebenaran kata-kata Haziq sebentar tadi. Cuma Hana masih tidak dapat menerima hakikat yang hidupnya kini telah berubah. Tidak bebas lagi seperti dahulu. Hana umpama burung di dalam sangkar. Semuanya disebabkan abangnya Idzham!

“Tapi, sampai bila saya nak hidup macam ni doc?”, Hana melahirkan kekesalan yang terbuku di dalam hatinya.

“Secara jujurnya abang pun tiada jawapan untuk soalan Hana tu. Berdoalah agar mereka diberkas segera. Hana kena berani dan kuatkan semangat. Abang rasa, buat masa ini Hana kena fokus pada peperiksaan. Cuba buang jauh-jauh segala masalah ini buat seketika”, Haziq sedaya mungkin berusaha untuk meyakinkan Hana.

“Tak semudah itu doc…”, kata-kata Hana tergantung di situ.

            Segala ujian dan cabaran yang dilaluinya dirasakan terlalu menyesakkan dada dan fikiran. Hampir sahaja dia berputus asa selepas pemergian Mak Ton. Tragedi yang berlaku dalam hidupnya terlalu sukar untuk dilupakan begitu sahaja. Semuanya umpama sebuah mimpi ngeri. Dia nyaris diperkosa Tiger, ibunya meninggal dan kini dia diburu untuk melunaskan hutang abangnya Idzham. Hana sedaya mungkin cuba bersabar dan sedang cuba sedaya-upaya menerima ketentuan hidupnya dengan redha. Namun, dia manusia biasa. Tahap keimanan manusia ada pasang dan surutnya. Kadangkala, terdetik juga dibenaknya, mengapa dia yang dipilih untuk menerima dugaan yang terlalu berat ini. Apa yang pasti, sejak kejadian ngeri itu menimpa hidupnya, tidurnya tidak lagi selena dulu. Hana sering sahaja mengalami mimpi buruk. Mimpi  tentang cubaan Tiger memperkosanya dan mimpi ibunya ditikam Tiger. Mimpi itu kerap berulang setiap kali dia mahu melelapkan mata. Terlalu sukar untuk dia melupakan kejadian yang menimpa hidupnya. Mustahil!

“Abang faham Hana. Berat mata abang yang memandang, berat lagi bahu Hana yang memikulnya. Tinggallah dengan abang buat sementara waktu ni. Apa yang penting keselamatan Hana. Apabila keadaan dah kembali pulih, kita cari penyelesaian lain”, Haziq cuba memujuk Hana agar bersetuju dengan cadangannya.

“Masalahnya, takkan kita nak tinggal berdua je?”, Hana masih cuba mencari helah.

“Jangan risau, abang akan panggil Mak Uteh tinggal sekali dengan kita”, Haziq memberikan penyelesaian.

“Mak Uteh?”, soal Hana ingin tahu.

Haziq tersenyum mendengar soalan Hana.

“Dia kerja dengan abang. Mama abang upah dia untuk bersihkan apartment abang. Mama agak cerewet sikit soal kebersihan. Dia tahu abang malas mengemas. So, she has hired somebody to clean up my ‘nest’. Biasanya, Mak Uteh akan datang setiap hujung minggu untuk kemas rumah. Jadi, abang nak ajak dia tinggal dengan kita”, panjang berjela penerangan yang diberikan Haziq kepada Hana. 

Hana terdiam. Dalam hatinya tertanya-tanya, siapa lelaki di hadapannya ini? Secara tiba-tiba terdetik soalan tersebut. Ya, sejak hari pertama dia mengenali lelaki itu sehingga hari ini, dia tidak pernah mengetahui siapa Haziq Imran dan latar belakang pensyarah muda itu. Dan entah kenapa, dia tidak pernah terfikir untuk bertanya emaknya sebelum ini. Untuk bertanya Haziq sekarang, terasa segan pula. Mungkin dia akan mengetahui siapa Haziq tidak lama lagi. Cuma, buat masa ini dia merasa selamat berada di bawah jagaan abang angkatnya itu.

“So, do you agree with my suggestion?”, Haziq bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian kerana Hana hanya mendiamkan diri.

Hana memandang Haziq dan akhirnya dia mengangguk memberi persetujuan.

