Bab
20
Datuk
Mahfudz berjalan mundar-mandir di dalam kamar kerjanya. Malam semakin larut,
namun dia masih belum mahu tidur. Segala yang dibuat dirasakan serba tak kena. Gelisah.
Seperti cacing kepanasan. Tetapi bukan panas badan yang dialami saat ini, sebaliknya
lebih menjurus kepada panas hati yang sukar untuk diredakan bahangnya. Sehingga
kini, dia masih menunggu kedatangan anak sulungnya, Haiqal. Datuk Mahfudz telah
menghantar pesanan ringkas agar Haiqal berjumpa dengannya malam ini tepat pukul
9.00 malam. Kini, jam menunjukkan hampir ke angka 11.00 malam. Bayang Haiqal
masih belum kelihatan.
Adakah Haiqal tidak menerima pesanan
ringkas tersebut? Tetapi, jika mesej yang dihantar tidak sampai sudah pasti
penghantaran pending. Namun, matanya jelas membaca perkataan delivered
setelah menghantar mesej tersebut. Datuk Mahfudz memicit-micit kepalanya untuk
meredakan perasaan runsingnya. Itulah salah satu sebab kenapa dia lebih gemar
membuat panggilan terus dibandingkan dengan menghantar pesanan ringkas. Seraya
terpaksa memilih untuk menghantar mesej kerana sudah berkali-kali dia cuba
menghubungi Haiqal, namun panggilannya langsung tidak berjawab.
Haiqal
seakan sengaja mahu menguji kesabarannya. Sengaja mencabar keegoaannya sebagai
ayah merangkap pemilik saham terbesar Jentayu
Holdings. Sejak kebelakangan ini, Haiqal sekeluarga memang jarang sekali
bertandang ke rumahnya. Tambahan pula Datin Zahirah agak sibuk beberapa hari ini
kerana mendapat kes baru berhubung kematian seorang remaja. Lazimnya, anak-anak akan datang ke rumah hanya apabila
mama mereka berada di rumah. Mungkin kerana Datuk Mahfudz selalu sibuk
menyebabkan semua anak-anak lebih rapat dengan mama mereka berbanding dirinya.
Hal itu juga membuatkan Datuk Mahfudz merasa bertuah berkahwin dengan Datin
Zahirah. Seorang wanita hebat yang mampu menyeimbangkan antara kerjaya dan
rumah tangga.
Datuk Mahfudz melangkah keluar dari
bilik kerjanya menuju ke dapur. Seraya mahu membasahkan tekaknya dengan minuman
sejuk sekaligus menyejukkan hatinya yang dipenuhi dengan perasaan marah. Datuk
Mahfudz mahu mencuba petua Datin Zahirah. Isteri kesayangnya itu akan meminum
minuman sejuk setiap kali berasa marah atau untuk meredakan kekusutan fikiran.
Wajah Datuk Mahfudz semerta mengukir
senyuman sebaik terlihat Datin Zahirah ada di dapur. Dia berharap segala
masalah yang dihadapinya mampu disembunyikan daripada pengetahuan isteri
tercinta. Datin Zahirah sedang khusyuk mengacau minuman panas dihadapannya
tanpa menyedari kehadiran Datuk Mahfudz di situ. Perlahan-lahan Datuk Mahfudz
menapak ke arah belakang Datin Zahirah.
Terbit idea nakal mahu mengusik isteri tercinta.
“Hah!”,
Datuk Mahfudz mengejutkan Datin Zahirah daripada belakang. Mug berisi air
coklat panas yang dipegang Datin Zahirah bergoyang dan tertumpah sedikit di
atas meja.
“Terkejut
Zah, tak senonoh abang ni!”, Datin Zahirah menegur manja suaminya. Sememangnya
dia tahu Datuk Mahfudz gemar mengusik dan berjenaka. Itulah perangai yang tidak
pernah berubah sepanjang lebih 30 tahun usia perkahwinan mereka.
“Apa
Zah buat kat dapur malam buta macam ni?”, soal Datuk Mahfudz.
“Zah
tengah menari ballet, abang tak nampak
ke?”, giliran Datin Zahirah memulangkan paku buah keras.
