FOLLOWERS...

Saturday 31 August 2013

Bukan Sebuah Janji (Bab 9)


BAB 9




“Astaghfirullahal A’zim…macam mana boleh jadi macam ni mak? Haziq melihat ada darah yang keluar dari luka Mak Ton. Luka tersebut tidaklah besar tetapi Mak Ton seperti sedang menahan sakit yang amat sangat.  



“Tadi, semasa mak nak ambil serai belakang rumah ni, tiba-tiba ada seekor lipan bara yang keluar daripada rumpun serai. Apalagi, terus diketiknya kaki mak ni. Mak cuba jalan sampai rumah, tapi rasanya dah tak tahan sangat. Sakitnya berdenyut-denyut”, terang Mak Ton.



“Kita ke klinik ye mak. Risau pulak Im kalau bisa dia meresap jauh lagi. Takut melarat sampai demam nanti”, Haziq menyuarakan kebimbangan. Lantas seraya memapah Mak Ton untuk bangun dan dipimpinnya wanita pertengahan 60-an itu untuk duduk di kerusi meja makan tidak jauh dari situ.



            Hana tiba di muka pintu dalam keadaan cemas. Raut wajahnya jelas menunjukkan kebimbangan andai perkara buruk yang terjadi kepada ibunya. Hanya ibunya tempat dia bergantung kini setelah perginya gemulah abah. Dia tidak dapat membayangkan hidup yang akan dilalui tanpa Mak Ton. Sungguh dia tak sanggup!



“Kaki mak kena gigit lipan bara, bersiap sekarang Hana, bawa apa yang patut. Kita hantar mak pergi klinik”, arah Haziq kepada Hana.



            Hana mengangguk dan seperti lembu dicucuk hidung, dia hanya menurut arahan Haziq tanpa mengeluarkan sepatah kata. Hana menapak pantas menaiki anak tangga untuk mengambil tudung dan beg tangan anyaman mengkuang ibunya. Itu merupakan beg tangan kesayangan ibu yang dianyam sendiri oleh arwah abahnya. Dia terus terlupa dengan kakinya yang masih terasa sakit. Apa yang ada difikirannya saat ini adalah untuk menyelamatkan Mak Ton.



“Hana bawa semua barang-barang mak masuk kereta dulu, biar abang yang papah mak ke kereta”, Haziq memaut bahu Mak Ton untuk membantu ibu angkatnya berdiri. Kaki kanan Mak Ton mulai membengkak. Mak Ton tidak dapat berdiri dengan stabil.



            Setelah berjaya memapah Mak Ton untuk masuk ke kereta, Haziq terus menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari halaman rumah di tepi sawah itu. Haziq memecut keretanya laju agar cepat sampai ke klinik berdekatan. Seingatnya, klinik berdekatan adalah di Pekan Sg. Besar. Abah pernah menghantarnya ke situ untuk mencuci lukanya dahulu.



“Sabar ye mak, kejap lagi kita sampai”, ujar Hana sambil memeluk ibunya. Air mata mengalir kerana terlalu bimbangkan keselamatan Mak Ton.



“Jangan bimbang Hana, mak masih boleh bertahan. Lagipun, mak tak menangis pun, yang kamu beria-ia menangis ni kenapa nak?”, Mak Ton cuba menenangkan Hana. Sepatutnya, Mak Ton yang lebih bimbang kerana dia yang mengalami kesakitan tersebut, ini tidak, Hana pula yang sampai mengeluarkan air mata. Manja sungguh Hana dengan ibunya.



“Betul tu mak, patutnya Si Hana ni yang tenangkan mak, bukannya menambah beban mak pulak yang kena pujuk dia”, Haziq mengiakan kata-kata ibu angkatnya.



“Hana bimbangkan mak, Hana sayang mak. Yang Dr. tu lebih sudu dari kuah kenapa?”, ujar Hana tidak puas hati sambil mencebik bibirnya ke arah Haziq.



“Eh, siapa pulak yang lebih sudu dari kuah ni? Bukan Hana ke?”, Haziq masih mengusik.



“Sudah tu, dah sampai klinik dah pun. Jangan kerana mak, kamu berdua pula yang bergaduh”, Mak Ton tidak mahu memanjangkan cerita memandangkan mereka sudah tiba di hadapan klinik.