“Ok, Good! Start to pack all your things and we will go back to Shah Alam after Subuh tomorrow. Don’t forget to tell Mak Uda”, ringkas dan padat arahan yang Haziq berikan kepada Hana.
 
Hana sekadar mengangguk ringkas dan melangkah longlai menuju anak tangga untuk turun ke dapur berjumpa dengan Mak Uda. Sedari tadi Mak Uda berada di dapur membantu mengemaskan segala pinggan mangkuk usai kenduri tahlil arwah ibunya. Hana turut membantu sama sejak tadi. Dia berhenti seketika apabila Haziq mengajaknya berbincang di atas. Hana memerhatikan tingkah-laku Mak Uda. Wanita lewat 40-an itu begitu tekun menyelesaikan kerjanya. Dialah satu-satunya saudara yang Hana ada. Emaknya hanya berdua beradik.

“Mak Uda, kami nak balik Shah Alam selepas subuh esok”, Hana terus mengkhabarkan Mak Uda hasil perbincangannya dengan Haziq sebentar tadi.

“Cepatnya Hana?”, pantas soalan tersebut terpacul dari mulut Mak Udanya.

“Encik Imran tu bimbang andai Abang Am dengan kawan-kawan dia datang sini cari Hana”, jelas Hana ringkas.

“Ikutkan hati Mak Uda ni, Mak Uda memang nak ajak kamu tinggal sekali dengan Mak Uda dan Kak Liza. Tapi ye lah, rumah Mak Uda pun tak ada orang lelaki untuk kita bergantung harap. Abang Yassier kerja di Pontian. Halim pulak kerja di Gombak. Risau juga Mak Uda”, ujar Mak Uda lemah. Wajah Mak Uda jelas mempamerkan rasa bersalah.

Hana mendapatkan Mak Udanya dan memeluk wanita itu erat.

“Jangan bimbang Mak Uda. Hana faham keadaan Mak Uda. Hana tak mahu disebabkan Hana, Mak Uda dan Kak Liza pula jadi korban. Hana dah tak sanggup kehilangan sesiapa lagi. Hana ada Mak Uda je sekarang ni”, Hana memujuk Mak Uda sekaligus berkongsi rasa sedih atas pemergian ibunya.

“Mak Uda sentiasa menyokong mana yang kamu rasakan terbaik, Hana. Kalau kamu perlukan apa-apa, carilah Mak Uda”, Mak Uda meleraikan pelukan perlahan-lahan dan mengucup pipi Hana beberapa kali. Dia telah menganggap anak kakaknya seperti anaknya juga. Dia sendiri melihat Hana membesar di hadapan mata. Tambahan pula, rumah mereka tidaklah terlalu jauh. Dia dan gemulah kakaknya selalu saling ziarah-menziarahi.

“Terima kasih banyak Mak Uda. Hana naik atas dulu ye. Nak mengemas apa yang patut”, ujar Hana sopan.

“Pergilah, nak”, Mak Uda membalas pendek dan menyambung kerjanya yang sudah hampir siap. Tidak perlu tergesa-gesa untuk menyiapkan kerjanya, kerana dia telah mengambil keputusan untuk bermalam di sini menemani Hana dan Imran. 

            Hana melangkah lemah menuju biliknya. Dia terpaksa mengikut arahan Haziq. Haziqlah satu-satunya insan yang boleh dia percayai kini, selain Mak Uda dan Zana. Kalau diikutkan hatinya, dia masih mahu berada di situ dalam sehari dua lagi. Inilah rumah yang menyimpan seribu memori indah bersama gemulah mak dan abahnya. Mengimbau segala kenangan manis satu persatu membuatkan dia merasa tenang dan bahagia.

Tetapi, kata-kata Mak Uda ada benarnya. Berjaya mengabiskan ijazah dan mendapat keputusan cemerlang juga merupakan harapan mak dan abahnya. Hana mesti tunaikan impian tersebut walaupun insan-insan tersayang tiada lagi menemani di sisi untuk melihat kejayaannya kelak. Buat sekian kalinya, Hana menyeka air mata yang mengalir di tubir mata. Semoga roh mak dan abah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh…amin, doa Hana di dalam hati.