Datuk
Mahfudz ketawa besar mendengar jawapan yang diberikan isterinya.
“Loyar
buruk pulak Zah ni”, bicara Datuk Mahfudz sebaik ketawanya mulai mereda.
“Patutnya
Zah yang tanya abang, apa abang buat kat dapur ni?”, soal Datin Zahirah pula.
“Abang
terasa nak minum minuman sejuk. Nak cuba petua Zah tu. Manalah tahu, lepas
minum boleh rasa mengantuk”, Datuk Mahfudz memberi jawapan ringkas.
“Siapalah
yang buat suami Zah yang kacak dan baik hati ni marah. Biar Zah sekeh-sekeh
kepala dia sampai benjol”, Datin Zahirah masih cuba bergurau.
“Tak
adalah. Saja tekak abang ni tetiba terasa nak minum jus oren”, Datuk Mahfudz
cuba mengelak.
“Dah
berapa tahun kita kahwin bang… Biasanya kalau tak boleh tidur, abang pekena
secawan kopi O. Tiba-tiba malam ni nak minum jus oren pulak?”, Datin Zahirah masih
cuba menerka untuk beroleh jawapan.
Datuk
Mahfudz menghadiahkan senyuman hambar.
“Kalau
Zah tahu, confirm Zah tak akan sekeh
kepala dia punya!”, Datuk Mahfudz seakan mengejek.
Datin
Zahirah menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan-lahan. Seraya
membetulkan duduknya agar terasa lebih selesa.
“Haziq
or Haiqal dear?”, soal Datin Zahirah kemudiannya.
“Haiqal”,
Datuk Mahfudz memberi jawapan pendek malas mahu membuatkan isterinya
terus-terusan berteka-teki.
“Apa
yang dia dah buat?”, Datin Zahirah bertanya ingin tahu.
“Ada
masalah pada projek yang diuruskannya. Berlaku ketirisan dalam jumlah yang
besar. More than half million, dear”, Datuk Mahfudz menceritakan perihal
Haiqal kepada Datin Zahirah. Hatinya merasa sedikit lega apabila meluahkan
segalanya pada isteri tercinta.
“Banyak
tu, bang. Abang dah bincang dengan dia ke?”, Datin Zahirah cuba mencadangkan
penyelesaian.
“Sabar,
bang. Manalah tahu dia juga sedang ada masalah. Mungkin sebab tu dia tak boleh
angkat call abang dan reply sms abang”, seboleh mungkin Datin
Zahirah tidak mahu pertengkaran berlaku antara dua beranak itu.
“Entahlah
Zah, kalau ada masalah kenapa tak beritahu kita. Ini tidak, buat abang
tertunggu-tunggu macam orang bodoh”, rungut Datuk Mahfudz lagi.
Datin
Zahirah menghirup perlahan minuman di dalam mug berwarna merah hati di
hadapannya.
“Karenah
anak-anak bang, kadang-kala kita orang yang lebih tua ni kena banyak bersabar”,
Datin Zahirah masih berusaha memujuk hati suami tercinta. Seraya menghulurkan
segelas jus oren kepada suaminya.
Datuk
Mahfudz menyambut gelas tersebut tanpa bersuara sepatah pun. Diam seperti
sedang memikirkan sesuatu.
****************************
Haziq
menekan pedal minyak melajukan keretanya apabila kenderaan Idzham menghampiri.
Permukaan jalan kampung yang berlopak sana sini menyukarkan lagi pemanduan
Haziq. Tambahan pula lengannya yang luka terkena pisau Tiger baru mula membaik.
Sesekali terasa sengal dan sedikit pedih apabila memusing stering kereta. Idzham
pula lebih arif tentang keadaan jalan di kampungnya. Dia cekap mengelak lopak
dan meredah lekuk-lekak jalan yang bagai telah sebati dengan dirinya. Apa
tidaknya, di sinilah dia bermain dan dibesarkan. Haziq cuba sedaya upaya
menjauhkan jarak mereka agar Idzham tidak dapat memintas keretanya. Dia akan
cuba sehabis mungkin untuk menyelamatkan Hana daripada Idzham dan
kawan-kawannya.
