Hana
terjaga dari lena apabila mendengar beberapa kali batukan kecil Haziq. Dia
tidak sedar bila dia tertidur atas kerusi tersebut. Mungkin terlampau penat
menyebabkan dia terlena di situ. Haziq pula tertidur selepas doktor
mengeluarkan peluru yang tertanam di bahu kanannya. Mujurlah Haziq berjaya
diselamatkan walaupun kehilangan agak banyak darah. Dua orang polis ditugaskan
menjaga keselamatan mereka sepanjang malam. Hana menuangkan segelas air kosong kepada
Haziq untuk membasahkan tekak. Haziq terus menyambut gelas tersebut dan meneguk
pantas air yang diberi Hana. Tekaknya dirasakan kering dan terlalu haus.
“Terima kasih Hana.” ucap Haziq pendek.
Seraya menggeliat beberapa kali. Bahu kanannya masih terasa pedih dan sakit. Haziq
bangun dari perbaringannya. Seluruh sendi separuh badannya terasa lenguh-lenguh
dan sengal. Dia dipakaikan anduh oleh jururawat menyebabkan pergerakan tangan
kanannya agak terhad. Apa yang pasti dia belum dibenarkan pulang hari ini oleh
doktor yang merawatnya.
“Saya minta maaf Doc, disebabkan saya Doc
kena tembak”, sayu bicara Hana. Rasa bersalah bersarang di hati sejak semalam
lagi. Namun, baru pagi ini Hana punya kekuatan untuk meluahkannya. Dia
terhutang budi dan nyawa pada Haziq.
Haziq tersenyum bersahaja.
“Jasa abang terlalu kecil kalau nak
dibandingkan jasa abah dan mak pada abang. Jangan pernah ada rasa bersalah
dalam hati Hana. Anggaplah semua ini tanggungjawab seorang abang kepada
adiknya,” balas Haziq dalam nada yang tenang dan penuh rasa tanggungjawab.
Air hangat menitis dari kelopak
mata Hana demi mendengar ucapan ikhlas Haziq. Hana merasa sangat bertuah kerana
dia dipertemukan dengan insan sebaik Haziq Imran. Hana terharu. Dia sendiri
tidak pasti, adakah dia mampu untuk membalas segala pengorbanan Haziq
kepadanya. Dalam hati Hana akui lelaki yang berada di hadapannya ini memiliki
sekeping hati yang sangat mulia walaupun kadangkala usikan Haziq mengundang
marah dan jelingan tajam Hana.
“Ingat pesan abang, Hana kena kuat! Jangan terlalu
mudah menangis. Bukan maksud abang Hana tidak boleh langsung menitiskan air
mata, tetapi jangan tunjuk depan orang terutamanya Idzham, Tiger dan konco-konconya
bahawa Hana seorang perempuan yang lemah dan mudah ditindas,” panjang lebar
nasihat yang diberikan Haziq buat gadis yang telah dianggap adik dihadapannya
ini.
Perlahan-lahan Hana menyeka
air mata yang mengalir di pipi dengan jemarinya. Kata-kata Haziq ada betulnya.
Dia perlu kuat untuk menempuh hidup ini. Hana tidak boleh terlalu bergantung harap
pada sesiapa terutamanya Haziq. Suatu hari nanti, dia perlu berdikari menjalani
hidupnya sendiri. Haziq tidak boleh menemaninya untuk seumur hidup. Hana kena
menerima hakikat itu. Hakikat bahawa abah dan emak yang dikasihi sudah
pergi mengadap Yang Maha Pencipta. Pergi buat selama-lamanya. Ini bukan sebuah
mimpi yang panjang di mana apabila suatu saat nanti dia akan terjaga, semuanya
akan kembali seperti sediakala. Tetapi ini adalah sebuah realiti kehidupan di
mana yang pergi tidak mungkin akan kembali dan yang masih hidup harus
meneruskan kehidupan. Dia mesti terima dan redha dengan segala yang telah
terjadi. Itu ketentuan Yang Maha Esa buat dirinya.
“Kita balik apartment abang bila doktor dah benarkan
abang balik esok,” tambah Haziq lagi.
Hana mengangguk. Walaupun
sebenarnya dia kurang bersetuju dengan cadangan itu sejak awal lagi. Namun
perkara tersebut sudah mereka bincangkan semalam. Dia pula telah terlanjur memberi
kata putus dan bersetuju dengan saranan yang dikemukakan Haziq.