            Haziq memakirkan kereta di ruangan tempat letak kereta yang kebetulan kosong di betul-betul berhadapan klinik tersebut. Seraya terus keluar untuk memapah Mak Ton masuk ke klinik. Mak Ton berjalan terhincut-hincut menahan sakit. Mungkin bisa lipan bara itu telah meresap ke seluruh tapak kakinya. Sementara, Hana terus ke kaunter pendaftaran untuk mendaftarkan nama Mak Ton. Sekitar 10 minit kemudian nama Mak Ton dipanggil. Mereka tidak menunggu lama kerana sememangnya orang tidak ramai ketika itu. Haziq memapah Mak Ton masuk ke ruangan doktor dibontoti oleh Hana dari belakang.



****************************************************************************************************

“Mak…ooo mak!”, Idzham memanjat anak tangga sambil memanggil Mak Ton.

Panggilannya tidak bersahut. Idzham melangkah pula ke bilik untuk memeriksa andai Mak Ton ada di dalam bilik. Tetapi kelibat Mak Ton tetap juga tidak kelihatan. Kemudian Idzham menjenguk pula ke dapur dan di belakang rumah, juga tidak kelihatan. Dia mulai naik darah apabila tiada seorang pun yang berada di rumah. Bukan sahaja Mak Ton, Hana juga tidak kelihatan.

“Ke mana saja la orang tua ni? Si Hana pun tak ada di rumah!”, Idzham merungut sendirian.

Geram benar hatinya apabila mereka berdua tiada di saat dia memerlukan. Tubuh badannya semakin sakit dek kesan lebam dipukul oleh konco-konco Tiger semalam. Idzham lantas berbaring di atas sofa di ruang tamu. Sakit benar perut dirasakannya. Senak sehingga ke seluruh badan. Seraya meraba-raba perutnya yang sakit. Terasa perut yang senak itu mulai berkeroncong dan minta diisi segera. Sejak malam tadi dia tidak menjamah apa-apa makanan. Setelah dipukul oleh Tiger semalam, dia pengsan dan apabila dia sedarkan diri, matahari telah terbit. Dengan bersusah payah dia menelefon Aman satu-satunya teman yang dia percaya untuk menghantarnya pulang.

Idzham mengumpul segala kudrat yang ada untuk bangun menuju ke dapur. Perutnya mulai pedih menahan lapar. Kalau Mak Ton atau Hana ada, tidak perlu dia bersusah payah begini. Pasti mereka akan menghantar makanan kepadanya dan merawat segala luka yang dialaminya. Idzham menarik nafas beberapa kali menahan sakit.

“Ke mana la diorang berdua ni pergi? Menyusahkan orang saja. Tak reti-reti nak duduk kat rumah ke? Korang balik nanti, tau la nasib korang!”, Idzham masih membebel sendirian melampiaskan amarahnya.

            Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga untuk ke dapur. Seraya menyelak tudung saji untuk melihat apa yang ada untuk dijamah. Nasi goreng sejuk di dalam mangkuk masih berbaki separuh. Manakala air kopi masih di paras suku teko. Idzham terus mencapai teko kopi dan menghirup rakus air kopi tersebut tanpa menuangkannya terlebih dahulu ke dalam cawan. Seraya melabuhkan punggung di atas kerusi di hadapannya.

Lantas, Idzham mencapai mangkuk nasi goreng tersebut dan menjamahnya menggunakan senduk yang ada. Dia malas untuk menapak ke rak pinggan mangkuk untuk mengambil sudu dan pinggan. Idzham makan dengan lahapnya seperti sudah berhari-hari tidak makan. Kemudian, dia sendawa beberapa kali menandakan kekenyangan.

“Sampai sekarang dua beranak ni tak balik-balik lagi. Ingat aku ni tunggul kayu ke nak tunggu diaorang?”, Idzham masih berbicara sendirian memarahi Hana dan Mak Ton.

            Dengan lemah longlai, Idzham bangkit untuk menapak ke biliknya. Dia perlu berehat untuk menyegarkan kembali badannya. Sakit-sakit badan dan sengal-sengal kian terasa menusuk ke tulangnya. Teruk dia dipukul tanpa belas kasihan oleh konco-konco Tiger semalam. Nasib baiklah Tiger melepaskannya, jika tidak, pasti nyawanya sudah melayang begitu sahaja.

            Idzham melambungkan badan di atas tilam miliknya. Tilam usang itu hampir berusia 20 tahun. Rasanya tidaklah seempuk dulu, tapi masih berada dalam keadaan elok dan boleh digunakan. Idzham cuba melelapkan matanya. Namun gagal. Kesakitan seluruh tubuhnya begitu perit. Ditambah pula syarat yang Tiger berikan semalam cukup membuat sakit kepala yang dialaminya kian terasa perit. Permintaan tersebut sentiasa berlegar-legar di mindanya. Sangat memeningkan kepala. Dia buntu. Apakah yang harus dia lakukan untuk memenuhi permintaan Tiger yang satu itu?