“Doc,
apa kita nak buat ni? Mereka makin hampir!”, Hana semakin cemas. Panik. Jantungnya
berdegup laju. Wajah gerun Tiger yang menyeringai memandang ke arahnya semerta
terbayang di ruang mata. Hana cepat-cepat menekup mata dengan kedua belah tapak
tangannya untuk mengusir jauh wajah itu.
“Bertenang
Hana, tenangkan hati dengan istighfar dan zikrullah. Percaya pada abang… kita
akan selamat. Insyaallah!”, sempat Haziq berpesan tanpa sedikitpun menoleh ke
arah Hana kerana terlalu fokus dengan pemanduannya.
Mak
Uda pula mencapai tangan Hana dan memegang jemari yang semakin sejuk itu dengan
erat. Memberi semangat agar Hana lebih kuat. Nasib baik juga Mak Uda tiada
sakit jantung, jika tidak bimbang juga dia bakal terkena serangan jantung
menghadapi keadaan yang cukup mencemaskan ini.
Kereta
Haziq hampir tiba di simpang untuk ke Sabak Bernam. Namun dalam suasana malam
yang kelam dan ditambah pula dengan penglihatan yang terhad dek tiada lampu
jalan di sepanjang jalan tersebut, Haziq masih dapat melihat dengan jelas dari
kejauhan sebuah kereta menghadang laluan mereka untuk ke Sabak Bernam. Pastinya
kenderaan tersebut milik anak buah Tiger, duga Haziq di dalam hati. Haziq
meninggikan lampu keretanya sambil otaknya berfikir ligat bagaimana untuk
mengelak daripada kenderaan di hadapannya sekaligus menyelamatkan Hana daripada
tertangkap. Seraya melilaukan pandangan ke kiri dan kanan andai ada jalan
alternatif buat mereka untuk menyelamatkan diri. Namun jalan yang ada hanya
satu. Di kiri dan kanan jalan hanyalah sawah padi yang terbentang luas. Tidak
mungkin mereka dapat meredah lumpur sawah padi untuk melarikan diri. Silap hari
bulan, keretanya pula akan tersekat di dalam lumpur sawah padi itu.
“Mereka
cuba menghalang jalan kita Mak Uda. Mak Uda tahu tak jalan lain yang selamat
untuk kita lalui? Mungkin ada jalan singkat untuk ke balai polis terdekat?”,
Haziq terus bertanya kepada Mak Uda.
“Ada
Im, tapi kita sudah terlepas hampir satu kilometer…”, Mak Uda menjawab dengan
nada yang agak kecewa. Dia langsung tidak terfikir tadi. Mungkin dalam keadaan
yang cemas tersebut membuatkan otaknya terlupa tentang jalan singkat melalui
ladang kelapa sawit milik arwah Pak Din.
“Kalau
macam tu, kita mesti berpatah balik!”, Haziq membuat keputusan mendadak.
Mungkin juga terdesak!
“Doc
dah gila ke? Kan abang Am sedang kejar kita kat belakang ni!”, hampir terkeluar
biji mata Hana saat mendengar kata-kata Haziq sebentar tadi. Mungkin Haziq
sudah kurang waras agaknya. Hana kaget.
“Percaya
pada abang!”, Haziq memperlahankan keretanya.
“Apa
Doc nak buat ni? Kenapa perlahankan kereta?”, Hana tidak senang duduk dengan
tindakan Haziq.
Hana
bingung. Duduknya semakin tidak kena. Sekejap berlunjur, sekejap pula dia memeluk
lutut untuk meredakan keresahan yang membelenggu jiwa. Mak Uda pula menggenggam
tangan Hana semakin erat. Dia redha andai apa pun yang bakal terjadi kelak.
Mulutnya terkumat-kamit berdoa dan berzikir kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa
agar mereka semua terselamat daripada musibah ini.