“Saya ke tandas sekejap Doc,” Hana meminta
diri untuk membersihkan wajah dan menyegarkan muka. Terasa mahu mandi, tetapi
berat pula hati untuk meninggalkan Haziq sendirian di bilik tersebut. Hana
berasa bertanggungjawab menjaga Haziq kerana dialah menjadi punca Haziq
ditembak. Pengorbanan Haziq tersebut tidak boleh dipandang mudah oleh Hana.
“Nanti dulu! Dari tadi abang tak nampak pun
Mak Uda. Mak Uda ke mana?” soal Haziq mendadak.
Langkah Hana terhenti. Seraya menoleh ke arah
Haziq.
“Mak Uda dah balik rumah. Salah seorang polis
menghantarnya pulang ke rumah semalam,” balas Hana sambil tangannya memulas tombol
pintu untuk masuk ke tandas.
“Oh, patutlah tak nampak Mak Uda pun bila
terjaga tadi,” sempat Haziq bersuara sebelum Hana hilang disebalik pintu
tandas.
************************
Tok! Tok! Tok!
“Masuk! Duduk!,” keras kedengaran arahan yang
diberikan Datuk Mahfudz kepada anaknya Haiqal ketika Haiqal melangkah masuk ke
biliknya.
Riak wajah Haiqal nampak tenang seperti telah
menjangka reaksi yang akan ditunjukkan papanya.
“Papa tunggu kau semalam macam orang bodoh!
Kenapa tak datang jumpa papa?” Datuk Mahfud memulakan bicara dengan suasana
tegang. Sememangnya dia telah memendam perasaan marah sejak malam tadi lagi.
Mujurlah semalam isteri tercinta meredakan kemarahannya, jika tidak dia sendiri
pun tidak tahu apa akan terjadi.
“Along sampai dari Langkawi petang semalam.
Sebab penat sangat, lepas makan malam Along terus masuk tidur. Ingatkan nak
lelap sekejap je. Lepas tu nak datang jumpa papa, tapi terbabas pulak sampai ke
Subuh. Sorry la, pa.” Haiqal beralasan.
“Alasan… alasan… alasan… itulah yang kamu
tahu!”
“Kenapa papa ni? Along dah bagitahu
betul-betul. Papa nak Along jawab macam mana lagi?” Haiqal mula berasa tidak
puas hati dengan kata-kata papanya.
“Baiklah, papa nak kamu terangkan sekarang
kenapa ada ketirisan hampir satu juta kat tapak projek di Pulau Pinang tu?
Cakap!,” Datuk Mahfudz bersuara tegas namun masih cuba mengawal suasana.
“Mana Along tahu pa. Bukan ke Faruk yang
handle projek tu sekarang? Papa tanyalah dia,” bicara Haiqal ringkas. Jelas dia seperti mahu mengelakkan diri daripada terus-terusan disoal siasat oleh papanya.
“Tapi, ketirisan tu berlaku ketika kamu yang
jaga tapak projek tu. Sebab tu papa tanya kamu. Jangan ingat papa ni bodoh
sangat!” balas Datuk Mahfudz sinis.
Haiqal menghela nafas berat sebelum
berkata-kata.
“Okey, papa beritahu Along penjelasan yang macam
mana yang papa harapkan dan boleh buat papa berpuas hati,” Haiqal mulai bosan.
“Jangan cakap berputar belit dengan papa.
Papa nak tahu, ke mana semua duit tu pergi!” suara Datuk Mahfudz mula meninggi. Kesabarannya seperti dicabar Haiqal.
“Along bukannya anak kesayangan papa kan?
Kalau anak kesayangan papa tu, dah lama papa percaya semua kata-kata dia,”
Haiqal mula berkecil hati kerana papanya tidak mempercayai kata-katanya.
“Hal ni tak ada kaitan dengan adik kamu
Haziq. Tak perlu nak babitkan dia. Bila papa dah bagi kau uruskan semua
projek-projek tu, maksudnya papa percayakan kau. Papa cuma nak kan penjelasan ke
mana hilangnya duit RM 450 000 tu?”, Datuk Mahfudz cuba mengawal suasana yang mulai tegang itu.