****************************************************************************************************

            Zana berjalan laju menuju ke kafetaria universiti. Pada mulanya dia bercadang ingin mengulangkaji pelajarannya di perpustakaan, namun niatnya ditangguhkan apabila terpandang kelibat Rusydi bersama seorang perempuan yang berjalan berdua-duaan melewati pintu perpustakaan. Rusydi tidak menyedari kehadiran Zana kerana ketika itu Zana sedang meletakkan beg galasnya di locker yang disediakan di sebelah pintu perpustakaan tersebut.



            Zana berasa curiga dengan apa yang dilihat di depan matanya. Adakah Rusydi curang dengan Hana? Siapa perempuan yang berjalan berdua-duaan dengan Rusydi tersebut. Soalan demi soa;an menerjah masuk kotak fikirannya. ‘There’s something fishy happens’. Zana berbisik sendirian. Dia tidak mahu membuat sebarang spekulasi tidak berasas selagi dia tidak mendapat sebarang bukti. Zana mendapat satu idea nakal, seraya mengeluarkan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar mereka berdua bagi menjadi bukti untuk ditunjukkan kepada Hana sekembalinya Hana esok.



            Rusydi dan Iffa mengambil tempat duduk berdekatan sebuah pasu besar yang agak tersembunyi. Rimbunan dedaun pokok hiasan yang ditanam dalam pasu tersebut membuatkan kawasan tersebut agak tersorok. Sengaja Rusydi memilih tempat duduk tersebut kerana bimbang dilihat oleh kawan-kawan yang mengenali Hana. Sayangnya, mereka berdua masih tidak menyedari yang tindak tanduk mereka diperhatikan oleh Zana. Zana memasuki kafeteria dan mengambil tempat duduk yang agak jauh daripada Rusydi dan Iffa. Dia tidak mahu mereka berdua menyedari kehadirannya di situ.



            Setelah meletakkan buku, fail dan beg galasnya, Rusydi melangkah ke kaunter untuk memesan makanan dan minuman. Ketika itu Zana buat-buat membaca majalah yang dibawanya. Selesai memesan makanan dan minuman, Rusydi kembali ke tempat duduknya. Zana tidak memesan sebarang makanan dan minuman, sekadar meneguk air mineral yang dibawanya sebagai bekalan. Dia tidak mahu hilang fokus jika dia juga memesan makanan dan asyik menikmati makanannya. Beberapa hari selepas Hana pulang ke kampung, dia ada mendengar gossip yang Rusydi ada teman baru. Tetapi dia tidak mahu percaya bulat-bulat khabar angin tersebut kerana dia telah lama mengenal Rusydi. Sejak dia dan Hana di tahun pertama lagi. Seandainya Rusydi nak buat hal, sejak dulu lagi dia telah melakukannya. Tapi tidak pernah sekalipun Rusydi menduakan sahabat baiknya, Hana. Namun, apa yang berlaku di hadapannya kini membuat dia semakin percaya dengan gossip yang didengarinya.



            Zana masih di situ memerhatikan pasangan dua sejoli itu mula menjamah makanan yang dipesan sebentar tadi. Lagak Zana seperti seorang PI amature yang sedang menyelesaikan satu kes berprofail tinggi! Rusydi dan Iffa pula menjamah makanan di hadapan mereka dengan berselera sekali. Sesekali Rusydi menyuapkan Iffa makanannya. Begitu juga Iffa. Lagak perbualan mereka mesra sekali. Seperti dunia ini mereka yang punya. Zana terkejut dengan situasi tersebut. Sah! Mereka berpasangan. Kalau tidak mana mungkin makan bersuap-suapan begitu. Zana berkata-kata di dalam hati. Merpati sejoli itu tidak menyedari langsung yang aksi mereka dirakam oleh telefon bimbit Zana. Macam paparazzi!