**********************************************
            Idzham masih bersembunyi di kawasan belukar tidak jauh dari rumah tersebut. Sejak tadi dia menjadi pengintip rumahnya sendiri. Dia menelefon Zana sekadar mahu mencari kepastian bahawa Hana berada di situ sekaligus membuatkan Zana pulang ke hostel dan memudahkan lagi rancangannya untuk menculik Hana.

“Hello, Tiger! Mana orang yang kau hantar untuk tolong aku tu? Tak Nampak batang hidung pun!”, Idzham menelefon Tiger untuk bertanyakan bantuan yang diminta petang tadi.

Tiger ketawa berdekah-dekah mendengar soalan Idzham.

“Aku dah hantar tiga orang aku ke sana petang tadi, kau jangan risau!”, beritahu Tiger penuh yakin.

“Mestila aku risau, Imran tu bukan calang-calang orangnya!”, Idzham kurang yakin untuk bertindak sendiri. Silap hari bulan, teruk dia dikerjakan Haziq Imran.

            Idzham memandang sekilas jam di telefon bimbitnya, hampir ke angka 10.00 malam. Jemaah masjid berdekatan dan saudara-mara yang menghadiri kenduri tahlil tersebut sudah lama bersurai.

“Suruh mereka jumpa aku kat simpang masuk kampung dalam pukul 11.00 malam. Aku nak serbu rumah tu tengah malam ni jugak!”, bicara Idzham agar Tiger mengetahui segala rancangannya.

“Ye lah, aku tahu”, jawab Tiger ringkas sekaligus mematikan talian. 

**********************************************
            Haziq melangkah ke beranda rumah untuk mengambil angin malam. Entah kenapa, fikirannya runsing dan hatinya berasa tidak enak. Seraya memerhatikan keadaan sekeliling rumah ditengah sawah itu. Angin bertiup perlahan menerpa wajah Haziq. Ketengan dan kedinginan malam itu gagal mengusir pergi perasaan gundah yang menjentik rasa saat ini.

            Haziq merasa ada mata yang memerhatikan gerak-gerinya sedari tadi. Haziq melilaukan pandangan di sekitar rumah tersebut sekali lagi untuk menyedapkan hati. Namun, tiada perkara aneh yang diperhatikan dan dapat dikenalpasti olehnya. Haziq bercadang untuk masuk ke rumah mengerjakan solat hajat sebelum tidur. Sudah menjadi rutin sejak dia belajar di Mesir lagi. Mengerjakan solat hajat sebelum tidur agar hatinya merasa aman dan tenteram. Tidurnya juga bertambah nyenyak.

            Ketika Haziq memusingkan badannya, dia terpandang rumput-rumput di belukar berhampiran rumahnya bergoyang-goyang. Pergerakan rumput-rumput itu tidak senada dengan angin yang bertiup lembut. Haziq dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi, Haziq masih berlagak tenang. Dia tidak mahu ‘tetamu’ tak diundang tersebut dapat melihat riak wajah dan tingkah lakunya. Dia bimbang ‘mereka’ akan terus bertindak tanpa diduga. Seraya melangkah masuk dengan tenang dan menutup perlahan daun pintu.

Doc. Dah dua kali telefon bimbit doc berbunyi. Saya agak, mesti Zana. Mungkin dia dah sampai hostel kot, doc”, duga Hana.

            Haziq mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja kopi di hadapannya. Haziq berwajah tenang menyembunyikan kegusaran yang melanda di hatinya. Dia tidak mahu Hana cepat melatah dalam keadaan ini. Haziq bimbang semangat gadis di hadapannya ini akan semakin rapuh jika menerima tamparan hebat sekali lagi.

“Assalamualaikum, you call I ke tadi Zana?”, Haziq sekadar bertanya untuk memulakan bicara walau sudah tahu ada dua panggilan tidak berjawab daripada pelajarnya itu.

“Ha’ah. Doc dengan Hana okey ke?”, Zana terus bertanya pantas. Nada cemas jelas kedengaran di telinga Haziq.

Yup! We’re okay. Kenapa Zana?”, Haziq menjawab kembali pertanyaan Zana dengan soalan juga.

“Sesampainya saya di sini, saya terus ke pejabat warden hostel untuk bertanyakan mengenai kes pencerobohan tersebut. Tetapi, warden asrama bagi tahu, tiada sebarang kes pencerobohan asrama berlaku. Dia juga maklumkan kepada saya, dia tidak menelefon saya petang tadi”, terang Zana panjang lebar.