“Sebenarnya, projek itu bermasalah… Along
seboleh mungkin tak mahu libatkan papa, Along nak cuba selesaikan sendiri.
Akhirnya, tak sangka pula sampai ke pengetahuan papa,” Haiqal bersuara mendatar
menerangkan satu-persatu apa yang terjadi.
Datuk Mahfudz berfikir sejenak sebelum
memberi kata putus.
“Kenapa Along tak bagi tahu papa awal-awal?
Sudahlah papa telefon tak berangkat, sms tak berbalas. Kalau Along berbincang
dengan papa dan tak mengenepikan papa, kita tidak akan rugi hampir setengah
juta,” Datuk Mahfudz menyuarakan isi hatinya.
“Along tak mahu papa bimbang dan hilang
kepercayaan pada Along. Along nak buktikan yang Along juga boleh diharapkan.”
“Sudahlah, Along dah makan? Apa kata kita
makan tengahari sama-sama. Papa belanja. Kita sambung lagi perbincangan kita ini kemudian,” ujar Datuk Mahfudz sambil tangannya
mencapai telefon bimbit yang berada di atas meja berdekatan dengannya. Datuk
Mahfudz tidak mahu memanjangkan pertengkarannya dengan Haiqal. Namun, tidak
bererti dia dengan semudah itu berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan
Haiqal kepadanya sebentar tadi. Terlalu banyak yang meragukan hatinya. Ya, dia akan siasat sendiri nanti!
Haiqal sekadar menggangguk ringkas dan bangun
dari duduknya untuk mengekori papanya melangkah keluar dari kamar kerja. Namun, terdetik juga di hatinya, kenapa papa tiba-tiba sahaja menghentikan perbincangan mereka. Apa agaknya yang papa fikirkan? Beberapa pertanyaan singgah di kotak fikirannya.
***************
Datin Zahirah menghirup
perlahan teh panas yang disediakan setiausahanya sebentar tadi. Terasa
bersemangat untuk memulakan kerja sebaik teh tersebut mengalir perlahan di
tekaknya seterusnya sampai ke perut. Seperti mendapat satu aura baru dan
pastinya aura positif. Seraya menyemak beberapa dokuman di hadapannya
terutamanya berkaitan kes pembunuhan pelajar di bawah umur tersebut. Pihaknya
masih menanti keputusan ujian makmal forensik berkenaan bukti yang dimaklumkan
pembantunya Syahrul tempoh hari. Kes kali ini agak rumit untuk diselesaikan.
Pembunuh bukan calang-calang orang. Pembunuhannya seolah-olah pembunuhan
terancang. Segala bukti yang diperoleh setakat ini sia-sia. Pembunuh seperti
sengaja mahu melambat-lambatkan siasatan. Tetapi Datin Zahirah tidak mahu
berputus asa. Itu bukan salah satu sikapnya. Dia akan mengendalikan kes ini
sehingga selesai. Itulah semangat yang ditanam di dalam hati setiap kali
mengambil sesuatu kes. Dia mesti menyelesaikan sesuatu yang telah dia mulakan.
Dia yakin, sebijak mana pun pembunuh tersebut, pasti dia akan melakukan
kesilapan juga. Lumrah manusia biasa yang memang tidak dapat lari dari
kesilapan sama ada disengajakan atau tidak disengajakan. Dia menantikan saat itu dengan sabar.
Secara tiba-tiba, telefon di
atas mejanya berdering. Perhatian Datin Zahirah sedikit terganggu dengan bunyi
deringan itu. Siapa pula yang membuat panggilan pagi-pagi begini? Seraya
semerta mengangkat gagang telefon tersebut untuk menerima panggilan masuk.
“Assalamualaikum Datin, maaf saya mengganggu
pagi-pagi begini,” bicara pemanggil memulakan perbualan.
“Mak Uteh ke ni? Apa yang boleh saya bantu?”,
soal Datin Zahirah ingin tahu.
“Haziq ada pulang ke rumah semalam? Dia minta
saya tunggu di apartmentnya malam tadi. Katanya dia perlukan sedikit bantuan.
Tetapi, dari malam tadi hingga hari ini dia tidak balik apartment. Menelefon
saya pun tidak. Saya dah cuba telefon dia. Tetapi tidak pula diangkatnya. Bimbang
pula saya Datin,” Mak Uteh menyatakan kebimbangannya.