Tanpa membuang masa, Idzham memecut
keretanya untuk memintas kereta Haziq. Idzham ketawa berdekah-dekah. Dia
sepatutnya berterima kasih kepada Neo kerana tiba tepat pada waktunya. Sudah
pasti Haziq tiada jalan lain yang nak dituju. Akhirnya Hana jatuh juga dalam
genggamannya. Terbayang di ruang mata wang sagu hati yang dijanjikan Tiger.
Idzham bercadang mahu menaikkan harga sagu hati tersebut sebaik menyerahkan
Hana kepada Tiger nanti. Senyuman jahat terukir dibibir. Haziq pula tampak
tenang, dia terlebih dahulu telah menduga tindakan yang akan diambil Idzham.
“Hahaha!
Ke mana lagi korang nak lari hah? Mampus kau kali ni Zeeq!”, Idzham ketawa
berdekah-dekah sambil tangannya pantas memusingkan stering kereta untuk
menghadang kereta Haziq.
Semua
yang ada di dalam kereta tersebut juga ketawa bersama-sama Idzham. Salah
seorang daripadanya mengeluarkan sepucuk pistol. Bersedia untuk bertindak jika
keadaan mendesak. Idzham memberhentikan kereta secara mengejut sebaik berjaya
memintas kereta Haziq. Serentak itu juga Haziq memberhentikan keretanya apabila
dihadang kereta Idzham tiba-tiba.
“Ok,
now! Hana dan Mak Uda pegang kuat-kuat!”, Haziq separuh menjerit memberikan
arahan tersebut.
Semerta,
seraya menukar ke gear reverse dan
terus mengundurkan kenderaannya. Sebaik jarak antara keretanya dengan Idzham
agak jauh, Haziq terus memusingkan keretanya untuk berpatah balik. Idzham yang
tidak menyangka tindakan nekad Haziq tersebut kelam-kabut turut sama menukar gear reverse untuk mengejar Haziq. Salah
seorang konco Tiger yang duduk bersebelahan Idzham yang telah bersedia dengan
sepucuk pistol sedari tadi tanpa diduga
terus melepaskan tembakan ke arah Haziq. Tembakan tersebut sedikit tersasar
daripada terkena kepala Haziq, namun mengenai bahu kanannya. Darah terpercik
mengenai dinding dan cermin kereta di sebelah tempat pemandu. Hana dan Mak Uda
menjerit apabila mendengar bunyi tembakan dilepaskan.
“Doc!”.
Hana terkejut.
“Aduh!
Allahuakbar…”, Haziq mengaduh.
Mak
Uda juga secara spontan memanggil nama Haziq kerana menyedari tembakan tersebut
mengenai pensyarah muda itu.
Haziq
sempat menoleh sekilas lukanya yang mula mengalirkan cecair merah pekat. Namun
tangan kirinya pantas bertindak menukar gear dan kaki kanannya menekan pedal
minyak untuk memecut kenderaan. Luka tersebut mula berasa sakit dan pedih.
Nyeri sekali.
Idzham
yang sedikit terkejut dengan tindakan mendadak anak buah Tiger tersebut berang.
“Kau
gila ke? Kalau terkena Hana tadi, apa aku nak jawab dengan Tiger? Bodoh!”,
Idzham melampiaskan amarahnya sambil memecut untuk mengejar Hana dan Haziq.
“Kau
patutnya berterima kasih pada aku! Si Haziq tak mungkin mampu bertahan dengan
luka sebegitu”, selamba konco Tiger menjawab.
“Diamlah!”,
marah Idzham masih bersisa.
Hana
semakin cemas melihat darah yang tidak berhenti keluar.
“Macam
mana ni, Doc? Apa kata kita berhenti dekat mana-mana dulu. Saya bimbang dengan
luka Doc tu!”, Hana semakin cemas. Dia tidak mampu untuk berfikir bagaimana
cara dia mahu membantu Haziq.
“Fikir
pasal Hana dulu, sebelum fikir pasal abang!”, cadangan Hana tersebut dirasakan
terlalu mengikut perasaan.
“Betul
kata Hana tu Imran. Takkan kamu nak memandu dalam keadaan luka macam ni?”, Mak
Uda juga semakin risau. Ada nada ketakutan pada bicaranya. Seumur hidup Mak
Uda, dia tidak pernah menghadapi keadaan sebegitu. Inilah kali pertama dan
dalam hatinya sentiasa berdoa agar ini juga menjadi kai terakhir menghadapi
keadaan yang menyesakkan dada ini.