Haziq tenang mendengar berita yang disampaikan Zana kepadanya.

You ada check bilik you dan Hana untuk pastikan tiada pencerobohan yang berlaku?”, soal Haziq lagi.

“Saya telah periksa hostel kami. Juga tiada apa-apa yang berlaku seperti yang diberitahu oleh pemanggil misteri tersebut. Malah, nombor telefon tersebut juga tidak dikenali oleh warden asrama di sini. Saya tak sedap hatilah doc…”, Zana menyatakan kebimbangannya.

It’s okay. You bertenang dulu. Kami akan gerak balik Shah Alam malam ni jugak!”, Haziq memberi kata putus.

            Hana yang sedari tadi mencuri dengar perbualan Haziq dan Zana mula merasa tidak sedap hati. Degupan jantungnya bertambah laju. Kelenjar adrenal mula menghantar isyarat merembeskan hormon adrenalin untuk mengeluarkan peluh menandakan Hana mula merasa cemas dan gemuruh.

Hana, pack all you stuffs now. We will go back to Shah Alam tonight. I give you only 3 minutes!”, tegas arahan yang dikeluarkan Haziq.

            Mak Uda yang baru menyelesaikan tugasnya di dapur naik ke atas apabila mendengar kata-kata Haziq. Seraya melangkah pantas ke ruang tamu untuk bertanya apa sebenarnya yang terjadi.

“Kenapa kelam kabut ni Hana?”, soal Mak Uda ingin tahu. Hatinya merasa bimbang dengan keselamatan Hana.

“Kami nak balik Shah Alam malam ni Mak Uda”, beritahu Hana jujur. Dia tidak mahu membuatkan Mak Udanya bimbang.

            Mak Udalah satu-satunya saudara yang boleh Hana percayai dan bergantung harap. Hana tidak tahu samada ayahnya mempunyai saudara lain. Apa yang dia tahu, ayahnya sebatang kara tiada saudara-mara.

“Malam buta ni? Kenapa tak tunggu esok je Hana, Imran?”, soal Mak Uda lagi.

            Hana ligat mengemaskan semua barangnya. Seraya terus menyumbat segala barangan yang penting ke dalam beg pakaiannya. Dia tidak mahu ada yang tertinggal pula nanti dan akan menyusahkan pensyarahnya untuk membawanya kembali ke sini. Mujurlah dia telah mengemaskan lebih separuh barang-barangnya sebelum ini.

“Kami bimbang Idzham akan kembali malam ini juga! Mak Uda ikut kami sekali, saya akan hantarkan Mak Uda balik ke rumah dalam perjalanan nanti”, tutur Haziq sopan.

“Baiklah. Mak Uda ikut je mana yang terbaik”, balas Mak Uda memberi kata putus.

“Dah siap Hana?”, soal Haziq.

Hana sekadar mengangguk.

“Saya rasa, ada orang sedang perhatikan kita. Mak Uda dan Hana turun dulu dan masuk dalam kereta. Saya akan tutup lampu dan pintu. Kita kena cepat”, ada nada bimbang pada bicara Haziq.

 “Jom Hana”, Mak Uda dan Hana berpegangan tangan melangkah keluar dan terus menyumbatkan diri ke dalam kereta.

Haziq menutup lampu dan pintu sepantas mungkin. Seraya terus berlari anak masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin.

Ketika itu, Idzham dan dua lagi konco Tiger keluar dari persembunyian dan berlari menuju ke arah mereka.

Haziq terus menekan pedal minyak dan memecut laju meninggalkan perkarangan rumah.

“Cepat masuk kereta, kita kejar dia orang!”, arah Idzham kepada tiga lagi konco Tiger yang menemaninya.

Bersambung…..

p/s: mcm biasa...jemput bg komen dan klik kotak survey di bwh ye semua...kalau suka...jemputla share dengan kengkawan...=)



Friday 18 April 2014

Bukan Sebuah Janji (Bab 18)

Assalamualaikum dan hello2!! Yeay! Bab 18 in da house....jemput baca n bagi komen semua...eira nak ucapkan terima kasih kepada semua sebab sudi follow e-novel eira dr 1st bab sampai la sekarang...eira syg semua byk2!!!