“Terima kasih Mak Uteh sebab bagitahu saya.
Kejap lagi saya akan cuba telefon dia. Jangan bimbang ya Mak Uteh,” Datin
Zahirah pantas mencadangkan penyelesaian.
“Baiklah Datin. Saya akan menunggu dia di
apartmentnya,” Mak Uteh membalas ringkas.
Talian dimatikan sebaik mereka saling berbalas
salam.
Datin Zahirah menolak
sedikit dokumen di hadapannya. Niat untuk meneruskan kerjanya terbantut.
Terjentik kebimbangan di hati setelah bercakap dengan Mak Uteh sebentar tadi.
Kali terakhir dia berbual di telefon dengan Haziq tiga hari lalu. Seperti biasa
anaknya itu menelefon dan bertanya khabar dia dan papanya. Semerta Datin
Zahirah mengambil telefon bimbitnya di dalam tas tangan berwarna krim di atas
meja bersebelahan dengannya. Nombor Haziq terus didail. Beberapa saat selepas
itu, talian disambungkan.
“Assalamualaikum Haz… anak mama dekat mana
ni?,” soalan tersebut terus terpacul laju dari bibir Datin Zahirah tanpa sempat
mendengar jawapan salam daripada Haziq.
“Waalaikummussalam mama… er… kenapa mama
telefon pagi-pagi ni?” Haziq terus menukar topik perbualan tanpa menjawab
pertanyaan mamanya.
“Biasanya, kalau anak mama seorang ni tukar
topik ada sesuatu yang disembunyikan daripada mama. Jawab soalan mama tu Haz…,”
Datin Zahirah sekadar berteka-teki. Namun, naluri keibuannya kuat mengatakan
ada sesuatu yang disembunyikan Haziq daripadanya.
“Okey.. okey… Haz surrender. Haz kat hospital sekarang ni,” Haziq mengambil keputusan
memberitahu mamanya perkara sebenar. Dia tidak mahu membuatkan mamanya bimbang
dan terus-terusan tertanya-tanya.
“Hospital? Bila Haz masuk hospital? Sakit
apa? Hospital mana? Bagi tahu mama sekarang!” bertalu-talu soalan ditujukan
kepada Haziq tanpa sempat Haziq menjawab satu pun. Kalau peguam tu peguam juga.
Lagak Datin Zahirah seperti menyoal pesalah di kandang saksi.
“Banyaknya soalan mama… Haz nak jawab yang
mana satu dulu ni? Ada pilihan soalan tak ma? Pilih 2 daripada 4 ke? Atau jawab
satu je ma?” Haziq cuba buat lawak untuk meredakan suasana.
“Tiada pilihan jawapan, jawab semua soalam
mama, cepat! Jangan loyar buruk dengan mama,” suara Datin Zahirah kedengaran
serius.
“Haz kat Hospital Teluk Intan ni panjang
ceritanya mama. Nanti bila Haz dah keluar, Haz ceritakan pada mama ya,” ujar
Haziq ringkas.
Jelas. Datin Zahirah tidak menggemari jawapan
yang diberikan Haziq itu.
“Okey, kalau macam tu, ceritakan pada mama
petang nanti. I’ll be there around 3 pm,”
bunyinya tegas dan talian telefon dimatikan sebelum Haziq sempat memberikan
jawapan.
Haziq menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya.
Tanpa disedari, dia melepaskan satu keluhan yang jelas didengari Hana.
“Kenapa mengeluh doc?” Hana menyoal ingin
tahu.
“Mama telefon. Dia nak datang sini petang ni.
Buat masa ini abang tak mahu mama tahu apa yang terjadi pada abang semalam.
Abang akan ceritakan juga pada mama nanti, tapi biarlah abang cari masa yang
sesuai. Jadi, apabila mama datang nanti, jangan ceritakan apa-apa pada mama, boleh
Hana?” pesan Haziq panjang lebar.
Bukan niatnya untuk menipu
atau menyembunyikan masalahnya daripada pengetahuan mama. Tetapi dia harus
mencari masa yang sesuai supaya mama tidak salah faham dengan dirinya.
Maklumlah, dia punya sejarah hitam suatu ketika dulu. Dia tidak mahu lagi
membuatkan mamanya bersedih dan susah hati.