“Tak
mengapa Mak Uda… saya masih mampu bertahan”, Haziq sekadar menjawab pendek.
Peluh yang mula keluar jelas menunjukkan kesakitan yang ditanggungnya. Seraya
jelas menunjukkan reaksi tidak mahu berbicara lanjut ketika ini.
“Idzham
masih di belakang kita! Kenapalah budak ni boleh jadi sejahat ini? Mak Uda tak
habis fikir kenapa dia sanggup buat macam ni pada adik sendiri”, Mak Uda
semakin tidak puas hati apabila menoleh ke belakang dan masih ternampak
kenderaan Idzham mengejar mereka walaupun jaraknya kini agak jauh.
“Sebab
dia masih mengekori kita lah saya tak boleh berhenti. Jangan bimbang, berdoalah
supaya kita diberi jalan keluar”, Haziq tampak lebih tenang kini walaupun
sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Dia kini hanya memandu dengan
sebelah tangan sahaja.
Tiba-tiba,
sedas tembakan dilepaskan sekali lagi, kali ini ke arah tayar kereta Haziq. Haziq
sempat memandang sekilas cermin sisi dan sudah menjangkakan tindakan tersebut.
Dengan spontan, Haziq mengelak tembakan rambang itu. Nasib menyebelahi mereka
kerana peluru itu tidak mengenai sasaran. Wajah Hana pucat. Hana semakin panik
dan ketakutan. Mak Uda menjerit sekali lagi kerana terkejut. Namun Haziq masih
tenang dan meneruskan pemanduan. Bagi Haziq, keadaan sebegini sudah pernah
dilauinya sebelum ini. Malah lebih teruk lagi. Mungkin kerana itu dia mampu
mengawal emosi berhadapan dengan situasi sebegini. Hana mula menangis. Dia
merasa bersalah yang amat sangat terhadap Haziq dan Mak Uda. Tidak fasal-fasal
dia telah mengheret sekali Mak Uda dan Haziq dalam masalahnya. Hana menangis
semahu-mahunya.
“Don’t worry dear, you’ll be saved.
Yakinlah pada Allah SWT…”, bicara Haziq perlahan.
Tetapi
Hana dapat menangkap bait-bait yang dilontarkan Haziq dengan jelas di cuping
telinganya.
Kira-kira lima minit mengharungi
jalan bengkang-bengkok dan lekak-lekuk ladang kelapa sawit, akhirnya mereka
tiba di jalan besar. Idzham di belakang masih belum berputus asa. Namun,
setelah kira-kira satu kilometer perjalanan, kenderaan Idzham berpatah balik.
Kereta jenis Waja yang dipandu Idzham memecut laju dan menghilang di sebalik
ladang kelapa sawit. Mak Uda yang sentiasa meninjau ke belakang mengawasi
kenderaan Idzham sejak tadi berasa hairan dengan tindakan drastik Idzham itu.
“Mereka
berpatah balik Imran, Hana”, Mak Uda seperti melaporkan.
“Depan
tu ada sekatan jalan raya Mak Uda, sebab itulah mereka patah balik. Kalau
mereka redah juga alamatnya mencari nahas namanya”, Haziq bersuara tenang. Dia
sudah melihat Idzham berpatah balik menuju ke ladang kelapa sawit melalui
cermin pandang belakang.
“Kita
minta tolong daripada pihak polis kat depan tu untuk bawa Doc ke hospital. Saya
bimbangkan luka Doc tu”, Hana bersuara gementar dalam esak tangis yang masih
bersisa. Jauh di sudut hatinya dia memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga
ke hadrat Ilahi kerana menyelamatkan mereka dari penjahat-penjahat tersebut.
Haziq
tidak bersuara. Mengiakan tidak, membantah juga tidak. Haziq terus
memberhentikan kenderaan sebaik tiba berdekatan sebuah kereta polis peronda. Segala
urat sarafnya kini dirasakan semakin
lemah. Hana terus membuka pintu kereta dan melompat keluar untuk meminta
bantuan pihak polis. Dia mesti membantu pensyarahnya secepat mungkin.