Bab 18          

Tiger berjalan mundar-mandir. Sejak peristiwa semalam, sukar benar dia menghubungi Idzham. Nampaknya, Idzham sengaja mahu bermain dengan api pada pendapatnya. ‘Adakah Idzham sudah melarikan diri?’ Terdetik soalan tersebut di hati Tiger. Tanpa membuang waktu, Tiger mengeluarkan telefon bimbit dari kocek kanan seluarnya untuk cuba menelefon Idzham sekali lagi. Kali ini cubaannya menghubungi Idzham berhasil. Ada suara kedengaran di hujung talian.

Hello! Kau kat mana Am?”, nada suara yang dilontarkan untuk bertanya kepada Idzham agak tinggi. Seiring kemarahan yang sarat terbuku di dadanya. Kalau Idzham ada dihadapannya, sudah pasti lebam biji mata Idzham dek tumbukan Tiger.

“Aku kat KL ni. Aku cadang nak balik kampung . Mak tiri aku akan dikebumikan hari ini. Aku nak pergi tinjau keadaan Hana”, balas Idzham bersahaja, ini bukan kali pertama dia membuat Tiger naik angin. Telinganya sudah terbiasa menadah suara tengkingan Tiger.

“Aik! Cepatnya kau bertindak?”, tukas Tiger. Idzham yang dikenalinya, umpama pahat dan penukul. Kalau sekali diketuk baru nak buat kerja. Tetapi berlainan kali ini. Belum pun disuruh tahu pula bertindak sendiri. 

“Mestilah, aku tak nak si Imran tu bawa lari Hana lebih jauh”, ada nada sedikit bangga pada kata-kata Idzham.

“Macam mana pulak kau tahu mak dia dah mati?”, soal Tiger lagi inginkan kepastian.

“Malam itu jugak aku terus ke Hospital Teluk Intan untuk mencari Hana. Mestilah dia akan hantar orang tua tu ke hospital terdekat, kan? Tapi, aku tak nampak langsung batang hidung Hana dan Imran kat situ. Aku terus blah sebab aku nampak ada polis di kawasan tu. Tengah hari tadi aku ke sana lagi. Nurse kat situ bagi tahu mak dia dah mati”, Idzham memberi jawapan panjang dan penuh meyakinkan. Dia dan Hana tidak punya ramai saudara mara. Pada firasatnya, besar kemungkinan Hana dan Haziq pulang ke kampung. Lagipun, takkan lah Haziq mahu bawa lari sekali jenazah Mak Ton bersama untuk menyelamatkan Hana dari dijejaki dia dan Tiger. Tak logik!

Tiger ketawa berdekah-dekah. Dia tidak menyangka kadang-kala Idzham mampu berfikir dengan waras. Namun begitu, Tiger tidaklah terlalu yakin dengan kemampuan Idzham kerana dia tidak boleh memandang rendah pada Haziq. Dia tahu, Haziq mampu melakukan lebih dari apa yang dilakukannya pada malam kejadian itu.

“Inilah masa yang sesuai untuk kau culik dia Am! Karl dah naik angin, dia nak budak tu secepat mungkin!”, pesan Tiger tegas. Dia mahu kali ini usaha Idzham berhasil. Tiger pula tidak mahu menonjolkan diri untuk selesaikan segalanya kerana dia tahu, sudah pasti polis kini sedang memburunya atas kematian Mak Ton. Dia mesti menunggu keadaan menjadi reda sedikit untuk bertindak. 

Idzham menyeringai mendengar pesanan Tiger. Dia punya rancangan sendiri, hanya perlu menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Idzham tak mahu mati di tangan Tiger mahupun Karl. Tak mahu!

            Idzham segera mendail nombor telefon Zana sebaik mematikan talian Tiger. Nombor telefon itu diperoleh daripada telefon bimbit Hana yang dicurinya sebelum melarikan diri setelah Mak Ton ditikam. Berdasarkan jumlah panggilan dan pesanan ringkas yang masuk, Idzham tahu pastinya Zana merupakan teman rapat Hana dan sudah tentu Zana akan menghadiri pengkebumian ibu Hana.

“Hello! Ini Cik Zana ke? Cik berada di mana sekarang?”, soal Idzham sebaik Zana menjawab panggilannya. Sebaliknya, Zana tidak terus menjawab kerana dia tidak mengenali nombor telefon pemanggil.