“Jangan bimbang, Doc. Saya akan bagi
kerjasama,” Hana mengangkat tapak tangan seolah-olah berjanji.
Haziq tersenyum kecil.
**************************
“Kau ni memang tak oleh
harap Am! Kat mana budak dua ekor tu sekarang?” Tiger kecewa kerana Idzham
tidak berjaya menculik Hana. Sudahlah begitu, tak pasal-pasal pula pihak polis
menggiatkan pencarian memburunya. Kalau tersalah langkah, alamatnya ke tali
gantunglah dia jawabnya.
“Aku… aku… tak tahu Tiger,”
Idzham menjawab terketar-ketar. Kedua-dua tangannya telah dipegang kuat oleh
dua orang konco Tiger. Idzham telah dibelasah teruk kerana tidak berjaya
menculik Hana dari tangan Haziq.
“Aku memang tak puas hati
dengan kau! Kalau ikutkan hati aku ni, ringan je tangan aku ni nak bunuh kau!”
Tiger masih berang walaupun dia telah membelasah Idzham setengah nyawa.
Idzham
sedaya upaya berusaha untuk bangkit sendiri setelah dua orang suruhan Tiger
melepaskan tangannya atas arahan Tiger. Seluruh tubuhnya terasa lemah dan
sakit. Lutut, sendi dan urat saraf terasa sengal dan pedih. Beberapa kali dia
terjatuh semula dalam cubaannya untuk bangun sendiri. Tiger dan konco-konconya
tidak sedikitpun berasa ehsan belas terhadap keadaan Idzham. Mereka sekadar
melihat Idzham berusaha bangun tanpa ada sedikit pun perasaan untuk membantu.
Ada yang ketawa mengejek dan ada yang memandang sinis. Tiger pula membuang
pandangan ke tempat lain. Sakit hati benar dia melihat wajah Idzham. Tidak
boleh diharap! Tak guna!
Cecair
merah yang mengalir di tepi bibir dan dahi Idzham disapu dengan lengannya.
Terasa pedih amat apabila lengannya mengenai bahagian luka tersebut. Sesekali
Idzham terbatuk-batuk. Dia sudah menjangka habuan yang dia bakal terima kerana
gagal untuk mendapatkan Hana. Sememangnya Haziq tidak boleh dipandang enteng. Dia
bijak dan licik. Idzham tidak menyangka rancangannya semudah itu gagal
disebabkan Haziq. Sebenarnya, Idzham tidaklah mengenali Haziq dengan begitu
rapat semasa Haziq menumpang teduh di rumahnya kira-kira 7 tahun dahulu. Apa
yang Idzham tahu, Tiger dan orang-orangnya seakan-akan telah lama mengenali
Haziq Imran yang mereka gelarkan Zeeq itu. Dia sekadar mengenali Haziq kerana
abah dan ibu tirinya menyelamatkan Haziq dan merawatnya di rumah mereka. Tetapi
berdasarkan tahap kecederaan yang Haziq alami ketika itu dan cacahan tatu ular
tedung yang ada dibadannya, Idzham dapat rasakan yang Haziq bukanlah
calang-calang orangnya. Pastinya dia ada kaitan dengan kumpulan Tiger. Ataupun
mereka telah lama bermusuh. Apa yang pasti, mengapa Tiger begitu benci dan
menyimpan dendam terhadap Haziq, dia sendiri pun kurang jelas. Sehingga kini
Idzham tidak faham bagaimana Haziq Imran yang dulu boleh berubah terlalu drastik.
Daripada seorang yang kurang adab dan kasar menjadi seorang Haziq Imran yang
sanggup berhadapan dengan Tiger dan berkorban melindungi Hana dengan nyawanya
sendiri .
“Aku tak peduli Am! Aku akan
bagi kau satu lagi peluang. Tetapi kali ini kau mesti bertindak pantas!” pesan
Tiger dalam nada keras.
“Tapi…,” Idzham
teragak-agak.
“Tapi apa lagi bodoh? Aku
mahu kau dapatkan dia tak kita apa cara sekali pun! Lepas kita dapatkan Hana
untuk diserahkan kepada Karl, aku nak menghilangkan diri, biar pihak polis tak
dapat tangkap aku!” kata-kata Tiger berupa arahan keras yang mesti Izham
tunaikan.
Idzham senyum sinis
mendengar kata-kata Tiger itu.