            Setelah berpuas hati dengan hasil rakamannya, Zana perlahan-lahan beredar dari situ agar tidak dilihat oleh Rusydi. Dia tidak mahu berlama-lama di situ, makin diperhatikan, makin sakit pula hatinya melihat wayang sebabak yang ditayangkan di depan matanya. Bukan dia ingin menyibuk hal Rusydi dan Hana. Tetapi, baginya insan sebaik dan sesetia Hana tidak layak untuk disakiti oleh lelaki seperti Rusydi. Pasti hati Hana akan teluka dengan perbuatan Rusydi. Zana kasihankan sahabat baiknya itu. Hana terpaksa pulang ke kampung kerana cedera akibat insiden tempoh hari. Sedangkan Rusydi berfoya-foya di belakang Hana. Dia selaku kawan baik Hana pun merasa seperti dikhianati, apatah lagi si empunya badan. Zana mengetap bibirnya menahan marah sambil melangkah menuju ke perpustakaan.



****************************************************************************************************

            Haziq membelok keretanya masuk ke halaman rumah Hana. Syukurlah tiada apa yang berlaku kepada Mak Ton. Doktor telah memberikan suntikan vaksin untuk meneutralkan bisa lipan bara itu serta membekalkan beberapa jenis ubat makan dan ubat sapu. Hana pula tidak serisau sebelumnya sebaik doktor memberitahu bahawa kecederaan yang dialami oleh Mak Ton tidaklah begitu membimbangkan kerana segera dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.



“Selepas Im hantar mak dan Hana, Im akan terus bertolak balik. Lagipun, Im tak nak lewat sampai Shah Alam”, ujar Haziq sebaik mematikan enjin keretanya.



“Im dah nak balik? Rasa baru je mak jumpa Im. Tak puas berborak lagi, Im dah nak balik?”, Mak Ton melahirkan rasa sedih.



“Jangan macam tu mak, kalau tak ada apa-apa hal, memang Im berhajat nak tidur sini. Tetapi ada beberapa perkara yang perlu Im selesaikan. Lagipun, esok Im kerja”, terang Haziq berhati-hati tanpa mahu melukakan hati ibu angkatnya.



“Bila lagi kamu nak datang nak?”, Mak Ton masih berharap Haziq akan kembali.



“Esok, selepas habis pejabat, Im datang lagi. Kan Im nak jemput anak manja mak tu balik Shah Alam? Tak lama lagi kan dia nak menduduki peperiksaan akhir semester. Kalau dia tak hadir peperiksaan subjek yang Im ajar, nanti tak pasal-pasal Im bagi dia kosong”, ujar Imran berseloroh sambil seraya menunjukkan tanda kosong kepada Hana.



Hana mencebik mendengar kata-kata Haziq. Tak habis-habis dengan markah peperiksaan.



“Don’t worry doc, I’ll make sure I get an A in your subject”, balas Hana yakin. Dia tidak mahu dipandang rendah oleh Haziq.



“Ok, if you're able to get an A especially for my subject, I’ll give you a special gift!”, Haziq mencabar Hana.



“Well, I’ll accept your challenge doc”, Hana berkata berani.



Haziq sekadar tersenyum. Dia juga tidak sabar untuk mengetahui sejauh mana pencapaian Hana terutama bagi subjek yang diajarinya.



“Lega mak dengar kamu kata macam tu Im. Mak risau tak dapat jumpa kamu lagi macam arwah abah dulu”, ada nada sebak disebalik kata-kata yang dikeluarkan Mak Ton. Dia akan mudah sebak jika teringatkan gemulah suaminya.



“InsyaAllah saya datang esok mak, tapi saya tak pasti lagi pukul berapa. Kalau saya sampai lewat sikit, mak tak kisah kan? Sebab petang esok saya ada mesyuarat berkenaan peperiksaan pelajar.”, bicara Haziq jujur.



            Mak Ton tersenyum mendengar bicara Haziq. Haziq masih orang yang sama yang pernah dia kenali dulu. Selalu menjaga hati orang yang lebih tua. Semua ibu bapa pasti berkenan untuk mengambil Haziq sebagai menantu dengan ciri-ciri yang ada pada pemuda di hadapannya itu.



Setelah memimpin Mak Ton naik ke rumah, Haziq meminta diri untuk pulang. Haziq menyalami tangan ibu angkatnya sebelum melangkah menuruni anak tangga untuk ke keretanya.



“Terima kasih doc”, Hana sedikit melaung sebelum Haziq menghidupkan enjin keretanya.



            Haziq melemparkan sebuah senyuman dan seraya melambaikan tangan menandakan dia sudah mahu berangkat. Hana dan Mak Ton membalas lambaian Haziq. Dan beberapa ketika kemudian, kereta Haziq hilang dari pandangan mata meninggalkan mereka dua beranak.



Bersambung….