“Maafkan saya, siapa ni?”, Zana menyoal kembali.

“Saya daripada pihak hostel universiti. Saya nak maklumkan berlaku pencerobohan asrama melibatkan hostel Cik dan Cik Hana”, Idzham menyamar sebagai pengurus asrama universiti.

“Bila berlaku encik? Saya dan Hana sekarang berada di Sabak Bernam menguruskan pengkebumian ibunya yang baru meninggal dunia.”, Zana bertanya dengan cemas sekaligus memberitahu lokasi mereka dengan jujur kerana menyangka panggilan itu benar-benar dari pihak universiti.

“Oh, begitu. Saya berharap Cik Zana boleh datang segera, kalau boleh sebelum esok untuk melaporkan kepada pihak polis jika terdapat kehilangan barang berharga milik Cik dan Cik Hana”,  lakonan Idzham penuh meyakinkan. Intonasi suaranya dikawal agar kedengaran tenang dan bersahaja.

 “Baiklah Encik, saya akan pulang ke sana petang ini juga. Terima kasih banyak atas makluman”, Zana bersetuju pulang tanpa berfikir panjang. Dia tidak menyangka langsung bahawa panggilan itu merupakan panggilan palsu. Tambahan pula, hatinya dipagut bimbang kerana kebetulan dia memang menyimpan seutas rantai emas dan cincin pemberian neneknya di dalam laci almari bilik mereka.

“Sama-sama”, Idzham lantas mematikan talian. Dia tidak mahu memanjangkan cerita kerana bimbang akan menjerat dirinya sendiri. Maklumat yang diinginkan sudah berjaya diperoleh dan Idzham terus menuju ke kampung kerana kini dia sudah pasti bahawa Hana membawa pulang jenazah ibunya ke kampung untuk disemadikan di sana. 

            Zana melangkah masuk ke dalam bilik untuk mendapatkan Hana. Hana perlu diberitahu tentang berita tersebut segera. Namun, niat Zana untuk mengkhabarkan berita tersebut semerta dimatikan apabila melihat Hana sedang bersolat. Seraya terus melangkah keluar dari bilik Hana untuk mencari Haziq. Dia berpendapat, pensyarahnya itu perlu tahu hal tersebut memandangkan ianya melibatkan pihak universiti. 

“Kenapa kusut sangat air muka you ni Zana?”, Haziq menyoal apabila melihat Zana nampak sugul ketika berjalan ke arahnya.

Zana melabuhkan punggung tidak jauh dari tempat duduk Haziq.

“Hostel kena pecah masuk. Saya baru mendapat panggilan telefon daripada pengurus hostel sebentar tadi. Pihak universiti berharap kami boleh pulang ke sana segera untuk memeriksa andai ada barang berharga milik kami yang hilang”, Zana menceritakan duduk perkara sebenar.

“Habis tu, you nak balik sana petang ni jugak ke?”

“Cadangnya macam tu lah, doc”

“Hana dah tahu pasal ni?”, Haziq bertanya ingin tahu.

Zana menggeleng perlahan.

“Apa yang saya perlu tahu doc?”, celah Hana yang tiba-tiba muncul dari biliknya.

“Hostel kita kena ceroboh. Aku nak balik Shah Alam petang ni jugak, nak periksa sama ada barang-barang kita ada yang hilang sekaligus nak buat laporan polis”, terang Zana serba sedikit.

“Kau nak tinggalkan aku seorang kat sini ke Zana?”, Hana seperti kurang bersetuju dengan cadangan Zana.

“Bukan macam tu, aku cuma nak periksa sama ada barang kemas pemberian nenek aku kena curi atau tidak. Lagi pun tu kan barang pusaka. Aku risau ni. Aku janji, selepas segalanya selesai, aku terus datang sini”, terang Zana lagi.

“It’s ok Hana. Abang kan ada dengan Hana…janganlah risau”, celah Haziq pula.

Hana pamer wajah cemberut. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia mudah tersinggung dengan perkara-perkara kecil. Dalam keadaan ini, Rusydi pula tiada usaha langsung untuk cuba menghubunginya. Walaupun telefon bimbitnya hilang, Rusydi sepatutnya berusaha menelefon Zana untuk bertanyakan keadaan dirinya. Sungguh dia berasa kecil hati denga tindakan Rusydi. Teman lelakinya itu tiada disaat dia melalui masa-masa sukar sebegini. Orang yang setia disisinya hanyalah seorang lelaki asing yang bernama Haziq Imran.
 