“Kau ingat semudah itu ke
nak culik Hana daripada Haziq? Ingat! Kalau aku ke dalam, kau pun akan aku
heret sama! Mahu atau tidak, kau terpaksa melindungi aku daripada pihak polis
sampai semuanya selesai,” Idzham memberanikan diri mengugut Tiger. Akal
tersebut tiba-tiba datang untuk menyelamatkan dirinya.
“Kau cuba ugut aku ke
bedebah? Kurang ajar!” Tiger berang dan terus menghadiahkan satu tumbukan ke
perut Idzham.
Idzham terjelepok mengaduh
menahan kesakitan. Tiba-tiba kedengaran ketawa Idzham sambil diselangi batukan
kuat.
“Bagus jugak kalau kau
anggap macam tu,” Idzham masih berani mencabar kesabaran Tiger. Dia tahu, tidak
semudah itu Tiger akan membunuhnya.
Kata-kata Idzham menambah
sakit hati Tiger. Salah seorang konco Tiger melangkah ke arah Idzham untuk
bertindak. Namun, langkahnya terbantut apabila melihat isyarat tangan yang
diberikan Tiger menegahnya memukul Idzham. Idzham tersenyum sinis kepada orang
suruhan Tiger itu.
“Kau ingat senang ke nak
culik Hana? Polis tentu sedang giatkan rondaan. Lagipun, aku tak tahu di mana
Haziq sembunyikan Hana!” Idzham mengingatkan Tiger.
Sudah berkali-kali dia memberitahu tahu Tiger yang dia
sememangnya tidak tahu di mana Haziq dan Hana sejak kejadian kejar-mengejar tempoh
hari. Dia dan beberapa orang Tiger terus melarikan diri sebaik terlihat sekatan
jalan raya ketika mengejar kereta Haziq. Tambah malang lagi apabila salah
sebuah kereta polis peronda pula cuba mengejar mereka. Mujurlah kereta polis
tersebut berjarak agak jauh dengan kenderaan yang dipandunya dan menyebabkan
dia dan konco Tiger berhasil menyelamatkan diri. Sekembalinya mereka ke tempat
persembunyian Tiger, Idzham telah menduga yang Tiger pasti naik angin apabila
mengetahui yang Haziq sekali lagi berjaya menyelamatkan Hana. Sungguh,
keegoannya untuk menyaingi Haziq menghalang dia daripada menerima hakikat
keadaan kini lebih berpihak kepada Haziq. Tiger bertempik kuat untuk melepaskan
amarahnya, seumpama Pak Belang yang kelaparan mahu menerkam mangsanya.
Aku
tidak akan berputus asa! Kau tunggu balasan kau Zeeq! Azam Tiger di dalam hati.
Kematian adik angkatnya, Lucky 7 tahun dahulu mesti dibela. Tiger melangkah
menghampiri Idzham. Leher baju lelaki itu dicekak dan ditarik rakus mendekat ke
arahnya. Idzham terbatuk-batuk kerana genggaman Tiger mengenai batang
tengkuknya.
“Bagi tahu aku di mana
tempat Hana belajar!” Tiger menyoal kasar.
“Kau sendiri nak culik dia
ke?” Idzham bertanya dalam nada menyindir.
“Jangan banyak bunyi!
Beritahu aku sekarang sebelum kaki aku ni sampai ke muka kau!” keras dan kuat
tengkingan Tiger terhadap Idzham.
Idzham mengecilkan matanya
menahan tengkingan Tiger tersebut.
“Dia… dia… belajar di… Shah
Alam kalau tak silap aku,” Idzham bersuara tersekat-sekat.
“Apa nama universiti dia?”
celah Tiger tidak sabar.
Bersambung…..
best ! bila nak update lagi ? selalu baca cerita ni . tak sabar ><
ReplyDeleteThe Sky: terima kasih sudi singgah n tinggalkan jejak..maaf sbb buat ramai tertunggu-tunggu..sy akan update bab 25 tak lama lg...harap sudi nantikan...terima kasih sekali lagi..=)
DeleteSalam,
ReplyDeleteBoleh saya dapat e-mel penulis?
Terima kasih.
wslm...
DeleteBoleh....tp maaf ye...boleh sy tau nape?
ini email sy...syaeira86@gmail.com...=)
Delete