Mak
Uda tidak henti menyabarkan Haziq dan memberi semangat kepadanya. Haziq
beristighfar dan mengucap beberapa kali bagi menenangkan diri. Peluh jantan
merenik-renik keluar dan membasahi dahi serta dadanya dek menahan sakit yang amat
sangat. Dia mahu merehatkan diri seketika sementara Hana meminta bantuan. Darah
masih mengalir. Haziq hanya mampu menekan tempat luka dengan tangan kirinya.
Matanya dipejam erat.
“Tolong
pensyarah saya encik! Cepat encik, dia kena tembak!”, Hana memberitahu cemas.
Seorang
anggota polis mengambil keterangan Hana. Rupa-rupanya, sekatan jalan yang
dibuat adalah untuk menangkap Idzham dan Tiger. Insp. Faizal yang mengetuai
sekatan jalan raya malam itu mengerahkan anak buahnya menyusul ke arah ladang
kelapa sawit yang diceritakan oleh Hana untuk menjejaki Idzham dan konco-konco
Tiger. Insp. Faizal terus mengarahkan seorang anggota polis membantu Haziq
untuk berjalan masuk ke kereta polis peronda. Namun, Haziq menegah, dia mahu
berjalan sendiri.
“Cik
Hana boleh memandu?”, soal Insp. Faizal.
“Maaf
Inspektor, saya tak pandai bawa kereta”, jawab Hana jujur.
“Kalau
macam tu, Cik Hana ikut kami ke hospital. Yang lain serahkan pada pihak kami”,
ujar Insp. Faizal ringkas.
Hana
sekadar mengangguk ringkas. Mak Uda pula tidak membantah.
Baru
beberapa tapak melangkah, Haziq merasakan pandangan matanya semakin kabur dan
berbalam. Dia gagal mengimbangi badannya daripada rebah. Mujurlah polis muda
yang berjalan di sisinya sempat memaut tubuh Haziq daripada terjelepok atas
jalan tar. Beberapa orang lagi anggota polis yang berada berdekatan mendapatkan
Haziq untuk membantu. Hana terus berlari anak ke arah Haziq dan memanggil-manggil
nama Haziq beberapa kali. Haziq membuka kembali matanya lemah. Dalam keadaan
yang terlalu tidak berdaya Haziq masih mampu bersuara. Suaranya jelas di
pendengaran Hana dan anggota polis yang berada bersebelahan dengannya.
“Selamatkan
Hana…”, dua patah kata itu sempat ditangkap cuping telinga Hana dengan jelas.
“Doc..”,
panggilan Hana tidak lagi bersahut. Haziq senyap.
Bersambung……………
Best.
ReplyDeleteThanx a lot babay mio...sudi drop komen..(^_^)
DeleteApakah karl dan haiqal org yg sama?
ReplyDeleteHmmm...eira nak jawab ke tak neh agaknye ye sis...sudi tunggu kesudahannye taw sis.. =)
DeleteSo...interesting...time baca tu rase cam tengok teater...huhu syiok! Tq sudi tulis :-)
ReplyDeleteThanx sgt2 sis...eira pun happy kalau pembaca suka..thanx one more time coz sudi baca n ikut citer ni..<3!
Deletebest3x... bila nak up n3 seterusnya cik writer..cepat2 sikit..jgn lama sgt.
ReplyDeleteTerima kasih Zuraziz aziz sebab sudi baca karya eira yg xseberapa ni...insyaAllah tengah diusahakn segera..nantikan taw..=)
DeleteAssalamualaikum,
ReplyDeletesaya adalah salah seorang pembaca novel di blog ini. Berminat tak untuk menerbitkan sendiri novel dalam bentuk ebook?
pihak kami akan menyediakan platform(ruangan) kepada penulis-penulis untuk menerbitkan karya-karya mereka dalam bentuk ebook untuk dijual terus kepada pembaca.
Jika berminat sila hubungi penulis@appnovella.com untuk penjelasan lanjut