“Jangan la macam tu Hana, aku kena balik ke sana petang ni juga”, Zana berusaha memujuk.

“Kemaskan barang you Zana, I hantarkan sampai stesen bas. Abang harap Hana boleh mula bersiap. Ikut abang hantar Zana”, tegas bunyi arahan Haziq. Dalam keadaan ini, Haziq perlu bertindak tegas. Bukan kerana dia tidak kasihankan Hana yang baru kehilangan ibu tercinta, tetapi Hana perlu rasional dengan keadaan Zana. Dia tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Zana bingkas bangun mendengar arahan pensyarahnya manakala Hana hanya diam membisu tidak berganjak walau seinci dari kedudukan asalnya.

“Suka sangatla tayang muka ibu beruang merajuk tu? Bersiap cepat, kalau tak..”

“Kalau tak apa doc? Suka hati saya la!”, Hana memotong bicara Haziq.

Haziq tersenyum. Dia sedar, Hana sedang berkecil hati dengan tindakannya.

“Kalau tak, abang terus je dukung Hana masuk kereta. Jangan ingat abang tak mampu buat macam tu”, Haziq sedikit mengugut. Sekadar mengusik untuk mengelakkan Hana berkecil hati dengannya.

“Doc ingat saya ni budak kecil ke? Suka suki je nak dukung saya?”, Hana mula naik angin.

“Tak adalah, saya tak kata awak budak kecil. Saya kan kata awak ibu beruang tadi…ibu beruang yang akan berubah jadi ibu singa sekejap je lagi”, ujar Haziq sambil tayang muka serius yang dibuat-buat.

Hana melangkah ke bilik dengan menghadiahkan jelingan tajam pada Haziq. Dia malas bertikam lidah. Bimbang juga dia kalau pensyarah ‘mereng’ tersebut betul-betul mendukungnya ke kereta. Lagipun, Haziq memang pernah mendukungnya. Bukan sekali, tapi sudah dua kali. Jadi, sebelum Haziq buat kerja gila, lebih baik Hana angkat kaki pergi bersiap.

“Tau takut...”, ujar Haziq sambil tersenyum kecil ke arah Hana.

****************************
           
           Ari melabuhkan punggungnya bersebelahan Hajah Halimah. Sudah hampir dua minggu dia pulang ke Malaysia setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang perundangan di Universiti Monash, Australia. Hingga  kini dia masih belum berhasrat ingin mencari kerja. Sengaja mahu berehat dan menenangkan fikiran. Apa yang pasti, Ari punya misi yang belum selesai. Misi mencari bekas suami kakaknya seperti yang diceritakan oleh kakaknya Qistina Farwizah dalam warkah email terakhir yang dikirimkan kepadanya sebelum kakaknya itu menyahut panggilan ilahi. Dia berharap sangat dapat bersua muka dengan abang iparnya itu kerana sejak kakaknya berkahwin dia belum pernah bersua muka dengan Haziq walaupun sekali. Dia tahu, pastinya umi dan babah masih menyimpan alamat rumah Haziq. Hal ini akan memudahkan pencarian ‘jejak kasih’nya kelak.

“Jadi ke Ari pergi ke Kuala Lumpur hujung minggu ini?” soal Hajah Halimah sebaik anak daranya itu mengambil tempat bersebelahan dengannya.

“Mestilah jadi Ummi, Ari teringin sangat nak jumpa abang ipar Ari. Sebelum ini Ari cuma tengok dekat Fb Kak Izah je. Nak tahu juga, macam mana orangnya”, Farihah memberi jawapan yang agak panjang kepada Umminya.

“Babah dah tahu?’, soal Hajah Halimah lagi.

Farihah mengetap bibir dan menggeleng laju.

“Kenapa tak bagi tahu babah? Nanti dia ingat Ari ketepikan dia pulak. Alamatnya, tak pasal-pasal babah tak izinkan Ari ke sana jumpa Haziq”, ummi mengingatkan.

Hajjah Halimah tahu, Ari memang teringin benar berjumpa dengan abang iparnya. Mereka belum pernah bersua muka walaupun sekali kerana Qistina Farwizah berkahwin ketika masih belajar di Mesir. Manakala Farihah pula di Australia. Sehinggakan, dia tidak sempat bertemu kakaknya buat kali terakhir sebelum kakaknya menghembuskan nafas terakhir. Mereka hanya sempat berhubung melalui internet. Apabila Qistina Farwizah dikebumikan, sekali lagi dia tidak dapat hadir kerana menduduki peperiksaan akhir tahun pertama ketika itu. Sehingga kini, Farihah masih memendam rasa kesal jauh di sudut hatinya.

Farihah meraih tangan umminya, lalu  tangan itu dicium beberapa kali. Kemudian kepalanya dilentokkan di bahu Hajjah Halimah.

“Jangan bimbang ye ummi, sekejap lagi bila babah balik kerja Ari bagi tahu babah”, Ari memberi jawapan bersahaja sambil memaniskan muka memandang umminya.

Hajjah Halimah sekadar menggelengkan kepala dan menepuk lembut tangan Farihah setelah mendengar jawapan anaknya itu.

“Ummi, abang Haz tu orangnya macam mana?”, Ari bertanya ingin tahu.

“Seorang yang pandai menghormati orang tua, berpendidikan tinggi. Ilmu agamanya pun boleh tahan. Babah berkenan sangat ketika kali pertama bersua muka dengan dia. Mungkin sebab itulah arwah kakak kamu jatuh hati pada dia. Keluarganya dari golongan  berada. Tetapi dia seorang yang cukup sederhana. Nak buat macam mana, jodoh dia dengan kakak kamu tak panjang...”, kata-kata Hajjah Halimah terhenti di situ. Air hangat mula menitis dari tubir matanya. Sungguh, dia merindui Qistina Farwizah. Hati ibu mana yang tidak luluh saat menghantar anaknya sendiri ke tempat persemadian yang kekal abadi.

Ari mengesat air mata Umminya. Lantas memeluk erat wanita berusia lewat 50-an itu.

“Haziq seorang lelaki yang sangat baik. Walaupun sudah 3 tahun kakak kamu pergi, tetapi sehingga hari ini Haziq masih bertanyakan khabar Ummi dan Babah. Ada masa dia akan datang sini ziarah kami. Setiap bulan pula dia tidak pernah lupa mengirimkan duit kepada kami. Dia dah anggap Ummi dan Babah macam ibu dan ayahnya sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini dia agak sibuk katanya. Rasanya, sudah lebih sebulan juga dia tidak ke mari”, Hajah Halimah menyambung.

“Sebab tulah Ari teringin sangat nak berjumpa dengan dia. Kak Izah pun banyak bercerita pasal dia pada Ari”, Farihah menambah.

Hajah Halimah bingkas bangun dan melangkah menuju meja telefon, seraya kemudian menyelak–nyelak helaian  buku telefon sambil mencatat sesuatu di atas sekeping nota. Setelah itu, dia menghulurkan kepada Farihah.

“Hah, ini alamat dan nombor telefon abang Haz kamu. Jangan lupa simpan dalam telefon bimbit tu”, Hajah Halimah sempat berpesan sebelum menghilang ke dapur.

Farihah menyambut huluran tersebut dan membaca sekilas alamat yang tertera.

“Ari akan cuba realisasikan permintaan akak” janji Farihah di dalam hati.

“Ummi, abang Haziq tu handsome tak?”, Farihah melaung ke arah umminya di dapur.

“Sudah, jangan nak macam-macam!”, sempat ummi membalas kata-katanya.

            Farihah tersenyum simpul. Seraya mengubah kedudukannya daripada duduk, kini dia berbaring di atas sofa. Nota kecil pemberian umminya tidak dilepaskan. Telefon bimbit di atas meja kopi dicapainya dan dia mula menaip untuk menyimpan alamat dan nombor telefon Haziq ke dalam telefon bimbitnya. ‘Ari akan cuba realisasikan permintaan akak’. Janji Farihah di dalam hati.

Bersambung.... (^_^)

p/s: Mcm biasa, jemput bg komen sepatah dua ye buat pembaca2 yg eira sayangi semua...ataupun, just klik kotak survey kat bwh...utk eira tingkatkan lagi mutu penulisan di masa-masa akan dtg...tq semua..luv u =)